Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 26 Mei 2014

R 25 : TAGHUT

Satu istilah yang aku pasti ramai di antara kita yang tidak pernah mendengar apatah lagi faham apakah yang dimaksudkan dengan Taghut sedangkan Allah S.W.T ada berfirman mengenainya beberapa kali di dalam beberapa surah di dalam kitab Agung al Quran sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah An-Nisa’, ayat ke-60 seperti berikut:

Maksudnya: Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.”

Umat manusia seluruhnya adalah keturunan Nabi Adam a.s dan selaku keturunannya kita semua diwajibkan patuh dan turut akan segala perintah Allah S.W.T di atas muka bumiNya. Setiap umat di atas muka bumi Allah S.W.T yang luas ini telah diutuskan rasul-rasul (jumlah seluruhnya adalah 313 dan kita hanya wajib mengetahui sebanyak 25) supaya diberikan peringatan kaumnya untuk beriman hanya kepada Allah S.W.T dan meninggalkan Taghut. Perkara ini diterangkan sejelas-jelasnya di dalam al Quran di dalam Surah An-Nahl, ayat ke-36 seperti berikut:

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut.“ Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”

Daripada ayat-ayat di atas, dapat kita ketahui sesungguhnya Allah S.W.T menghina dan mencerca para Taghut dan memerintahkan umat manusia seluruhnya menjauhkan diri daripada Taghut dan Allah S.W.T menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menjauhkan diri daripada Taghut sepertimana diterangkan di dalam surah Az Zumar ayat ke-17 seperti berikut:

Maksudnya: Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu.”

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan menolak sebulat-bulatnya Taghut dan mempercayai keesaan itu hanya milik Allah S.W.T?
Menolak sebulat-bulatnya Taghut bererti mempercayai bahawa menyembah selain daripada Allah S.W.T itu adalah satu perbuatan yang sia-sia, tidak akan bertoleransi walau sedikitpun akannya dan membencinya dan menyatakan kebencian terhadap mereka yang membuat sebaliknya. Manakala mempercayai keesaan itu hanya milik Allah S.W.T adalah mempercayai yang sesungguhnya Allah S.W.T sahajalah Tuhan yang sepatutnya disembah dan menolak yang selain daripadaNya. Segala ibadah yang anda lakukan adalah ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T  serta menolak segala apa bentuk penyembahan selain daripadaNya. Selain menunjukkan belas kasih dan sayang kepada semua umat Islam seluruhnya dan menunjukkan rasa tidak suka kepada mereka yang mengamalkan perkara-perkara syirik dan yang bertentangan dengan Allah S.W.T. Inilah agama Ibrahim dan sesiapa yang berpaling daripadanya adalah mereka-mereka yang hanya memperbodohkan diri mereka sendiri. Hal ini adalah bertepatan dengan apa yang difirmankan Allah S.W.T di dalam surah Al Mumtahanah, ayat ke-4 seperti berikut:

Maksudnya: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata”, tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu”. (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!

Apakah makna sebenar Taghut dan kategori-kategorinya?
Perkataan Taghut itu secara umumnya adalah menyembah sesuatu selain daripada Allah S.W.T dan berbangga dengan apa yang disembahnya. Taghut itu adalah semua hamba Allah yang melampaui batas dan meletakkan dirinya pada tempat yang melebihi daripada sepatutnya sebagai seorang hamba dan makhluk. Misal Taghut adalah sebahagian kaum bergelar ‘Tok Guru’ atau ‘Ustaz’ kemudian meletakkan dirinya seumpama Nabi atau Rasul, mengajar kepada manusia ibadat-ibadat yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w dan al-Salaf al-Soleh atau kaum Pemerintah yang memerintah tidak menurut hukum syarak dan mereka ini semua termasuk dalam kepala Taghut kerana kedua-dua jenis kaum ini tidak berhukum dengan hukum Allah S.W.T.
Ciri-ciri utama Taghut dalam kalangan manusia ini adalah mereka suka menukar-nukar hukum Allah dan RasulNya, yang halal dikatakan haram, yang haram dihalalkan, yang sunnah dibidaahkan dan yang bidaah disunnahkan atau di’hasanah’kan dan seumpamanya.
Kategori-kategori Taghut itu ada 5 iaitu;
1) Iblis Laknatullah yang sentiasa mengajak manusia menyembah selain daripada Allah S.W.T. Benarlah kata-kata Allah S.W.T di dalam kitab Agung Al-Quran di dalam surah Yasin, ayat ke-60 seperti berikut:

Maksudnya: ”Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

2) Pemerintah yang zalim dan menindas yang menukar hukum Allah S.W.T. Bukti untuk ini Allah berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat ke-60:

Maksudnya: Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.

3) Orang yang berhakimkan selain daripada apa yang diturunkan Allah S.W.T, dan bukti untuk ini adalah firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Ma’idah ayat ke-44:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

4) Orang yang mendakwa mempunyai pengetahuan tentang perkara-perkara yang ghaib, selain dari Allah S.W.T. Bukti untuk ini Allah berfirman di dalam surah Al-Jinn ayat ke-26 dan 27:


Maksudnya: ”Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, -

Maksudnya: Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).
Dan Allah S.W.T turut berfirman di dalam surah Al-’An-am ayat ke-59:


Maksudnya: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja ; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

5) Menyembah selain daripada Allah S.W.T, dan gembira bahawa dirinya  yang disembah. Bukti untuk ini Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-’Anbya’ ayat ke-29:

Maksudnya: Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: “Sesungguhnya aku ialah tuhan selain dari Allah”, maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya dengan (azab) neraka jahanam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan