PENDAHULUAN
Firman Allah swt yang bermaksud :
“(Allah) yang mengetahui apa yang ada di
hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu
pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).”
Surah Al Baqarah [2] : [255]
PENGENALAN
Asas bagi penulisan artikel ini adalah dari buku-buku
yang banyak menulis tentang metod berdakwah, ciri-ciri pendakwah, mendekati
orang yang ingin didakwahkan dan sebagainya. Tetapi, penulisan mengenai
siapakah orang paling sukar menerima dakwah adalah sangat kurang.
Contohnya, apabila ditanya kepada beberapa orang Islam,
apakah isi khutbah jumaat (selepas solat jumaat), mereka tidak ingat malah ada
yang tertidur. Ditanya pula apakah isi ceramah, tazkirah dan seumpamanya pada
beberapa orang selepas tamat sesi tersebut, jawapan mereka lebih kurang sama.
Perkara ini berlaku pada kebanyakan orang, anda boleh bertanya kepada diri
sendiri dan boleh juga bertanya pada orang lain untuk melakukan ujikaji sendiri
jika mampu bagi memastikan kebenarannya.
Mengenai orang bukan Islam pula, apabila ditanya mengenai
agama Islam, mereka lebih mempercayai media cetak, media elektronik, ‘media
angin’ (khabar angin), memerhatikan tingkahlaku orang Islam yang buruk dan
menganggap semua agama adalah sama. Malah tidak kurang juga yang mengatakan
Islam menggalakkan keganasan dan mencabuli hak kemanusiaan serta melanggar ‘Deklarasi
Universal Hak Asasi Manusia’ (saya menggelarnya Deklarasi Dajjal). Contoh yang
diberi seperti poligami, menutup aurat dan sebagainya.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Mereka itulah orang-orang yang
hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan
mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Ayat ini ditujukan kepada orang kafir. Sila lihat empat
ayat sebelumnya).
Surah An-Nahl [16] : 108
Sebenarnya mengetahui perkara ini (perkara yang
menyebabkan sukar menerima dakwah) adalah perkara yang sangat penting kerana
segala isi pengajaran yang didapati dalam sesi pembelajaran atau dakwah itu
perlu diaplikasikan di dalam diri. Maksudnya ialah, dakwah perlu difahami
kemudian memastikan kebenarannya serta menerima kebenaran itu dengan jujur dan
barulah diyakini serta beramal dengannya.
Satu contoh yang mudah; jika seseorang berdakwah
mengatakan sembahlah Allah yang Maha Besar, maka perlu kita fahami makna ‘Maha
Besar’ itu. Iaitu, tidak ada yang lebih besar melainkan Allah. Kebenarannya,
lihatlah isi di langit dan di bumi. Mampukah manusia sekecil kita mencipta
semua itu (mencipta bulan, matahari, tanah, lautan dan lain-lain)? Kemudian
terimalah kebenaran itu dengan jujur dan seikhlas hati dan mengucapkan tiada
tuhan selain Allah yang Maha Besar.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Katakanlah: "Taat kepada
Allah dan taatlah kepada rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya
kewajiban rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu
sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya,
nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajiban rasul itu melainkan
menyampaikan (amanat Allah) dengan terang."
Surah An-Nuur [24] : 54
ISI PERBINCANGAN
Persoalannya, sejauh mana dakwah para pendakwah
benar-benar berkesan terhadap penerima dakwah? Sedikit kajian, pemerhatian dan
penelitian dalam al Quran, Hadis dan sirah Nabi Muhammad saw, didapati beberapa
golongan yang sangat sukar menerima dakwah dan berdakwah kepadanya. Moga-moga kita terhindar dari menjadi golongan seperti
ini, antaranya;
1. Mereka yang Menolak Kebenaran
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya binatang
(makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak
mengerti apa-apapun.”
Surah Al-Anfaal [8] : 22
Maksudnya, manusia yang paling buruk di sisi Allah yang
Maha Agung ialah yang tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. (Rujukan :
Tafsir Ibn Katsir)
Zaman ini : Setelah mendengar seruan Nabi Muhammad
salallahu ‘alaihi wasallam (saw) mereka mengingkarinya dan mengatakan itu
adalah amalan orang-orang lama (konservatif) dan pemikiran yang beku (jumud).
Mereka menolak hadis-hadis dari Rasulullah saw dengan pelbagai alasan, malah
mengatakan hadis-hadis inilah punca perselisihan dan perpecahan umat Islam
sekarang.
Orang-orang seperti ini sangat sukar menerima dakwah
kerana mereka sendiri enggan mengakui akan kebenaran al Quran dan Nabi Muhammad
saw. Perkara ini bukan hanya terjadi pada orang kafir dan munafik sahaja, malah
tergolong juga pada orang-orang yang mengaku Islam pada mulutnya, tetapi tidak
beriktikad dalam hatinya.
Mereka tetap bersolat dan melaksanakan ibadah sebagai
seorang muslim, tetapi mereka menolak apa yang diperintahkan Allah yang Maha
Agung melalui RasulNya dan sebenarnya mereka tidak mengetahui mereka telah
cenderung kepada kemunafikan dan kekufuran. Contohnya; Mereka mengatakan ada
perkataan dan hukum yang lebih baik dari al Quran, malah mencaci pula
Rasulullah saw dan para sahabatnya r.a.
Daripada Abu Hurairah : Rasulullah saw bersabda,
"Barangsiapa taat
kepadaku, bererti dia telah taat kepada Allah SWT; dan barangsiapa
menderhakaiku, bererti dia derhaka kepada Allah SWT."
(0003) [Sahih Ibnu Majah]
2. Mereka yang Taksub Mengikuti Tradisi
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan apabila
dikatakan kepada mereka:
"Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa
yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami." "(Apakah
mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui
suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"
Surah Al-Baqarah [2] : 170
Maksudnya, mereka yang telah diseru supaya mengikut
perintah dan larangan Allah yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan
tradisi nenek moyang tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan
membuat sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)
Zaman ini : Manusia zaman ini pula tidak terlepas dari
mengikut tradisi nenek moyang mereka walaupun ia bertentangan dengan syariat.
Amalan-amalan khurafat zaman dahulu seperti keris sakti pusaka, cincin geliga
yang mampu menyembuh penyakit, gelang dan rantai yang dapat memberi kesihatan
dan pelbagai lagi sekutu-sekutu yang diciptakan bagi menidakkan kekuasaan Allah
yang Maha Agung.
Selain itu ada pula yang mengikuti tradisi kitab. Apabila
berdakwah kepadanya mengenai sesuatu amalan atau ibadah yang bercanggah dengan
syariat dan dikemukakan kebenaran dan faktanya, mereka mengatakan kitab itu
hasil nenek moyang mereka dan mereka tetap mengikut kitab itu. Walhal kitab itu
penuh penyelewengan seperti penuh hadis palsu, salah faham dalam penafsiran dan
sebagainya.
Orang-orang seperti ini sangat sukar berdakwah kepadanya
kerana mereka begitu taksub dengan tradisi mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Barangsiapa menyeru ke jalan
petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang
mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun dari pahala-pahala amal mereka
sama sekali. Barangsiapa menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya
dosa semisal (sama) dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi
sedikitpun dari dosa-dosa mereka sama sekali.” (0172) [Sahih Ibnu Majah]
3. Menyangka Majoriti adalah Kebenaran
Apa yang dimaksudkan adalah; melihat ramai orang yang
melakukan sesuatu kemungkaran, dan kita menyangka bahawa perkara itu dibolehkan
dalam syariat. Contohnya wanita yang memakai tudung yang jarang, wanita yang
berbaju lengan pendek dan mempamerkan bentuk badan, wanita yang menyanyi di
pentas (anugerah itu dan ini) dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan
syariat.
Walaupun contoh di atas pelakunya adalah wanita, tetapi
di belakangnya terdapat kaum lelaki yang membiarkan malah menganjurkannya pula
kerana mereka (lelaki) juga menyangka perkara itu dibolehkan. Ini termasuk para
suami dan para bapa; sedangkan lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita dan
mereka akan ditanya tentang kepimpinan mereka.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum
wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas
sebahagian yang lain (wanita).”
Surah An-Nisaa' [4] : 34
Apabila tiba hari pembalasan, orang yang dipimpin akan
mula menyalahi para pemimpinnya kerana terlalu takut.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan mereka berkata: "Ya
Tuhan kami, sesungguhnya
kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami
dari jalan (yang benar).”
Surah Al-Ahzab [33] : 67
Apa yang penting adalah, kebenaran itu didasari dengan
ilmu. Di manakah pula cara, atau sumber kepada ilmu bagi mendapatkan kebenaran?
Jawapannya adalah; al Quran dan Hadis termasuk juga ijtihad dan kesepakatan
seluruh ulama. Selain itu terdapat juga ijtihad perseorangan ulama yang
muktabar (kepelbagaian pendapat).
Kebenaran itu tidak semestinya mengikut majoriti, jika
terdapat kesalahan dan kesilapan orang terdahulu kemudian setelah diketahui
kebenarannya, hendaklah kita menerima dengan hati yang terbuka dan perbetulkan kembali
kesalahan dan kesilapan itu agar tidak membiarkan generasi akan datang terus
menerus dalam kesilapan.
Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Kalau amanah tidak lagi
dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran.”
Ia (Abu Hurairah) bertanya,
‘Bagaimana orang (yang) tidak memegang teguh amanah itu ya Rasulullah?’
Beliau (Nabi saw) menjawab,
“Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka
tunggulah saat kehancuran.”
(1746) [Sahih Bukhari]
4. Mereka yang Berilmu Pengetahuan
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Maka tatkala datang kepada
mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa
keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada
mereka dan mereka dikepung oleh azab
Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.”
Surah Al-Mukmin [40] : 83
Di antara orang yang paling sukar didakwahkan juga adalah
orang yang ‘menyangka’ dia sudah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup.
Sebarang pendapat yang berlainan dengannya akan ditentang habis-habisan
walaupun bertentangan dengan hadis Nabi saw. Mereka akan berhujah dengan kitab
itu dan ini, kata-kata guru itu dan guru ini malah mereka lebih mengikut
pendapat guru dan kitab mereka melebihi perkataan Rasulullah saw sendiri.
Apa yang lebih melucukan adalah, mereka menggunakan dalil
yang langsung tidak layak seperti suratkhabar, radio dan sebagainya bagi
menentang atau beralasan menolak hadis Rasulullah saw.
Hadis diringkaskan daripada
Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda,
“....Kamu akan melihat
perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada
Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah
dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap
bidaah (perkara baru dalam agama) adalah sesat.”
(0040)
5. Orang yang Mempunyai Pangkat, Harta dan Kuasa
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Maka apabila manusia ditimpa
bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami,
ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana
kepintaranku." Sebenarnya
itu adalah ujian,
tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.”
Surah Az-Zumar [39] : 49
Umum kita mengetahui sepanjang sejarah dakwah para Rasul
dan Nabi mempunyai banyak tentangan dari orang yang mempunyai pangkat, harta
dan kuasa (sila rujuk sirah para Nabi dan Rasul). Keadaan ini berterusan pula
sehingga ke hari ini, tetapi perlu diingat bahawa pengulangan sejarah ini
adalah sebagai satu pengajaran buat umat zaman akhir ini. Apakah yang telah
terjadi kepada orang-orang yang menentang risalah Rasul mereka? Mereka menerima
kebinasaan di dunia dan di akhirat.
Mereka menganggap segala nikmat yang diberikan oleh Allah
yang Maha Agung adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Mereka lupa bahawa
nikmat itu pasti akan ditanya kembali pada hari pembalasan mengenai apakah yang
telah mereka perbuat terhadap nikmat itu. Mari kita perhatikan kata-kata Qarun;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Qarun berkata: "Sesungguhnya
aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia
tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat
sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?
Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang
dosa-dosa mereka.”
Surah Al-Qashash [28] : 78
Kedua-dua ayat di atas menyatakan akan kesombongan
golongan yang kelima ini. Apabila didakwahkan kepada mereka agar mentaati
perintah Allah yang Maha Agung dan RasulNya, mereka sangat sombong; mereka
berkata ada perkataan yang lebih baik dari itu pada zaman moden ini. Tujuan
mereka tidak lain hanyalah untuk menambah kekayaan mereka sahaja dan takut rugi
dari segi kehilangan pengaruh dan kuasa.
Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Setiap umatku masuk ke dalam
syurga, selain orang yang enggan.”
Mereka bertanya, ‘Ya,
Rasulullah, Siapakah yang enggan (masuk syurga) itu?’
Jawab Nabi saw, “Siapa yang
mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku, maka
sesungguhnya orang itu enggan(masuk syurga).”
(1952) [Sahih Bukhari]
6. Sangka Buruk
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan
janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjing (memfitnah,
mengumpat atau mengata) satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka
memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima
Taubat lagi Maha Penyayang.”
Surah Al-Hujuraat [49] : 12
Mereka ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain,
terutamanya kepada orang-orang yang mempunyai kelebihan dari mereka. Mereka
mencari-cari kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga
menganggap mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih
rendah dari mereka.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi
yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan
perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu
lebih baik. Dan janganlah
suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan
gelaran yang mengandung ejekan.”
Surah Al-Hujuraat [49] : 11
Mencela diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin
yang lain. Orang seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang
lain semua sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah.
Padahal di dalam al Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan
orang yang jahil.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Katakanlah: "Adakah sama
orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"
Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”
Surah Az-Zumar [39] : 9
Daripada Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Orang yang sangat dibenci
Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.”
(1915) [Sahih Bukhari]
PENUTUP
Setelah kita mengenali enam golongan di atas, dapatlah
kita memperbaiki diri agar lebih mudah menerima pendapat orang lain dan
bertolak ansur sesama saudara se-Islam. Mungkin juga kita tergolong dalam salah
satu golongan di atas, tetapi kita tidak menyedarinya selama ini.
Kepada para pendakwah, strategi yang betul diperlukan
bagi menarik minat orang ingin didakwahkan agar dakwah itu benar-benar memberi
pemahaman kepada penerimanya. Selain itu, isu-isu yang diutarakan juga perlulah
lebih segar, iaitu isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan semasa supaya
contoh-contoh yang diberikan nampak lebih jelas dan mudahlah untuk mereka
memahaminya.
Hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayanglah kita memohon perlindungan agar terhindar dari menjadi enam
golongan di atas. Kesabaran dalam berdakwah amat diperlukan, janganlah sesekali
berputus asa kerana putus asa hanyalah sikap orang kafir.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta
orang-orang yang sabar.”
Surah Al-Baqarah [2] : 153
Daripada Mu’awiyah r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Sentiasa ada segolongan umatku
yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Taala. Mereka tidak akan celaka
oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan
mereka tetap menang atas semua manusia.”
(1873) [Sahih Muslim]
Rujukan:
Terjemahan Al-Quran dan Tafsir Ibn Katsir
Hadis-hadis sahih
Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad Saw [Abu Mazaya
Al-Hafiz]
Metodologi Dakwah [Prof. Dr. Abd Aziz bin Mohd. Zin]
As-Sunnah dalam mengamalkan As-Sunnah [Ustaz Fadlan bin
Mohd. Othman]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan