Seorang
lelaki dari umat Nabi Musa suka melakukan kerja-kerja fasik dan tercela.
Penduduk kampung itu sudah tidak tahan lagi dengan sikap serta perbuatannya
lalu mengadu kepada Nabi Musa. Berdoalah Nabi Musa kepada ALLAH SWT setelah
buntu bagaimana untuk mengatasi masalah lelaki ini. Maka ALLAH SWT pun mewahyukan
kepada Nabi Musa agar lelaki ini dibuang daerah dan dibawa ke tempat yang sunyi
yang tidak berpenghuni.
Setelah
beberapa hari lelaki ini bersendirian, tiba-tiba ia diserang penyakit. Oleh
kerana ia keseorangan dan tiada siapa untuk mengadu, maka mengadulah ia kepada ALLAH SWT katanya, “Ya Tuhanku! Jika ibuku ada di sisiku, sudah pasti ia
tetap menyayangiku dan jika ayahku, sudah pasti ia akan menolong memandikan dan
mengkafanku. Jika isteriku berada bersamaku, sudah tentu bercucuran air matanya
melihatkan saat-saat perpisahan aku dengannya dan jika anak-anakku juga bersama
sudah tentu mereka akan mendoakan aku, ‘Ya Allah! Ampunilah segala dosa ayah
kami, sesungguhnya dia di dalam keadaan putus asa tetapi janganlah Engkau
putuskan RahmatMu darinya.’
Selesai
dari pengaduannya itu, maka lelaki ini pun mati.
ALLAH SWT pun mewahyukan kepada Nabi Musa, “Wahai Musa! Pergilah kamu ke tempat pembuangan
lelaki dulu kerana di sana ada seorang waliKu telah meninggal.”
Setibanya
di sana, Nabi Musa melihat ada bidadari serta malaikat sedang mengelilingi
sesuatu. Setelah Musa melihat lelaki yang dimaksudkan ini ia menjadi hairan
lalu bertanya kepada ALLAH SWT, “Bukankah lelaki ini yang Engkau murkakan dahulu?”
Firman ALLAH SWT, “Benar wahai Musa tetapi aku amat kasihan kepadanya kerana
rintihan penderitaannya sedang ia berjauhan dari keluarga pula. Oleh itu Aku
kirimkan bidadari dan juga malaikat untuk menghiburkan hatinya. Wahai Musa!
Jika seseorang yang tidak berkeluarga mati, maka semua penghuni langit dan bumi
akan sama-sama bersedih kerana kasihan kepadanya. Sebab itu bagaimana mungkin
Aku tidak kasihan kepadanya sedangkan Akulah Zat Yang Maha Pengasih dan Penyayang
dari segalanya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan