السلام عليكم
بِسْمِ ٱللَّهِ
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Salah
satu daripada tanda besar kiamat adalah dengan ketibaan Dajjal. Di sini, aku
ingin berkongsi satu artikel yang aku temui tentang apakah yang akan dilakukan
Dajjal setelah ia ‘dilepaskan’ dengan izin Allah SWT ke muka bumi ini. Moga
kita akan mendapat iktibar daripada apa yang dikongsikan dan sekiranya boleh,
kongsikanlah bagi mengingatkan saudara Islam kita sekalian. In Sya Allah.
Wallahualam.
Ujian
Allah SWT menerusi makhlukNya yang bernama Al Masih Ad-Dajjal adalah
sebesar-besar ujian yang ditimpakanNya kepada umat manusia yang beriman. Tidak
ada ujian lain yang menyamainya apakan lagi melebihinya.
Dalam
hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda: “Sejak
Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS sampai ke hari kiamat nanti tidak ada satu
ujian pun yang lebih dahsyat daripada Dajjal.“
Sebelum
kemunculan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT dengan kemarau
panjang selama tiga tahun. Pada tahun pertama, hujan akan kurang sebanyak 1/3
daripada biasa, pada tahun kedua akan kurang 2/3 daripada biasa dan pada tahun
ketiga hujan terus tidak turun. Umat ketika itu akan dilanda kebuluran dan
kemarau. Di saat itulah Dajjal akan muncul membawa ujian. Dalam satu riwayat,
penyokong Dajjal akan memiliki bergunung roti (makanan) sedangkan orang-orang
yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran.
Dalam
hal ini, sahabat RA bertanya kepada Rasulullah SAW: “Jadi apa yang dimakan oleh
orang Islam pada hari itu wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Mereka
akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi
zikir-zikir itu menggantikan makanan.”
Dalam
satu hadis riwayat Nuaim bin Hammad: “…lalu Allah SWT mengerahkan kepada Dajjal
syaitan-syaitan yang ada di timur dan ada di barat dan mereka pun datang
berduyun-duyun ke hadapan Dajjal dan menunjukkan kesediaan mereka untuk
mengikuti apa jua perintahnya. Mereka berkata kepada Dajjal: “Gunakanlah kami
untuk apa sahaja tujuanmu.” Dajjal menyahut “Ya! Aku akan berbuat demikian.
Maka pergikanlah kamu pada ke sekalian manusia dan usahakanlah supaya mereka
meyakini bahawa aku adalah tuhan mereka. Khabarkah kepada mereka bahawa aku
telah membawa untuk mereka syurgaku dan nerakaku.”
Kemudian
syaitan-syaitan itu pun bertebaranlah di muka bumi dan masuk ke rumah-rumah
orang dengan bilangan yang sangat banyak. Lebih dari seratus syaitan untuk
sebuah rumah. Syaitan-syaitan itu pun menjelma dalam bentuk ayah tuan rumah
itu, dalam bentuk anaknya, saudara-saudaranya, hamba-hambanya dan sahabat-sahabatnya.
Mereka berkata kepada tuan rumah itu: “Wahai fulan, apakah kamu mengenali
kami?” Tuan rumah itu menjawab: “Ya, saya kenal kamu semua. Ini ayahku, ini
ibuku, ini saudara perempuanku, ini saudara lelakiku.”
Tuan
rumah itu berkata lagi: “Apa khabar kamu semua?” Mereka (syaitan-syaitan)
menjawab: “Bahkan apa khabar engkau. Cuba ceritakan kepada kami keadaan
engkau.”
Tuan
rumah itu pun berkata: “Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami bahawa musuh
Allah yang bernama Dajjal itu telah muncul (membuat kerosakan). “Mereka
(syaitan-syaitan) menjawab: “Janganlah engkau terburu-buru berkata demikian.
Janganlah engkau berkata demikian. Dajjal itu sebenarnya tuhanmu yang dapat
membuat sesuatu keputusan terhadap nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan
neraka, ada sungai-sungai dan ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan
kecuali yang datang dari sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah.”
Ketika
itu tuan rumah tadi berkata: “Kamu semuanya pembohong! Kamu adalah
syaitan-syaitan dan Dajjal itu adalah pembohong besar. Sebenarnya Rasulullah
SAW telah memberitahu kami akan keadaan yang sebenar dan baginda SAW telah
menyuruh kami berhati-hati dan baginda SAW telah menyuruh kami supaya menjaga
anak-anak kami. Maka tiada kata aluan untuk kamu semua. Kamu adalah
syaitan-syaitan. Dajjal itu musuh Allah SWT. Dan sebentar lagi Allah SWT akan
menurunkan Nabi Isa bin Maryam untuk membunuhnya.”
Kalau
tuan rumah itu berkata demikian akan surut dan diam lalu mereka
(syaitan-syaitan) segera pulang dengan hampa tangan dan kehinaan.”
Dari
Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata: “Rasululah SAW telah berkhutbah di
hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal.
Baginda SAW telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka
bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap
Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal.
Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal
itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan
aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi
setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga
dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal
itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi
manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah
kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum
diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.”
“Pada
mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi
nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa
Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat
matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan
juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAF FA RA (KAFIR), yang dapat
dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.”
Di
antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu
sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di
antara kamu yang diseksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan
kepada Allah SWT dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka
nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi
sejuk.”
“Di
antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku
sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu,
apakah engkau mengaku aku sebagai tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata:
“Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya
sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya:
“Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
“Di
antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua.
Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan ku lakukan
terhadap hambaku ini, sekarang akan ku hidupkan dia semula. Dengan izin Allah
orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa
Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman menjawab:
“Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti
lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di
syurga.”
Kata
Rasulullah SAW lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya
menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan
tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi
manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak
mengakunya sebagai tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan
ternakan mereka tidak menjadi.”
“Dajjal
itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung
itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat
mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia
ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Mekah dan Madinah.
Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh
Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Mekah dan Madinah. Namun
demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah
bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti
cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi
bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang
dikatakan hari pembersihan kota Madinah. “
Daripada
Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Dajjal muncul pada
waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman
Dajjal ada 40 hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari
yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian
hari-hari berikutnya seperti hari biasa.” Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah,
tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu
juga?” Rasulullah SAW menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu
itu.”
Menurut
riwayat, Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan
matahari ini berjalan dengan izinKu. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya
sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu
atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia
berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?”
Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya
dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.
Rasulullah
SAW telah mengajar kita supaya berlindung dengan Allah SWT daripada godaan Al
Masih Ad-Dajjal ini. Seperti yang diajar Baginda SAW dalam doa tahiyyat akhir
yang sunnat doa itu kita baca setiap kali kita solat. Doa itu adalah: “Ya
Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada siksa api neraka Jahanam dan dari
siksa kubur, dan dari fitnah dalam kehidupan dunia dan fitnah setelah mati,
juga aku berlindung dangen Engkau daripada kejahatan fitnah Al Masih Dajjal.”
Hadis
riwayat Muslim Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang HAFAL 10 ayat dari
pertama surah Al-Kahfi, ia akan terpelihara dari godaan Dajjal.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan