Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 16 April 2014

Q 25 : MENGENALI KESESATAN – PUTUS ASA MEMBAWA KEPADA KESESATAN (BAHAGIAN 5 )

PENGENALAN

5. Putus Asa Sebahagian Dari Kesesatan

Putus asa bermaksud hilang harapan atau beranggapan tidak ada harapan lagi dalam menyelesaikan sesuatu perkara ataupun menyalahkan takdir apabila ditimpa sesuatu musibah. Firman Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Ibrahim berkata: "Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat."
Surah Al-Hijr [15] : 56

Orang Islam yang beriman sama sekali tidak boleh berputus asa. Sebetulnya tiada istilah putus asa pada orang Islam, orang yang berputus asa hanyalah mereka yang tidak mahu berusaha memperbaiki dan menjaga kehormatan diri.
Orang mukmin yang teguh imannya tidak akan berputus asa, mereka melihat masa depan sentiasa cerah dan bersangka baik pada Allah yang Maha Agung. Malah orang yang bersabar terhadap dugaannya akan dikurniakan pahala yang besar sesuai dengan firman Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu." Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
Surah Az-Zumar [39] : 10

Oleh kerana itu, wajarlah kita mengetahui secara umum akan ciri-ciri orang yang putus asa itu, kerana kadangkala tanpa kita sedar kita juga kadangkala tergolong dalam orang-orang yang berputus asa.

PERBINCANGAN

(a). sengaja mengikuti jalan yang lain dari jalan yang ditunjuki;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.”
Surah Al-Anbiyaa' [21] : 35

(i). Orang-orang mengingkari qada dan qadar Allah yang Maha Agung. Mereka yang apabila ditimpa musibah, seperti penyakit, kemiskinan dan sebagainya lalu berputus asa dan tidak berusaha atau berikhtiar. Mereka menyalahkan takdir kerana ditimpa musibah seperti itu dan berputus asa terhadap rahmat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Firman-Nya;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”
Surah Yusuf [12] : 87

(ii). Orang-orang yang mengingkari nikmat Allah yang Maha Agung. Apabila diberikan sesuatu nikmat seperti kekayaan misalnya, mereka mengatakan segala kekayaan yang ada pada mereka hanyalah kerana usaha dan kepandaian mereka sendiri. Mereka menolak bahawa nikmat yang dikecapi adalah dari Allah yang Maha Agung dan mereka tidak percaya setiap sesuatu telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Agung.
Mereka dikatakan berputus asa kerana, mereka tidak berdoa dan bersyukur atas kurniaan Allah yang Maha Kaya. Mereka menyangka itu adalah hasil titik peluh mereka dan lupa rezeki yang telah ditetapkan untuk mereka. Mereka berputus asa pada rahmat Allah yang Maha Agung.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
Surah Luqman [31] : 12

(b). Tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang sebenar;

(i). Orang-orang yang hanya berserah pada takdir. Mereka menolak bahawa manusia diberi pilihan berbuat baik dan buruk. Sedangkan jelas di dalam al Quran;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.”
Surah Asy-Syams [91] : 8

Maksudnya, manusia diberi pilihan sama ada ingin berbuat kebaikan ataupun berbuat kemaksiatan dan kemungkaran.

(ii). Orang-orang yang menyangka tidak boleh melakukan apa-apa pada sesuatu perkara atau keadaan kerana segalanya telah ditakdirkan. Contohnya, mereka berpendapat kemunduran dan kelemahan umat Islam masa ini tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana sudah ditakdirkan. Oleh itu kita hanya perlu menunggu sahaja kedatangan Imam Mahdi dan seterusnya Islam akan bangkit kembali.
Ini adalah pernyataan orang yang sangat buruk cara pemikirannya dan bertentangan sama sekali dalam al Quran. Melalu firman Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “...yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada suatu kaum, hingga kaum itu merubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al-Anfaal [8] : 53

Nikmat Islam dan keimanan ini sekiranya tidak dijaga dan dipertahankan, akan ditarik kembali oleh Allah yang Maha Agung. Perbuatan hanya menyerah kepada takdir sebelum berdoa dan berusaha adalah satu perbuatan keji kerana bukan sahaja dirinya tersesat, malah pernyataannya boleh menyesatkan orang lain.
Allah yang Maha Agung tidak mencabut nikmat yang telah dilimpahkan-Nya kepada sesuatu kaum, selama kaum itu tetap taat dan bersyukur kepada Allah.

(c). disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang salah; dan

(i). Orang-orang yang mengajak orang lain berputus asa. Contohnya, apabila diutarakan agar berbuat baik sesama manusia, jangan mengumpat, membantu orang yang susah dan sebagainya, mereka berkata ‘sekiranya aku berbuat baik mereka, mereka akan memijak kepala ku’, serta pelbagai lagi kata-kata yang mana mereka meragui kebaikan masyarakat sekeliling.
Mereka berputus asa terhadap kebaikan sesama manusia dan sentiasa bersikap provokasi. Tetapi, ramai pula orang-orang yang mengikut-ikut kata-kata mereka atau terikut rentak mereka, sedangkan umat Islam sepatutnya sentiasa bersangka baik sesama saudara se-Islam mereka; inilah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya dalam sebuah hadis;

Daripada Nukman bin Basyir r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Anda lihat orang-orang yang beriman itu dalam saling kasih-mengasihi, saling cinta mencintai dan saling tolong menolong seperti sebatang tubuh (badan).
Kalau ada salah satu anggota terkena penyakit, seluruh batang tubuh (badan) ikut menderita tidak dapat tidur dan menderita panas (kesakitan).”
[1701] Sahih Bukhari

(ii). Orang-orang yang mematahkan semangat orang lain dengan kata-kata keji dan celaan apabila seseorang itu ingin memulakan sesuatu pekerjaan yang baik. Contohnya, apabila seseorang yang sudah berumur hendak belajar ilmu agama, dikejinya orang itu kerana kononnya dia telah mensia-siakan usia mudanya. Firman Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Allah tidak menyukai ucapan buruk[*], (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya[**]. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
[*]. Maksudnya : Ucapan buruk sebagai mencela orang, memaki, menerangkan keburukan-keburukan orang lain, menyinggung perasaan seseorang, dan sebagainya.
[**]. Maksudnya: Orang yang teraniaya boleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa keburukan-keburukan orang yang menganiayanya.
Surah An-Nisaa' [4] : 148

(iii). Orang-orang yang menggunakan kaedah yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam memujuk dan mententeramkan orang yang mengalami putus asa. Contohnya, menyuruh mereka menjerit-jerit bagi menghilangkan tekanan, duduk di dalam bilik yang gelap, menjauhi masyarakat dan sebagainya. Malah yang lebih teruk lagi mereka menggunakan sihir yang kononnya dapat merawat tekanan itu.
Ketahuilah, tiada satu cara pun yang lebih baik untuk menenteramkan hati kecuali hanya dengan mengingati Allah yang Maha Agung, sesuai dengan firmanNya;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “...(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”
Surah Ar-Ra'd [13] : 28

(d). Sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang betul.

(i). Orang-orang yang mengalami kegagalan dan kekecewaan dalam kehidupan, lalu berputus asa akan nikmat Allah yang Maha Agung. Mereka tidak mahu bertanya kepada para ahli ilmu dan beranggapan takdirlah yang menyebabkan mereka menemui kegagalan. Mereka sentiasa menyalahkan takdir yang menimpa, sedangkan mereka tidak melihat diri mereka sendiri di manakah silapnya.
Mereka bersikap sombong, seolah-olah perbuatan mereka sentiasa betul dan segala kegagalan adalah kerana takdir. Di dalam sebuah hadis;

Daripada Tsauban r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Tidaklah bertambah usia (seseorang) melainkan (dengan) kebaikan dan tidaklah dapat merubah takdir kecuali doa. Dan sesungguhnya seseorang tidak akan mendapatkan rezeki disebabkan dosa yang menimpanya.”
[3264] Hadis Hasan. Riwayat Ibnu Majah

(ii). Orang-orang yang tidak bersikap optimis dan sentiasa melihat masa depan adalah gelap kerana pelbagai dugaan yang menimpa. Kesombongan mereka adalah kerana mereka menyangka hidup di dunia ini adalah kegembiraan semata-mata.
Sebenarnya dunia ini adalah tempat ujian bagi orang mukmin dan ujian yang diberikan pula, sesuai dengan dirinya dan dapat ditanggung olehnya. Allah yang Maha Agung tidak zalim, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka dengan bersangka buruk terhadap Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Daripada Sa’d bin Abu Waqqash r.a : Aku bertanya,

‘Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berat cubaannya (dugaannya)?’
Beliau (Nabi saw) menjawab, “Para Nabi, kemudian kalangan selanjutnya yang lebih utama dan selanjutnya. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agama (iman)nya. Jika keimanannya kuat maka cubaannya pun makin berat, sedangkan jika keimanannya lemah maka ia akan diuji sesuai kadar imannya.
Tidaklah cubaan itu akan pergi dari seorang hamba sampai ia (cubaan itu) membiarkannya berjalan di muka bumi, sedangkan ia (seseorang itu) tidak memiliki dosa.”
(bermaksud : diampunkan dosa seseorang yang bersabar dengan dugaannya). [3265] Hadis Hasan Sahih. Riwayat Ibnu Majah

PENUTUP

Sekali lagi diingatkan bahawa tujuan utama tulisan bab-bab mengenali kesesatan ini, bukanlah untuk kita menunding jari kepada sesiapa dan mengatakan mereka itu sesat, tetapi ia adalah sebagai peringatan kepada diri sendiri agar dapat memperbaiki diri agar dapat menghindari diri dari kesesatan dan mengelakkan dari tercondongnya hati kepada kesesatan.
Sekiranya terdapat sesuatu yang bertentangan dengan al Quran dan as Sunnah dalam tulisan ini, tinggalkanlah dan ambillah perkara yang benar-benar memberi manfaat sahaja. Tidaklah dalam tulisan ini ditulis secara terperinci dan hanya sekadar perkara yang umum sahaja kerana keterbatasan pengetahuan yang ada.
Semoga Allah yang Maha Agung menyatukan hati umat Nabi Muhammad saw dengan berpegang kepada al Quran dan as Sunnah dan seterusnya menyelamatkan kita dari bahaya-bahaya kesesatan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu. Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.”
Surah Al-Maa'idah [5] : 3

Rujukan :
Al Quran dan Terjemahan, Tafsir Ibn Katsir, Tafsir Ibn Abbas, Tafsir Al-Munir
Kitab-Kitab Hadis Sahih
Penyelamat Dari Kesesatan [Imam Al-Ghazali]
Ajaran Sesat [Siti Norbaya Bt Abd. Kadir]
Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam [Hafiz Firdaus Abdullah]
20 Hujah Golongan Anti Hadith [Hafiz Firdaus Abdullah]
Qadha’ dan Qadar [Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar]
Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Sunnah [Dr. Yusuf Al- Qaradawi]
Jerat Syaitan [Ibnul-Jauzy]
The History of Quranic Text [Prof. Dr. M. M. Al-A’zami]
Dan lain-lain




Tiada ulasan:

Catat Ulasan