Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 28 Mei 2014

R 42 : KESAN BERPEGANG DENGAN HUKUM DUIT KERTAS HARAM

1. Allah swt mengharamkan riba dan arak dengan cara yang serupa iaitu ada 4 peringkat pengharaman riba dan juga arak. Setelah pengharaman arak sempurna, maka masyarakat Islam terus membuang arak-arak yang ada di rumah mereka. Tidak perlu tunggu apa-apa arahan tambahan lagi. Begitulah sikap orang beriman.
2. Pada akhir zaman ini kita cuma ada al Quran dan as Sunnah. Pentafsiran para ulama terhadap isu-isu tertentu adalah pelbagai. Apa yang pasti mereka sepakat dalam perkara yang jelas halal dan haramnya. Cuma dalam perkara yang tidak disebut dalam kedua sumber dengan jelas ini para ulama ada pelbagai pendapat.
3. Ini disebut perbezaan pendapat (khilaf), dan Nabi saw menerusi hadisnya yang shahih yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menyebut:
Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan hukuman lalu berijtihad dan betul ijtihadnya nescaya mendapat dua pahala, apabila salah ijtihadnya mendapat satu pahala.
4. Dalam mendepani situasi banyak pendapat dalam perkara ijtihad ini, Imam Suyuti dalam bukunya al-Ashbah wa an-Nazair menyebut:
Jangan dibantah hukum yang berlaku khilaf di kalangan ulama’. Sesungguhnya perkara yang perlu dibantah adalah perkara yang sepakat di kalangan para ulama tentang pengharamannya.
5. Dalam artikel bertajuk, Islam Membenarkan Matawang Selain Emas dan Perak, jelas kepada kita ulama’ memang ada perbezaan pendapat mengenai keharusan matawang selain emas dan perak. Ini menunjukkan isu matawang adalah isu ijtihad, dan ulama dapat berbeza pendapat antara satu dengan yang lain.
6. Dalam artikel tersebut juga, ulama’ semasa menerima pakai pendapat ulama’ yang menerima matawang selain emas dan perak. Tuan puan sila baca keputusan-keputusan fatwa Majma’ Fiqh Sedunia dan Majlis Shariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) untuk mengetahui dengan terperinci hujah mereka.
7. Ya, ada pihak yang tidak mahu menerima keputusan fatwa ini dan menyatakan matawang selain emas dan perak tetap haram. Maka, memandangkan isu matawang ini adalah isu ijtihad maka tiadalah saya mahu menghalang mereka yang berpegang dengan pendapat ini.
8. Cuma sekiranya memang mahu berpegang dengan pendapat matawang mesti emas dan perak sahaja dan duit kertas pada hari ini haram, maka ketahuilah haramlah penggunaan wang kertas ke atas mereka yang berpegang dengan pendapat tersebut.
9. Maka haramlah mereka semua untuk berjual beli gula, garam, susu, petrol, nasi dan keperluan lainnya. Haram juga berjual beli emas, perak, memberi zakat dan sedekah, memberi duit bulanan kepada ibubapa di kampung dengan duit kertas. Haram juga mereka menerima laba dan keuntungan seperti upah, gaji, komisyen, bonus, dividen, untung bisnes dengan dengan duit kertas.
10. Kita telah mempermainkan Islam kalau kita kata duit kertas itu haram tapi masih bermuamalat dengan duit kertas dalam urusan seharian. Umpamanya macam kita menerima arak dalam hamper dari klien misalnya, kita tahu arak itu haram dan kita tukar arak itu untuk mendapatkan beras (barter trading).
11. Sama juga dengan isu perbankan Islam. Kalau berpegang dengan pendapat yang menyatakan model semasa perbankan Islam ini haram, maka haram lah mereka yang berpegang dengan pendapat tersebut. Haram bagi mereka ini menyimpan duit dan mendapatkan pembiayaan dengan bank-bank Islam. Pada masa yang sama pendapat tersebut tidak sama sekali menjadikan bank konvensional itu halal.
12. Pilihan di tangan kita semua. Saya memilih wang kertas dan perbankan Islam hari ini adalah halal berdasarkan pendapat-pendapat ulama yang ada. Tuan puan dapat memilih sebaliknya kerana saya tidak dapat memaksa mana-mana pihak menerima pendapat yang mana.

13. Semoga tuan-puan mendapat pencerahan dari komen-komen dalam artikel Riba Di Sebalik Pembelian Emas.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan