PENGENALAN
2. Kesesatan Melalui Al Quran
Setelah kewafatan Rasulullah saw, al Quran sudah sampai
kepada kita dalam keadaan lengkap secara mutawatir. Sejak dari zaman sebelum
hijrah, al Quran telah ditulis di atas kertas. Ketika di Madinah pula, al Quran
telah ditulis lebih kurang hampir enam puluh lima penulis wahyu dari kalangan
sahabat, antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. (Rujukan : The History of Quranic Text [Prof. Dr.
Al-A’zami])
Begitulah dalam penulisan al Quran yang dikumpul dan
diriwayatkan melalui sanad yang mutawatir. Sekiranya ada yang mendakwa bahawa al
Quran masih belum lengkap maka dia menidakkan sifat wajib bagi Rasulullah saw
sebagai ‘tabligh’ (menyampaikan). Bukan itu sahaja, malah orang yang mendakwa
sedemikian mengingkari firman Allah yang Maha Agung dalam;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami-lah yang
menurunkan al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”
Surah Al-Hijr [15] : 9
Al Quran terjamin pemeliharaan dan kesuciannya dengan
penjagaan Allah yang Maha Agung. Dakwaan mengatakan al Quran yang ada sekarang
masih belum lengkap atau ada yang ditambah adalah dakwaan yang menampakkan kejahilan
sendiri. Malah Allah yang Maha Agung mencabar makhlukNya jika mampu, buatlah
walaupun satu ayat sebanding al Quran melalui firmanNya.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan jika kamu (tetap) dalam
keraguan tentang al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja)
yang sebanding al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu
selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.”
Surah Al-Baqarah [2] : 23
Oleh kerana itulah, al Quran merupakan mukjizat yang
diberikan kepada Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam (saw) oleh Allah yang
Maha Tinggi. Keagungan dan ketinggian al Quran itu tidak dapat dipersoalkan
lagi, buktinya tiada satu makhluk pun di muka bumi ini mampu mencipta
sepertinya.
PERBINCANGAN
Kita kembali dalam perbincangan mengenai orang-orang yang
sesat walaupun dari mulutnya keluar ayat-ayat al Quran.
(a). sengaja mengikuti jalan yang lain dari jalan yang
ditunjuki;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan tidaklah patut bagi lelaki
yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya
telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain)
tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya maka
sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”
Surah Al-Ahzab [33] : 36
Sekiranya Allah yang Maha Agung dan RasulNya telah
menetapkan sesuatu perkara, maka tidak seseorang pun boleh melanggarnya
walaupun seseorang itu merasakan ada pilihan yang lebih baik, baik dari segi
pemikiran dan pendapat mahupun dari segi perbuatan. Contohnya, firman Allah
yang Maha Agung;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang
mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka
kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana.”
Surah Al-Maa'idah [5] : 38
Orang-orang yang sesat akan berkata, mengikut fikiran dan
pendapat mereka bahawa memotong tangan pencuri adalah penganiayaan kepada
manusia. Tidak kira sesiapapun yang berkata sedemikian walaupun bergelar ustaz
atau ustazah (atau bergelar mukmin), maka mereka tertakluk dalam Surah Al-Ahzab [33] : 36, iaitu telah nyata kesesatan mereka. Sekiranya kita
mengikuti mereka, maka kita turut sama dipertanggungjawabkan pada hari
pembalasan kelak.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan berkatalah orang-orang
yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan
berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami."
Surah Al-Baqarah [2] : 167
Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal
perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan
keluar dari api neraka.
(b). Tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang
sebenar;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya telah Kami
mudahkan al Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”
Surah Al-Qamar [54] : 17
(i). Orang-orang yang merelakan dirinya berada dalam
kejahilan dan rela pula orang lain berada dalam kejahilan. Mereka tersesat
kerana tiada sekelumit dalam hati mereka untuk menuntut ilmu, sedangkan telah
jelas dari firman Allah yang Maha Agung dalam Surah Al-Qamar [54] : 17 seperti
di atas, iaitu dipermudahkan manusia mempelajari al Quran kepada sesiapa yang
ingin mempelajarinya.
(ii). Orang-orang yang menganggap remeh hukum-hakam dalam
agama Islam, iaitu mereka yang hanya mementingkan pendidikan duniawi dan
melupakan pendidikan agama. Oleh kerana pendidikan agama dianggap tidak
penting, maka akhlak masyarakat semakin lama semakin buruk, lalu lahirlah
generasi mendatang yang buruk kelakuannya dan keseimbangan keharmonian
masyarakat terjejas.
Hasilnya, masyarakat mula hidup tidak tenteram kerana
keadaan sekeliling semakin mendesak akibat hilangnya nilai-nilai murni
masyarakat yang kurang pendidikan agama dan akhlak, lalu terjadilah ragut,
samun, rompak, culik, rogol dan jenayah-jenayah lain hasil daripada punca yang
paling utama, iaitu ‘jenayah pendidikan’.
Jenayah pendidikan ini dilakukan oleh ramai orang,
terutamanya ibubapa. Ibubapa zaman ini kebanyakannya hanya mementingkan
pendidikan duniawi tanpa memperhatikan pendidikan agama anak mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a : Rasululullah saw bersabda,
“Tidak seorang jua pun bayi
yang baru lahir melainkan dalam keadaan suci. Maka kedua orang tuanyalah
(ibubapa) yang menyebabkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani dan musyrik.”
[2284] Sahih Muslim
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya kamu akan
ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan.”
Surah An-Nahl [16] : 93
(c). Disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang
salah
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan hendaklah kamu memutuskan
perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu
mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya
mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah
kepadamu.”
Surah Al-Maa'idah [5] : 49
(i). Orang-orang beriman hendaklah membuat keputusan
berdasarkan syariat Allah yang Maha Agung dan apa yang diwahyukan kepada Nabi
saw, bukannya mengikut majoriti arus perdana atau mengikut kesepakatan mereka
yang membelakangi al Quran dan as Sunnah.
(ii). Berhati-hati terhadap musuh-musuh Islam dari
kalangan munafik, kafir, pengikut hawa nafsu atau syaitan, pengkhianat dan
seumpamanya yang cuba mengindoktrinasi ke dalam fikiran umat Islam mengikut
acuan mereka, seperti sekularisme
(pemisahan agama dalam kehidupan), sosialisme
(hak kemanusiaan dan kemasyarakatan, termasuk menolak hukum yang disyariatkan al
Quran, menolak hudud dan sebagainya), pluralisme
(agama semua sama) dan isme atau
fahaman sesat yang lain.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Jika mereka berpaling (dari
hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah
menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian
dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang
fasik.”
Surah Al-Maa'idah [5] : 49
(iii). Orang-orang yang sesat dan menyesatkan orang-orang
lain ini, adalah suatu ketetapan dari Allah yang Maha Mengetahui. Sekiranya
mereka diberi petunjuk pun, mereka tetap akan berpaling dari ketaatan dan
kebenaran kepada Allah yang Maha Agung, sesuai dalam firmanNya yang bermaksud ;
“Kalau sekiranya Allah
mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat
mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka
dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan
diri (dari apa yang mereka dengar itu).”
Surah Al-Anfaal [8] : 23
(d). Sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang
betul.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang
yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. Bukankah dalam neraka
Jahanam itu ada tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri?”
Surah Az-Zumar [39] : 60
(i). Orang-orang yang menyombongkan diri dalam menuntut
ilmu al Quran. Mereka menyangka dengan membaca terjemahannya, sudah cukup untuk
mentafsirkan ayat-ayat al Quran. Mereka menafsirnya dengan menggunakan akal
fikiran sepenuhnya dan bertentangan pula maksud sebenar dengan al Quran, Nabi
saw dan para sahabatnya (r.a). Jadilah mereka orang yang sesat dan menyesatkan.
(ii). Orang-orang yang kononnya berilmu dan berasa malu
kerana kejahilan mereka gagal menjawab sesuatu pertanyaan, lalu membawakan
fatwa yang tidak diketahuinya atau hanya mengagak-agak sahaja. Mereka sombong
untuk mengatakan tidak tahu.
(iii). Orang-orang yang berasa malu untuk menuntut ilmu
baik dari segi umur yang semakin tua atau beralasan tiada tempat yang sesuai
dan pelbagai lagi alasan mereka. Malah mereka mencaci pula orang-orang yang
menuntut ilmu kononnya bukan semua orang berilmu itu baik. Sebenarnya mereka
merelakan diri mereka berada dalam kejahilan dan kesombongan.
Daripada Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Mencari ilmu adalah fardhu
bagi setiap orang Islam.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan