Rabu, 16 April 2014

Q 24 : MENGENALI KESESATAN – MELALUI IBADAH (BAHAGIAN 4)

PENGENALAN

4. Kesesatan Dalam Ibadah

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu.”
Surah Adz-Dzaariyaat [51] : 56

Ibadah

Maksud ibadah dari segi bahasa adalah tunduk patuh. Dari sudut syariat pula ibadah adalah kesempurnaan cinta, ketundukan dan ketakutan. (Tafsir surah Al-Fatihah, Ibn Katsir). Ibadah dituntut kepada setiap orang Islam kerana ia merupakan bukti ketaatan antara hamba dengan Allah yang Maha Agung.

Kesempurnaan cinta yang sejati kepada Allah yang Maha Agung adalah dengan redha segala baik buruk ketentuan takdirNya, sentiasa mengingati Allah yang Maha Agung dalam segenap kelakuan dan perbuatan, keikhlasan dalam amalan, mewujudkan perasaan yang kita memerlukan dan berkehendak kepadaNya serta mencintai sepenuh hati apa-apa yang dicintai Allah yang Maha Agung.

Daripada Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.”
(0035) Sahih Muslim

Mencintai Nabi Muhammad saw juga merupakan tuntutan ibadah baik dari segi akhlak mahupun perbuatannya.
Begitu juga dengan ketundukan yang bererti ketaatan dan menuruti apa yang diperintah oleh Allah yang Maha Agung sesuai dengan taraf kita sebagai hamba Allah dengan tidak mempersoalkan akan kesemua perintah dan laranganNya di dalam al Quran. Apa yang ada dalam al Quran adalah kurniaanNya kepada kita kerana perintah dan larangan itu sendiri diperlukan oleh manusia. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Ketakutan pada Allah yang Maha Agung harus disertai pula dengan rasa pengharapan, kerana ketakutan yang berlebihan mungkin membuatkan kita berasa putus asa dari rahmat Allah yang Maha Penyayang dan pengharapan yang berlebihan pula boleh membuatkan kita memandang mudah akan perintah dan laranganNya. Semoga kita dilindungi Allah Allah yang Maha Agung dari sifat yang melampaui batas.

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”
Surah Al-A’raaf [7] : 56

Dengan ibadah juga dapat menaikkan dan membezakan darjat seseorang, kerana Allah yang Maha Adil tidak memandang rupa bentuk dan harta kekayaan seseorang melainkan tahap ketakwaannya. Ibadah adalah kedudukan yang tertinggi dalam pelaksanaan orang-orang yang beriman, berdasarkan firman Allah Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal (semua urusan kalian).”
Surah Al-Hujuraat [49] : 13

Dalam mengerjakan ibadah juga kita dituntut melakukannya dengan ilmu, istiqamah dan penuh kesabaran. Maka apa yang boleh disimpulkan, ibadah adalah segala bentuk ketaatan, kepatuhan pada apa yang diperintahkan dan mewujudkan rasa takut dan harap kepada Allah yang Maha Agung.

PERBINCANGAN

(a). Sengaja mengikuti jalan yang lain dari jalan yang ditunjuki;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorangpun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.”
Surah Al-Jin [72] : 18

(i). Orang-orang yang beribadah selain dari Allah yang Maha Agung. Mereka beribadah kerana ingin dikatakan sebagai orang yang kuat beribadah agar dipandang mulia oleh manusia. Tetapi di dalam hatinya hanya riak dan bukan kerana taatnya sebagai hamba kepada Allah yang Maha Agung.
Perkara riak ini umum kepada semua perkara yang tiada keikhlasan kerana Allah yang Maha Agung, termasuk sedekah, membantu orang, pekerjaan dan yang seumpamanya. Masalah riak ini adalah antara perkara yang paling ditakuti Rasulullah saw jika berlaku ke atas umatnya, seperti dalam sebuah hadis;

Hadis Qudsi : Daripada Mahmud bin Labid r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti atas kamu adalah syirik asghar (syirik samar).” Para sahabat bartanya, ‘Ya Rasulullah, apakah syirik asghar itu?’
Baginda Saw menjawab, “Riak. Sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Taala berfirman pada hari semua amalan-amalan diganjari, ‘Pergilah kamu kepada orang-orang yang telah kamu perlihatkan amalan-amalan kamu kepada mereka dan lihatlah sama ada, ada balasan di sisi mereka itu (untuk kamu).”
[014] (Sahih, dikeluarkan oleh Ahmad, Al-Baghawi dalam Syarhul As-Sunnah. Kanzul Ummal dan At-Targhib wa Tarhib lil Al-Hafidz Al-Mundziri)

(ii). Orang-orang yang mengada-adakan sesuatu ibadah yang tidak ada dalam ajaran Rasulullah saw. Seperti dalam sebuah hadis;

Daripada Amru bin Auf : (Diringkaskan).....Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa berbuat bidaah, kemudian perbuatannya tersebut diikuti oleh orang lain, maka baginya dosa dan dosa-dosa orang yang melakukannya tanpa terkurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka.”
(0174) Sahih Ibnu Majah

Mereka menganggap apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw masih tidak mencukupi buat mereka dan secara tidak langsung, mereka menolak sifat Nabi Muhammad saw sebagai tabligh. Maksudnya, Nabi saw tidak menyampaikan kepada mereka cara beribadah dengan benar, atau yang lebih parah lagi mereka ingin beribadah lebih dari Nabi saw.

Daripada ‘Aisyah r.a : (Diringkaskan).... Nabi saw bersabda,

“Beribadatlah sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah, Dia (Allah) tidak pernah bosan memberi pahala, sehingga kamu sendiri yang bosan mengerjakan amal ibadatmu. Dan amal yang paling disukai Allah ialah yang dikerjakan secara tetap (istiqamah) oleh pelakunya.”
[0757] Sahih Muslim

(b). Tersesat kerana memang tidak mengetahui jalan yang sebenar;

(i). Orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah dengan betul dan hanya mengikut-ikut orang lain. Mereka yang merelakan diri dalam kejahilan dengan menganggap ibadah tidak penting, yang penting hanya keimanan.
Sedangkan maksud iman adalah melaksanakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah yang Maha Agung dengan panduan al Quran dan penjelasan Rasulullah saw dan termasuk juga dalam keimanan itu adalah akhlak yang baik.

Daripada Anas r.a : Nabi saw bersabda,

“Ada tiga perkara, barangsiapa melaksanakan ketiga-tiganya, nescaya ia akan mendapat kesedapan (manisnya) iman;
(1). Orang yang cinta kepada Allah dan RasulNya melebihi daripada cintanya kepada yang lain daripada keduanya (Allah dan Rasul)
(2). Orang yang mencintai orang lain kerana Allah semata-mata.
(3). Orang benci untuk kembali kepada kafir, setelah Allah melepaskannya daripada (belenggu) kekafiran itu, sama dengan bencinya akan dijatuhkan ke dalam neraka.”
[0016] Sahih Muslim

(ii). Orang-orang yang mementingkan fadilat lebih dari ingin mengetahui syarat sahnya sesuatu ibadah hingga dibolehkan mendapatkan fadilatnya. Maksudnya, mengetahui syarat sah dan rukun-rukunnya sesuatu ibadah adalah syarat untuk mendapatkan fadilatnya.
Contohnya, antara syarat sahnya solat mestilah dalam keadaan jaga, tidak boleh tidur atau tidak sedar diri dan antara rukunnya melafazkan takbir sebelum memulakan solat. Sekiranya kedua perkara ini tidak dilakukan, maka tidak sah solatnya dan bagaimana mungkin mendapat fadilat atau kebaikan dari solat tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta mu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu.”
[2194] Sahih Muslim

(c). Disesatkan oleh orang yang menunjuki arah jalan yang salah; dan

(i). Orang-orang yang meremehkan masalah ibadat kononnya dengan mengucapkan kalimah tauhid semua masuk syurga. Perkara ini telahpun dibincangkan dalam tulisan bahagian satu yang lepas.

(ii). Orang-orang yang bersangka buruk pada Allah yang Maha Agung, iaitu menyangka dirinya terlalu banyak dosa, lalu mencari ‘jalan pintas’ dengan mencari orang-orang yang boleh menghapuskan dosanya dan mendekatkan dirinya kepada Allah yang Maha Agung. Sedangkan taubat dengan sebenar-benar taubat memadai untuk mereka; dan sesungguhnya tiada manusia yang boleh mengampunkan dosa manusia lain.

(iii). Orang-orang yang berdakwah tanpa ilmu. Apabila ditanya mengenai sesuatu perkara yang mereka tidak ketahui, mereka malu untuk berkata tidak tahu lalu berfatwalah mereka tanpa ilmu dan jadilah mereka sesat dan menyesatkan orang lain.

Renungan ;

Daripada Abu Dzar r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Sepeninggalanku kelak, (akhir zaman) akan muncul suatu kaum yang pandai membaca al Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka (tidak meresap ke hati).
Mereka keluar dari agama seperti anak panah keluar dari busurnya, di mana mereka tidak pernah lagi kembali ke agama itu. Mereka itu adalah sejahat-jahat makhluk dan tingkahlaku mereka.”
[1027] Sahih Muslim

(d). Sombong untuk bertanya apabila tidak tahu jalan yang betul.

(i). Orang-orang yang jahil dalam beribadah dan menganggap syarat-syarat ibadah hanya menyusahkan dan memecah-belahkan umat.

(ii). Malu untuk bertanya mengenai hukum-hukum syariat kerana takut digelar sebagai orang bodoh dan sebagainya.

(iii). Orang-orang yang berasa senang dan cukup dengan pengetahuan yang ada dan tiada usaha untuk memperbaiki amalan mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Siapa sahaja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga.”
[2646] Sahih At-Tirmidzi, juga di dalam Sahih Muslim dan Ibnu Majah

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina."

Surah Al-Mu'min [40] : 60





Tiada ulasan:

Catat Ulasan