Merenung Ciptaan Allah yang Maha Agung (Bahagian 3)- Iktibar Dari Penciptaan
Masa
PENGENALAN
Pengurusan Masa – Hanya Empat Golongan yang Mampu
Mengurusnya
Sebenarnya penulisan ini bukanlah cara-cara mengenai
pengurusan masa, tetapi lebih kepada permulaan sebelum menguruskan masa. Banyak
buku-buku, artikel, kursus dan sebagainya menerangkan cara-cara menguruskan
masa, teknik-teknik, cara menjadual dan sebagainya. Tetapi mungkin ada yang
terlupa asas, atau ciri-ciri seseorang yang mampu melakukan itu semua. Tidak
semua orang yang mampu menguruskan masanya hanya dengan buku atau kursus.
Sebaliknya ia memerlukan pemahaman dan mempunyai ciri-ciri
tertentu untuk melaksanakannya. Allah yang Maha Agung telah bersumpah bahawa
demi masa, semua manusia dalam kerugian kecuali golongan yang dikehendakiNya.
Maksudnya, tidak kira walau 1001 buku mahupun 1001 kursus kita belajar mengenai
masa, belum tentu kita terselamat dari kerugian ini.
Firman Allah swt yang bermaksud :
1. “Demi masa.
2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam
kerugian,
3. KECUALI orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”
(Surah 103, Al-´Asr: 1-3)
Imam As-Syafi’I berkata : “Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini,
nescaya surah ini mencukupi bagi mereka.”
Seperti apa yang telah kita ketahui, masa itu adalah
sangat-sangat penting buat manusia, kerana Allah yang Maha Agung telah
berfirman sebegitu, RasulNya juga telah berkata sebegitu.
PERBINCANGAN
Maksud masa
Persoalannya, sejauh mana kefahaman kita mengenai masa,
sedangkan para saintis juga mempunyai pelbagai pendapat mengenai masa. Umum
mengetahui tentang maksud masa, tetapi jika dilihat di dalam al Quran kita
dapat mengetahui pelbagai lagi contoh mengenai masa, antaranya;
Masa terbahagi kepada lima.
1. Masa yang hanya diketahui oleh
Allah yang Maha Agung (Pencipta Masa)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) orang
yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia
berkata: "Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah
hancur?" Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian
menghidupkannya kembali. Allah bertanya: "Berapakah lamanya kamu tinggal
di sini?" Ia menjawab: "Saya tinggal di sini sehari atau setengah
hari." Allah berfirman: "Sebenarnya
kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya.”
Surah Al-Baqarah [2] : 259
(Kisah Nabi Uzair a.s)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap)
kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu
tahun (berbanding hitungan dunia).”
Surah Al-Ma´aarij [70] : 4
Firman Allah swt yang bermaksud :
19. “Dan demikianlah Kami bangunkan mereka
agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. Berkatalah salah seorang
di antara mereka: Sudah berapa lamakah kamu berada (disini?)." Mereka
menjawab: "Kita berada (disini)
sehari atau setengah hari." Berkata (yang lain lagi): "Tuhan
kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini).......
25. Dan mereka
tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).”
Al Kahfi [18] : 19 dan 25
(Kisah Ashabul Kahfi)
Banyak lagi ayat-ayat al Quran yang menunjukkan akan
kekuasaan Allah yang Maha Agung terhadap penciptaan dan kekuasaanNya pada masa.
2. Masa depan (Perkara akan datang,
termasuk kejadian di akhirat)
Firman Allah swt yang bermaksud :
1. “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan
sesungguhnya dia akan binasa.
3. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang
bergejolak.”
(Surah 111, Al-Lahab : 1 dan 3)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sungguh telah rugilah orang-orang yang
mendustakan pertemuan mereka dengan Tuhan; sehingga apabila kiamat datang
kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata: "Alangkah besarnya penyesalan
kami, terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu!" sambil mereka memikul
dosa-dosa di atas punggungnya. Ingatlah, amat buruklah apa yang mereka pikul
itu.”
(Surah 6, Al-An'aam : 31)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada
Tuhan dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila
mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah
kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu.
Berbahagialah kamu! maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di
dalamnya."
Surah Az-Zumar [39] : 73
Menjelaskan perkara akan datang, seperti Abu Lahab yang
pasti masuk neraka dan orang lalai juga ke neraka dan sebaliknya bagi orang
yang bertakwa akan ke syurga.
3. Masa lampau (Zaman dahulu atau
zaman silam ataupun sejarah)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Belumkah datang kepada mereka berita
penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, 'Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri-negeri
yang telah musnah? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa
keterangan yang nyata, maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan
tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”
Surah At-Taubah [9] : 70
Menerangkan mengenai kisah-kisah terdahulu bagaimana kaum
yang ingkar yang telah diazab di dunia dan akan diazab lagi di akhirat kelak
sebagai pengajaran kepada umat akan datang.
4. Masa dunia (Perkiraan tahun,
waktu, dan sebagainya)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi
Allah adalah dua belas bulan dalam
ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi,”
Surah At-Taubah [9] : 36
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan
siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di
dalam garis edarnya.”
(Surah 21, Al-Anbiyaa' : 33)
Begitulah ketetapan Allah yang Maha Agung yang menciptakan
satu tahun bersamaan dua belas bulan dan hikmahnya; manusia diberi pengetahuan
untuk mengukur masa.
5. Masa kini atau masa yang sedang
dilalui oleh manusia (Zaman ini atau zaman umat Nabi Muhammad salallahu’alaihi
wasallam (saw))
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan demikian (pula) Kami telah
menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi
saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas
(perbuatan) kamu.”
(Surah 2, Al-Baqarah : 143)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan
kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka
sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang
benar).”
(Surah 30, Ar-Ruum : 41)
Begitulah sedikit pengembaraan atau gambaran mengenai masa
yang telah difirmankan oleh Allah yang Maha Agung dalam al Quran.
Berdasarkan ayat al Quran di atas, saya mendefinisikan;
‘Masa itu adalah ciptaan Allah yang Maha Agung secara
mutlak.
[1]. Masa itu mempunyai dimensinya sendiri dari
tempoh atau ukuran tertentu hingga ke tempoh atau ukuran tertentu.
[2]. Masa juga boleh berubah-ubah dimensi dan
kelajuannya mengikut kehendak Allah yang Maha Agung. Walaupun begitu,
[3]. manusia hanya diberi pengetahuan dan keupayaan
dalam mengukur dan menguruskan masa mereka oleh Allah yang Maha
Agung,
[4]. tetapi sama sekali tidak diberi kawalan ke atas
masa itu.
Perumpamaannya; kita mampu menggunakan ‘remote control’
seperti ‘rewind-forward-skip’ ketika menonton filem, tetapi kita tidak mampu
mengubah jalan ceritanya, segalanya sudah ditentukan.
Empat Golongan yang Mampu Menguruskan Masa
Firman Allah swt yang bermaksud :
1. “Demi masa.
2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam
kerugian,
3. KECUALI orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
(Surah 103, Al-´Asr : 1-3)
1. Iman (orang-orang
yang beriman)
Umum telah mengetahui akan isi rukun iman dan tidak perlu
dihuraikan di sini, tetapi perlu kita ketahui maksud iman itu adalah melafazkan
kalimah tauhid dengan iktikad di dalam hati serta mengamalkannya kerana tahap
keimanan seseorang boleh bertambah dan berkurangan.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah
mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila
dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka
(kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka
bertawakal.”
(Surah 8, Al-Anfaal : 2)
(a). Selain itu, iman juga tidak boleh dicampuradukkan
dengan sesuatu yang lain. Tidak boleh menyembah Allah yang Maha Agung disamping
menyembah bomoh, duit, ubat-ubatan, orang-orang tertentu atau apa-apa sahaja
yang boleh menyebabkan menyekutukan Allah yang Maha Agung.
Malah jika mengatakan ada perkataan yang
lebih baik dari firman Allah yang Bijaksana itu juga adalah syirik, kerana
menganggap ada sesuatu yang lebih besar, lebih tinggi autoriti dan lebih bijak
dari Allah yang Maha Agung. Maha Suci Allah dari apa yang diperkatakan.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Orang-orang yang beriman dan tidak
mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang
mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah 6, Al-An'aam : 82)
(b). Orang-orang beriman tidak mempersoalkan dan yakin
sepenuh hati apa yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Agung melalui
RasulNya. Jadi, orang-orang beriman tidak membuang masa mencari kelebihan amal
ibadah dan sebagainya. Contohnya, dengan sujud akan mendapat itu-ini dan dengan
rukuk pula akan mendapat itu-ini.
Orang-orang yang beriman menuruti perintah Allah yang Maha
Agung dengan sifat ta’abuddiyah, iaitu; tidak memerlukan penjelasan akal
(rasional) untuk menuruti perintah Allah yang Maha Agung. Bukan menolak
penggunaan akal, cuma prinsip pengagungan kepada Allah yang Maha Agung dengan
pengagungan yang sebenar telah mula hilang dari hati manusia.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Rasul telah beriman kepada al Quran yang
diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang
beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya,
kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak
membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari
rasul-rasulNya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami
taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada
Engkaulah tempat kembali."
(Surah 2, Al-Baqarah : 285)
(c). Prinsip ‘kami dengar dan kami taat’ sudah mula hilang
di hati orang-orang yang mengaku beriman kemudian digantikan, ‘kami dengar,
tapi kami fikir dahulu apa rasionalnya,” seperti “apakah kelebihan itu dan
apakah kelebihan ini?” Atau “apakah rasionalitinya solat, tentu ada penjelasan
sains mengenainya.”
Ini adalah contoh manusia zaman ini, mereka mula
mempersoalkan perintah Allah yang Maha Agung dan sibuk dengan fadhilat
sehingga melupakan syarat sahnya sesuatu ibadat, iaitu sahnya beribadah adalah
mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah yang Maha Tinggi dalam mentaati
perintahNya dan menepati pula apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw.
Orang-orang yang menyalahgunakan akalnya adalah lebih
cenderung gagal dalam pengurusan masa di dunia dan akhirat, manakala orang yang
sebaliknya, In Sya Allah yang Maha Agung.
2. Amal Soleh (mengerjakan amal soleh)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan
kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada
mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah 16, An-Nahl : 97)
(a). Sangat jelas ayat di atas, Allah yang Maha Agung
berjanji kepada orang yang beramal soleh akan diberi kehidupan kehidupan di
dunia dan balasan baik di akhirat. Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan amal
soleh itu? Apakah yang dikatakan amal soleh? Mengikut tafsir Ibnu Katsir, amal
soleh adalah mengikuti al Quran dan Sunnah Rasulullah saw.
Antara contoh yang berupa amal soleh di dalam al Quran dan
Hadis adalah menuntut ilmu, solat, puasa, menepati waktu solat (tidak
menangguhkan) atau secara umumnya tidak membuang masa dengan melakukan
pekerjaan yang sia-sia.
(b). Termasuk juga amal soleh adalah ihsan, padahal
mempelajari bab ihsan adalah wajib sebagaimana sebuah hadis sahih yang panjang;
Daripada Abu Hurairah r.a : Rasululullah saw bersabda, ......(diringkaskan sebelum
itu di mana Malaikat Jibril a.s datang bertanya tentang rukun Iman dan rukun
Islam)
“(Tanya Jibril), ‘Ya, Rasulullah. Apakah yang
dikatakan ihsan?’ Jawab Rasulullah saw, “Hendaklah engkau takut kepada Allah
seolah-olah engkau melihatNya. Sekalipun engkau engkau tidak melihatNya,
sesungguhnya Dia melihatmu.”
(Diringkaskan, selepas itu ditanya pula mengenai tanda-tanda
kiamat).
[Sahih Muslim, Hadis Nombor 0003]
Ini bermakna mempelajari ihsan sangat penting kerana ia
dikaitkan dengan rukun iman, rukun Islam dan tanda-tanda hari kiamat (sila
rujuk keseluruhan hadis). Maksud ihsan adalah perbuatan kita sentiasa dilihat
oleh Allah yang Maha Agung. Apa sahaja yang kita lakukan perlu difikir dahulu
dan barulah dikatakan mempunyai akhlak yang baik. Contohnya akhlak ketika
solat, ketika selisih faham, ketika bertemu kawan-kawan dan sebagainya, kemudian
hendaklah kita tetapkan dalam hati sesungguhnya Allah yang Maha Agung melihat
apa yang kita kerjakan pada setiap saat dan ketika.
Di Malaysia umumnya pendedahan kepada bab akhlak adalah
sangat kurang dan dianggap tidak penting. Kita boleh lihat dari segi subjek
matapelajaran dari peringkat rendah hingga ke universiti, amat kurang
pendidikan akhlak dan jika adapun, kepentingannya diambil sambil lewa. Dari
segi pendidikan agama pula lebih banyak persoalan fiqah, sehinggakan orang yang
tidak memahami usul fiqah juga ingin membicarakannya. Itu salah satu contoh
orang yang tidak mempelajari akhlak.
Tambahan : Para
ahli sufi telah menggelar bab akhlak ini sebagai tasauf kadangkala ada pula
yang menyalahi al Quran dan Sunnah (bukan semua), contohnya menganggap,
seseorang ulama itu adalah sultan para wali atau wali teragung dan lain-lain.
Namun jika wujudnya istilah wali agung ini, maka yang sepatutnya mendapat
gelaran itu adalah Saidina Abu Bakar r.a dan kemudian para Khulafa ur rasyidin
seterusnya. (Anda boleh rujuk Fiqh Tasawwuf [Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah])
(c). Tetapi bukan itu hendak dibincangkan. Saya lebih suka
menggelar tasauf itu ihsan, kerana sesuai dengan hadis dari Rasulullah saw dan
lebih mudah difahami, kerana Allah yang Maha Agung telah berfirman dan begitu
pula sabda RasulNya ‘kebenaran itu sudah jelas dan kebatilan itu juga sudah
jelas’, mengapa kita perlu mengaburi?
3. Nasihat mengikuti kebenaran (menasihati supaya mentaati
kebenaran)
Firman Allah swt yang bermaksud :
5. “Hai manusia, sesungguhnya janji Allah
adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan
kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan
kamu tentang Allah.
24. Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran (agama tauhid dan
hukum-hukumnya) sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi
peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang
pemberi peringatan.”
(Surah 35, Faathir : 5 dan 24)
(a). Orang yang menasihati agar mengikut pada kebenaran
adalah orang yang membimbing manusia mentauhidkan Allah yang Maha agung dan
beramal menurut al Quran. Sesuai dengan nasihat dari Luqman;.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada
anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai
anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan
(Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."
(Surah 31, Luqman : 13)
(b). Selain itu menasihati kebenaran juga adalah berdakwah
kepada mengerjakan kebajikan dan menjauhi dosa. Apakah kebajikan dan dosa?
Daripada Nawwas bin Sam’an
Al-Anshari r.a : Aku
pernah bertanya kepada kepada Rasulullah saw tentang erti kebajikan dan dosa.
Sabda Nabi saw,
“Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah.
Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal
engkau sendiri segan perbuatanmu itu akan diketahui orang lain.”
(Sahih Muslim, Hadis Nombor 2183)
Jika diperincikan lagi, budi bermaksud akal atau
kebijaksanaan manakala pekerti adalah perangai atau kelakuan. Jadi bolehlah
diungkapkan kebajikan adalah perangai dan kelakuan yang dipamerkan dengan
kebijaksanaan akalnya.
(c). Maksudnya berdakwah kepada orang dengan bijaksana serta
mengajak orang lain mempamerkan tingkah laku atau akhlak yang baik. Tidak ada
cara lain yang lebih unggul melainkan dimulakan oleh diri sendiri, iaitu kita
sendiri harus mempunyai tingkah laku yang baik dan kemudian akan menjadi ikutan
orang lain.
4. Nasihat tetap pada kesabaran (nasihat menasihati supaya
menetapi kesabaran)
Firman Allah swt yang bermaksud :
17. “Dan dia termasuk orang-orang yang
beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih
sayang.
18. Mereka (orang-orang yang beriman dan
saling berpesan itu) adalah golongan kanan.
19. Dan orang-orang yang kafir kepada
ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri.
20. Mereka berada dalam neraka yang ditutup
rapat.”
(Surah 90, Al-Balad : 17- 20)
(a). Golongan yang keempat dan yang terakhir adalah orang
yang berpesan supaya tetap kepada kesabaran. Mereka adalah golongan yang
berpesan supaya bersabar dalam menghadapi kesusahan atau musibah yang melanda,
iaitu redha akan takdir Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sama ada
baik atau buruknya.
(b). Dalam menasihati kesabaran, orang yang berpesan juga
harus ada sifat sabar dalam dirinya, seperti sabar dalam mentaati perintah
Allah yang Maha Agung, sabar menghadapi kerenah orang yang didakwahkan, sabar
dalam menuntut ilmu dan sebagainya.
(c). Sabar dalam melakukan perbuatan keji dan mungkar
(dosa), iaitu tidak melakukan perkara yang menyakiti orang lain dan tidak pula
berbuat maksiat jika bersendirian, apalagi di hadapan orang lain.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang sabar kerana
mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebagian rezeki
yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta
menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat
kesudahan (yang baik).”
(Surah 13, Ar-Ra'd : 22)
PENUTUP
Jadi bolehlah dikatakan bahawa orang yang dapat mengurus
masanya dengan baik di dunia dan akhirat secara umumnya, adalah;
[1]. Orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, iaitu bukan
munafik, syirik dan kafir.
[2]. Orang yang beramal soleh serta berakhlak mulia.
[3]. Orang yang menasihati dengan kebenaran dan memberi
contoh tauladan yang baik melalui dirinya.
[4]. Orang yang bersabar dan menasihati orang lain supaya
bersabar dan tidak putus asa dalam mencari keredhaan Allah yang Maha Agung.
Namun perlu diingat sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang, berdasarkan firmanNya;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Allah tidak membebani seseorang melainkan
sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang
diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.”
(Surah 2, Al-Baqarah : 286)
Apa yang penting adalah kita jangan berhenti dalam berusaha
untuk mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan berusaha untuk
merealisasikan diri menjadi umat pilihan dan yang terbaik (umat Nabi Muhammad
saw); sesuai dengan firman Allah yang Maha Agung,
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan
untuk manusia, menyuruh kepada
yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.
Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara
mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah 3, Ali 'Imran : 110)
Rujukan :
Al Quran terjemahan, Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Al-Munir
Kitab Hadis-Hadis sahih
Rasul dan Risalah [Dr. Umar Sulaiman Al-Asykar]
Fiqh Tasawwuf [Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah]
Rahsia Di Sebalik Sumpah Allah [Ibnu Qayyim Al-Jauziyah]
Metodologi Dakwah [Prof. Dr. Ab. Aziz bin Mohd. Zin]
Ajaran Sesat - Sejarah Kemunculan dan Ciri-Cirinya [Siti
Norbaya bt. Abd. Kadir]
Ensiklopedia Fizik
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Keempat)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan