PENGENALAN
Sejak kebelakangan
ini, minat terhadap ilmu agama semakin meluas di kalangan orang ramai baik di
internet mahupun di luar internet. Di mana-mana sahaja orang mula berbicara
mengenai ilmu agama. Ini adalah satu perkembangan yang baik dan menunjukkan
bahawa akan datang, Islam akan menjadi gah semula dan tidak lagi
diperkotak-katikkan. In Sya Allah yang Maha Tinggi.
Zaman ini, kita adalah perintis kepada
kecemerlangan Islam akan datang. Maka perlulah kita memastikan ilmu agama yang
dipelajari adalah benar-benar bersih dari kekotoran mereka yang tidak
bertanggungjawab, baik dari orang bukan Islam, munafik dan dari orang Islam itu
sendiri supaya generasi akan datang lebih berilmu dan hebat semangatnya sesuai
dengan fitnah-fitnah yang bakal berlaku akhir zaman.
Internet mempunyai ‘sumber ilmu yang tidak terbatas’ dan pemantauan terhadapnya adalah
hampir mustahil. Jadi seeloknya, perlu ada satu piawaian atau penapisan sebelum
kita mengambil sumber-sumber dari internet ini. Malah boleh juga mengggunakan
kaedah ini sebelum mengambil apa-apa ilmu agama dari sesiapa dan di mana
sahaja.
(Maksud ‘sumber ilmu yang tidak terbatas’ itu adalah; sesiapa sahaja boleh
meletakkan atau menulis apa sahaja yang difikirkannya sama ada benar atau
tidak, ataupun ilmiah atau jahil)
Itulah tujuan risalah
ini dan ia dikhususkan kepada pengambilan sumber agama, iaitu penapisan sesuatu
pengajian seperti tafsir al Quran, hadis, doa-doa, artikel-artikel dan
lain-lain yang seumpamanya yang bercanggah dengan syariat Islam itu sendiri.
PERBINCANGAN
Umum mengetahui, sumber
syariat Islam adalah dari al Quran dan as Sunnah. Walaupun ijmak, qiyas dan
ijtihad digunakan, namun ia tetap bersumber dari al Quran dan as Sunnah. Begitu
juga sekiranya kita ingin mengambil sumber agama dari internet, ia hendaklah
bersumber dari al Quran dan as Sunnah. Persoalannya, bagaimana kita hendak
mengetahui ianya dari sumber yang tulin?
1.
Memastikan Sumber Itu Dari Akidah yang Benar
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang
fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan
suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan
kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
Surah Al-Hujuraat [49] : 6
Tidak boleh kita
mengambil sumber agama dari orang bukan Islam, kerana musuh Islam sentiasa
mencari jalan untuk mempertikaikan dan mencari-cari kesalahan agama Islam. Cara
mengenalinya dengan melihat ‘muqaddimah’ laman web tersebut. Contoh mudah, dari
blog ini sendiri.
Pertama : Kami meletakkan (Surah Al-Hajj [22]:78) menerangkan
keimanan kepada para Nabi dan Rasul dan menyatakan keIslaman. Tetapi ini tidak
mencukupi.
Kedua : Kami meletakkan asas ikutan kami adalah Nabi Muhammad
sallahu ‘alaihi wasallam (saw) dan membenarkan kerasulannya (Surah Al-Ahzab
[33]: 21).
Ketiga : Meletakkan hadis mutawatir, bahawa barangsiapa yang
menipu menggunakan nama Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam (saw) diancam ke
neraka. Ia adalah ikrar bahawa hadis di dalam blog ini adalah dipercayai.
Keempat : Kemudian kami meletakkan pengenalan diri dengan dimulakan
puji-pujian hanya kepada Allah yang Maha Agung dan mengakui tiada tuhan selain
Allah, kerasulan Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam (saw) serta tidak
mengingkari para sahabat radiyallahu anhum (r.a).
Maka jika anda mahu
berdakwah, menulis mengenai Islam atau mengenai sesuatu yang berkaitan dengan
agama melalui internet (blog dan sebagainya), hendaklah melengkapi
sekurang-kurangnya perkara ‘keempat’ di atas. Iaitu, lafaz kalimah tauhid yang
menerangkan akidah anda. Ini
adalah perkara paling utama.
Antara laman web yang
tidak dibenarkan mengambil sumbernya kerana bertentangan dengan akidah adalah;
Contoh 1 : Pengajian Sahih Muslim – Dilihat seperti ia menjelaskan
mengenai hadis, tetapi sila lihat muka depan laman web ini (Answering Islam).
Sebenarnya apa yang diperjelaskan melalui laman itu ternyata satu usaha menolak
dan mempertikaikan sumber kitab hadis yang utama. Penjelasannya hanya
berdasarkan kejahilan dan penolakan kepada kebenaran.
Contoh 2 : Jemaah Al Quran – Dilihat muka depan laman web ini
seperti ia memperjuangkan agama Islam dan cuba membawa umat Islam kembali
kepada al Quran. Tapi sayangnya, penafsirannya hanya mengikut logik akal
semata-mata dan penuh dengan sangka-sangka. Sila lihat laman ‘page’ ini (Keluar
Dari Kejumudan), di mana beliau mencela kesahihan sahih Bukhari dan seluruh
kitab hadis sahih yang lain.
Telah disepakati oleh
para ulama bahawa hadis di dalam sahih Bukhari telah lengkap segala sanadnya
dan diiktiraf kesahihannya secara ilmiah, bukan sangka-sangka. Begitu pula
kitab-kitab hadis sahih yang ada sekarang telah lengkap pentahkikan dan
pentakhrijannya.
Maka sesiapa yang
menolak hadis sahih, sama seperti menolak para sahabat r.a. Menolak para
sahabat sama seperti menolak Rasulullah saw. Menolak Rasulullah saw sama
seperti menolak al Quran. Menolak al Quran sama seperti mengingkari Allah yang
Maha Agung.
Orang-orang seperti
ini diancam kekal di dalam neraka, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya dan melanggar
ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya;
dan baginya siksa yang menghinakan.”
Surah An-Nisaa' [4] : 14
Manakala, mereka yang
taat pada Allah dan Rasulnya, iaitu mengikuti apa yang disampaikan melalui al Quran
dan as Sunnah;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Barangsiapa taat kepada Allah dan RasulNya,
nescaya Allah memasukkannya ke dalam
syurga yang mengalir di dalamnya
sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang
besar.”
Surah An-Nisaa' [4] : 13
Ini adalah contoh
laman web yang tidak meletakkan prinsip atau pegangannya atau akidahnya yang
sebenar dan ternyata di dalamnya penuh kepura-puraan dan sangka-sangka. Ini
terkecuali sekiranya laman web itu memang seorang yang dikenali atau mahsyur,
seperti laman web Ustaz
Zaharuddin, Dr. Mohd Asri (Dr. Maza) dan lain-lainnya.
Namun kami berharap,
langkah ini diikuti oleh semua pendakwah internet bagi membezakan antara satu
sama lain (yang benar dan batil) dan sebagai langkah berjaga-jaga serta
pengambilan dari sumber yang salah dapat dikurangkan.
PERHATIAN : Ini bukanlah pendapat saya sewenang-wenangnya, sila lihat
tafsir al Quran, kitab-kitab hadis, kitab-kitab ulama dahulu dan sekarang. Sila
baca ‘muqaddimah’ mereka. Semuanya bermula dengan ikrar tauhid selepas
puji-pujian kepada Allah yang Maha Agung.
Malah al Quran
sendiri dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang seterusnya penafian kepada kekuasaan lain kecuali, hanya Allah yang
Maha Memelihara dan Mentadbir seluruh alam semesta.
(Rujuk Surah
Al-Fatihah [1] : 1-2).
2.
Mengelakkan Mengambil Sumber Tanpa Rujukan
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan
siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran
berita bohong itu baginya azab yang besar.”
Surah An-Nuur [24] : 11
a. Al Quran
Setiap ayat al Quran
hendaklah diletakkan nama surah, nombor surah dan ayat, supaya mudah untuk
diperiksa kembali. Tidak boleh,
hanya menulis ;
‘Allah
berfirman bahawa lelaki dan wanita mencuri hendaklah dipotong tangannya.’
Kesalahannya adalah
tidak meletakkan rujukan surah tersebut. Sekiranya tidak diletakkan rujukan
surah, boleh mendatangkan kekeliruan sama ada ia dari al Quran atau hadis
qudsi. Contoh hadis qudsi;
‘...Allah
Taala berfirman, Aku membahagikan solat itu antaraKu dengan hambaKu kepada dua
bahagian.’
Kedua-duanya ditulis
Allah berfirman, tetapi satu dari al Quran dan satu lagi dari hadis. Ini boleh mengelirukan
ramai orang. Jadi laman web yang terdapat tulisan sebegini mesti dielakkan.
b. Hadis
Setiap hadis yang
dikeluarkan hendaklah, sekurang-kurangnya menulis status hadis tersebut sama ada
sahih, hasan, daif, palsu dan sebagainya serta dimanakah hadis itu diambil
berserta periwayatannya. Contoh;
Contoh hadis 1 : Daripada Anas r.a :"Sekali pandang muka orang alim adalah lebih aku
sukainya daripada ibadah enam puluh tahun; puasanya dan qiamulailnya."
(MAUDHU’ / Hadis PALSU, [0035] Jilid ke-2, bab Mengenai Keutamaan Ilmu - HImpunan
Hadis-Hadis Maudhu [Edaran : Al-Hidayah Publishers]
Contoh hadis 2 : Daripada Abu Bakar r.a : Rasulullah saw bersabda, "Dajjal akan keluar dari
belahan bumi sebelah timur yang disebut Khurasan. Dia diikuti oleh beberapa kaum.
Wajah mereka terlihat seolah seperti perisai yang menutupi." [2237] Sahih. At-Tirmidzi dan Sahih Ibnu Majah
Sekiranya hanya
ditulis, ‘Nabi saw bersabda bahawa sabar itu separuh dari iman’, tanpa
meletakkan seperti contoh di atas, maka haram baginya mengambil, menggunakannya
dan menyebarkannya. Malah perkataan ‘sabar separuh dari iman’ itu juga tidak
diketahui asalnya, yang sahih adalah;
Di dalam Sahih Bukhari hadis bernombor 19 : Dari Salim bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya malu itu separuh dari iman."
c. Artikel atau
Tulisan lainnya
c.1. Tidak
bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
Contoh; lihat artikel
ini (RakanMasjid.com / Sayyidah / Scribd).
Di antaranya si penulis berkata,
‘Hingga pada suatu
malam, dia
bermimpi dan bertanya kepada Tuhan, "Ya Allah, mengapa perempuan mudah
menangis?" Dalam mimpinya dia merasa seolah-olah mendengar jawapannya...’
Perkataan
ini benar-benar bertentangan dengan akidah seperti firmanNya yang bermaksud :
“Dan tidak mungkin bagi seorang manusiapun bahawa Allah berkata-kata
dengan dia kecuali dengan perantaraan
wahyu atau di belakang tabir atau
dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan
seizinNya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha
Bijaksana.”
(Surah 42, Asy-Syuura : 51)
Perkara itu hanya
khusus kepada para Nabi dan Rasul sahaja, dan adalah mustahil sama sekali dan
tidak mungkin mana-mana manusia (selepas kewafatan Rasulullah saw) mengatakan
bermimpi mendengar tuhan berkata-kata dengannya kecuali orang-orang yang sesat
dan terencat akalnya (Sila lihat Artikel - Tipu Daya Iblis Zaman Ini). Maka
sumber seperti ini dilarang menyebarkannya.
c.2. Membuat notakaki
atau penjelasan mengenai sesuatu tulisan atau menjelaskan sumbernya.
Contoh 1 : Hirabah
atau pemberontakan adalah sekumpulan orang yang bersenjata di negara Islam
keluar untuk mengadakan kekacauan, rusuhan, pertumpahan darah, merosakkan
tanaman.... (Bersumber dari
Fiqh Sunnah Jilid 5 halaman 167).
Contoh 2 : Artikel Tujuan Menuntut Ilmu - Menegakkan
agama Islam bermaksud..... Ia merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan
negara serta meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam berpandukan al Quran dan
As-Sunnah. (Rujukan : Krisis Dalam Pendidikan Islam - Dr. S.S Husain
dan Dr. S.A Ashraf )
Notakaki adalah
sangat penting kerana ia merupakan sumber rujukan mengenai apa yang
diperkatakan. Ia juga boleh digunakan sebagai dalil dan pemahaman kepada
maksud-maksud tertentu. Sumber tulisan seperti ini (yang tiada sumber
rujukannya) tidak layak dijadikan hujah, hanya sekadar bacaan santai.
3.
Menghindari Laman Web yang Menghina Ulama
Berikut adalah firman
Allah yang Maha Agung mengenai pembersihan nama Ummul Mukminin ‘Aisyah r.ha.
Namun, ini juga merupakan pengajaran kepada para mukminin dan mukminat supaya
bersangka baik. (Rujuk tafsir
Ibn Katsir halaman 270 juz 16-19)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Mengapa di waktu kamu
mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap
diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak)
berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata" (kerana tidak
mendatangkan bukti).”
(Surah 12, An-Nuur : 24)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“(Ingatlah) di waktu kamu
menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulut mu
apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu
menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi
Allah adalah besar.”
(Surah 24, An-Nuur : 15)
Banyak laman web yang
menghina para ulama baik dari ulama salaf, khalaf dan ulama masakini. Amat
mendukacitakan kerana mereka mengkritik tanpa ilmiah dan hanya terikut-ikut
rentak orang-orang yang tidak diketahui latarbelakangnya. Saya tidak meletakkan
contoh di sini, memadai dengan tajuk di atas.
Sekiranya terdapat
laman web yang menghina para sahabat r.a, dan para ulama lainnya seharusnya
dielakkan dan jangan mengambil
apa-apa sumber yang terdapat dalam laman web tersebut, kerana mereka tidak lain
hanya mengikut nafsu semata dan taksub malah mengkafirkan orang yang tidak
sealiran dengan mereka.
Termasuk dalam
kategori ini adalah laman web yang mengandungi unsur-unsur fitnah kepada para
ulama, pemimpin atau mana-mana individu. Larangan ini jelas di dalam al Quran
dan hadis;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“kamu katakan dengan mulut mu
apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi
Allah adalah besar.”
(Surah 24, An-Nuur : 15)
Daripada Hudzaifah
r.a : Rasulullah
saw bersabda,
“Tidak
dapat masuk syurga, orang-orang yang menyiar-nyiarkan berita untuk mengacau
(merusuh).”
[0082] Sahih Muslim
Firman Allah swt yang bermaksud :
Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa,
Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya (tidak diketahui latarbelakangnya).”
(Surah 68, Al Qalam : 10-13)
PENUTUP
Tidaklah risalah ini
bertujuan menghina mana-mana usaha dakwah dari laman-laman web yang ada, ia
sekadar salah satu cara untuk mengelakkan dari mengikut secara membuta-tuli apa
yang ditulis oleh orang-orang yang sengaja memperlekehkan Islam ataupun orang
yang tidak sengaja (kerana jahil).
“Sesungguhnya
Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha
Mengetahui segala isi hati.”
(Surah 35, Faathir : 38)
Moga risalah ini
dapat dipanjangkan kepada para sahabat-sahabat yang lain dan semoga Allah yang
Maha Agung menghindarkan kita dari ilmu yang tidak bermanfaat.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru
kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar;
merekalah orang-orang yang beruntung.”
Surah Ali 'Imran [3] : 104
Rujukan :
Al Quran dan
terjemahan, Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Abbas
Kitab Hadis-Hadis Sahih
dan Al-Jamiush Shaghir
Manahij
Al-Muhaddithin [Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosni Wazir]
The History Of
Quranic Text [Prof. M.M Al-A’zami]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan