Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 17 April 2014

Q 30 : HANYA UMAT ISLAM BOLEH MENGHANCURKAN ISLAM

PENDAHULUAN

Firman Allah swt yang bermaksud :

“.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).”

PERBINCANGAN

Daripada Amir bin Sa’ad r.a : Rasulullah saw bersabda, (Diringkaskan pada hadis yang panjang)

“Aku memohon kepada Rabbku supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam(seperti terjadi pada kaum Nabi Nuh a.s, Firaun) permohonanku itu diperkenankanNya juga.
Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan.”
[2464] Sahih Muslim
(Dalam lafaz lain, ‘Tidak ada satu kekuatan musuh yang dapat menghancurkan mereka (umat Islam) kecuali mereka sendiri walaupun musuh mereka bersatu mengelilingi mereka’-Rujukan Hadis [2463] dari Tsauban r.a, Sahih Muslim)

Hanya Satu Cara Membinasakan Islam

Hadis di atas merupakan jaminan dari Allah Subhana wa Taala kepada umat Islam bahawa mereka tidak akan dimusnahkan atau dibinasakan seluruhnya;

(a). Dibinasakan kerana bencana alam yang terjadi (sama ada kebuluran, gempa bumi, tsunami dan seumpamanya) seperti azab yang diturunkan kepada umat-umat terdahulu yang dikisahkan dalam al Quran untuk dijadikan pelajaran umat masa kini.

(b). Dibinasakan kerana diserang oleh musuh Islam. Walau berkumpul musuh-musuh Islam mengelilingi umat Islam, maka umat Islam tidak akan tewas seluruhnya (pasti umat Islam akan bangkit kembali dan mencapai kemenangan walaupun bilangan mereka sedikit sehingga hari kiamat termasuklah peperangan memerangi Dajjal).
Tetapi, umat Islam hanya dapat dibinasakan oleh orang Islam itu sendiri. Inilah satu-satunya cara yang dapat membinasakan Islam dan umat Nabi Muhammad saw. Tiada cara lain selain ini dan umat Islam perlu sedar akan hal yang penting ini. Ianya bermula dari setiap individu yang mahu melaksanakan tanggungjawabnya.

Perpecahan Itu Hanya Menuju Kebinasaan

Umat Islam akan tewas dan binasa kerana pertentangan sesama sendiri iaitu, dari umat Islam yang mengaku Islam, mencintai Rasulullah saw, membaca al Quran, bersolat dan sebagainya tetapi mempunyai akhlak yang buruk sehingga apabila berlaku perselisihan mereka melupakan kesatuan Islam dan berfatwa tanpa merujuk al Quran, al Sunnah dan para ulama yang berpegang kepada al Quran dan al Sunnah.
Setelah terjadi demikian, maka umat Islam akan menjadi berkelompok dan berpuak-puak serta saling mencaci maki sedangkan agama mereka satu dan tuhan mereka Allah yang Esa dan penghulu mereka Rasulullah saw. Mereka sengaja ‘melupakan’ persamaan yang sangat-sangat besar ini dan hanya ‘nampak’ perbezaan yang sangat-sangat kecil.
Sangat cantik perkataan Prof. Ahmad Shalaby dalam bukunya (Masyarakat Islam, cetakan pertama 1966) katanya, “Agama Islam ini tidak lemah malah sentiasa kuat. Umat Islam menjadi lemah kerana meninggalkan ajaran Islam(al Quran dan al Sunnah).” Maksudnya, umat Islam menjadi lemah sehingga berpecah belah kerana meninggalkan al Quran dan al Sunnah.
Di dalam al Quran telah mengisyaratkan perkara ini;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”
Surah An-Nisaa' [4] : 59

Cara Mengatasi Fitnah Perpecahan

Untuk mengatasi fitnah perpecahan ini, kita perlu melihat akan puncanya. Apabila mengenal ‘musuh’ barulah mudah kita menewaskannya. Antara punca terjadinya perpecahan adalah kerana;

1.Taksub atau fanatik hingga menyalahi al Quran dan al Sunnah.

2. Serangan kaum munafik (gunting dalam lipatan). Mereka memberikan gambaran yang salah terhadap Islam dan oleh kerana itulah kita perlu tetap berpegang kepada hadis yang sahih.

3. Jahil dan takut untuk berubah walaupun perubahan itu lebih tepat kepada kebenaran.

4. Sombong dengan merasakan apa yang difikirkannya dan apa yang diketahuinya itulah yang betul walaupun menyalahi sunnah yang sahih.

5. Suka melihat perselisihan atau konsep ‘padan muka’ yang membawa maksud; Mereka yang suka mencaci umat Islam lain dan kononnya hanya dialah yang berada di jalan yang benar. Sedangkan perbuatan mencaci itu telah jelas akan kesalahfahamannya.

6. Tidak menyebarkan salam. Ucapan salam hanya kepada orang yang dikenal sahaja, malah ucapan ‘morning’ lebih diutamakan.

7. Tidak merapatkan saf (ketika berjemaah) hingga menyebabkan hilangnya perasaan kasih sayang dan perasaan kesamarataan manusia di sisi Allah Taala.

8. Tidak mencintai Allah Subhana wa Taala.

9. Hilangnya rasa harap dan takut kepada Allah.

(Perkara nombor 8 dan 9 akan disambung dalam risalah lain kerana sangat pentingnya hal ini.)
Banyak lagi perselisihan di antara umat Islam, walaubagaimanapun ia adalah pecahan-pecahan dari apa yang dinyatakan di atas. Persoalannya; Apakah yang perlu kita lakukan dan apakah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memastikan kita bukanlah salah seorang yang menjadi punca runtuhnya Islam dan lemahnya umat Nabi Muhammad saw.

Wallahu’alam




Tiada ulasan:

Catat Ulasan