Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 28 Mei 2014

R 45 : MENGAPA SAYA KATA PINJAMAN RUMAH PERBANKAN ISLAM HARAM

Katalah salah seorang dari saudara saya Mat datang kepada saya dan meminta bantuan kewangan iaitu pinjaman wang untuk membeli baju sekolah anak-anaknya (yang juga sudah semestinnya saudara saya). Jumlah yang mahu dipinjam adalah sebanyak RM100 dan Mat berjanji akan membayar balik secara ansuran. Terdetik di dalam hati saya, "Ni boleh buat duit ni, kalau mintak faedah/bunga/riba' haram jadinya, baik aku ubah sikit."
Saya: "Okla Mat, macam ni je lah, sebenarnya dari aku bagi kat engkau lebih baik aku letak kan tabung haji, bertambah gak duit aku nanti, tapi sebab engkau saudara aku, jadi aku pinjamkan kepada engkau tetapi dengan syarat.

Mat: "Syarat macam mana pulak tu?.

Saya: "Aku belikan baju untuk anak-anak engkau dengan harga RM100 dan aku jual kepada engkau dengan RM120, lepas tu engkau bayarlah bulan-bulan RM10 selama 12 bulan, bagaimana? setuju tak? Ini cara islam yang mana aku berjual-beli dengan engkau dan bukan aku kenakan faedah, kalau ada orang lain bertanya engkau cakaplah aku memberi pembiayaan kepada engkau, jangan sebut pinjaman sebab itu nampak tak islamik."

Mat: "Baiklah, sebab aku terpaksa dan tak ada cara lain lagi dah maka aku terima sahajalah syarat engkau tu lagi pun engkau dah tolong aku maka aku pun kenalah tolong engkau jugak. Tapi eloklah kita berakad untuk memastikan proses ini dikira pembiayaan dan jual beli."

Apa pendapat anda mengenai sifat saya jika kisah di atas benar-benar berlaku? Bagaimana jika saya ubah tujuan untuk membeli baju anak kepada membeli rumah untuk diri Mat dan anak-anak berlindung dengan pinjaman RM100 ribu, saya jual balik kepada Mat dengan harga RM170 ribu (kadar riba' 6% mengikut pasaran semasa) tetapi disebabkan Mat akan bayar selama 20 tahun maka bayaran bulanan menjadi RM700.

Rujuk kepada kes pertama untuk Mat membeli baju anaknya, letakkan diri anda di tempat saya, sebagai seorang saudara darah daging kepada Mat, adakah anda sanggup melakukan begitu pada saudara sendiri, sanggup menangguk di air keruh masih mahu menyedut 20 ringgit "darah" Mat dan tidak mahu membantu dengan ikhlas? Jika Mat bukan saudara sedarah sedaging sekalipun bukankah semua orang Islam itu bersaudara, sanggupkah anda mengambil untung dari kesusahan orang lain?

Jika kita rujuk kes kedua untuk membeli rumah pula, tiada bezanya bagi mereka yang melabel "bank Islam" tetapi mahu memerah keringat insan lain untuk mendapatkan keuntungan atas sebab terdesaknya manusia terpaksa meminjam untuk membeli rumah. Yang membezakan adalah di zaman sekarang ini membeli rumah bukan kerana terdesak, akan tetapi lebih kepada mentaliti "beli lebih baik dari menyewa," untuk memastikan ada harta iaitu rumah dengan nama sendiri (sedangkan S&P bank simpan) dan dicanang pulak dengan iklan-iklan menawan hati oleh pemaju serta dialunkan pula dengan lagu merdu pujukan dari pihak bank, maka membeli rumah itu adalah lebih kepada desakan nafsu dan bukan desakan hidup. Di dalam kes kedua (contoh Mat membeli rumah), 70 ribu "darah" Mat akan disedut hanya dengan goyang kaki sebagai pelabur menunggu masa sahaja mendapat "keuntungan." Adakah wang itu bersamaan dengan masa? Adakah risiko wujud di sini? Mat tak bayar, Mat kena tendang, sanggupkah anda menendang keluar saudara sendiri? Letakkan diri anda di tempat Mat, Sanggupkah anda diperlakukan sedemikian?

Apa bezanya jika kita sebagai individual dengan bank memberi pinjaman dan meminta balasan dari pinjaman tersebut. Bank tidak akan peduli kesusahan peminjam kerana mereka perlu memastikan "kebajikan" pelabur. Disebabkan bank adalah institusi diiktiraf pemerintah maka pihak berkuasa akan melakukan kerja menghalau bagi pihak pelabur. Sebab itu apabila melabur di bank, pelabur tidak rasa bersalah kerana "kerja kotor" ini dilakukan oleh pihak ketiga secara sah berdasarkan undang-undang sekular. Bagi saya pula jika saya tidak suka orang lain mengambil kesempatan atas kesusahan ke atas diri saya maka saya pun tidak mahu melakukan sedemikian kepada orang lain kerana saya tahu ianya akan berbalik semula kepada diri saya sendiri satu hari nanti baik di dunia mahupun di akhirat. Inilah salah satu sebab manusia terpinga-pinga kehairanan mengapa manusia lain jahat atau mengambil kesempatan ke atas diri mereka sedangkan mereka sendiri melakukannya tanpa sedar ke atas orang lain.

Jika kita meng"Islam"kan sekalipun konsep memberi pinjaman tersebut dengan pusing sana dan pusing sini, bagi nama lain "muserakah" atau "mudah rebah," pembiayaan dan bukan pinjaman, berakadlah dan sebagainya, adakah anda sanggup menjadi lintah menyedut darah saudara seIslam sendiri? Kelintahan anda tidak jelas kelihatan kerana ia berselindung di sebalik nama Islam itu sendiri.

Ini jika kita lihat diri kita sebagai pelabur, bagaimana pula jika kita adalah Mat atau peminjam di dalam cerita ini? Ramai yang akan berkata,
"Tak mengapalah, pihak bank Islam kan berjual beli dengan kita, lagi pun bank mahu membayar gaji pekerja-pekerjanya."
Ramai yang tidak sedar sebenarnya mereka telah diper"hamba"kan oleh pihak bank untuk kepentingan korporat yang mana pelabur kaya akan makin kaya dengan menyedut darah mereka yang terpedaya. Anda boleh melihat betapa agresifnya sebuah bank Islam tempatan yang dibeli sahamnya oleh pelabur dari Timur Tengah, begitu rancaknya mereka bersaing dalam arena "menyedut darah" masyarakat Islam di negara kita untuk memastikan keuntungan korporat mereka.

Baik konvensional atau islamik, manusia tetap diperhambakan oleh golongan bank ini, di sini kita boleh kategorikan dua jenis perhambaan perhambaan yang berlaku,

1) Perhambaan fizikal yang mana setiap bulan selama 20-30 tahun atau berapa tahun sekalipun tempoh pinjaman, peminjam akan menjadi pembayar yang setia kepada bank walaupun rumah yang mereka beli itu terbengkalai ataupun harganya jatuh. Jika bank itu sebuah perniagaan maka bank juga harus mengambil risiko kehilangan wang apabila projek terbengkalai atau harga rumah jatuh dengan memulangkan kembali wang lebihan bayaran selepas mengira harga rumah pada pasaran selepas tamat tempoh pinjaman. Ini tidak, terbengkalai ke, harga jatuh ke, Islam tak Islam, bayar sampai habis. Adakah ini suatu yang islamik atau sesuatu yang zalim atau menindas?

2) Perhambaan mental. Katalah anda mengambil pinjaman rumah dan kereta secara Islamik, setiap bulan anda ada komitmen untuk membayar ansuran kepada bank. Satu hari anda mendapati bos anda mengambil rasuah. Jika anda lapurkan kepada pihak atasan, bos kamceng dengan pihak atasan, nak lapur pada BPR, bos anda ini ahli politik ternama, jadi disebabkan anda takut kehilangan kerja yang mana bayaran ansuran bulanan rumah dan kereta akan tersangkut, kemungkinan besar anda hanya akan mendiamkan diri sahaja terhadap kemungkaran yang berlaku di depan mata. Tindakan anda pasti akan berbeza jika anda tiada apa-apa komitmen untuk dirisaukan. Ini hanyalah satu contoh kecil yang mana disebabkan hutang baik islamik atau tidak, ramai antara kita yang sanggup menutup mata dari menghukum kemungkaran. Bagi yang tidak beriman maka dia pun akan meneladani bosnya, bagi yang masih ada saki baki iman, maka hiduplah di dalam keadaan tertekan, stress dan sebagainya.

Sistem perbankan islamik diwujudkan selepas manusia bertahun-tahun hidup di dalam keadaan stress dan tertekan dengan sistem konvensional. Disebabkan sistem ekonomi ala barat ini semakin hari harga barang semakin meningkat (walaupun sebenarnya nilai wang itu sendiri yang menyusut), manusia terpaksa bersaing untuk mengumpul sebanyak wang yang mungkin untuk menampung kenaikan harga barang dan semakin hari semakin tertekan.

Apabila hidup di dalam keadaan tertekan, keadaan "fight or flight" mentaliti manusia menjadi lebih kepada kepentingan atau keselesaan individu (selfish) akan menyerlah berbanding dengan kepentingan kumpulan atau masyarakat. Contoh yang paling nyata amat jelas sekali di dalam kehidupan seharian kita, lihat bagaimana umat Islam kita solat berjemaah hari ini, masing-masing suka kepada keselesaan sendiri dan menjarakkan antara satu sama lain sedangkan Nabi sudah berpesan agar rapat antara satu sama lain ketika solat jemaah. Ini adalah antara kesan psikologi yang manusia tidak sedari sedikit demi sedikit telah mempengaruhi kehidupan dari segi tingkah laku dan perbuatan mereka, termasuklah dalam bab mencari kekayaan. Jadi mereka yang Islam dan mahu menjadi semakin kaya akan memutarbelitkan sistem perbankan dan mengislamkannya untuk memastikan duit mereka tidak hilang (kekal selesa), sedangkan wang itu sendiri bukanlah suatu untuk diniagakan, malah pada pendapat saya bank itu sendiri tidak perlu wujud sebenarnya. Jika perlu wujud sekalipun hanyalah sebagai badan untuk mejaga kepentingan seluruh umat manusia dan bukan sebagai alat atau mekanisme untuk memastikan kekayaan kepada golongan tertentu sahaja.

Hanya selepas 1100 tahun kedatangan Islam barulah wujud "makhluk" yang dinamakan bank, dan siapa yang mengasaskannya? Tidak lain adalah Yahudi yang mengawal ekonomi British dengan penubuhan Bank of England pada abad ke 17. Dan dunia Islam yang telah lama hidup dengan sistem riba' didikan barat ini hanya memutarbelitkan proses pinjaman dengan terma, nama, akad dan sebagainya sedangkan prinsip disebaliknya adalah sama. Jangan terkejut ada "Sheikh" British yang menentang sistem jajaan Yahudi ini, siapakah "sheikh" tersebut? Tidak lain beliau adalah William Shakespere menerusi karya klasiknya "Merchant of Venice". Ini antara bukti kristian pada awal kurun ke 17-18 juga amat menentang riba' akan tetapi sebab kawalan minda yang berkesan maka sedikit demi sedikit ianya lenyap dari kamus keagamaan mereka.

Jika kita lihat wang kertas itu sendiri, adakah nilai wang itu tersimpan di dalamnya? Adakah nilainya disandarkan kepada emas dan kita sebagai rakyat boleh pergi ke bank untuk menukarkan dengan emas? Mengapa inflasi tetap di dalam ekonomi? Mengapa nilai wang semakin hari semakin menurun? Jika wang di dalam sistem kewangan moden itu sendiri tidak wujud sebagai suatu yang nyata iaitu punyai nilai di dalamnya maka bagaimana kita boleh me"niaga"kan suatu yang tidak jelas itu?

Seperti yang telah saya ceritakan di dalam artikel Cerita Wang 1, barat menakluk hampir ke semua negara di dunia ini dan meninggalkan dua virus pemusnah manusia yang utama iaitu kerajaan sekular dan juga sistem perbankan barat. Kerajaan sekular adalah kerajaan yang menidakkan hukum Allah, apa yang diharamkan oleh Allah dihalalkan contohnya riba, judi dan arak. Virus kedua pula adalah sistem kewangan berasaskan riba. Dan apabila virus ini sudah menyelinap ke dalam salur darah masyarakat maka mereka hanya perlu memberi arahan jarak jauh "remote control" sahaja untuk mengawal sesuatu negara itu, tak percaya lihatlah hutang luar negara yang tak habis-habis dibayar dan sudah semestinyalah beserta dengan ribanya sekali.

Pada pendapat saya bank tidak sepatutnya diwujudkan sebagai perniagaan kerana wang bukanlah sesuatu yang sepatutnya diniagakan lebih-lebih lagi apabila nilai wang itu tidak berada di dalam wang itu sendiri. Nilai wang kita berada di dalam genggaman mereka yang mengawalnya iaitu Yahudi laknatullah dan amat sedih sekali berapa ramai pemimpin kita yang sedar akan keadaan ini?

Saya perhatikan di hospital kerajaan dengan hanya membayar RM1 sahaja kita sudah boleh mendapat rawatan doktor, maka timbul persoalan difikiran saya mengapa kerajaan tidak boleh memberi pinjaman tanpa riba atau tanpa faedah kepada rakyat dengan mewujudkan bank yang beroperasi sedemikian dan sebaliknya mengenakan jumlah sebenar kos perubatan kepada rakyat? Bukankah tekanan atau stress itu penyebab utama penyakit merbahaya di negara kita seperti sakit jantung dan darah tinggi yang mana jika dikaji kembali puncanya adalah dari wang. Dan apabila saya berfikir lagi saya mendapat jawapannya, kerana jika manusia tidak stress atau tertekan, mereka akan lebih sihat jadi industri perubatan swasta tidak boleh mengaut darinya. Jika kekal ikut cara biasa, dari bank boleh buat duit dan begitu juga dengan dari industri perubatan swasta, maka semakin cepatlah yang kaya akan semakin kaya dan yang miskin akan semakin miskin.

Seperkara lagi yang boleh difikirkan dalam bab menghalal atau mengharamkan sistem pinjaman islamik ini, cuba perhatikan apakah faedah yang akan didapati oleh mereka yang mencanangkan untuk menghalalkannya dan faedah bagi mereka yang mengharamkannya. Jika sistem perbankan islamik ini membayar gaji atau memberi pulangan dalam bentuk pelaburan kepada seseorang itu adakah dia akan membantahnya? Bak kata pepatah barat;
"Kamu tidak akan menggigit tangan yang menyuapkan makanan kepada kamu."
Cuba perhatikan pula mereka yang mencanangkan ianya haram. Adakah mereka akan mendapat faedah dari pengharaman tersebut? Sheikh Imran Hossein adalah antara ulama yang keras menentang cara yang diamalkan oleh perbankan Islam, apakah faedah yang akan beliau dapat dari usaha beliau? Pada pendapat saya apa yang akan diperolehinya adalah pahala yang teramat banyak dari Allah kerana beliau boleh "melihat" kemungkaran, kezaliman dan penindasan yang berlaku di sebalik sistem yang kononnya Islamik itu.

Saya memohon ampun dan maaf kiranya ada rakan-rakan yang marah atau terasa hati dengan artikel-artikel saya berkenaan riba terutamanya yang menyentuh berkenaan bank Islam. Saya banyak merantau dan apabila pergi ke negara-negara miskin terdetik di hati saya mengapa dunia jadi begini. Hasil dari pembacaan dan berfikir secara mendalam maka jawapan yang nyata kepadanya adalah sistem riba itu sendiri yang telah menakluk seluruh dunia dan memberi kuasa kepada pihak tertentu untuk mengawal dunia dari segenap aspek kehidupan termasuklah hingga ke tahap memastikan siapa pemimpin yang dipilih dalam pilihanraya sesebuah negara yang kritikal bagi memastikan keuntungan korporat mereka. Perhambaan fizikal telah lama berlaku akan tetapi perhambaan kewangan sedang memuncak dengan hebatnya dan sistem perbankan inilah mekanismanya.

Memang idea-idea dan pemikiran baru agak sukar diterima lebih-lebih lagi jika manusia perlu melakukan banyak perubahan dalam kehidupannya yang sudah selesa untuk menerima idea baru itu. Lihatlah apa yang terjadi kepada Galileo Galilei yang menyatakan bumi yang mengelilingi matahari sedangkan pihak gereja dari rujukan kitab Bible telah mem"fatwa"kan sebaliknya. Pada tahun 1633 beliau dibicarakan dan dijatuhkan hukuman tahanan rumah atas tuduhan mendustakan agama. Begitu hebat sekali tentangan yang dihadapinya, beliau menjadi buta dan mati pada tahun 1642, hanya selepas 370 tahun kematiannya baru pihak gereja meminta maaf atas layanan yang dikenakan terhadap Galileo. Begitu jugalah dengan Islam yang ditentang hebat semasa mula disebarkan oleh Nabi SAW.

Haramnya pinjaman perbankan islam ini adalah untuk saya dan keluarga. Ini bukan "fatwa" untuk diikuti oleh rakan-rakan sekalian. Akan tetapi jika artikel-artikel saya ini mampu memberi ketukan diminda rakan-rakan agar kembali memikirkan betulkah halal seperti apa yang dicanang-canangkan oleh perbankan islam, itu sahaja sudah cukup bagi saya untuk bersyukur kepada Allah dan berpuas hati dari usaha yang tidak seberapa ini. Moga ianya menjadi titik permulaan pemikiran baru di kalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi generasi baru iaitu adik-adik dan anak-anak yang masih belum merasai "nikmat" meminjam dan memberi pinjaman. Agak sukar untuk menerima dan berubah bagi mereka yang sudah cukup selesa dengan cara lama, kecuali jika dibuka hati mereka oleh Allah untuk menyedarinya.

Marilah bersama merenung kembali tujuan sebenar perbankan itu sendiri, adakah untuk membantu umat islam atau mengambil kesempatan ke atas kejahilan umat Islam itu sendiri.
“Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.”
(Surah 30, AR RUM : ayat 39)

Manusia akhir zaman tidak lagi percaya bahawa rezeki mereka sebenarnya datang dari Allah, maka mereka menggunakan akal pendek mereka untuk memastikan harta mereka bertambah dengan pelaburan walaupun ianya menindas manusia hatta dengan label islamik sekalipun. Apa yang saya coretkan di sini hanyalah membawa pemikiran baru, terpulang kepada anda untuk menerimanya, sekurang-kurangnya tanggungjawab saya untuk menyampaikan sudah selesai, Alhamdulillah. Saya hanya ingin membina minda yang bebas dari perhambaan kewangan baik yang islamik atau tidak. Tepuk dada tanya iman dan berfikirlah sama ada anda akan diperhambakan atau tidak dengan sistem kewangan moden ini. Bukan hak saya untuk menghalang, apa yang saya lakukan hanyalah berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.




1 ulasan:

  1. Semua ini bergantung kepada niat. Macam orang nak pinjam kereta kita sebab terdesak takde kenderaan. Dia pulak taknak jalan kaki sebab malu orang tengok. Kalau kita syaratkan dia tuang minyak dah riba hukumnya. Tapi kalau kita kata aku harap kau kasihanlah kat ank- ank akupun nak pakai kereta. Jagalah elok-elok kereta aku tu. Lalu orang yang meminjam tadi atas rasa terima kasih, dia sendiripun tuang minyak dan repair kebetulan ada part yang rosak masa dia pakai. Zaman sekarang tak semua orang berhutang beli rumah dan kereta atas keperluan dan terdesak. Ada orang beli rumah dan kereta ikut citarasa dan mereka mampu bayar hutang tu. Kalau bank bagi pinjam sesaja, institusi itu pulak akan bankrap dan tak dapat membantu ramai orang. Lalu diwujudkan perbankan Islam yang lebih berhemah.

    BalasPadam