السلام عليكم
بِسْمِ ٱللَّهِ
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
*Pesanan
: Belajarlah menghabiskan pembacaan sehingga titik akhir. Itu ciri manusia
berguna.
BERIMAN
kepada hari kiamat adalah satu daripada rukun Iman yang wajib diperakukan
kebenarannya, manakala mengingkarinya bererti seseorang itu terkeluar daripada
Islam.
Firman
Allah yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang,
tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan
membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang berada dalam kubur.”
(Surah
22, AL-HAJ : ayat 7)
Maha
besar kebijaksanaan dan keesaan Allah yang merahsiakan tarikh sebenar berlakunya
hari kiamat. Keadaan ini untuk memastikan manusia itu sentiasa bersedia untuk
menghadapi saat getir itu.
Firman
Allah yang bermaksud:
“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala
yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan ia
mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun
melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan
bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis
di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”
(Surah
6, AL AN’AM : ayat 59)
Bagaimanapun,
jika dilihat dalam beberapa hadis Rasulullah berkenaan hari kiamat, terdapat
beberapa tanda yang dijelaskan Baginda.
Antaranya
menerusi sabda Rasulullah: Dari Huzaifah al-Ghifari r.a berkata, sewaktu kami
sedang berbincang, tiba-tiba datang Rasulullah kepada kami lalu bertanya:
“Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?”
Lalu
kami menjawab: “Kami sedang berbincang mengenai hari kiamat.” Sabda Rasulullah saw :
“Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat
sepuluh tanda: Dukhan (kabut asap), Dajjal, Dhab al-Ardh (binatang melata yang
boleh berbicara), matahari terbit dari barat, turunnya Isa, munculnya Yakjuj Makjuj
dan tiga gerhana, gerhana
di timur, barat dan Semenanjung Arab dan terakhir api yang keluar dari Yaman
yang akan menghantar manusia ke Mahsyar.”
(Hadis
Riwayat Muslim)
Catatan : gerhana atau gempa bumi(mohon pencerahan)
Hakikatnya
hari kiamat itu pasti datang ‘menerjah’ manusia yang semakin asyik dengan
keseronokan dunia yang penuh dengan helah dan tipu daya.
Sabda
Rasulullah yang bermaksud:
“Aku diutus, sedangkan antara aku dan hari kiamat adalah seperti
ini,” sambil Baginda menyandingkan antara jari telunjuk dan jari tengah.”
(Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebagai
umat Islam yang beriman kepada hari Kiamat, seharusnya kita sedar bahawa semua
yang berkaitan dengan perkara ghaib adalah di luar kemampuan akal manusia untuk
mentafsirkannya.
Setiap
sesuatu yang tidak pernah langsung dinyatakan dalam al Quran dan hadis haruslah
ditolak sekeras-kerasnya supaya keimanan kita kekal utuh.
Allah
jelas menerangkan perkara berkaitan hari kiamat menerusi firmanNya dalam al Quran
yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat:
“Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya
hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan
kedatangannya pada waktunya melainkan Dia.
“(Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan
makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu
melainkan secara mengejut.” Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia
mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari Kiamat itu
adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah
7, AL A’RAF : ayat 187)
Semestinya,
sesuatu yang mustahil bagi manusia membuat kiraan untuk mengetahui tarikh
sebenar bila berlakunya hari kiamat.
Gambaran
Hari Kiamat
·
Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala
(bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati
kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun
mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri
·
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun
berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang
menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang
Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya
sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
·
Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s.
dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh
makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang
Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
·
Sekelian manusia hidup melalui benih anak
Adam yang disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka.
Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
·
Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam
keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati
mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka
hadapi kelak.
·
Lalu datanglah api yang berterbangan dengan
bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat
perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak
amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan
isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
·
Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari
dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa
cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
·
Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan
bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT.
Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang
menakutkan.
·
Kemudian matahari muncul semula dengan
kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal
dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti
keadaannya naik di hari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur
dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh
sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung
pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
·
Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad
SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang
mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya.
Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi
empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari
kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia
mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
·
Semua makhluk berada bawah cahaya matahari
yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
1- Pemimpin yang adil.
2- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
3- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
4- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
5- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah.”
6- Lelaki yang bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
7- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
·
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang
mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman,
kemudian mereka terdengar suara “Pergilah berjumpa dengan para Nabi.” Maka
mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini
berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s
menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan
besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa
a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan
akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan
yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
·
Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke
hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
·
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang
yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan
turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang
malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil
bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba di bumi.
·
‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar
berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa
dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia
seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di
dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
·
Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di
hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi
lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin di tengah padang. Dalam bahasa mudah ia
umpama singgahsana yang terletak di hadapan istana.
·
Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana
takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan
masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan
tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini
telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
·
Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan
pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin
mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
·
Umat yang pertama kali dihisab adalah umat
Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan
hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
·
Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab
amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya
mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika
orang bukan mukmin.
·
Semua makhluk akan dihisab amalan mereka
menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang
yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan
yang gelap untuk menimbang dosa.
·
Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW
dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
·
Perkara pertama yang diminta ialah Islam.
Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan
buruk tetap akan ditimbang.
·
Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri,
tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah
tipuan. Semua akan diadili oleh Allah Taala dengan Maha Bijaksana.
·
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar
dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang
sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya
menyeberangi titian sirat.
·
Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
1- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
2- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
3- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
·
Para nabi dan rasul serta golongan khawas
juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut
mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan
mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
·
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula
berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah
jambatan (titian) yang terbentang di bawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah
seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang.
Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
·
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat
memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun
menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang
binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan
api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
·
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat
mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya
seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam
neraka.
Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani.
Pustaka Nasional Singapura 2004.
Jika
sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada
sahabat-sahabat yang lain. Seperti mana sabda Rasulullah SAW: Sampaikanlah
pesananku walaupun satu ayat. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam
itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1.
Sedekah/amal jariahnya.
2.
Doa anak-anaknya yang soleh.
3.
Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya
kepada orang lain.
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan