Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 16 April 2014

Q 23 : MENGENALI KESESATAN – MELALUI HADIS (BAHAGIAN 3)

PENGENALAN

3. Kesesatan Melalui Hadis

Secara ringkasnya, menurut ulama hadis, hadis ialah apa sahaja perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wasallam (saw) sama ada kata-kata, perbuatan, perakuan mahupun sifat-sifat Nabi Muhammad saw serta kisah kehidupan sebelum dan selepas kenabian. Hadis dan sunnah adalah perkara yang sama jika dilihat secara umum. Di dalam al Quran, Allah yang Maha Agung telah menjelaskan akan kedudukan mengikuti Rasulullah saw;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.”
Surah Al-Hasyr [59] : 7

Dalam ayat yang lain, Allah yang Maha Agung telah mengancam, orang-orang yang menderhakai Rasul-Nya;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Katakanlah: "Taatilah Allah dan RasulNya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir."
Surah Ali 'Imran [3] : 32

Para ulama telah membuat kesimpulan bahawa setiap muslim yang mengucapkan kalimah tauhid hendaklah menyelesaikan atau merujuk dahulu sebarang masalah dunia dan akhirat mereka dengan merujuk kepada al Quran dan as Sunnah.
Barangsiapa yang mengingkarinya setelah diberi penghujahan yang jelas maka mereka tergolong dalam golongan orang yang fasik, manakala mereka yang menentang lalu mengatakan ada yang lebih baik dari al Quran dan as Sunnah, maka mereka menolak keagungan Allah yang Maha Suci dan mereka tergolong dalam golongan kafir.

PERBINCANGAN

(a). Sengaja mengikuti jalan yang lain dari jalan yang ditunjuki;
Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”
Surah Al-Ahzab [33] : 36

(i). Orang-orang yang sengaja mencari-cari kesalahan dalam hadis dengan membawa ayat-ayat al Quran dengan kefahamannya yang cetek dan jahil. Contohnya ayat-ayat perintah solat dalam al Quran tidak menunjukkan bagaimana solat perlu dilakukan, lalu mereka mengatakan hadis Nabi saw yang mengajar umatnya cara bersolat bertentangan dengan al Quran. Mereka sengaja menolak hadis tanpa ilmu pengetahuan.

(ii). Orang-orang yang menerima separuh dan menolak sebahagian hadis walaupun telah dibuktikan sahih dari segi sanad dan matannya. Mereka hanya menerima hadis yang bersesuaian dengan kehendak mereka dan mengabaikan apa yang bertentangan dengan hawa nafsu mereka.

(iii). Orang-orang yang mengikuti perkataan-perkataan tokoh-tokoh ternama mereka melebihi perkataan Nabi saw. Mereka menganggap, kata-kata Nabi saw hanyalah untuk orang zaman dahulu sahaja. Pada zaman moden kini, kata-kata Nabi saw tidak lagi sesuai diikuti.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia bebas (memilih) terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu [*] dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.”
([*] maksudnya : oleh kerana mereka menolak RasulNya, Allah yang Maha Agung meletakkan ke dalam hati mereka suka kepada kesesatan dan pada hari akhirat nanti mereka akan dimasukkan ke seburuk-buruk tempat, iaitu neraka Jahanam)
Surah An-Nisaa’ [4] : 115

(b). Tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang sebenar

(i). Orang-orang yang hanya mengikut-ikut sahaja tanpa berusaha mencari kebenarannya, sama ada bersabit atau bersesuaian dengan apa yang Rasulullah saw telah ajarkan. Mereka hanya mengikut tradisi nenek moyang mereka dan berpendapat apa yang dibuat oleh nenek moyang mereka adalah benar dan mustahil nenek moyang mereka melakukan kesilapan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami." "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"
Surah Al-Baqarah [2] : 170

(ii). Orang-orang yang hanya mengikut logik akal semata-mata. Mereka menolak perkhabaran yang di luar kemampuan akal mereka. Contohnya mereka menolak kedatangan Dajjal atau menolak peristiwa Israk dan Mikraj serta lain-lain yang tidak nampak dengan mata akal mereka. Mereka gagal dalam ujian keimanan terhadap perkara-perkara ghaib. Allah yang Maha Agung berfirman;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 

“Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Surah Al-Baqarah [2] : 249

Ayat di atas menceritakan akan Thalut, raja Bani Israel dalam perjalanan berperang dengan Jalut. Walaupun ayat ini mengenai kisah tersebut, namun lafaznya adalah umum kepada semua manusia. Mengapa Allah yang Maha Agung menyuruh mereka yang melalui sungai tersebut hanya boleh meminum airnya dengan hanya seceduk tangan? Barangsiapa yang meminum lebih, maka mereka bukanlah pengikut yang mengikuti jalan Allah yang Maha Agung.
Jika difikirkan menggunakan akal tentu tidak logik, kerana orang yang sedang ingin berperang dan dalam kehausan pula, perlulah minum supaya segar kembali supaya dapat membuat keputusan dan berperang dengan baik. Tetapi, sebaliknya pula apa yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Agung. Mengapa Allah yang Maha Agung memerintahkan begitu?
Ini adalah satu pemantapan keimanan, iaitu Allah yang Maha Agung menguji mereka dalam perkara yang di luar batas kemampuan akal mereka sama ada mereka benar-benar yakin atau ragu-ragu terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Agung. Begitu jugalah kita hari ini, diuji pelbagai perkara yang di luar kemampuan akal melalui al Quran, contohnya hudud. Berapa ramai yang gagal dalam ujian ini kerana menyangka hudud itu satu penganiayaan kepada manusia.

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.”
Surah Al-Anbiyaa' [21] : 35

(c). Disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang salah; dan

(i). Orang-orang yang mengikuti percakapan tokoh-tokoh atau para pemimpin yang terkenal lebih dari apa yang diucapkan oleh Rasulullah saw. Mereka menganggap tokoh-tokoh mereka adalah lebih pintar dari Nabi saw, sedangkan Nabi saw dipimpin keilmuannya dari wahyu Allah yang Maha Agung.
Mereka sanggup menolak apa yang dikatakan oleh Nabi saw kononnya, ‘zaman Nabi saw telah berlalu dan tidak sesuai lagi pada zaman ini. Zaman sekarang adalah zaman sains dan teknologi, setiap sesuatu ada penjelasannya dalam sains’. Apa yang mereka ucapkan dan ikuti adalah kejahilan pemikiran dan kerohanian yang parah.

Daripada Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.”
(0035) Sahih Muslim

(ii). Terdapat orang-orang yang mengatakan, mempercayai hadis sama seperti mengagung-agungkan Nabi saw. Sebenarnya mempercayai hadis adalah mengagungkan Allah yang Maha Agung, kerana Allah yang Maha Agung yang telah menurunkan al Quran dan mengutuskan Rasulullah saw untuk mengajar manusia supaya berada di dalam jalan yang terang lagi lurus dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan menghadapi hari akhirat. Seperti di dalam firmanNya;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Nabi Muhammad saw), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Surah Ali 'Imran [3] : 31

(iii). Terdapat juga orang-orang yang mengajar manusia dengan menjadikan mereka meragui hadis, kononnya hadis hanyalah memecah-belahkan umat Islam. Mereka berkata ilmu sebenar, hanyalah al Quran dan menolak hadis. Contohnya, mereka berkata ahli hadis yang ada hanya menjadikan umat berselisih, lalu mereka mengutuk dan mencaci para ahli hadis (termasuk para sahabat r.a) dan imam-imam mazhab selepas itu.
Mereka (orang yang tersesat) tidak mengetahui bahawa ahli hadis (termasuk para sahabat r.a) sebenarnya sangat menitikberatkan al Quran sehingga menafsirnya dengan berpandukan apa yang ditafsirkan oleh al Quran sendiri, kemudian Rasulullah saw dan kemudian para sahabat r.a yang lebih berpengetahuan dari mereka.
Mereka (ahli hadis) tidak menafsir menggunakan akal semata-mata kerana mereka tahu bahawa akal manusia tidak sempurna dan kadangkala boleh tersilap. Jadi perlu ada panduan yang betul dalam penafsiran dan sebaik-baik panduan adalah dari al Quran dan Rasulullah saw kemudian para sahabatnya (r.a). Berdasarkan sebuah hadis;

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Manusia terbaik adalah yang semasa denganku (zaman Nabi saw), kemudian generasi yang dekat dengan mereka, kemudian kaum yang datang setelah itu, yang keimanan mereka mendahului kesaksian mereka atau kesaksian mereka (mendahului) keimanan mereka.”
[3859] Sahih At-Tirmidzi

(d). Sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang betul.

(i). Orang-orang yang menganggap dirinya serba tahu dan lebih tahu dari orang lain. Mereka memandang rendah kepada orang lain dengan beranggapan tidak layak mereka bergaul dengan orang-orang yang tidak berpelajaran seperti mereka. Sedangkan Rasulullah saw mengatakan, kemungkinan orang yang diajar lebih pandai dari gurunya.


Daripada Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Semoga Allah SWT mengelokkan rupa seseorang yang mendengar ucapanku, kemudian memeliharanya, lalu menyampaikannya dariku.  Mungkin saja orang yang membawa ilmu bukanlah orang yang pandai, dan mungkin juga seseorang akan menyampaikan ilmu kepada orang yang lebih berilmu darinya.”
(0194) Sahih Ibnu Majah

(ii). Orang-orang yang taksub kepada kitab-kitab mereka. Apabila dikatakan mengenai terdapat kesalahan dan kekeliruan dalam kitab-kitab yang dipelajari oleh mereka dan disertakan pula fakta-fakta serta dalilnya (hadis yang sahih), mereka menolak dengan beralasan, inilah yang dilakukan oleh guru-guru mereka dahulu. Mereka melebihi perkataan guru mereka dari hadis Rasulullah saw. Allah yang Maha Agung berfirman;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al-Hujuraat [49] : 1

(iii). Orang-orang yang tidak peduli sama ada hadis yang diambilnya sahih atau tidak dan kadangkala mereka berkata perkara itu-ini dari Nabi saw, sedangkan mereka tidak mengetahuinya selain agak-agak sahaja. Nabi saw telah melarang keras umatnya melakukan perkara seperti itu, iaitu menggunakan nama Beliau (Nabi saw) dalam bercakap sesuatu perkara yang mereka tidak tahu, tidak pasti atau agak-agak sahaja.

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempatnya di neraka.”

[2659] Sahih MUTAWATIR. At-Tirmidzi, juga di dalam Sahih Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan