Merenung Ciptaan
Allah yang Maha Agung – (bahagian
1)
Pengenalan
Atom
Zarah yang paling kecil sekali yang tidak boleh dibahagikan.
Walau bagaimanapun, atom didapati mempunyai zarah-zarah yang lebih kecil lagi. Kajian
mengenai struktur atom dan aktivitinya telah membawa banyak manfaat kepada
kesejahteraan hidup manusia menerusi penghasilan tenaga elektrik dan
sebagainya. Tidak kurang pula keburukannya kepada alam sejagat akibat
penghasilan tenaga nuklear.
Semua benda dalam alam semesta ini termasuk tanah, api, air,
gunung dan udara terdiri daripada atom; malah diri kita dan sekitarnya juga
adalah terdiri daripada atom. Maha Suci Allah, sungguh menakjubkan yang atom-atom
ini tersangat kecil, umpama perbandingannya; berjuta kali lebih kecil daripada
ketebalan sehelai rambut manusia.
Gambarajah Stuktur Atom
(Rujukan : Ensiklopedia Fizik, Kesempurnaan Penciptaan Atom -
Harun Yahya)
Inilah atom, sesuatu yang kita tidak nampak dengan mata
kasar, akan tetapi kewujudannya adalah pasti. Bukanlah struktur atom yang
hendak dibincangkan, tetapi yang dibincangkan adalah perkara yang kita tahu
kewujudannya tetapi tidak nampak dengan mata kasar kecuali dengan menggunakan
ilmu dan akal yang dianugerahkan oleh Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi
orang-orang yang mempunyai akal.”
Surah Az Zumar [39] : 21
Isi Perbincangan
1. Pengetahuan Manusia Terbatas
Di dalam al Quran telah dijelaskan akan kewujudan atom ini,
seperti di dalam;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan
tidak membaca suatu ayat dari al Quran dan kamu tidak mengerjakan suatu
pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu
melakukannya. Tidak luput dari
pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah (atom) di bumi ataupun di
langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar
dari itu, melainkan (semua
tercatat) dalam kitab yang nyata(Lauh Mahfuz).”
Surah Yunus [10] : 61
Allah yang Maha Mengetahui telah berfirman akan
pengetahuanNya dalam setiap sesuatu baik di langit mahupun di bumi walaupun
sebesar zarah. Manusia walau sehebat mana akalnya, seberapa banyak ijazahnya,
sebanyak mana pengetahuannya, tidak mengetahui berapa helai rambutnya sendiri;
apatah lagi mengetahui segalanya tentang atom yang berjuta kali lebih kecil
dari sehelai rambut. Pengetahuan manusia itu terbatas.
Segala sesuatu telah pun berada dalam takdirNya yang
tercatat dalam Lauh Mahfuz. Menerusi firman Allah yang Maha Agung;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (al Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya)
dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari
Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah al-An’am [6] : 115
Seluruh alam semesta tertakluk di bawah ayat ini, sama ada
perkara yang kita tidak nampak (tidak sedar), juga perkara yang kita nampak
(sedar), iaitu hukum-hukum perintah dan larangan dan kesan-kesan yang muncul
daripadanya.
Oleh kerana pengetahuan manusia itu terbatas, maka
diturunkan kepada manusia al Quran, bagi petunjuk dan rahmat untuk kita
(manusia) dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan menuju kehidupan
yang sebenar, iaitu di akhirat. Sekiranya Allah yang Maha Berkuasa tidak
menetapkan takdir ini, maka porak-perandalah manusia tanpa arah tujuan. Alhamdulillah.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada
mereka, sebuah Kitab (al Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu
berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat,
bagi orang-orang yang (mahu) beriman.”
Surah al-A’raaf [7] : 52
Maka apa sahaja yang telah kita lakukan, sedang lakukan dan
akan lakukan, atau baru terfikir atau belum lagi terfikir mengenai sesuatu,
semuanya tertakluk dalam pengetahuan dan di dalam takdir Allah yang Maha
Mengetahui lagi Maha Bijaksana walaupun perkara itu umpama sekecil zarah.
2. Kebaikan dan Kejahatan
Di dalam ayat ayat yang lain mengenai atom ini Allah yang
Maha Agung berfirman dalam;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan
melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan
melihat (balasan)nya pula.”
(Surah 99, al-Zalzalah : 7-8)
Rasulullah saw (sallahu ‘alaihi wa sallam) menamakan ayat
ini sebagai al-jami’ah al- fazzah yang bermaksud rumusan serba
lengkap seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang
dinukil dari Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir al-Munir;
Rasulullah saw bersabda : ......Allah tidak
menurunkan mana-mana ayat mengenainya melainkan ayat al-jami’ah al-fazzah
ini (rumusan serba lengkap) (Surah al-Zalzalah [99] : 7-8).
Ayat ini (Surah al-Zalzalah [99] : 7-8) diturunkan
kerana perbezaan tanggapan dua orang lelaki. Salah seorang dari mereka
didatangi peminta sedekah. Peminta sedekah itu meminta sebiji tamar, secebis
roti dan sebiji kacang, lalu salah seorang dari mereka mengatakan kebaikan itu
sangat kecil dan ganjarannya (pahala) juga sedikit. Manakala seorang lagi
memandang remeh dosa kecil dan mengatakan, dosa yang kecil tentu tidak
dikenakan hukuman apa-apa.
Jadi Allah yang Maha Penyayang menurunkan ayat ini agar
memberi galakan pada manusia agar jangan memandang perkara yang kita anggap
dosa kecil itu sebagai mudah, dan jangan pula kita menganggap kebaikan yang
kecil itu walaupun sebesar zarah (iaitu tidak terlihat kebaikannya di mata),
tidak memberi ganjaran yang besar. Mungkin dengan kebaikan yang sikit dan
berterusan itulah menempatkan kita di syurga. In Sya Allah yang Maha Tinggi.
Begitulah kita beramal dengan ayat ini, walau sekecil zarah
sekalipun (tidak ternampak oleh mata kita) kebaikan yang kita lakukan pasti
akan diberi ganjarannya. Walaupun kebaikan itu belum kita buat, hanya terniat
di dalam hati, ganjarannya telah pun kita dapat. Seperti di dalam sebuah hadis;
Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (kepada
malaikat-Nya) : ‘Apabila hambaKu berniat hendak melakukan kejahatan, janganlah
kamu tuliskan. Apabila telah dilakukannya, tulislah baginya satu kejahatan.
Apabila dia hendak berbuat kebajikan, tetapi
belum dilaksanakannya, tulislah satu kebajikan. Apabila dilaksanakannya tulislah
untuknya sepuluh kebajikan.”
[Hadis Sahih Bukhari No.102]
Berbeza dengan kejahatan, apabila kita melakukan, baru dapat
satu dosa. Namun jangan sesekali kita memandang remeh pada dosa yang kecil,
mungkin kerana dosa itulah kita ditempatkan di neraka. Naudzubillah.
3. Manusia Tidak Dianiaya
Pernahkah kita berasa teraniaya, atau berasa susah hendak
melaksanakan perintah Allah yang Maha Berkuasa dan menjauhi laranganNya? Adakah
Allah yang Maha Penyayang sengaja menghendaki itu semua dengan bertujuan
menyusahkan hamba-Nya? Maha Suci Allah dari sangkaan buruk kita semua.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika
ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan
memberikan dari sisiNya pahala yang besar.”
Surah An Nisaa' [4] : 40
Apa sahaja perintah dan larangan oleh Allah yang Maha
Bijaksana itu kepada kita (manusia), sebenarnya adalah perkara yang diperlukan
oleh manusia. Manusia memerlukan semua perintah dan larangan itu dalam
menjalani kehidupan di dunia ini supaya kehidupan menjadi lebih teratur. Kita
cuma boleh nampak akan keperluannya menerusi kesan-kesan perintah dan larangan
itu sahaja.
Contoh perintah; kita disuruh membayar zakat. Antara
kesannya, wang zakat dapat membela nasib mereka yang tidak berkemampuan dan
seterusnya menjana ekonomi negara. Lainnya, tangan pencuri hendaklah dipotong.
Antara kesannya perbuatan kecurian, ragut dan sebagainya dapat dibanteras.
Masalahnya kita masih belum cukup percaya bahawa al Quran dapat menyelesaikan
segala masalah kehidupan.
Contoh larangan; diharamkan manusia meminum arak. Antara
kesannya, arak boleh menghilangkan kewarasan hingga menyebabkan berlakunya
kekacauan dan mengganggu ketenteraman orang ramai. Banyak lagi contoh-contoh
dan satu ini memadai.
Bukankah kita yang memerlukan perintah dan laranganNya? Ini
bermakna perintah dan larangan itu adalah suatu kurniaan rahmat kepada seluruh
manusia.
Kesimpulan
Cukup dengan hanya memahami ayat di bawah;
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi,
dan silih bergantinya malam dan siang terdapat
tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang
mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan
mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan
kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci
Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”
Surah Ali 'Imran [3] : 190-191
(Tersirat : Setelah anda membaca habis artikel ini anda
telah menyebut nama-nama Allah yang Maha Agung sebanyak dua puluh tiga kali dan
selawat ke atas Nabi Muhammad saw sebanyak empat kali. Alhamdulillah.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan