1. Ada pembaca yang budiman berkongsikan isu wang kertas, dinar
dan dirham di sini. Maka,
inilah ulasan saya.
2. Secara umumnya penggunaan dinar dan dirham sekalipun riba tidak automatik hilang dan
langsung tiada dalam dinar dan dirham. Riba masih wujud dalam beberapa
keadaan.
3. Satu, riba dalam pinjaman dan hutang piutang.
4. Dua, riba dalam pertukaran barang ribawi. Jika sama jenis
(seperti perak dengan perak), perlu sama nilai dan dibuat secara tunai. Jika,
sama ‘illah perlu dibuat secara tunai (seperti emas dengan perak). Jika tidak
sama ‘illah, maka boleh ditukar mengikut apa-apa cara (seperti perak dengan
tamar).
5. ‘Illah merupakan sebab kepada sesuatu hukum menerusi kaedah
Qiyas. Qiyas diguna pakai dalam perkara yang Allah swt tidak sebut secara jelas
dalam al Quran dan Nabi saw pun tidak sebut dalam Hadis.
6. Contohnya, seperti hadis
shahih dari Ubadah bin Samit mengenai barang-barang ribawi. Secara bahasa,
barang ribawi hanya ada 6 iaitu emas, perak, gandum, tamar, barli dan garam.
Maka, dalam membincangkan hadis ini ulama mencari sebab (‘illah) kenapa jual
beli / pertukaran 6 barang ribawi ini ada undang-undang tersendiri yang mesti
kita ikut.
7. Maka, salah satunya ‘illah riba yang para ulama dapat adalah
matawang. Maka, hukum berkait matawang perlu ikut undang-undang barang ribawi.
8. Seterusnya, para ulama berbeza pendapat apakah itu matawang?
Adakah hanya emas dan perak sahaja boleh jadi matawang?
9. Dalam satu kertas kerja bertajuk ‘Gold and Silver as Money: A Preliminary Survey of Fiqhi Opinions and
Some Implications’ dibentang di International Conference on Stable and Just
Monetary System, Kuala Lumpur, pada Ogos 2002, kertas kerja ini menyatakan
ulama berbeza pendapat tentang adakah emas dan perak sahaja adalah matawang.
10. Ulama yang menyatakan hanya emas dan perak sahaja adalah matawang
adalah Imam Abu Hanifah dan anak muridnya Imam Abu Yusuf, ulama mazhab Maliki
seperti Ibn Nafi‘, al-Adawi dan Shaykh ‘Alish, ulama dari Mazhab Shafi’i
seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Suyuti dan Imam Maqrizi, sebahagian
ulama Mazhab Hanbali dan juga pandangan dari golongan tabi’in seperti Imam
Mujahid dan Imam Nakha’i. Ulama semasa yang menyokong pendapat ini adalah
Shaykh Ahmad al-Khatib, Shaykh ‘Abd al- Rahman al-Sa‘di, Ibn Badran, Ahmad
al-Husayni, Shaykh al-Muti‘I, Shaykh Muhammad Amin al-Shanqiti, Taqi al-Din
al-Nabhani, Muhammad Baqir al- Sadr, Muhammad Makhluf, Hassan Ayyub dan Nasir
Farid Wasil.
11. Ulama yang menyatakan matawang tidak terhad kepada emas dan
perak adalah Imam Shaybani dari mazhab Hanafi; ulama mazhab Maliki seperti
al-Hattab dan al-Wansharisi, sebahagian ulama Shafi’i dan sebahagian ulama
Hanbali seperti Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, ulama dari mazhab Zahiri seperti Ibn
Hazm, golongan tabi’in seperti Laith ibn Sa’ad dan Al-Zuhri serta kebanyakan
ulama semasa seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Taqi Usmani, ‘Abd Allah
Sulayman al-Mani’ dan juga Majma’ Fiqh Sedunia yang berpusat di Mekah.
12. Dua-dua kumpulan ulama’ ini mempunyai sandaran Syariah
masing-masing. Antaranya, hujah yang menyatakan zaman Nabi saw hanya ada dinar dan
dirham. Namun pada masa yang sama, kaedah fiqh menyatakan selagi mana tidak ada
dalil yang mengharam sesuatu perkara, maka ia adalah perkara yang boleh dibuat.
Justeru, tidak ada larangan khusus yang menyatakan matawang selain emas dan
perak adalah haram.
13. Islam ini tetap pada prinsipnya seperti pengharaman riba.
Ulama sepakat menyatakan dalam matawang ada riba berlaku, justeru ada syarat
yang mesti kita patuhi. Mereka cuma tidak sepakat, adakah matawang mesti terhad
emas dan perak sahaja?
14. Maka, dalam mendepani hal ini kita mesti berlapang dada dengan
perbezaan pendapat yang berlaku ini dan pemerintah ada kuasa untuk mengambil
mana-mana pendapat yang ada.
15. Memetik kata-kata Ibn Uthaymin, ‘Mazhab orang awam adalah
mazhab pemerintahnya.’ Maka, dalam hal ini keputusan Majma’ Fiqh Sedunia yang
menerima pendapat ulama dalam isu matawang tidak terhad emas dan perak telah
diguna pakai secara meluas oleh semua negara umat Islam, maka wajiblah kita
selaku orang awam mengikut ketetapan ini.
16. Keputusan Majma’ Fiqh pada 1986 ini juga telah diguna pakai
oleh Majlis Shariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial
Institutions (AAOIFI) pada tahun 2000 dan AAOIFI kini merupakan rujukan fatwa
utama dalam urusan muamalat Islam hari ini.
17. Maka ulama semasa memastikan semua urusan matawang kertas juga
tidak berlaku riba, sama ada riba berkait pinjaman dan hutang atau riba
berkaitan pertukaran barang ribawi seperti yang berlaku dalam forex, pelaburan emas dan trade-in emas misalnya.
18. Malah, ulama semasa juga tidak membangkang usaha untuk
mengembalikan fungsi emas dan perak dalam matawang, asalkan mekanismanya adalah
bebas riba.
19. Apa yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh dalam hal ini bukanlah
satu ketetapan yang dibuat tanpa sebarang sandaran Syariah. Isu ini
dibincangkan oleh ulama kita dari dahulu sampai ke hari ini.
20. Maka dengan ini kita bersetuju segala urusan matawang
(termasuk matawang kertas) perlu ikut cara yang ditetapkan dalam Syariah untuk
memastikan bebas dari riba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan