ISLAM membenar, malah mengharuskan
seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup
yang membabitkan masalah kewangan.
Pada masa sama, Islam memberi
galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang
memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi
meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, lebih-lebih lagi dalam hal
keperluan asasi.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka
memberikan pinjaman kepada ALLAH (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan
pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan
beroleh pahala yang mulia.”
(Surah 57, al Hadid : ayat 18)
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan
bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah
bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah 5, al Maidah : ayat 2)
Namun, Islam begitu teliti dan memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia membabitkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini hingga ke akhirat kelak.
Mengapakah
anda berhutang?
Ada banyak faktor yang menyebabkan
seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah:
l-Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan
hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan
berhutang.
2-Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang. Lantaran itu dia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanya untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.
3-Sikap tidak berasa puas dan cukup
dengan apa yang dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan
hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
4-Kemudahan pinjaman yang disediakan
oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi
menggalakkan lagi amalan berhutang.
5-Berkehendakkan sesuatu benda yang
membabitkan kebendaan dengan cepat dan segera walaupun hakikatnya dia tidak
mampu berbuat demikian.
Dalam hal ini, jika perkara yang
hendak dimiliki itu adalah keperluan asasi (dharurat) seperti makanan, minuman,
tempat tinggal, pakaian dan pelajaran, maka Islam membenarkan berhutang
sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud:
“Daripada Abu
Hurairah berkata seseorang: Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik?
Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan
hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya.”
Jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan perkara
asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah dia
berhutang. Ini kerana hanya akan menambahkan bebanan, lebih-lebih lagi jika
membabitkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba.
Kesan
amalan berhutang.
l-Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis. Ini disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.
2-Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam resah gelisah kerana dihantui bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
3-Seseorang yang terbeban dengan hutang akan memungkinkan dia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.
4-Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya selepas meninggal dunia hingga segala hutang piutangnya dilunaskan ketika hidup.
Sabda Rasulullah saw:
“Jiwa orang
mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau
celaka) hingga dia menjelaskan hutangnya.”
RASULULLAH SAW pernah berwasiat kepada
sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya :
“Kurangkanlah
dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati.
Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas..”
Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat.
Sabda RASULULLAH SAW :
“Sesungguhnya
sebesar-besar dosa di sisi ALLAH ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan
Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang
berjumpa dengan ALLAH pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum
dijelaskan lagi.”
Sabda RASULULLAH SAW bermaksud:
“Semua dosa
orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya.”
(Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An-
Nasai’ dan Ibn. Majah)
RASULULLAH SAW sendiri tidak akan
menyolatkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Saidina Ali bahawa apabila didatangkan kepada RASULULLAH SAW satu jenazah, Baginda tidak akan bertanya mengenai amalan si mati, tetapi
bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak.
Jika si mati mempunyai hutang, RASULULLAH SAW menyuruh sahabatnya menyolatkan jenazah itu atau Baginda meminta
sesiapa yang sanggup menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang itu akan
diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal. –
Petikan buku Budaya Berhutang:
Amalan Dan Akibatnya
terbitan Jabatan Agama Islam Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan