Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA
Al Quran memberikan asas tentang
ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan yanfaunnas atau sesuatu yang memberi
manfaat kepada manusia. Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah
menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi
keilmuan orang lain.
Ada asas-asas universal yang
terdapat pada ilmu yang berkenaan yang tidak bercanggah dengan faktor akidah
dan syarak.
Kunjungan al Biruni ke India,
pengembaraan Ibn Battuta ke serata ceruk dunia, penguasaan al Farabi, Ibn Sina
terhadap ilmu-ilmu falsafah Greek-Yunani, anjuran Rasulullah saw supaya ilmu
dituntut hingga ke negeri China.
Begitu juga kaedah menebus diri
tawanan perang dengan mengajarkan anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis
pada zaman Rasulullah saw. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping
pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain
harus dicari selagi ia tidak bercanggah.
Lebih-lebih lagi dewasa ini umat
Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan
Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya
menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan
bakal menjadi kuasa besar.
Penaklukan dan penjajahan kini tidak
seperti dulu. Kehebatan teknologi langit terbuka, rangkaian teknologi maklumat
dan komunikasi, kesuburan media cetak dan elektronik, rangkaian Internet dan
sistem komputer yang canggih telah memberikan bentuk ‘penjajahan’ baru kepada
umat Islam.
Cabaran untuk mengetahui aspek-aspek
teknologi amat dituntut supaya umat Islam tidak selamanya menjadi pengguna
kepada keunggulan ilmu dan teknologi Barat umpamanya sehingga Barat dijadikan
indikator maju, moden, membangun dan berubah secara mutlak.
Mempelajari teknologi atau ilmu alat
tidaklah salah. Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Ia bukan matlamat.
Matlamat dalam komputer dan Internet umpamanya ialah untuk memperkaya,
mempercepat dan mempelbagaikan maklumat supaya pemikiran manusia menjadi lebih
luas.
Secara mekanistiknya tidaklah salah.
Tetapi terdapat sesetengah maklumat, perisian, input dan program dalam komputer
dan Internet mengandungi hal-hal yang sifatnya menyalahi. Ia memerlukan daya
saring yang tinggi di kalangan pengguna supaya pengguna dapat membezakan yang
baik dengan yang buruk dan yang bermanfaat atau sebaliknya.
Adalah menjadi cabaran remaja untuk
memahami keadaan ini supaya para remaja tidak terjebak dalam perangkap Barat
atau yang boleh merosakkan minda remaja. Persoalan maklumat berkait rapat
dengan pemikiran. Orientasi maklumat yang datang dari budaya orang lain
kadang-kadang membawa orientasi dan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai
Islam.
Apa yang patut dilakukan oleh remaja
ialah memiliki tekad dan azam yang tinggi untuk mempelajari sesuatu yang
bermanfaat dari orang lain, tradisi lain malah tamadun lain. Oleh kerana sifat
sains dan teknologi berkembang, para remaja harus bersedia untuk menguasai
ilmu-ilmu baru supaya umat Islam sentiasa semasa dengan perkembangan zaman.
Namun begitu para remaja harus
terlebih dahulu menguasai asas-asas ilmu dan pemikiran Islam. Ulama dan ilmuwan
Islam di zaman gemilang dulu menguasai ilmu-ilmu mengenai akidah, syariah,
ibadah dan akhlak supaya mereka memiliki jati diri sebagai seorang Islam yang
berilmu dan menghayati ilmu.
Asas-asas ini sangat penting untuk
memberikan para remaja kekuatan diri menghadapi maklumat, data dan fakta dari
sumber-sumber orang lain atau sumber berbanding.
Apabila dewasa kelak, ia akan
berkembang kerana sifat ilmu dan maklumat tidaklah statik. Batas fardu ain
umpamanya tidak memadai bagi remaja. Ini kerana corak cabaran semasa jauh
menuntut supaya penguasaan ilmu alat seperti sains dan teknologi, komputer dan
penyelidikan, pengurusan dan perundangan, ekonomi dan kajian ilmu-ilmu
kemanusiaan, tamadun dan sistem nilai supaya remaja mempunyai perspektif yang
betul dan asas yang jelas mengenai ilmu Islam dan kaitannya dengan ilmu-ilmu
yang bermanfaat dari sumber orang lain.
Adalah tidak memadai seorang umat
Islam yang menguasai ilmu fardu kifayah maka semua yang terlepas dosa. Ia
adalah syarat fikah yang minimum.
Budaya
Ilmu dan maklumat bukanlah sesuatu
yang sifatnya berkecuali. Tumbuhnya ilmu dan suburnya maklumat adalah dari
pengalaman budaya dan sistem nilai yang dimiliki dan diwarisi oleh sesuatu
bangsa dan tamadun. Tamadun Barat pada hari ini banyak menumpukan kepada
faktor-faktor memajukan benda dan pemikiran berasaskan faham sekular dan
liberal.
Faham ini amat berbahaya bagi
orang-orang Islam kerana ia menolak kepentingan agama dan sistem nilai.
Oleh itu para remaja yang memiliki
asas ilmu Islam yang baik tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan
sumber-sumber dari Barat atau Timur sekiranya para remaja dapat membezakan
buruk-baik akan sesuatu dan dapat mengenal sesuatu yang bermanfaat atau
sebaliknya.
Teknologi komputer umpamanya adalah
sesuatu yang baik untuk di pelajari. Dari sudut perkakasan (hardware) dan
teknologinya tidaklah ada masalah bagi remaja mempelajarinya. Tetapi apabila
menggunakannya sistem nilai dan kekuatan agama adalah perlu bagi memandu remaja
melayari yang baik dan menghindarkan yang tidak berfaedah.
Yang memberikan perbezaan dari segi
penggunaan ialah sistem nilai dan etika yang dimiliki oleh remaja.
Sekiranya sistem nilai dan etika itu
lahir dari penghayatan tradisi Islam, maka para remaja akan memiliki kekuatan
serta berupaya memilih dan menyaring sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.
Dalam masa yang sama, remaja harus
rasa tercabar untuk meneroka dan menghasilkan perisian yang selari dengan
proses pembudayaan dan pemikiran yang sejalan dengan nilai-nilai Islam. Ia
adalah proses yang tidak mudah dan menuntut masa yang lama dan panjang kerana
sifat teknologi dan maklumat selalunya dinamik dan tidak statik. Ia adalah
suatu usaha yang berterusan.
Cara sebegini jugalah yang pernah
berlaku di Eropah dalam proses memanfaatkan ilmu-ilmu Islam di kalangan sarjana
mereka. Walaupun mereka menguasai bahasa di mana ilmu Islam itu lahir dan
tumbuh tetapi sumber ilmu ditatang dengan menggunakan bahasa Latin dan Ibrani
dan dewasa dalam kehidupan zaman reformasi dan Renaissance sehingga menjadikan
ilmu itu terpisah dengan sistem nilai di mana ilmu itu asalnya subur.
Lama kelamaan ilmu itu menjadi
sekular dan berkembang secara liberal tanpa terikat dengan nilai-nilai agama.
Remaja Islam harus mempunyai tekad
untuk menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik sehingga dewasanya nanti memiliki
keahlian dan kepakaran dalam bidang-bidang yang tertentu. Kesediaan dan
keterbukaan perlu ada untuk memanfaatkan faedah-faedah berbanding dalam
ilmu-ilmu dari sumber dan tamadun lain supaya akhirnya ilmu tersebut berkembang
dalam orientasi dan budaya Islam.
Inilah asas-asas integrasi dan
Islamisasi yang sedang berlaku supaya ilmu-ilmu yang bermanfaat terbentuk dalam
acuan kita sendiri. Darinya umat Islam akan menjadi maju di samping keunggulan
ilmu dan tamadunnya sendiri.
Penyuburan ilmu-ilmu Islam seharusnya
berlaku supaya ia menjadi teras membangun acuan sendiri yang sifatnya
menyumbang dan memperkayakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan