Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 28 Mei 2014

R 48 : RIBA VERSI 1

Sebelum Islam

A.    Pengertian riba

Menurut bahasa atau makna asalnya ialah bertambah. Sebagai contoh terdekat, satu
ringgit menjadi dua ringgit. Terdapat dua jenis riba iaitu Riba Fadhal dan Riba Nasia’ah


B.    Riba dalam agama Yahudi:

Iman Al-Hafiz Ibnu Kathir r.a telah menafsirkan ayat berkata ‘Allah telah melarang mereka (orang-orang Yahudi) daripada mengambil atau memakan riba. Sekalipun dilarang, mereka mengambilnya dan memankannya. Mereka mencari pelbagai alasan dan helah untuk halalkan dan akhirnya mereka memakan harta orang lain secara batil.
Orang Yahudi telah memutar belitkan dalil-dalil dengan mengatakan bahawa riba yang dilarang itu hanyalah sesama Yahudi. Berurusniaga dengan bukan Yahudi melalui riba adalah tidak salah sama sekali bagi mereka orang Yahudi.
Dengan itu, jelaslah dari firman Allah SWT bahawa Allah sebenarnya sudah melarang kaum Yahudi daripada mengamalkan riba melalui kitab Taurat. Orang-orang Yahudi menyalahi perintah Allah, mereka menukar kalimat yang terdapat di dalam kitab Taurat itu.

C.    Riba zaman Jahiliah

Mereka anggap riba sebagai sesuatu yang menguntungkan bagi ahli perniagaan pada zaman berkenaan.
Bagi sesiapa yang tak mampu bayar hutang, jadi hutang itu akan bertambah dari masa ke semasa mengikut tempoh yang mereka tetapkan. Contoh: hutang RM100, maka hutang akan datang bertambah sehingga RM200 dan begitulah selanjutnya. Penambahan ini dalam erti kata lain disebut sebagai ‘bunga’.
Riba pada zaman berkenaan dianggap sebagai sesuatu perkara yang biasa dalam urusan seharian mereka. Sesungguhnya orang yang kaya atau mempunyai banyak harta sama sekali tidak peduli pada orang yang meminjam itu rugi, bertambah miskin atau sebagainya.

Riba Menurut Islam

A.    Ayat-ayat yang melarang riba

Menurut Firman Allah, sesiapa sahaja yang mengamalkan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya seseorang yang dirasuk disebabkan penyakit gila. Bagi mereka yang mengulangi perbuatan riba maka orang itu adalah penghuni api neraka dan mereka kekal buat selamanya.

B.    Hadis-hadis yang melarang riba

Rasulullah saw menjelaskan ini semua melalui beberapa hadis supaya umatNya berhati-hati serta berwaspada betapa hebatnya fitnah atau pengaruh harta dalam kehidupan seseorang.
Daripada Abu Juhaitah, Rasulullah saw melarang sekeras-kerasnya umatnya mengambil wang dari hasil penjualan darah, anjing dan pendapatan hamba sahaya.

C.    Riba Fadal

Tidak boleh memperjual-belikan keduanya (tukar-menukar) kecuali secara sama. Contoh berdasarkan hadis, pertukaran emas dengan emas semuanya mesti sama banyak dan sama-sama menyerahkan. Kalau berlainan jenis, berjual belilah sesuka hati, asalkan secara tunai dengan tunai.

Menurut ulama zahiriah, emas, perak, al-burr (sejenis gandum), al-sya’ir (gandum), tamar dan garam sahajalah yang dianggap sebagai barang ribawi. Barangan ribawi membawa maksud barang-barang yang dianggap sebagai riba.

D.    Hukum riba

Imam Nawawi r.a berkata: ‘Ijmak (sependapat) riba adalah haram. Tetapi terdapat perbezaan pendapat tentang takrif serta huraiannya.
Barang-barang yang dianggap ribawi atau sama illat dengan emas dan perak adalah setiap barang yang mahal harganya.
Ulama bukan zahiriah pula berpendapat barang ribawi termasuk barang lainnya yang sama illat. Namun para ulama juga berbeza pendapat mengenai illat.

E.    Hikmah diharamkan riba

Riba mengandungi unsur penindasan atau dalam erti kata lain adalah kezaliman, penipuan dan sama sekali bertentangan dengan cara Allah.

F.    Riba Nasi’ah

Zat atau modal sesebuah harta. Sebagai contoh pada zaman jahiliah, seseorang itu akan meminjamkan hartanya kepada orang lain dan bila dah tiba waktu yang ditetapkan, dia akan ambil keuntungan daripada si peminjam dalam kadar tertentu. Apabila tiba masanya, si pemilik akan menarik hartanya. Jadi si peminjam perlu mengembalikannya atau membayarnya. Jika tidak sanggup, ianya boleh ditangguh tetapi bunga akan bertambah mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat di antara para ulama mengenai riba fadal. Memang tak syak lagi sesungguhnya riba nasi’ah memang haram di sisi Islam tetapi timbul kecelaruan pendapat mengenai riba fadal. Namun kesimpulannya riba nasi’ah dan riba fadal adalah haram.

G.    Jual beli secara Al-‘Inah

Jual sesuatu barang dengan cara berhutang, kemudia barang berkenaan diserahkan kepada pembeli. Seterusnya si penjual membeli barang berkenaan sekali lagi dengan harga yang lebih murah sebelum si pembeli melangsaikan hutang.
Hukumnya sudah semestinya haram. Imam Malik bin Anas,Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan segelintir pengikut Imam Syafie berpendapat jual beli secara Al-‘Inah adalah haram.
Sebagai contoh, si A menjual sebiji kereta bernilai RM15,000 kepada si B secara hutang selama setahun. Kemudian, si A membeli semula kereta berkenaan dari si B dengan harga yang lebih murah iaitu RM10000 secara tunai namun wang yang RM15000 itu tetap menjadi hutang si B.

Tukar Menukar Yang Dibolehkan

A.    Boleh berlebih dan Kurang

1.    Benda yang tidak sama Illat: Para ulama sependapat penjualan barang ribawi secara berlebih atau berkurang dibolehkan kalau tidak sama Illat. Contoh: antara emas dengan gandum. Contoh: boleh menukarkan dua gram emas dengan dua kilo gram gandung. Tetapi ia mestilah dilaksanakan secara tunai.

2.    Yang tidak disukat atau ditimbang: terdapat perbezaan pendapat mengenai boleh atau tidak menjual haiwan dengan haiwan melalui nasi’ah. Maksudnya, haiwan berkenaan ditukarkan dengan haiwan yang lain tetapi, kemudiannya haiwan yang lain itu seterusnya diberikan dan iaitu dalam bentuk yang besar atau lebih banyak daripada yang asal. Menurut kebanyakan ulama hukumnya boleh menukar akan haiwan dengan haiwan lain walaupun haiwan yang lain itu kemudiannya diberikan haiwan yang lebih besar atau lebih banyak.
Jika menjual seorang hamba dengan dua yang lain tetapi dengan melaui hutang timbul perbezaan pendapat di antara ulama. Tetapi itu hanya pendapat, riwayat para tabiin telah menunjukkan boleh dilaksanakan urusan sedemikian walaupun dengan cara berhutang.

B.    Tukar-menukar barang

•    Ini juga termasuk penukaran emas dengan emas, perak dengan perak atau sebagainya melalui timbangan. Menurut Imam Malik r.a, menjual emas dengan emas dan menjual mata wang dengan mata wang adalah tidak dilarang.
•    Sudah sedia maklum bahawa masyarakat sangat memerlukan penukaran mata wang. Oleh sebab itu, Islam membolehkan penukaran mata wang serta menggariskan peraturannya.

C.    Cara menghindari perkara syubahat


•    Orang muslim harus melakukan perkara yang diwajibkan dan meninggalkan segala yang makruh serta mengerjakan perkara sunat. Perkara syubahat adalah perkara yang tidak jelas halal mahupun haramnya Sesuatu perkara atau perbuatan itu.

Fatwa-fatwa Tentang Riba Zaman Moden

1.    Hukum wang kertas

Pertama: Asal mata wang adalah emas serta perak, begitu juga mengenai illat atau sebab berlakunya riba adalah kerana harganya mengikut pendapat yang lebih kuat. Ulama-ulama turut berpendapat bahawa yang dianggap barang berharga bukan sahaja emas mahupun perak tetapi termasuk juga benda berharga yang lain.

Pada masa kini wang kertas sudah menjadi barang yang berharga dan nilainya menepati emas dan perak dalam berurus niaga. Memandangkan sebab berlakunya riba pada emas dan perak adalah disebabkan harganya, sedangkan wang kertas kini amat berharga, maka disebabkan itu majlis fatwa telah menetapkan bahawa wang kertas ada nilainya yang tersendiri pada zat atau bendanya.
Hukumnya setaraf dengan emas serta perak. Hukum yang dimkasudkan termasuklah wajub mengeluarkan zakat bagi mereka yang menyimpan wang kertas.

Kedua: Wang kertas turut dianggap sebagai pelbagai jenis yang berlainan. Ianya berlainan kerana berlainan Negara yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, dollar Amerika manakala Malaysia menggunakan istilah Ringgit Malaysia yang mewakili nilai yang berbeza. Satu dollar Amerika tidak sama dengan satu Ringgit Malaysia. Sebagai kesimpulan mengenai wang kertas, para ulama telah menyimpulkan:

•    Wang kertas sesama wang kertas tidak boleh dijual beli. Contohnya, tidak boleh menjual riyal Saudi dengan dollar Amerika.

•    Tak boleh tukar wang yang sama (contohnya: dollar dengan dollar) secara berlebih kurang. Ianya mesti sama, contohnya sepuluh dollar mesti dibayar dengan sepuluh dollar. Perlu sama dan dilaksanakan dengan tunai.

•    Boleh juga dijual sebahagiannya dengan sebahagian lagi, yakni tidak sama jenis dengan nilainya asalkan ianya dilaksanakan dengan tunai. Boleh menjual ringgit Malaysia dengan riyal Saudi secara berlebih dan berkurang. Contohnya, boleh menjual satu dollar dengan tiga riyal Saudi asal dilakukan secara tunai. Selain itu, boleh juga menjual satu riyal Saudi (wang perak) dengan empat riyal Saudi (wang kertas) asalkan dijalankan secara tunai.

Ketiga: Zakat wajib dikeluarkan bagi pemilik wang kertas apabila niali atau harga wang berkenaan sudah menyamai atau melebihi nisab emas atau perak.

2.    Menukarkan wang

Haram hukumnya menukarkan duit berpisah dengan orang yang menjual wang berkenaan sebelum serah terima wang itu.

Rasulullah saw bersabda:

“Setiap syarat yang tidak disebutkan dalam kitab Allah adalah batil, walaupun ada seratus syarat. Ketentuan Allah lebih benar dan syarat yang ditetapkan Allah lebih tepat.”

3.    Bekerja di Bank

Tidak menyimpan wang di bank dengan tujuan mendapatkan faedah atau bunga, kerana wujudnya unsur riba. Bukan sahaja di bank, bahkan institusi lain pun tidak boleh menyimpan wang jika wujud unsur riba.

4.    Membeli saham bank

Tidak boleh sama sekali menjual atau membeli saham kerana ianya dianggap sebagai menjual wang dengan wang tanpa memenuhi syarat-syarat Islam. Ia juga dilarang adalah kerana dianggap menolong menguatkan institusi bank berkenaan.

5.    Keuntunggan yang diberikan bank

Keuntunggan berkenaan dianggap sebagai riba. Wang berkenaan tidak halal digunakan sama sekali walaupun digunakan istilah “keuntungan”.

6.    Meminjam wang dari bank

Hukumnya haram meminjam emas, perak mahupun wang dari orang lain dengan syarat pinjaman itu dipulangkan lebih daripada pinjaman asal. Tidak kira berurusan secara perseorangan atau dari bank. Bank yang menyediakan pinjaman berkenaan dikatakan bank ribawi.

7.    Mengambil manfaat dari wang yang dipinjamkan.

Haram hukumnya, jika ada orang yang member pinjaman dan meletakkan pelbagai syarat yang bermacam-macam ini sudah terkeluar dari tujuan asal pemberian pinjaman. Kerana sudah ditakrifkan pinjaman pada asalnya merupakan satu bentuk bantuan kepada sesorang yang memerlukan bantuan. Memberi pinjaman merupakan perbuatan terpuji di sisi Allah SWT.

Kesan Riba Dan Mudaratnya

1.    Sesungguhnya riba mengubah cara kita berfikir dan bakal merosakkan akhlak seseorang Muslim.

2.    Selain itu, riba dapat merosakkan masyarakat dan ekonomi masyarakat sekeliling. Ini dikatakan bahaya adalah kerana sistem riba melibatkan pinjam meminjam yang tidak betul. Terdapat beberapa jenis pinjaman: -

•     Peminjaman oleh individu yang sangat memerlukan untuk menutupi kesusahan hidup mereka. Golongan-golongan seperti ini, kalau sudah terperangkap dengan orang yang mengamalkan riba, sudah pasti tidak akan terlepas sepanjang hayat. Ini kerana, mereka mungkin tidak sanggup membayar hutang berkenaan kerana hutangnya akan terus bertambah.

•    Pinjaman oleh seseorang pemerintah dari Negara lain bagi pembangunan Negara. Kesusahan atau akibatnya bakal ditanggung masyarakat. Begitu jugalah pinjaman yang diterima Negara miskin dari Negara yang kaya, maka yang bakal menanggung akibatnya adalah rakyat sesebuah Negara itu sendiri.

•    Riba boleh menjadikan seseorang itu pemalas. Ini adalah kerana orang kaya dapat menyimpan wangnya di dalam bank dan dia boleh mengambil faedahnya, dengan itu dia tidak perlu bersusah payah mencari rezeki.

•    Riba juga boleh meningkatkan kadar pengganguran dalam kalangan masyarakat.

•    Harta kaum muslimin yang disimpan oleh musuh mereka. Ini adalah yang paling malang sekali dan membahayakan umat Islam. Wang yang kita simpan pada orang kafir sudah pasti mereka dapat memperkukuhkan ekonomi mereka.

•    Orang yang memakan atau memberi riba akan diperangi oleh Allah serta Rasul-Nya.

•    Mereka bakal dilaknat. Dalam hadis telah dinyatakan bahawa Nabi saw melaknat golongan yang memakan riba, penerima riba, orang yang menjadi juru tulis dan saksinya. Menurut hadis berkenaan, semua golongan yang dinyatakan adalah sama.

•    Golongan yang mengamalkan riba akan disiksa setelah mereka mati kelak, yakni mereka akan disuruh berenang di sungai darah yang merah. Mulut mereka bakal dilempar dengan batu. Ada hadis mengatakan bahawa Malaikat Jibril berkata: “Orang yang engkau lihat berenang di sungai darah itu wahai Muhammad adalah orang yang memakan riba.”

•    Perbuatan riba membawa kepada kebinasaan. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah tujuh perkara yang menyebabkan kebinasaan.” Lalu Rasulullah menjelaskan “Menyekutukan Allah, mengamalkan sihir, menghilangkan nyawa orang lain yang diharamkan membunuhnya (kecuali yang boleh dibunuh), memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan dan menuduh wanita mukminah dan terpelihara mengerjakan zina.”

•    Orang yang memakan riba tidak akan diterima doanya sama sekali. Hatinya turut menjadi keras dan tertutup dari kebaikan.

•    Golongan yang memakan riba itu dianggap zalim, sesungguhnya kezaliman akan menimbulkan kegelapan ketika hari kiamat. Melalui firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 42 dan 43 yang bermaksud:

“Dan janganlah sekali-kali engkau (Muhammad) menyangka bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata mereka terbeliak. Mereka datang tergesa-gesa memenuhi panggilan dengan mengangkat kepala mereka, sedang mata mereka tidak berkedip dan hati mereka kosong.”
(Surah 14,  IBRAHIM : ayat 42 dan 43)

•    Selain itu, riba membunuh menghapuskan perasaan kasih sayang yang ada dalam diri seseorang.

•    Riba kadangkala menyebabkan permusuhan di antara satu sama lain dan juga saling bermusuhan dalam kalangan masyarakat sekeliling.

•    Bukan itu sahaja, riba juga mungkin menjerumuskan manusia ke arah kebinasaan dan kesusahan sehingga golongan seperti ini tidak dapat menanggungnya. Terlalu banyak mudarat atau kesan buruknya dan sukar untuk diterangkan satu per satu.

Sesungguhnya kita hanya perlu yakini bahawa Allah tidak akan melarang sesuatu itu jika tiada mudaratnya terhadap kita hamba Allah.

•    Hati seseorang yang memakan riba akan terhalang daripada berbuat sesuatu kebajikan dan pupus sifat kemanusiaan dalam diri.

Penutup

Kesimpulannya buku ini terdapat:

1.    Disebutkan sikap atau penetapan orang-orang Yahudi mengenai riba. Sesungguhnya Allah mengharamkan riba kepada mereka golongan Yahudi, tetapi mereka tetap mencari helah untuk menghalalkannya.

2.    Terdapat banyak dalil-dalil yang melarang riba. Dalil-dalil ini memang tidak boleh tidak dipertikaikan kesahihannya.

3.    Islam melarang riba, namun sebagai pegantinya Allah menghalalkan jual beli dan perniagaan yang halal di sisi Islam.

4.    Ditunjukkan nas yang menyeru kita meninggalkan perkara-perkara syubahat. Manusia yang terlibat dengan perkara syubahat membawa mereka jatuh kepada perkara yang haram.

5.    Buku ini turut menerangkan kesan, mudarat serta bahayanya riba terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

6.    Selain itu, dinyatakan apa sebab riba itu diharamkan. Terdapat banyak hikmah dalam setiap perintah dan larangan Allah SWT. Tetapi tidak semestinya kita perlu tahu segala hikmah di sebalik sesuatu. Jika kita mengetahui sesuatu hikmah, bermaksud itu adalah ilmu tambahan buat kita manusia.

7.    Tidak boleh berurusan dengan bank yang mengamalkan riba mahupun bekerja di bank berkenaan.

8.    Dapat juga kita memperingatkan diri supaya tidak menyimpan wang di bank yang mengamalkan riba.


Ya Allah terlalu berat tanggungan dosa hambaMu ini. Ya Allah, aku mohon keampunan dan perlindunganMu dari segala-galanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan