Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 28 Mei 2014

R 35 : BENARKAH PEMAKAN RIBA KEKAL DI NERAKA?

“Barangsiapa memakan riba maka dia akan kekal di neraka.” Pernyataan ini sering kita dengar dari sebahagian dai. Mereka berhujjah dengan kalimat terakhir dari surah Al-Baqarah ayat 275, yang ertinya: “dan barangsiapa kembali maka mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di  dalamnya.”
(Surah 2,  AL BAQARAH : ayat 275)

Mereka memahami kata “kembali” di sana dengan pengertian “kembali memakan riba atau bermu’amalah dengan riba. Kesimpulannya, hukuman bagi pemakan riba adalah hidup di neraka selama-lamanya tak ubahnya seperti hukuman bagi orang-orang kafir yang tidak memeluk Aqidah Islam.
Pemahaman di atas diamini oleh seorang mufassir dari kalangan Mu’tazilah, yakni Imam Az-Zamakhsyari. Ketika selesai mengutip ayat ini, beliau menegaskan: “ini merupakan dalil yang jelas mengenai kekalnya orang fasiq (di neraka)”[1]. Padahal, sebagian besar ulama, khususnya ahlus sunnah,[2] menolak pendapat ini kerana banyaknya dalil yang menunjukkan bahawa siapa saja yang berislam, tidak menyekutukan Allah, maka dia tidak akan kekal di neraka.
Pemahaman bahawa pemakan riba kekal di neraka sebenarnya tidaklah tepat. Mari kita lihat penjelasan Asy-Syaikh Atha’ Abu Rasytah[3] hafidzahullah mengenai potongan ayat ini di dalam kitab tafsir beliau. Beliau menyatakan:
“{dan barangsiapa kembali} iaitu barangsiapa yang kembali ke masa di mana ia berkata: jual-beli sama dengan riba, iaitu kembali menghalalkannya {maka mereka itu penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya} kerana dengan ia kembali menghalalkan riba bererti dia telah kafir dan murtad dari Islam. Dan orang kafir itu kekal di dalam neraka”.[4]
Kutipan singkat tersebut memberi penjelasan yang telah mencukupi. Bahawa menurut Abu Rasytah hafidzahullah, yang dimaksud dengan kembali dalam ayat itu bukanlah kembali memakan riba, melainkan kembali berpendirian bahawa jual-beli sama dengan riba. Sementara itu, menyamakan jual-beli dengan riba jelas merupakan kukufuran, yakni pengingkaran terhadap hukum Allah yang tak diragukan keabsahannya(qath’i).
Kesamaan antara jual-beli dan riba yang mereka maksud adalah bahawa menurut mereka keduanya sama-sama sah dipraktikkan, sama-sama boleh alias sama-sama halal. Pernyataan ini langsung disanggah oleh Allah (ertinya) :

“Padahal Allah (sebelumnya) telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba.”

Ertinya, pernyataan mereka bahawa jual-beli sama dengan riba merupakan suatu bentuk menentangan, pelecehan dan pengingkaran terhadap ketetapan Allah yang telah mereka dengar secara jelas sebelumnya. Di sinilah letak kekufuran orang yang mengatakan bahawa jual-beli sama dengan riba. Sebab, dia telah mengingkari hukum Allah yang bersifat qath’i (pasti).
Ibnu Katsir menyatakan: “maksudnya: mereka dihukum seperti itu disebabkan kerana penentangan mereka terhadap ketetapan-ketetapan Allah di dalam SyariatNya. Perkataan mereka itu bukan bermaksud mengqiyaskan riba dengan jual-beli, sebab orang-orang musyrik tidak mengakui legaliti hukum asal jual-beli yang disyariatkan oleh Allah di dalam al Quran. Seandainya (perkataan mereka) ini merupakan qiyas nescaya mereka akan mengatakan: “Sesungguhnya riba itu sama saja dengan jual-beli,” tetapi mereka berkata: “sesungguhnya jual-beli sama saja dengan riba.” Ertinya: jual-beli itu serupa dengan riba, lantas mengapa Dia mengharamkan yang ini lalu membolehkan yang itu? Inilah penentangan mereka terhadap syariat”.[5]
Pendapat Syeikh Atha Abu Rusytah itu bukan pendapat yang menyendiri. Para mufassir telah menjelaskan hal yang serupa dengan penjelasan beliau. Berikut adalah kutipan dari beberapa mufassir:
Asy-Syaukani menyatakan: “{dan barang siapa yang kembali} kepada perbuatan makan riba dan bermuamalah dengannya {maka mereka itu penghuni-penghuni neraka mereka kekal di dalamnya}”.. dan ada yang menyatakan bahawa pengertian {dan barangsiapa yang kembali} adalah kembali kepada pendapat bahawa {sesungguhnya jual beli sama dengan riba} sehingga dia dianggap kufur kerananya, dengan (kekufuran) itu dia kekal (di neraka). Jika menggunakan asumsi penafsiran yang pertama, maka kekekalan yang dimaksud merupakan metafor, dalam erti hiperbolik (mubalaghah), sebagaimana perkataan orang Arab: “seorang raja yang kekal,” maksudnya: berumur panjang. Pengalihan kepada takwil ini hukumnya wajib berdasarkan hadits-hadits mutawatir mengenai keluarnya orang-orang yang bertauhid dari neraka”.[6]
Al-Qurthubi menyatakan: “{dan barangsiapa kembali}, maksudnya melakukan riba sampai meninggal. Ini merupakan pendapat Sufyan. Ulama selain beliau menyatakan: barangsiapa kembali berkata bahawa jual-beli sama dengan riba maka dia telah kafir. Ibu ‘Athiyyah menyatakan: jika ayat itu kita asumsikan tertuju kepada orang yang kafir (kepada keharaman riba) maka kekekalan yang dimaksud merupakan kekekalan dalam makna sebenarnya (hakiki), namun jika ayat itu kita asumsikan bicara mengenai seorang muslim yang bermaksiat, maka kekekalan itu bermakna metafor dengan membawa pengertian hiperbolik (melebih-lebihkan).”[7]
Ibnul Jauzi menyatakan: “Firman Allah (ertinya): {dan barangsiapa kembali}, berkata Ibnu Jabir: barangsiapa kembali kepada riba kerana menghalalkannya dengan alasan {sesungguhnya jual-beli sama saja dengan riba}”.[8]
Al-Baghawi dalam tafsirnya menyatakan: “{dan barangsiapa kembali} menghalalkan makan riba setelah pengharamannya.”[9]
Ibnu ‘Athiyyah menyatakan: “Firman Allah Taala (ertinya): {dan barangsiapa kembali} maksudnya kembali mengerjakan riba dan mengatakan {sesungguhnya jual-beli sama dengan riba}. Jika ayat itu kita asumsikan tertuju kepada orang yang kafir (kepada keharaman riba) maka kekekalan yang dimaksud merupakan kekekalan dalam makna sebenarnya (hakiki), namun jika ayat itu kita asumsikan bicara mengenai seorang muslim yang bermaksiat, maka kekekalan itu bermakna metafor dengan pengertian hiperbolik (melebih-lebihkan). sebagaimana perkataan orang Arab: “seorang raja yang kekal” (malikun kholidun), untuk menyatakan kelestarian segala sesuatu yang tidak kekal secara hakiki.”[10]
As-Suyuthi menyatakan: “maksudnya kembali kepada riba setelah diharamkan, lalu mereka menghalalkannya dengan perkataan mereka “sesungguhnya jual-beli sama saja dengan riba” {maka mereka itu penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya} maksudnya mereka tidak mati.”[11]
Al-Baidhowi menyatakan: “{barangsiapa kembali} kembali menghalalkan riba, mengingat konteks pembicaraannya mengenai hal ini {maka mereka adalah penghuni-penghuni neraka mereka kekal di dalamnya} kerana mereka mengingkari keharamannya”.[12]

Kesimpulan

Ayat tersebut tidak mengancam seorang mukmin yang melakukan perbuatan maksiat berupa memakan riba. Namun, ayat tersebut tertuju kepada mereka yang menolak hukum keharaman riba. Mereka dianggap orang kafir. Jika sebelumnya beriman, maka dengan pengingkarannya terhadap keharaman riba itu bererti dia telah keluar dari Islam. Adapun seorang beriman yang percaya sepenuhnya bahawa Allah mengharamkan riba, namun kerana sebab tertentu dia terjerumus ke dalam mu’amalah ribawi, maka dia dianggap sebagai seorang yang bermaksiat, dia dihukum kerana dosanya, namun tidak kekal di neraka. Meski demikian, memakan riba tetap merupakan dosa besar yang kita berlindung kepada Allah dari dosa yang demikian itu. Wallahu a’lam bish-showab


[1] Lihat Al-Kassyaaf ‘an haqaaiqi ghawaamidhit tanziil wa ‘uyuunil aqaawiil fii wujuuhit ta’wiil
[2] Lihat hasyiyah (catatan pinggir) al-Kasysyyaaf
[3] Beliau adalah pimpinan Hizbut Tahrir yang sekarang
[4] Atha’ Abu Rasytah, at-taisiir fii Ushulit tafsiir (Beirut: Darul Ummah, 2006), 308
[5] Lihat: tafsirul Qur’anil ‘Adziim
[6] Lihat: Fathul Qadiir
[7] dalam al-Jami’ liahkamil Qur’an
[8] dalam Zaadul Masiir
[9] Dalam Ma’aalimut tanziil
[10] Dalam Muharrirul Wajiiz
[11] dalam ad-Durrul Mantsur
[12] Dalam Anwaarut tanziil

Related Posts



Tiada ulasan:

Catat Ulasan