PENDAHULUAN
Firman Allah swt yang bermaksud :
“.....(Allah)
yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang
mereka, sedang mereka tidak
mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah
kehendaki (memberitahu
kepadanya).”
Al Baqarah [2] : [255]
PENGENALAN
Umat Islam atau umat Nabi Muhammad saw mempunyai pelbagai kelebihan di
dunia dan akhirat. Inilah kurniaan Allah Subhana wa Taala kepada umat Nabi
Muhammad saw di mana ia sebagai pelengkap kepada tatacara dalam melalui
kehidupan di muka bumi ini sama ada dari segi akidah, ibadah mahupun segala
aspek kehidupan masyarakat yang bertamadun.
Bersyukurlah atas nikmat Allah yang tidak terhingga ini. Di dalam al Quran
juga telah dinyatakan bahawa umat Islam adalah umat yang terbaik.
Fiman Allah swt yang bermaksud :
“Kamu
adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang
makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli
Kitab beriman tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang
beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Ali 'Imran [3] : 110
Namun sejak kebelakangan ini terdapat kata-kata atau penulisan atau ceramah
yang mengatakan umat akhir zaman ini akan menjadi semakin buruk dan semakin
buruk. Hari esok akan lebih buruk dari hari ini dan seterusnya. Benarkah
begitu? Apakah Islam mengajar kita untuk terus berfikiran negatif, sedangkan di
dalam al Quran dan as Sunnah yang sahih mengajar kita untuk bersangka baik pada
Allah dan bersikap optimis. Janganlah begitu.
PERBINCANGAN
Terdapat banyak ayat al Quran dan hadith yang sahih mengenai kelebihan umat
Islam akhir zaman (tidaklah memperkecilkan umat terdahulu kerana umat akhir
zaman sendiri adalah pengikut dan mencontohi umat terbaik terdahulu; iaitu
zaman sahabat Rasulullah saw, para tabiin dan tabiut tabiin).
Antaranya;
1. Sentiasa ada golongan umat Islam yang pasti menang.
Daripada Tsauban r.a, Rasulullah saw bersabda,
"Sentiasa
ada sekelompok umatku yang dimenangkan atas kebenaran. Tidak akan membahayakannya
orang yang memusuhinya hingga Hari Kiamat sedangkan mereka tetap seperti itu (berada dalam kebenaran)."
[3544] Sahih Muslim
Kata Imam Ahmad mengenai hal ini adalah ahli hadith. Kata Imam al-Bukhari,
mereka adalah para ahli ilmu. Oleh itu, umat akhir zaman ini tetap ada ilmuan
Islam yang sentiasa menang dan tidak mampu diganggu-gugat oleh sesiapapun
kerana mereka di dalam jagaan Allah Subhana wa Taala.
Persoalannya untuk apa mereka dimenangkan? Tentulah untuk memimpin umat
Islam dari musuh-musuh Islam dan seterusnya menegakkan agama Islam di muka bumi
ini serta akan terus dimenangkan sehingga hari yang ditentukanNya.
2. Sentiasa ada golongan yang membawa umat Islam ke arah manhaj sebenar.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda,
"Setiap
seratus tahun Allah mengutus kepada umat ini seseorang yang akan memperbaharui
agama ini (dari
penyimpangan)."
[3740] Sahih Abu Daud
Maksud ‘memperbaharui agama’ bukanlah mengada-adakan sesuatu yang tiada
dalam Islam, tetapi ia adalah membawa agama ini kembali kepada jalan yang lurus
mengikut ajaran yang diajar oleh Rasulullah saw, iaitu kembali kepada al Quran
dan as Sunnah yang sahih serta menghancurkan bidaah yang menyesatkan.
Perkataan ‘seseorang’ pula bukanlah bermakna seorang sahaja, tetapi sama ada
secara individu, perkumpulan atau sesebuah pertubuhan atau organisasi. Mereka
akan membetulkan kembali bidaah-bidaah yang terjadi dari bisikan syaitan dan
membawa umat Islam kembali berpegang kepada al Quran dan as Sunnah yang sahih.
3. Sentiasa dimuliakan dengan al Quran.
Daripada ‘Amir bin Watsilah r.a, katanya : Bahawasanya Nafi’ bin ‘Abdul Harits pada suatu ketika bertemu dengan
Khalifah Umar r.a di Usfan.
-(Diringkaskan – Hadis ini mengenai Umar r.a bertanya kepada Nafi’, mengapa
diangkat Ibnu Abza (hamba yang dimerdekakan) menjadi ketua bagi penduduk Wadi.
Lalu Nafi’ menerangkan, bahawa Ibnu Abza mempunyai kefahaman mengenai al Quran
dan pakar ilmu faraid kerana itulah dia diangkat menjadi ketua di situ)-
Kata Umar r.a, ‘Benar! Nabi saw pernah bersabda, “Bahawasanya Allah akan
memuliakan suatu kaum dengan Kitab ini (al Quran) dan menghinakan yang lain.”
[0783] Sahih Muslim
Umat Islam akan dimuliakan kerana ilmu yang didasarkan serta berpandukan
dari al Quran. Al Quran adalah sumber utama ilmu bagi mereka yang ingin
berusaha dan mencarigali khazanah yang terdapat di dalamnya sama ada ilmu
sains, kerohanian, perubatan, kejuruteraan, ilmu falaq dan sebagainya.
Umat Islam yang dapat menguasai al Quran dan faham bagaimana
mengaplikasikannya dalam kehidupan akan dimuliakan. PERLU DIINGAT bahawa
perkara ini adalah umum kepada semua manusia dan bukannya khusus kepada umat
Islam.
Maksudnya al Quran itu diturunkan atau ditujukan kepada seluruh manusia dan
seandainya orang kafir yang berpegang kepadanya, tetapi umat Islam
meninggalkannya maka dihinakanlah umat Islam itu di mata orang kafir. Inilah
antara punca terbesar umat Islam diperlakukan lebih buruk dari binatang
ternakan pada masa ini, iaitu meninggalkan dan meremehkan al Quran kononnya
atas dasar kemodenan serta membebaskan diri dari kejumudan.
Kita boleh lihat ikan paus, panda, beruang, harimau yang dibunuh oleh
pemburu mendapat liputan seluruh dunia akan kekejaman pemburu tersebut. TETAPI
umat Islam yang dibunuh dan disembelih di tanah air mereka sendiri dituduh
pengganas dan dihalalkan darah mereka atas kebenaran dan persetujuan siapa?
Tidak lain tidak bukan kerana umat Islam sendiri membenarkannya dengan
meninggalkan al Quran...; lalu kita dihinakan malah diperlakukan lebih buruk
dari binatang ternakan. Semoga Allah menyelamatkan umat Islam di seluruh dunia.
Semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada pemimpin-pemimpin kita.
KESIMPULAN
Tiga hadith di atas memadai bahawa sesungguhnya Allah benar-benar
memelihara umat Nabi Muhammad saw dan tidak membiarkan umat akhir zaman ini
terus dalam kesesatan. Hendaklah kita terus bersikap optimis dan yakin bahawa
pada masa akan datang umat Islam akan menjadi lebih hebat dan semakin hebat.
Apa yang penting adalah apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk
membentuk generasi umat Islam yang hebat esok hari. Kita adalah perintis dan
penggerak dalam membentuk masa depan umat Islam dan ini adalah sunnatullah.
Maksudnya, ‘Apa yang kita lakukan hari ini membentuk masa hadapan’ (bersesuaian
dengan takdir Allah Subhana wa Taala).
Caranya, kembali kepada hadith-hadith di atas iaitu kembali kepada al Quran,
as Sunnah yang sahih, mencontohi umat terbaik terdahulu (sahabat, tabiin dan
tabiut tabiin) serta berusaha dan bekerjasama dalam membentuk dan melahirkan
umat Islam yang mempunyai pendidikan yang hebat, penguasaan ekonomi (saling
membantu sesama umat Islam) dan paling utama menyebarkan rasa cinta kepada
Allah dan RasulNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan