Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 17 April 2014

Q 40 : KEDUDUKAN AS SUNNAH DALAM ISLAM

Kewajipan Beriman dan Beramal Dengan as Sunnah

As Sunnah merupakan sumber hukum kedua selepas al Quran. Di dalamnya bukan sahaja terdapat perkara-perkara berkaitan akidah, ibadah, muamalat, politik malah meliputi kesuruhan kehidupan termasuk kerohanian, psikologi, akhlak, pendidikan, kesihatan, kesukanan, hiburan, masakan serta seluruh perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan di dunia dan di akhirat.
Ini menjadikan as Sunnah merupakan satu panduan yang lengkap dan seimbang kepada seluruh manusia tanpa mengira agamanya, tabiatnya, minatnya, pekerjaannya, pangkat kebesarannya atau apa sahaja yang berkaitan dengan individu dan masyarakat; sesuai dengan terutusnya Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam (saw) sebagai rahmat kepada seluruh alam.
As Sunnah bukan sahaja lengkap dan seimbang, malah mempraktikkannya juga adalah sangat mudah kerana ia melibatkan keperluan dalam kehidupan harian manusia. Contohnya, cara berdoa, cara makan, adab bermasyarakat dan segala yang berkaitan dengan kehidupan seharian.
Umat Islam amat memerlukan as Sunnah kerana ia menjelaskan dan memberikan tatacara dalam menjalani kehidupan dengan sebenar menurut apa yang dikehendaki oleh Allah Subhana wa Taala dan ia sebenarnya merupakan satu rahmat yang besar kepada seluruh manusia sebagai pedoman atau jalan atau panduan.
Umat Islam hendaklah merujuk kepadanya, mempercayainya dan melaksanakannya apabila telah sabit kesahihannya atau disepakati ulama akan diterimanya sesebuah hadis itu (maqbul). Ia sesuai dengan apa yang telah difirmankan oleh Allah Taala yang bermaksud;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan tidaklah patut bagi lelaki mahupun perempuan mukmin, apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu ketetapan dalam urusan mereka, mereka memilih pilihan lain. Barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, sungguh dia telah nyata-nyata sesat.”
(Surah 33, Al-Ahzab : 36)

Maka, mana-mana lelaki dan perempuan mukmin, tiada pilihan lain bagi mereka kecuali mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh Allah Taala melalui utusanNya Nabi Muhammad saw dalam urusan mereka. Berpaling darinya, maka bermakna ia telah sesat dengan jelas.

Firman Allah swt yang bermaksud :


“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah 49, Al-Hujuraat : 1)

Di antara ayat lain yang menjelaskan akan kedudukan sunnah dalam dalam Islam adalah,

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Katakanlah, ‘Taatilah Allah dan RasulNya! Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”
(Surah 3, Ali Imran  : 32)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“...Dan barangsiapa menderhakai Allah dan rasulNya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya dan mendapatkan siksa yang menghinakan.”
(Surah 4, An-Nisaa’ : 14)

Selain dari kesesatan, orang yang menolak sunnah juga diancam kekal di dalam neraka. Terdapat banyak lagi perintah dalam mewajibkan mengikuti as Sunnah di dalam as Quran. Pengingkaran atau penolakan terhadap sunnah yang telah jelas kesahihannya serta apa yang telah disepakati oleh para ulama, sama seperti menolak al Quran.
Contoh yang disepakati oleh para ulama seperti apa yang diperjelaskan oleh Rasulullah saw adalah; pengakuan tauhid, penjelasan tatacara bersolat, pengharaman memakan daging binatang yang mempunyai taring, penjelasan had potong tangan para pencuri dan lain-lain lagi. Dalam sebuah hadis mengenai golongan anti hadis;

Daripada Al-Miqdam bin Ma'diy r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Hampir saja seseorang lelaki yang bersandar di sofa mewah (mengenai golongan anti hadis akhir zaman) menceritakan hadis dari ku, ia (golongan anti hadis) berkata:
“Di antara kami dan kalian ada Kitab Allah Subhanallahu wa Taala, maka apa yang kami dapati sebagai suatu yang halal akan kami halalkan, dan apa yang kami dapatkan suatu yang haram maka kami haramkan' (golongan anti hadis ini hanya menerima al Quran sahaja dan menolak hadis).”
(Kata Nabi saw) : Ketahuilah apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw adalah (sama) seperti (apa) yang diharamkan oleh Allah Subhanallahu wa Taala.”
[585] Hadis Maqbul – Al-Darimi

Berdasarkan ayat-ayat al Quran dan hadis di atas maka adalah menjadi tanggungjawab kita agar kembali kepada sunnah dan berusaha mengamalkannya sesuai dengan apa yang difirmankan oleh Allah Subhana wa Taala melalui al Quran dan dari sunnah RasulNya agar kita tidak tergolong di dalam golongan yang sesat dan kekal di dalam neraka.

Antara Cara Berinteraksi Dengan Al-Hadis

Maksud berinteraksi dengan hadis ini adalah bagaimana cara kita berkomunikasi atau mengambil sesuatu hadis dan memahaminya (secara umum) sebelum beramal serta menyebarkannya.

1. Jangan membuat fatwa atau menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya kepada orang lain kecuali jika kita memang berupaya dan berpengetahuan dalam al Quran, Jalur Periwayatan Hadis yang lain, Usul Fiqh dan ilmu-ilmu yang lain seumpamanya.
Ini adalah bagi mengelakkan diri dari terjerumus kepada menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal atau mengkafir dan mensesatkan (bidaah) orang sesuka hati.

2. Berfikirlah dengan adil, dengan pemahaman yang benar berpaksikan Al-Quran dan Al-Hadis (berdasarkan pemahaman para sahabat r.anhum dan para tabiin sebelum berijtihad) serta tidak melanggar hukum-hukum syariat. Contohnya;
Hadis : “Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.” (Sahih Muslim)

Seimbas dilihat seperti kita lebih tahu urusan dunia kita. Terdapat orang-orang yang tidak bertanggungjawab menggunakan hadis ini dengan takwil bahawa kita boleh mencipta undang-undang sendiri, ekonomi sendiri berasaskan jalan yang haram dan pelbagai lagi tanpa perlu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah secara keseluruhan. Ini tidak benar, kerana dalam hadis yang penuh;

Daripada 'Aisyah dan dari Tsabit daripada Anas r.a : Nabi saw pernah melalui suatu kaum yang sedang mengahwinkan (mengacukkan) pohon kurma lalu Beliau bersabda:

"Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik."
Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak (hasilnya tidak menjadi). Hingga suatu saat Nabi saw melalui mereka lagi dan melihat hal itu, Beliau bertanya: “Ada apa dengan pohon kurma kalian?”
Mereka menjawab, ‘Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu (tidak perlu mengacukkan kurma)?’
Beliau lalu bersabda: “Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.”
[4358] Sahih Muslim

Maksudnya; hadis tersebut berkenaan pengacukkan kurma, bukannya hal-hal mengenai dasar-dasar pemerintahan, ekonomi, undang-undang dan sebagainya. Malah dalam riwayat yang lain, terdapat lafaz sambungannya;

Daripada 'Aisyah r.a berkata : ..... (Diringkaskan hadis seperti di atas, dan sambungannya) Nabi saw bersabda,

"Jika sesuatu itu menyangkut urusan dunia kalian maka itu urusan kalian, tetapi jika menyangkut urusan agama kalian maka kembalikanlah kepadaku."
[2462] Sahih Ibnu Majah

Ini bermakna kita tidak boleh membuat hukum-hukum atau undang-undang ciptaan sendiri dalam bab agama, tetapi boleh jika ia berkaitan dengan hal-hal keduniaan seperti sains pertanian, mencipta telefon, komputer, enjin, kapal terbang dan teknologi-teknologi moden yang lain asalkan tidak menyalahi dan membelakangi syariat.

3. Jangan mentakwil sesuatu hadis yang tidak jelas pada akal fikiran atau di luar bidang kemampuan, sebaliknya tanyalah kepada para ahli ilmu. Ia terbahagi kepada dua, iaitu;

(a). Mukhtalaf al-hadis, iaitu dua hadis yang maqbul, tetapi bercanggah antara satu sama lain, contohnya;

Daripada Anas bin Malik r.a : 

“Nabi saw melarang minum sambil berdiri.”
[3771] Sahih Bukhari

Dalam hadis yang lain pula;

Daripada Ibnu Umar r.a ia berkata : 

"Pada masa Rasulullah saw kami(para sahabat) pernah minum sambil berdiri dan makan sambil berjalan."
[4535] Sahih Riwayat Ahmad

Mengenai hal ini, ulama lebih mengutamakan menggabungkan kedua-duanya dari melakukan pentarjihan (menolak salah satu). Perkara ini sangat penting kerana berapa ramai orang sekarang terlalu mudah menjatuhkan hukum sesat dan bidaah antara satu sama lain.

(b). Mushkil al-hadith, iaitu hadis yang diragui makna zahirnya kerana bertentangan dengan akal, contohnya;

Daripada Ibnu Umar r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Seorang mukmin itu makan dengan satu usus (perut), sedangkan orang kafir makan dengan tujuh usus (perut).”
[4974] Sahih Bukhari

Semua orang mengetahui dengan jelas, iaitu tidak kira orang kafir atau mukmin hanya mempunyai satu perut. Hadis ini adalah sahih dan jangan pula kita menolaknya dan anda boleh lihat di sini mengenai penerangannya
(http://hafizfirdaus.com/content/view/319/78/).

Perkara ini sangat penting kerana ramai orang yang menolak hadis atas alasan bertentangan dengan ilmu pengetahuan, jumud dan sebagainya. Ini hanyalah salah satu kaedah sahaja dan banyak lagi kaedah lain seperti ilmu nasikh al-hadith, ilmu gharib al-hadith, ilmu asbab wurud al-hadith dan sebagainya.

5. Jangan mengejek-ngejek hadis atau orang yang mengamalkan hadis walaupun dengan bergurau. Mengejek orang yang mengamalkan sunnah Nabi saw sama seperti mengejek hadis Nabi saw; mengejek hadis Nabi saw sama dengan menghina Nabi saw; menghina Nabi saw sama dengan mempertikai Allah Subhana wa Taala yang mengutus RasulNya. Contohnya;

(a). Mengejek (walaupun secara bergurau) orang yang menyimpan janggut dan memanggil mereka sebagai ‘terrorist’, taliban, janggut kambing dan lain-lain yang seumpamanya.

(b). Mengejek orang yang berdakwah dengan mencaci mereka seperti perkataan ‘macam bagus’, alim kucing, ‘poyo’ dan sebagainya.

(c). Melemahkan semangat orang-orang yang berjuang menegakkan Islam dengan alasan ‘kita tidak mampu berbuat apa-apa’ atau ‘mustahil kita dapat menegakkan sistem khilafah zaman ini.’ Ini adalah perkataan orang munafik.

(d). Jangan mencaci maki para ulama kerana ulama adalah pewaris para Nabi.

Berdasarkan hadis (yang diringkaskan);
Daripada Uwaimir bin Malik (Abu Darda’) r.a : Rasulullah saw bersabda,

“.....Para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu.....”
[3157] Sahih Abu Daud

Perkara ini dilakukan oleh kebanyakan orang masakini, malah orang yang mencaci para ulama ini bukan sahaja tidak mengetahui tentang hadis; menjawab salam dengan betul pun tidak tahu. Firman Allah Subhana wa Taala;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya kamu selalu berolok-olok?"
Surah At Taubah [9] : 65

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.”
Surah At Taubah [9] : 66

( Maksudnya : Kecuali mereka yang bertaubat kerana hal itu, tetapi orang yang mempermainkan taubatnya; iaitu setelah bertaubat mereka tetap memperolok-olokkan lagi, mereka tetap akan diazab kerana tabiat mereka yang suka mengejek Nabi saw dan melemahkan semangat orang Islam – kesimpulan dari Tafsir Ibn Katsir).

Antara Cara Beramal Dengan as Sunnah dan Mengambil Pelajaran Darinya

Bagi memudahkan cara memahami hadis, ia boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian;

(a). Hadis yang mudah difahami

Maksudnya hadis yang apabila dilihat dari sudut zahirnya saja kita sudah boleh memahaminya. Contohnya;
Hadis tentang akhlak : 

Daripada Abdullah bin Amr bin Ash r.a : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw, “Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?” Jawab Rasulullah saw, “Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya.”
(0033) Sahih Muslim

Hadis bersolat : 

Daripada Aisyah r.ha : Bahawa Nabi saw setelah salam (selesai solat), Nabi saw mengucapkan ‘Allaahumma antassalaam, wa mingkassalaam, tabaarokta yaa dzal jalaali wal ikraam.’ (Wahai Allah, Engkaulah keselamatan, daripadaMu kesejahteraan dan Maha Besar kebaikanMu, wahai Allah yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan).”
Abu Daud berkata, Sufyan mendengar daripada Amr bin Murrah. Kata mereka, “(Ia mendengar) lapan belas hadis.”
[Hadis 1512] Sahih Abu Daud

Hadis tentang zikir : 

Daripada Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda,

“Dua kalimat yang amat dikasihi (disukai oleh) Tuhan yang Maha Pemurah, ringan disebut lidah dan berat timbangannya (pahalanya), iaitu; ‘Subhaanallahi wabihamdihi, Subhaanallahil ‘azhim’ (Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya/kemuliaanNya, Maha Suci Allah dengan keagungan Nya).”
[2028] Sahih Bukhari

Hadis penakwilan secara zahir ini adalah yang paling banyak dalam kitab-kitab hadis. Beramal dengan hadis ini lebih diutamakan.
Kadangkala terdapat beberapa hadis yang walaupun dilihat seperti boleh memahaminya dengan mudah, tetapi agak bertentangan dengan akal, contohnya;

Hadis yang memerlukan tafsiran hadis lain : 

Daripada Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda,

“Barangsiapa menjulurkan kain sarungnya hingga di bawah mata kaki, maka tempatnya adalah neraka.”
[5341] Sahih Bukhari

Mengapa pakaian yang melebihi mata kaki (buku lali) boleh menyebabkan seseorang dimasukkan ke dalam neraka dan apa kaitannya dengan agama? Seolah-olah Nabi saw melarang seseorang melabuhkan pakaiannya. Bagaimana pula dengan wanita yang perlu menutup aurat?
Jika berjumpa hadis seperti ini, hendaklah kita melihat tafsirannya melalui hadis-hadis yang lain kerana para sahabat r.anhum lebih mengetahui mengenai apa yang dimaksudkan oleh Nabi saw. Zaman kita ini telah menyaksikan pembukuan hadis yang telah disusun mengikut bab-babnya atau menyatukan jalan periwayatannya dan memudahkan kita untuk mencari hadis-hadis yang bersangkutan mengenainya.
Namun sekiranya tidak mampu, maka bertanyalah kepada ahli ilmu. Bukan bertanya pada seorang sahaja, tanyalah kepada beberapa orang supaya kita tidak taksub mengenainya. Antara contoh hadis mengenai apa yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah;

Daripada ‘Abdullah ibn Umar : Nabi saw bersabda,

“Seseorang yang menyeret (labuh) pakaiannya kerana kesombongan tidak akan dilihat oleh Allah pada Hari Kebangkitan.”
[009] Hadis sahih dari Imam Malik dalam Al-Muwattho’

Dalam hadis yang lain;
Daripada Ibnu Umar r.a : Nabi saw beliau bersabda,

“Siapa yang menjulurkan pakaiannya (hingga ke bawah mata kaki) dengan sombong, maka Allah tidak akan melihatnya pada hari Kiamat kelak.”
Lalu Abu Bakar r.a berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah satu dari sarungku terkadang turun sendiri, kecuali jika aku selalu menjaganya?” Lalu Nabi saw bersabda, “Engkau bukan termasuk orang yang melakukan hal itu kerana sombong.”
[5338] Sahih Bukhari

Jadi apa yang dimaksudkan adalah; jika memakai satu pakaian kerana sombonglah yang akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke neraka. Andaikata kita memakai sarung walaupun di atas mata kaki tetapi di hati kita ingin mempamerkan logo sarung tersebut (gajah duduk, emirates) kerana menunjukkan mahalnya kain tersebut, maka tempatnya adalah neraka kerana sombong.
Jadi apabila anda memakai apa sahaja pakaian, niatkanlah ‘ini adalah pakaian untuk menutup aurat’ maka kita tetap tergolong dalam orang yang mentaati Allah dan mengikut sunnah RasulNya. Berdasarkan sebuah hadis;

Daripada Abu Umamah r.a dia mendengar Umar Bin Khaththab r.a berkata : Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa memiliki pakaian baru kemudian mengenakannya dan ketika sampai di tengkuknya dia membaca;
'Alhamdulillaahil ladzii kasaanii maa uwaarii bihi 'aurotii wa atajammalu bihii fi hayaatii (Segala puji bagi Allah yang telah memberikan pakaian kepadaku yang dapat menutup auratku dan dapat berhias dengannya dalam hidupku)’,
kemudian dia berniat dengan pakaian yang sudah usang atau yang sudah tidak dikenakan untuk diinfaqkan, maka dia berada dalam jaminan Allah Taala dan berada di sisi Allah serta berada dalam lindungan Allah baik hidup mahupun mati, baik hidup mahupun mati dan baik hidup mahupun mati.”
[288] Sahih Riwayat Ahmad

(b). Hadis yang pertengahan

Maksudnya hadis yang memerlukan perhatian khusus atau takwilan mengenainya.
Contohnya;

Hadis kiasan : 

Daripada 'Aisyah r.anha : Sebahagian isteri-isteri Nabi saw berkata kepada Nabi saw :

"Siapakan di antara kami yang segera menyusul anda (setelah kematian)?" Beliau bersabda: "Siapa yang paling panjang lengannya di antara kalian."
[1331] Sahih Bukhari

‘Panjang lengan atau tangan’ itu bermaksud orang yang paling banyak bersedekah bukan orang lebih panjang tangannya secara zahir. Para isteri Nabi saw juga salah faham mengenainya (pada mulanya sahaja) sehingga mereka mengukur tangan masing-masing untuk melihat tangan siapa yang lebih panjang.
Di dalam Bahasa Melayu panjang tangan bermaksud suka mencuri, tetapi dalam Bahasa Arab panjang tangan bermaksud orang yang paling suka dan banyak bersedekah. Jadi tidak boleh kita menafsir mengikut bahasa lain kecuali mengikut maksud bahasa yang diturunkan pada waktu itu.

Hadis pengkajian : 

Daripada Ibnu Abbas r.a : Nabi saw bersabda,

“Terapi pengubatan itu ada tiga cara, iaitu; berbekam, minum madu dan kay (menempelkan besi panas pada tempat yang terluka), sedangkan aku melarang umat ku berubat dengan kay.”
[5249] Sahih Bukhari

Bukan sahaja berbekam dan madu sahaja malah bercelak, lada hitam dan sebagainya juga mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Tetapi, bukan itu satu-satunya cara dalam pengubatan, apa yang Nabi saw ingin sampaikan, hakikatnya adalah supaya kita berusaha mencari penawar apabila sakit dan yang paling utama adalah penjagaan kesihatan. Tiada salahnya dengan memakan vitamin dan sebagainya.

Hadis yang boleh dipelbagaikan : 

Daripada Aisyah r.anha : Rasulullah saw bersabda,

“Siwak itu dapat membersihkan mulut dan dapat mendatangkan keredhaan Allah Azza Wa Jalla.”
[23196] Sahih Riwayat Ahmad

Tidak semestinya menggunakan sugi untuk memberus gigi, boleh juga menggunakan berus dan ubat gigi kerana tujuan asalnya adalah agar dapat membersihkan mulut dan gigi. Sekiranya tiada sugi atau berus gigi misalannya, gunakanlah jari.

Perlu diingat, secara asasnya kita perlu melihat kepada zahir hadis terlebih dahulu sebelum mentakwil sesuatu hadis. Untuk mentakwil sesuatu hadis, ia perlu kepada alasan yang kuat dan kukuh dan perlu melihat kepada keperluannya sama ada hadis itu satu kiasan, memerlukan pengkajian dan sama ada ianya boleh dipelbagaikan.
Bab ini adalah antara yang paling rumit, tetapi tidaklah mustahil untuk dipelajari. Tujuannya adalah untuk membuktikan kehebatan hadis Nabi saw yang bersesuaian sepanjang zaman dari seluruh aspek. Selain itu ia juga menunjukkan fleksibiliti hadis yang memudahkan sesiapa sahaja untuk mengamalkannya.

(c). Hadis yang wajib beriman tetapi tidak boleh ditakwil

Ia melibatkan hadis-hadis mengenai alam ghaib (tidak dapat dilihat dengan mata). Contohnya;

Hadis sifat Allah Taala : 

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Rabb Tabaaraka wa Taala kita turun di setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir dan berfirman: "Siapa yang berdoa kepadaKu pasti Aku kabulkan dan siapa yang meminta kepadaKu pasti Aku penuhi dan siapa yang memohon ampun kepadaKu pasti Aku ampuni.”
[1077] Sahih Bukhari

Hadis siksa kubur : 

Daripada Aisyah r.anha : Dia bertanya kepada Rasulullah saw perihal siksa kubur, maka Beliau (saw) menjawab:

"Ya benar, siksa kubur itu ada." Kemudian 'Aisyah r.anha berkata : "Maka sejak itu aku tidak (pernah) melihat Rasulullah saw setelah melaksanakan solat kecuali Beliau memohon perlindungan dari siksa kubur.”
[1283] Sahih Bukhari

Hadis tentang malaikat : 

Daripada Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda,

“Jika Allah memutuskan suatu keputusan di langit, maka malaikat akan mengepak-ngepakkan sayapnya kerana tunduk kepada titahNya, seolah-olah kepakan sayapnya seperti rantai di atas batu licin.”
[6927] Sahih Bukhari

Banyak lagi hadis-hadis yang mengenai perkara ghaib ini seperti hadis para Malaikat, Jin, Syaitan, Arasy, alam barzakh, hari akhirat dan sebagainya. Umumnya hadis mengenai perkara-perkara ghaib ini jangan ditakwil kerana tiada sesiapun mengetahui akan perkara ghaib. Namun beriman kepadanya adalah wajib.

(d). Belum sampai ilmu pengetahuan

Terdapat juga beberapa hadis yang kita tidak mampu mengungkapkannya dengan akal kerana akal kita atau ilmu pengetahuan kita masih belum mencapai tahapnya. Selalunya hadis ini berkaitan dengan kejadian masa depan, fizik dan sebagainya. Namun beriman dengannya adalah wajib. Contohnya;

Hadis masa depan : 

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Tidak akan terjadi hari kiamat hingga matahari terbit dari sebelah barat.”
[4270] Sahih Bukhari

Tiada seorang pun yang dapat tahu bagaimana keadaan bumi dan planet-planet di sekitarnya apabila matahari terbit dari barat atau menerangkan bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku. Walaupun terdapat beberapa gambaran dan penjelasan mengenainya, namun janganlah terlalu taksub atau berpegang dengannya.
Ini kerana, jika sains tersebut salah maka orang akan menyalahkan hadis Nabi saw. Sebenarnya kajian sains merekalah yang salah bukan hadis yang merupakan wahyu dari Allah Subhana wa Taala yang mempunyai kekurangan.

Firman Allah Subhana wa Taala yang bermaksud ;

“Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Surah Ali 'Imran [3] : 164

Rujukan :
Tafsir Ibn Katsir
Berinteraksi Dengan Al-Sunnah [Dr. Yusuf Al-Qaradhawi]
Keagungan Sunnah [Syeikh Qayyum bin Muhammad bin Nasir As-Sahaibani]
Kaedah Memahami al-Hadith [A/Prof Fauzi Deraman]
Ilmu Usul al-Fiqh [Syaikh Muhammad Shalih al-Utsaimin]
Sejarah Perkembangan Hadis [Rosli Mokhtar]
Sejarah Hadis [M Hasbi Ash Shidieqy]
Ulum Hadis [Dr. Rosmawati Ali]

Iman Kepada Allah [Dr. Sulaiman al-Asyqar]





Tiada ulasan:

Catat Ulasan