Daripada
Ali bin Abi Thalib Ra.; “Bahawasanya
kami sedang duduk bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam di dalam
masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair Ra .. dan tidak ada di badannya
kecuali hanya selembar selendang yang bertambal dengan kulit. Tatkala
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam melihat kepadanya. Baginda menangis
dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di
Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya), dan kerana memandang nasib
Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang
meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad
Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu
hari nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang
dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diberikan satu hidangan, diletakkan
pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu
sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah? Maka jawab sahabat, “Wahai
Rasulullah, tentunya keadaan kami di waktu itu lebih baik dari pada keadaan
kami di hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah
ibadat saja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari rezeki.” Lalu Nabi
Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah
lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu,”
(HR.
Tirmizi).
KETERANGAN
Dalam Hadits ini Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam menerangkan
umatnya pada suatu waktu akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan.
Di waktu pagi memakai satu pakaian dan di waktu petang memakai pakaian yang
lain pula. Hidangan makan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka indah dan dihias
dengan beraneka ragam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan
berkata seperti perkataan sahabat; di mana kalau segalanya sudah beres, maka
mudahlah hendak melaksanakan ibadat.
Tetapi
Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam mengatakan, “Keadaan serba
kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita,” ertinya lebih memberikan
kesempatan untuk kita melakukan ibadat. Kemewahan hidup banyak menghalangi
seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah Subhanahu wa Taala., seperti yang
berlaku hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan,
namun rasanya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibandingkan dengan kehidupan para
sahabat, kita jauh lebih mewah dari mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh
ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, sering kali menyibukkan dan
menghalangi kita dari berbuat ibadah. Kita sibuk mengumpulkan harta, juga sibuk
menjaganya dan sibuk untuk menambah lebih banyak lagi.
Tidak
ubahnya seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa
Sallam,
“Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu lembah
emas, dia berhasrat untuk mencari lembah yang kedua, sehingga ia dimasukkan ke
dalam tanah (menemui kematian).”
Begitulah
gambaran kerakusan manusia dalam mengumpulkan harta kekayaan. Ia sentiasa
mencari dan menambah, sehingga ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia
menyadari diri dengan seribu satu penyesalan. Tetapi waktu itu penyesalan sudah
tidak berguna lagi Oleh kerana itu, janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta
kekayaan.
Tak
peduli halal atau haram, yang penting harta dapat dikumpulkan. Tak peduli waktu
solat, bahkan semua waktu digunakan untuk mengumpulkan kekayaan. Biarlah kita
mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan boleh digunakan
untuk menolong orang lain yang kurang berkemampuan dan sering-seringlah
bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat. Orang yang bijaksana adalah
orang yang mempunyai perhitungan untuk waktu akhiratnya dan ia menjadikan dunia
ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan