Apa itu wang? Satu soalan yang si
bertanya akan dipandang sinis oleh yang ditanya. Walaupun manusia tahu apa itu
wang tetapi boleh dikatakan majoriti tidak mengetahui apakah sebenarnya fungsi
wang itu dan apakah cirri-ciri yang wajib ada pada wang tersebut untuk
membolehkan ianya diterimapakai dengan tidak bercanggah baik dari segi moral
mahupun dari segi keagamaan. Konsep wang itu sendiri disalah erti dan tidak
diendahkan menyebabkan ianya menjadi "senjata" oleh mereka yang memahami
dan mengawalnya untuk dimanipulasi lantas menghambakan manusia secara tanpa
sedar, sama ada dengan cara membuatkan manusia itu cintakan wang (bertuankan
wang) mahupun dengan menindas melalui aplikasi bunga/riba.
Manusia dahulu kala tidak tahu apa itu wang. Ekonomi
manusia dahulu kala berdasarkan konsep gotong-royong yang mana mereka
bekerjasama bertani atau memburu untuk mendapatkan makanan. Semuanya berjalan
dengan konsep muhibah dan tolong menolong. "Stress" memikirkan wang
atau duit tidak pada mereka seperti yang dialami oleh manusia zaman moden,
mungkin sebab itu juga manusia dahulu boleh hidup berates-ratus tahun lamanya
seperti cerita di dalam al Quran (Surah 29, Al-Ankabut : ayat 14).
Apabila manusia semakin bertamadun, keperluan terhadap
kepelbagaian keperluan dan kehendak, manusia berubah kepada sistem bertukar-tukar
barang atau apa yang dipanggil sistem "barter," akan tetapi
disebabkan terhad serta rumit untuk diaplikasikan di dalam hidup yang semakin
kompleks maka terciptalah wang atau duit yang mana ia digunakan untuk
memudahkan pertukaran barang atau perkhidmatan. Pelbagai benda digunakan
sebagai "medium of exchange" ini dari kulit siput, tamar, gandum dan
beras hinggalah kepada logam bernilai seperti perak dan emas.
Fungsi Pertama Wang : Sebagai bahan perantaraan untuk
pertukaran barangan atau perkhidmatan.
Apabila wang dicipta sebagai bahan perantaraan untuk
pertukaran barangan atau perkhidmatan, jika anda tidak punyai barangan atau
perkhidmatan untuk diberikan kepada manusia lain, wajarkah wang boleh sampai ke
tangan anda? Ini satu hujah yang amat penting, saya akan kaitkan ianya selepas
ini.
Apabila anda memohon pekerjaan, anda bertanya berapa gaji
yang akan diberikan, apabila anda mahu membeli sesuatu barangan, anda bertanya
berapa jumlah wang yang perlu dibayar untuk barangan tersebut. Jadi wang juga
adalah unit ukuran untuk menilai sesuatu perkhidmatan atau barangan baik yang
ingin diberikan atau diterima.
Fungsi Kedua Wang : Sebagai pengukur nilai barangan atau
perkhidmatan.
Anda bekerja penat lelah selama sebulan dan pada akhir
bulan anda menerima gaji mengikut apa yang dijanjikan oleh majikan anda.
Selepas tolak perbelanjaan hidup anda mempunyai lebihan wang untuk disimpan
supaya wang tersebut boleh digunakan dikemudian hari. Jadi fungsi ketiga wang
pula adalah sebagai penyimpan nilai. Bermakna penat lelah anda yang dibayar di dalam
bentuk wang kertas itu sepatutnya boleh menyimpan nilai penat lelah anda
bekerja.
Fungsi Ketiga Wang : Sebagai penyimpan nilai.
Berdasarkan kepada ketiga-tiga fungsi wang di atas,
adakah wang kertas yang kita gunakan selama ini menepati ciri-ciri tersebut?
Jika kaji wang kertas dan juga sistem kewangan yang kita gunakan sekarang ini,
untuk memenuhi fungsi pertama dan kedua tidak menjadi masalah. Akan tetapi
adakah fungsi yang ketiga iaitu sebagai penyimpan nilai dipenuhi oleh sistem
wang sekarang?
Persoalan 1: Bolehkah wang kertas menyimpan nilai?
(Zahir)
Wang yang disebut di dalam al Quran hanyalah dinar dan
dirham, iaitu emas dan perak yang mana nilai wang itu sendiri ada pada wang itu
sendiri. Ini menjamin akan kestabilan wang itu sendiri. Mengapa kita sering
diwar-warkan agar menyimpan wang di institusi yang menjamin pulangan lebih dari
kadar inflasi? Jika tidak berbuat demikian wang kita akan lenyap dimakan oleh
inflasi itu. Nampaknya wang pada zaman ini tidak lagi boleh menyimpan nilai.
Adakah ini dibenarkan oleh Islam? Malah dari segi moral kemanusiaan itu sendiri
ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Dan
janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai dan janganlah kamu
bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.”
(Surah 26, ASH-SHUARA : ayat 183)
Punca sebenar meningkatnya inflasi adalah sistem
perbankan yang menggalakkan pemberian kredit dan pinjaman baik dari pinjaman
rumah, kereta mahupun kad kredit, yang mana ia mencairkan nilai wang itu
sendiri. Malah ciptaan bank itu sendiri adalah permulaan sistem
perhambaan baru. Jika wang ringgit disandarkan kepada emas sekali pun, kita
sebagai rakyat tidak boleh mengunjungi bank negara dan meminta diberi emas yang
dikatakan sandaran kepada wang kertas tersebut.
Sebelum 1933, wang kertas Amerika masih boleh ditukarkan
dengan emas seperti yang tertera pada muka depan wang tersebut, selepas dari
itu wang kertas Amerika hanyalah dilabelkan sebagai “legal tender” yang mana
jika dilihat pada wang ringgit tertera “sah diperlakukan.” Sistem kewangan kita
ciptaan barat juga mengikut konsep wang kertas barat yang mana sebenarnya tidak
mempunyai nilai tersimpan di dalamnya. Inilah yang dikatakan oleh Nabi di dalam
hadisnya;
Abu Sa'id Al Khudri melapurkan Pesuruh Allah bersabda:
“Kamu
akan melangkah mengikut laluan yang sama seperti mereka yang terdahulu sebelum
kamu inci demi inci dan langkah demi langkah hinggakan jika mereka masuk ke lubang
cicak sekalipun, kamu akan tetap mengikut mereka. Kami bertanya: Pesuruh Allah,
adakah kamu bermaksud Yahudi dan Kristian bagi "mereka yang
terdahulu" itu? Baginda bersabda: Siapa lagi selain dari mereka?”
Sahih Muslim
Sistem kewangan moden ciptaan barat menggunakan wang
kertas ini sebenarnya adalah satu bentuk ‘riba” halus yang terselindung dan
tidak boleh dilihat baik oleh kebanyakan pemimpin apatah lagi rakyat, ia sudah
menjadi suatu norma kehidupan bagi semua golongan manusia bak sabda Nabi
Diceritakan oleh Abu Hurairah:
Nabi (SAW) bersabda:
“Akan
datang suatu ketika kepada umat manusia bila mana hanya penerima riba sahaja
yang tinggal, dan jika manusia itu berkata dia tidak menerimanya, debu riba
tetap akan mencapainya.”
Sunan Abu Daud
Dan jika saban hari kita menggunakan sistem yang
berlandaskan riba ini, maka ketahuilah akan adanya peperangan dari Allah SWT dan
rasul terhadap kita semua, akan tetapi amaran-amaran sebegini
tidak lagi memberi kesan apa-apa terhadap hati kebanyakan umat Islam sekarang
ini. Hanya yang mendapat “nur” dari Allah dan yang berusaha mencari ilmu-ilmu
untuk membuka minda, dengan tangisan di mata mahupun di hati akan berusaha
sedaya upaya lari dari riba walau apa jua harga yang terpaksa dibayar.
Apa yang boleh kita lakukan untuk lari dari riba ini?
Di dalam institusi kekeluargaan, jika ada masalah di dalam
rumah seperti kehabisan barang makanan, dengan siapa akan si ibu mahupun si anak-anak
mengadu? Sudah tentu dengan ayah sebagai ketua keluarga. Jika di dalam
institusi negara, kepada siapa lagi jika bukan kepada pemimpin-pemimpin yang
kita pilih. Di dalam institusi keluarga jika ayah tidak mampu memperbetulkan
keadaan, ahli keluarga yang lain terpaksa akur dan bersabar kerana ayah tidak
boleh dipecat atau dibuang, akan tetapi di dalam sistem negara, kita boleh
pilih pemimpin yang berada pada landasan yang betul, landasan yang berlandaskan
al Quran dan sunnah.
Kita harus ajukan kepada pemimpin agar sedar akan dahsyatnya
kesan sistem kewangan moden yang mana melalui sistem inilah kekayaan rakyat
secara halus dan senyap beralih kepada golongan tertentu dan rakyat terutamanya
yang miskin akan menjadi semakin miskin kerana terpaksa membayar lebih untuk
membeli barang keperluan. Dan jika pemimpin-pemimpin yang sedia ada tidak mahu
mengubahnya maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin yang
mampu berbuat demikian kerana di dalam institusi negara, pemimpin boleh diubah
bukan seperti institusi keluarga.
Adakah kita juga harus berduyun-duyun membeli emas kerana
kuatirkan wang kertas akan lenyap atau kerana ingin mengikut sunnah? Malah ada
juga syarikat yang menjual dinar emas membolehkan pembeli membeli dinar
tersebut dengan kad kredit. Bagi saya niat untuk menjual dinar itu bukan untuk
menggalakkan sunnah, tetapi semata-mata ingin mengaut keuntungan tanpa memahami
konsep wang dinar itu sendiri. Apa yang harus umat Islam lakukan adalah
berusaha melangsaikan segala hutang-hutang yang ada dan berhenti
mengambil hutang yang baru. Kumpul
wang baru beli, kerana jika kita berhutang baik secara Islam atau konvensional
sekalipun, kita bersubahat mencairkan nilai wang itu sendiri. Selepas habis
membayar hutang, barulah beli emas untuk simpanan masa depan. Tidak perlu risau
perlu menyimpan sekarang untuk masa depan walau hutang rumah dan kereta masih
ada kerana kita juga bersubahat membiarkan bank memberi pinjaman kepada manusia
lain dengan wang simpanan kita tadi. Ingatlah, jika kita bertindak untuk
mendapatkan keredhaan Allah, Allah akan mempermudahkan ianya untuk kita, inilah
ujian keimanan.
Moga satu hari nanti kita dapat beralih semula kepada
sistem kewangan apa yang dipanggil wang sunnah iaitu wang yang mempunyai nilai
sebenar di dalamnya dan bukanlah hanya kertas yang sah diperlakukan sahaja.
Persoalan 2: Adakah wang di tangan anda itu benar-benar
milik anda? (Batin)
Jika kita rujuk pada fungsi pertama wang, untuk menjadi
bahan perantaraan bagi barangan atau perkhidmatan yang diberikan, maknanya wang
hanya wujud jika ada barang atau perkhidmatan jadi jika kita tidak punyai
barang atau khidmat untuk diberikan, layakkah wang itu berada di tangan kita?
Katalah tiba suatu masa Allah mem”fizikal” pahala yang
mana pahala boleh kelihatan dan wujud nyata. Bolehkah kita mengambil pahala
orang lain? Bolehkah kita mengambil hasil usaha orang lain? Inilah sebenarnya
rahsia di sebalik larangan riba kerana jika kita mengambil wang orang lain
dengan cara yang tidak adil, itu adalah penindasan dan wang (pahala melakukan
sesuatu) itu bukan milik kita. Pengasihnya Allah itu melarang kita mengambil
riba kerana kita akan menderita kerananya dan adilnya Allah itu akan
mengembalikan wang itu semula kepada yang hak.
Jika kita memberi pinjaman atau menyimpan wang di dalam
bank, faedah yang kita terima itu sebenarnya adalah pahala orang lain yang kita
ambil, umpama lintah menghisap darah manusia. Wang datang dari usaha, dan usaha
adalah tenaga, maka wang itu adalah tenaga dan tenaga boleh berubah dari satu
bentuk kepada bentuk yang lain, disebabkan Maha Adilnya Allah itu maka wang
(tenaga) yang kita dapat secara haram itu akan mengalir keluar dari diri kita
tetapi tidak semestinya dalam bentuk wang itu sendiri, mungkin dalam bentuk
lain seperti kesihatan, terpaksa berhadapan dengan masalah keluarga, masalah
kerja yang mana ianya juga memerlukan tenaga kita untuk menghadapinya.
Wang yang kita dapati dengan cara yang tidak wajar
contohnya bekerja tidak ikhlas, ponteng, menaikkan harga barang, rasuah,
mencuri dan sebagainya, wang itu akan “lari” dari kita, satu konsep yang agak
sukar untuk diterima akan tetapi itulah hakikatnya kerana kita semua adalah
tenaga, jika tak masakan formula Einstein diterima pakai oleh seluruh
masyarakat sains. (E=mc2 E= tenaga, m=jisim). Begitu jugalah wang yang didapati
seperti hasil dari perniagaan internet yang mana melabur sekian banyak dan
kemudiannya cari orang bawah, malah MLM, saham dan forex juga termasuk di dalam
golongan yang sama. Wang yang didapati itu bukan milik anda kan ianya akan
lari, jadi pilih antara dua, wang mudah atau kesusahan pun mudah.
Mungkin ada yang berkata, ”aku tengak si mamat tu kaya
dengan main saham, main forex tapi hidup happy je,” jawapan saya; mungkin kita
boleh mengelak dari tenaga (wang) itu untuk lari dari kita semasa hidup, akan
tetapi apabila mati, tenaga negatif ini lah yang akan menjadi siksaan di kubur
mahupun di neraka. Dan ingatlah Allah itu maha adil. Perasan tak mengapa
apabila negara bertambah moden, semua rumah terpaksa bergrill, dengan sistem
penggera malah akhir-akhir ini satu taman sudah berpagar dan mempunyai
sekuriti? Ramai yang berkata manusia semakin jahat, perompak semakin banyak,
pernahkah terfikir siapa yang mencipta perompak tersebut? Tidak lain dari
sistem kewangan riba itu sendiri, baik dari anak-anak yang semakin liar kerana
tidak mendapat perhatian dari ibubapa yang terpaksa keluar bekerja untuk
membayar hutang rumah selama 20-30 tahun ataupun mereka yang bermain forex
bersubahat menjatuhkan matawang negara lain yang menyebabkan rakyat negara
tersebut hidup di dalam kemiskinan dan datang ke negara kita menjadi perompak.
Kita semua berkait dengan satu jaringan tenaga yang kita
tidak sedar dan nampak, ini yang dibuktikan oleh quantum fizik (nonlocality), apa yang kita lakukan
mempengaruhi semua insan-insan lain di dunia ini, tekanan hidup menyebabkan
manusia hidup di dalam situasi “fight or
flight” yang mana kepentingan diri sendiri lebih utama berbanding
kepentingan sejagat. Hanya dengan solat yang ikhlas
dan khusyuk sahajalah yang boleh mengurangkan kesan tekanan tersebut
dan mengembalikan darah ke frontal lobe
iaitu otak yang berfikir.
Larangan riba itu sendiri untuk kebaikan manusia itu
sendiri, dengan hidup yang diperangi
oleh Allah saban hari (akibat hidup dengan riba), tidak hairanlah mengapa hidup
kita semakin hari semakin tersiksa, mungkin bagi individu tidak terasa akan
tetapi dari segi masyarakat, surat khabar harian sudah jelas menceritakan
pelbagai masalah yang dihadapi oleh umat manusia. Berusahalah kita agar dapat
melihat pembohongan-pembohongan di dunia ini baik dari sistem kewangan olahan
barat ini mahupun juga keadaan dunia yang penuh tipu daya, tipu daya hasil
inspirasi dari Dajjal bak sabda Nabi;
Diceritakan oleh Hudaifa: Nabi
bersabda mengenai Dajjal yang mana dia akan mempunyai air dan api dengannya:
apa yang kelihatan seperti api, adalah air yang sejuk dan apa yang kelihatan
seperti air pula adalah api.
Sahih Bukhari
Jadi berhati-hatilah dalam membuat keputusan di dalam
hidup kerana apa yang kita nampak itu baik (air) mungkin suatu yang akan
membakar diri kita di kemudian hari. Nauzubillah.
Orang sekarang berkerja siang dan malam serta melakukan
bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam keadaan
kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi kewangan.
Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi kewangan dan pada
bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang bank
juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.
Kadar pengangguran dan kegagalan syarikat perniagaan pula
semakin meningkat dari hari ke hari. Semua ini angkara sistem kewangan fiat
yang menyebabkan ekonomi berkembang secara tidak stabil serta mewujudkan jurang
besar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.
Jelas wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak
jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan Amerika Syarikat
mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah sebenarnya sudah
ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.
Sumber : Milenia Muslim
Sumber : Milenia Muslim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan