PENGENALAN
Pendekatan al Quran Sebagai Sumber Ilmu
Al Quran diturunkan kepada umat manusia di antaranya supaya mereka
menjadikannya sebagai petunjuk, dijadikan pedoman, mendapat ketenangan, memberi
ilmu pengetahuan serta pembimbing dalam tatacara kehidupan melalui peraturan
perintah dan larangan dan pelbagai lagi fungsi al Quran.
Apa yang lebih dari itu adalah, al Quran menuntun manusia ke jalan
keamanan, ketenteraman, keharmonian, keilmuwan serta pewujudan sebuah tamadun
yang hebat dan mampu menggegar dunia. Begitulah kehebatan al Quran dengan
kemukjizatan yang terkandung di dalamnya sehingga Allah Subhana wa Taala
berfirman;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan
sekiranya ada suatu bacaan (Kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung
dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang
sudah mati dapat berbicara (tentunya itu adalah al Quran).”
Surah Ar-Ra'd [13] : 31
(Antara terjemahan dalam tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir al-Jalalayn).
Tetapi zaman ini al Quran tidak lagi diambil sinar cahayanya dan ia lebih
ke arah pembacaan yang tidak keruan, perhiasan dinding, pengamalan surah-surah
tertentu sahaja (Yassin dan sebagainya) serta pembacaan yang memenuhi mulut
tetapi kosong pada akal fikiran dan jauh dari hati.
Ada yang membaca tanpa faham maknanya dan ada yang tidak tahu membacanya
langsung;
Ada pula yang tahu membaca dan tahu maknanya, tetapi tidak tahu
memanfaatkannya dalam kehidupan (tidak memahaminya);
Ada pula yang membaca tetapi untuk mengingkarinya;
Ada pula yang membacanya untuk mendapatkan upah semata-mata.
Lalu jadilah al Quran itu sebagai pemenuh mulut sahaja dan tidak dapat
melepasi kerongkong; Tidak pula dapat menggerakkan akal serta tidak pula dapat
menerangkan hati dan jadilah umat Islam itu umat yang mengabaikan al Quran.
Orang Yang Mengabaikan Al-Quran (Mahjuuro)
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Berkatalah
Rasul: "Ya Rabb, sesungguhnya kaumku menjadikan al Quran ini ‘mahjuuro’
(sesuatu yang tidak dipedulikan atau telah mengabaikan al Quran)."
Surah Al-Furqaan [25] : 30
Maksudnya : Rasulullah saw mengadu kepada Allah Taala dan ditujukan kepada
orang-orang musyrik kerana mereka apabila diperdengarkan al Quran mereka
bersikap tidak acuh serta berbuat bising dan mengajak pula orang lain agar
mengingkarinya(Rujuk Surah Fussilat [41] : 26 – Tafsir Ibn Katsir).
Sedikit persoalan :
(a). Adakah kita termasuk dari orang-orang yang diadu oleh Rasulullah saw
kepada Allah Subhana wa Taala kerana mengabaikan al Quran?
(b). Adakah kita menepati ciri-ciri kaum musyrik di atas? Persoalan ini
hanya boleh dijawab oleh diri sendiri sahaja. Ini hanyalah sebagai peringatan
kepada umat Islam agar menjauhi sifat-sifat musyrikin yang membenci al Quran
dan mengajak orang lain membencinya pula.
Antara golongan yang tidak mempedulikan al Quran (mahjuuro) adalah; berbuat
bising apabila mendengar al Quran dikatakan mahjuro, tidak mengimani dan
membenarkan al Quran dipanggil mahjuro, tidak mengamalkannya juga dipanggil
mahjuro, berpaling kepada yang lain (nasihat atau pendapat orang lain mengatasi
al Quran) adalah mahjuro dan tidak mentadabburnya juga adalah mahjuro. (Tafsir
Ibnu Katsir).
Apakah Tadabbur?
“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah
supaya mereka tadabbur ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran (atau memberi peringatan) kepada
orang-orang yang mempunyai akal fikiran (ulul albab).
Maksudnya : Al Quran itu penuh berkah dan di dalamnya terdapat pelbagai
tatacara kehidupan yang benar dan bersumberkan dari Allah Taala dan mustahil
salah. Selain itu al Quran juga merupakan sumber ilmu yang rasional dari segi
sains dan ilmu lainnya serta ketepatannya sama sekali tidak diragui. Tidak
dapat mengambil pelajaran darinya kecuali mereka yang menggunakan akal fikiran.
(Kefahaman dari Tafsir Ibnu Katsir)
Surah Sod [38] : 29
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Maka apakah mereka tidak tadabbur al Quran
ataukah hati mereka terkunci?”
Surah Muhammad [47] : 24(Tafsir Ibnu Katsir)
Maksudnya : Secara umumnya ia merupakan pertanyaan kepada manusia, iaitu
tidak adakah satupun ayat dari al Quran itu yang dapat menembus hati kamu?
Atau, tidakkah satupun yang kamu hayati?”
Secara ringkasnya apa yang lebih penting dan dilihat dari konsep yang lebih
luas tadabbur juga adalah memerhatikan, memikirkan, memahami serta menghayati
atau mengkaji al Quran dan seterusnya mengamalkannya serta memberi kebaikan
atau faedah kepada diri, masyarakat dan Islam secara umumnya.
Walaubagaimanapun untuk memahami al Quran dengan lebih baik adalah dengan
merujuk kepada kitab tafsir al Quran itu sendiri dan tidak semata-mata
terjemahannya sahaja, kerana kadangkala ada ayat-ayat al Quran yang kita tidak
mampu memahaminya tanpa bantuan kitab tafsir.
Memikirkan dan Mengambil Pelajaran Dari Al Quran
Persoalannya bagaimanakah untuk mentadabbur al Quran itu? Perlu diingat
mentadabbur ini lebih ke arah menjadikan pengajaran dan mengambil iktibar dari
ayat-ayat al Quran itu sendiri dan bukannya mentafsir ataupun takwil ayat-ayat al
Quran itu. Tidak boleh sama sekali kita mentafsir al Quran sesuka hati kecuali
merujuk kepada ahli-ahli tafsir yang pakar dan muktabar dari golongan
salafussoleh beriktikad Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamaah.
Antara cara Rasulullah saw mengajar umatnya ‘apa yang perlu dibuat’ ketika
membaca al Quran, dapat kita pelajari dalam sebuah hadis;
Daripada Hudzaifah r.a, (katanya) : Nabi
saw bersolat;
a). dan jika beliau membaca ayat tentang
rahmat, beliau memohon rahmat.
b). Jika beliau membaca ayat tentang azab,
beliau memohon agar dijauhkan.
c). Jika beliau membaca ayat yang
menerangkan tentang penyucian sifat-sifat Allah, beliau bertasbih.”
[1119] Sahih Ibnu Majah (Juga diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud).
Bagi orang-orang yang beriman seperti kita (bukan ahli ilmu) malah ada pula
yang tidak tahu berbahasa Arab, maka tidaklah
ada sesuatu yang dapat menghalang kita agar
dapat memikirkan isi al Quran, mengambil pelajaran darinya dan seterusnya dijadikan
sebagai pengajaran dan pedoman kerana al Quran telahpun diterjemahkan dalam
pelbagai bahasa.
Begitu banyak tulisan para ilmuwan, kuliah-kuliah mengenai mentadabbur al Quran
ini tetapi risalah ini hanya mengambil sedikit sahaja darinya melalui empat
cara yang mudah berdasarkan pengajaran dari hadis sahih di atas untuk
mentadabburi al Quran, antaranya;
1. Perhati : Maksudnya melihat dengan teliti, peka atau ambil peduli.
2. Fikir : Maksudnya menggunakan akal yang bijak dalam memikirkan sesuatu.
3. Faham : Maksudnya mengetahui sesuatu itu dengan lebih mendalam.
4. Menghayati : Mengalami, merasai atau terkesan sesuatu dalam hati.
Ini bukanlah satu-satunya kaedah dalam mentadabbur al Quran, tetapi ini mungkin salah satu cara yang
dapat kita gunakan dalam melihat, mendengar dan membaca al Quran melalui
perspektif yang berbeza dan seterusnya meningkatkan rasa cinta kepada al Quran
dan al Sunnah lalu mewujud dan menambahkan rasa minat untuk mendalami ayat-ayat
al Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan