Hari ini kalau ada yang berazam untuk tidak mahu
menggunakan wang kertas, orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam hutan.
Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh kehidupan
manusia.
“Apa itu wang kertas?” wacana tentang riba dan wang emas
tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas kerana kedua-dua
matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.
Sejarah mencatatkan bahawa antara wang yang paling awal
muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada empayar Rom di Eropah,
berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Wang emas terus digunakan
oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang lain setelah kedatangan Nabi
Muhammad s.a.w. Kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masehi juga menggunakan
wang emas.
Duit emas yang digunakan 560 sebelum masihi di Turki
Namun, penggunaannya berakhir pada 1924 berikut runtuhnya
kerajaan Khilafah Islamiah terakhir iaitu Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu, dunia beralih kepada wang kertas yang
bersandarkan emas.
Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya
dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffin dalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas
adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di Pulau Jekyll, Amerika Syarikat pada tahun itu membawa kepada
penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat
atau institusi kerajaan Amerika Syarikat. Sebaliknya dianggotai oleh syarikat
milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas
sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres
Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara curi-curi.
The Creature From
Jekyll Island
Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan
Negara Amerika Syarikat., antaranya mencetak wang kertas Dolar Amerika dan
memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atau Fractional Reserve Requirement (FRR) yang menjadi asas perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakan oleh industri perbankan
di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wang sesuka hati dalam jumlah
yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar.
Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku
sehingga membolehkan British menguasai Bandar Jerusalem pada 1919. Penguasaan
itu menandakan berakhirnya Era Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun
antara umat Islam dan Kristian. Dunia pun berubah dengan mendadak. Kemuncaknya
ialah kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah.
Peristiwa demi peristiwa terus mengejutkan dunia,
antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia besar-besaran pada 1929.
Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk
menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns
emas.
Krisis yang sengaja
dicipta untuk memberikan kekayaan kepada bank
Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang
kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas
Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. Pada 1948, Negara Israel mendapat
pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin
yang sah.
Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah
deficit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat
melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun
bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus
pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika
Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika.
Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan
antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan
bertindak secara unilateral untuk menguburkan sistem piawaian emas.
Selepas 15 Ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan
kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran
pasaran tukaran wang asing. Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang
fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas
mencetak wang kertas tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada
pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing
Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.
Pun begitu apa jua tipu daya tetap ada kelemahannya
seperti mana yang disebut oleh Allah dalam al Quran, Firmannya :
الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ
فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفً
“Orang-orang
yang beriman dan berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berjalan
di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana tipu daya
syaitan itu adalah lemah.”
(Surah 4, AN NISA’: ayat 76)
Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang
kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas.
Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar
(contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).
Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan
oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan
manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanyalah ‘janji’ untuk membayar dan pihak yang
mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu. Atas inilah, sebagai contoh,
pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat,
“wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai….”
Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk
komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak
yang mengeluarkan. Pengertian sebenar disebalik wang kertas ialah sekadar
‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas
penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapnya. Kepercayaan
semata-mata. Itu sahaja. Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang
kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ lalu ia tidak lagi berguna, sekalipun
jumlahnya berguni.
Zimbabwe menjadi
bukti kerapuhan wang fiat
Sejarah membuktikan bahawa dalam peperangan, mata wang
sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang kertas dilambakkan seperti
bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara membakarnya hingga hangus. Di Malaysia, sebahagian besar generasi sebelum merdeka
masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’ yang menyaksikan
berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan ‘duit tak laku’ bukanlah sesuatu yang asing buat
orang lama yang pernah melalui pengalaman buruk itu.
Duit dibakar di
Jerman kerana sudah tidak bernilai
Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada wang
dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau
institusi kewangan dan kad plastic
digital. Wang ini tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya
mudah dimainkan oleh speculator
matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusiaan.
Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat dengan kita. Spekulasi
dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang atau lebih buruk,
matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan ‘money meltdown’
ini sudahpun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan Dolar Amerika
pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang. Krisis ekonomi dunia
diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.
Sistem ekonomi kapitalis, bank dan institusi kewangan
dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat dengan banyak di
pasaran sehingga menyebabkan inflasi. Wang itu dicipta melalui kepelbagaian
deposit, memberi hutang dan mengenakan faedah. Setiap wang fiat yang
didepositkan ke dalam bank akan mencambahkan tiga wang fiat lagi yang boleh
diberikan kepada individu dan syarikat perniagaan. Ekonomi ini adalah ekonomi
palsu yang tidak berasaskan kepada pengeluaran sebenar.
Sesetengah kerajaan mencetak wang sewenang-wenang tanpa
bersandarkan kepada pengeluaran sebenar dalam Negara bagi kepentingan
pemerintah dan pengekalan kuasa.
Apabila semakin banyak wang dicetak, nilai wang fiat akan
berkurangan dan menyebabkan inflasi. Kuasa beli rakyat pula akan berkurangan. Satu wang fiat tidak memungkinkan kita membeli barangan
yang sama kita beli seperti sepuluh tahun yang lalu. Ini menjadikan nilai wang kertas fiat hanya terletak pada
barangan yang kita beli hari ini. Sebagai contoh, tiga puluh tahun lalu,
seseorang yang bergaji RM 1000 sebulan mampu memiliki kereta import berjenama
dan sebuah banglo. Hari ini, gaji sebanyak RM 20 000 sebulan belum tentu
menjanjikan kereta import dan banglo. Harga barangan menjadi terlalu tinggi
iaitu meningkat berkali ganda berbanding peningkatan dalam pendapatan.
Orang sekarang berkerja siang dan malam serta melakukan
bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam keadaan
kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi kewangan.
Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi kewangan dan pada
bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang bank
juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.
Kadar pengangguran dan kegagalan syarikat perniagaan pula
semakin meningkat dari hari ke hari. Semua ini angkara sistem kewangan fiat
yang menyebabkan ekonomi berkembang secara tidak stabil serta mewujudkan jurang
besar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.
Jelas wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak
jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan Amerika Syarikat
mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah sebenarnya sudah
ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.
Sumber : Milenia Muslim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan