Bersama Prof Dr Sidek Baba
AKHLAK adalah mutiara yang sangat
bernilai dan penting bagi manusia. Ia mempunyai harga dan cahaya yang
menambahkan kecantikan. Tanpa akhlak, manusia hilang harga diri dan tidak
dihormati.
Dalam tradisi Islam, akhlak tidak
sama dengan moral. Moral, bahasa latinnya ‘mores’ membawa makna nilai amalan
yang normatif atau lazim berlaku dan menjadi amalan semasa.
Akhlak mempunyai makna lebih luas
iaitu zahir batin yang merujuk kepada ‘Khuluq al Quran’ atau ‘akhlak al Quran’.
Ia menjadi rujukan akhlak Nabi Muhammad SAW seperti disebutkan isterinya
Saidatina Aishah.
Moral biasanya amalan serta
penampilan baik dilakukan dan sifatnya berubah-ubah. Amalan gay dan lesbian
yang berlaku di Barat suatu ketika dulu dianggap salah, tetapi hari ini ia
sudah diterima sebagai sesuatu yang lazim.
Akhlak berasaskan al Quran membawa
nilai yang tetap dan fitrah kerana Islam menjaga kemaslahatan manusia di mana
asas kesejahteraan menjadi kuncinya. Meminum arak, berjudi, bertenun nasib,
berzina umpamanya adalah amalan tidak berakhlak.
Pedoman al Quran itu tidak akan
berubah disebabkan faktor masa dan zaman kerana ia berkaitan pekerti buruk yang
boleh merosakkan kesejahteraan hidup manusia walaupun majoriti manusia memilih
jalan itu.
Akhlak dalam tradisi Islam tidak
difahamkan dengan maksud yang terbatas melalui penampilan tingkah laku, budi
bahasa dan tutur kata saja. Ia sebenarnya berkait dengan komitmen amal
seseorang.
Apabila akhlak Rasulullah SAW
digambarkan sebagai akhlak al Quran, ia bermakna ajaran al Quran itu hidup pada
diri, cerminan pada peribadi dan amalannya. Akhlak al Quran tidak saja mengajar
umat beriman mengenai tauhid dan takwa, tetapi menampilkan watak amali mendukung
makna tauhid dan takwa dalam amalan serta perbuatan.
Tauhid mendidik manusia yakin bahawa
Allah itu Maha Berkuasa dan Perkasa, Dialah Pencipta dan Pentadbir Alam ini.
Jika ada manusia mempunyai pendirian bahawa dirinya maha berkuasa, penentu akan
segala, maka terlihat pada dirinya ialah sifat zalim, angkuh dan sombong yang
bercanggah dengan akhlak Islam.
Takwa memberi makna mengenai
insaf-ketuhanan yang tinggi dan ukuran kepada kecemerlangan amal. Al Quran
dalam surah al Hujurat, ayat 13, memberikan asas bahawa, “kemuliaan manusia itu
berlandaskan takwa.”
Insaf-ketuhanan adalah kunci
perlakuan seseorang. Apabila manusia bertakwa ingin melakukan sesuatu dan
meyakini bahawa orang lain tidak melihatnya, tetapi Allah melihatnya, pada
dirinya sudah wujud daya kawalan dan pedoman menyebabkan ia berada dalam sikap
serta pendirian terpandu. Natijah perbuatan dan amalannya akan menjadi baik dan
memberi kesejahteraan kepada yang lain.
Akhlak Rasulullah SAW terlihat pada
kesabaran dan jihad ilmunya yang tinggi. Seorang perempuan Yahudi yang berasa
tidak senang dengan Rasulullah SAW yang membawa risalah tauhid membalingnya
dengan sampah setiap kali Rasulullah SAW lalu depan rumahnya.
Ia membayangkan kebencian amat
sangat terhadap diri Rasulullah SAW yang membawa risalah kebenaran. Rasulullah
SAW sabar menghadapi kerenah itu kerana hakikatnya ia tidak tahu maksud risalah
yang dibawa.
Suatu hari perempuan itu sakit dan
tidak lagi membaling sampah apabila Rasulullah SAW lalu di hadapan rumahnya.
Rasulullah SAW berhenti di rumah jiran perempuan itu dan bertanya khabar
mengenai dirinya. Lalu dikatakan beliau sedang sakit.
Rasulullah SAW meminta izin
menziarahinya. Amat terkejut perempuan Yahudi itu terhadap pekerti mulia
seorang manusia yang amat dibencinya menziarahi ketika dirinya sakit. Akhlak
Rasulullah SAW memikat perempuan Yahudi itu lalu memeluk agama Islam.
Akhlak Rasulullah SAW juga terlihat
dalam binaan jemaah di Madinah dan mengendali halaqah untuk menyebarkan
kefahaman serta amalan mengenai ilmu al Quran. Walaupun Rasulullah SAW seorang
yang buta huruf, komitmen terhadap ilmu begitu besar sekali.
Islam perlu didukung dengan kekuatan
ilmu. Al Quran adalah sumber ilmu daripada Allah swt untuk memberi
petunjuk kepada manusia khususnya orang yang bertakwa.
Amal Islami tanpa dukungan ilmu
menjadikan Islam longgar dan kosong. Diturunkan wahyu kepada manusia menjadikan
manusia terpedoman dan memiliki petunjuk memahami hakikat sesuatu yang nyata
dan mengetahui mengenai yang ghaib.
Oleh itu, kepentingan akhlak bagi
manusia ibarat mutiara yang sangat berharga. Hari ini mutiara itu semakin
hilang. Tingkah laku manusia sudah menjadi kaca dan pasir yang tidak memberi
cahaya lagi. Faham diri dan individualistik menjadi nyata dan fahaman
kebendaan, nafsu-nafsi menjadi ikutan.
Manusia akhirnya bakal kehilangan
cahaya dan perlakuan manusia tidak lebih lanjutan sifat haiwani yang hidup
kerana perut dan nafsu. Yang lahir daripada perut itu adalah gambaran yang
diburu dan dicari tanpa pertimbangan akhlak yang membawa kemuliaan manusia di
sisi Penciptanya dan kemuliaan manusia sesama manusia.
Akhlak adalah cerminan diri kerana
daripadanya manusia memiliki contoh dan teladan. Ibarat cermin yang bersih dan
berkilau, manusia mampu melihat diri dengan jelas. Pantulan wajahnya mampu
memperlihatkan dirinya secara telus.
Cermin yang berdebu dan hilang
kilauannya menyebabkan kekaburan pada wajah dan diri. Akhlak yang baik adalah
sesuatu yang boleh diteladani kerana memang fitrah manusia ingin meneladani
contoh yang baik daripada orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan