Suatu hari Rasulullah Muhammad SAW
sedang tawaf di Kaabah, baginda mendengar seseorang di hadapannya bertawaf
sambil berzikir: “Ya Karim! Ya Karim!”
Rasulullah SAW meniru zikirnya “Ya
Karim! Ya Karim!”
Orang itu berhenti di satu sudut Kaabah
dan menyebutnya lagi “Ya Karim! Ya Karim!” Rasulullah saw yang berada di
belakangnya menyebutnya lagi “Ya Karim! Ya Karim!”
Orang itu berasa dirinya diperolok-olokkan, lalu menoleh ke belakang dan dilihatnya seorang lelaki yang
sangat tampan dan gagah yang belum pernah di lihatnya.
Orang itu berkata, “Wahai orang
tampan, apakah engkau sengaja mengejek-ngejekku, kerana aku ini orang Badwi?
Kalaulah bukan kerana ketampanan dan kegagahanmu akan kulaporkan kepada
kekasihku, Muhammad Rasulullah.”
Mendengar kata-kata orang Badwi itu,
Rasulullah SAW tersenyum lalu berkata: “Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai
orang Arab?”
“Belum,” jawab orang itu.
“Jadi bagaimana kamu beriman
kepadanya?” tanya Rasulullah SAW.
“Saya percaya dengan mantap atas
kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan
perutusannya walaupun saya belum pernah bertemu dengannya,” jawab orang Arab
Badwi itu.
Rasulullah SAWpun berkata kepadanya:
“Wahai orang Arab, ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti
di akhirat.”
Melihat Nabi di hadapannya, dia
tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya lalu berkata, “Tuan ini Nabi
Muhammad?” “Ya,” jawab Nabi SAW.
Dengan segera orang itu tunduk dan
mencium kedua kaki Rasulullah SAW.
Melihat hal itu Rasulullah SAW menarik
tubuh orang Arab Badwi itu seraya berkata, “Wahai orang Arab, janganlah berbuat
seperti itu. Perbuatan seperti itu biasanya dilakukan oleh seorang hamba sahaya
kepada tuannya. Ketahuilah, Allah mengutus aku bukan untuk menjadi seorang yang
takbur, yang minta dihormati atau diagungkan, tetapi demi membawa berita
gembira bagi orang yang beriman dan membawa berita menakutkan bagi yang
mengingkarinya.”
Ketika itulah turun Malaikat Jibril
untuk membawa berita dari langit, lalu berkata, “Ya Muhammad, Tuhan As-Salam
menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: “Katakan kepada orang Arab itu, agar
tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan
menghisabnya di Hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang
kecil mahupun yang besar.”
Setelah menyampaikan berita itu,
Jibril kemudian pergi. Orang Arab itu pula berkata, “Demi keagungan serta
kemuliaan Allah, jika Allah akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka
hambapun akan membuat perhitungan denganNya.”
Orang Arab badwi berkata lagi, “Jika
Allah akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan
betapa kebesaran magfirahNya. Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka
hamba akan memperhitungkan betapa luasnya pengampunanNya. Jika Dia
memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa
dermawanNya.”
Mendengar ucapan orang Arab Badwi itu,
maka Rasulullah SAW pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang
Arab Badwi itu sehingga air mata meleleh membasahi janggutnya.
Lantaran itu Malaikat Jibril turun
lagi seraya berkata, “Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu
dan berfirman: “Berhentilah engkau daripada menangis, sesungguhnya kerana
tangisanmu, penjaga Arasy lupa bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga ia
bergoncang. Sekarang katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan
menghisab dirinya, juga tidak akan menghitung kemaksiatannya. Allah sudah
mengampunkan semua kesalahannya dan akan menjadi temanmu di syurga nanti.”
Betapa sukanya orang Arab Badwi itu,
apabila mendengar berita itu dan menangis kerana tidak berdaya menahan rasa
terharu.
Rujukan :
http://kisahislami.com/saat-penjaga-arasy-lupa-dengan-bacaan-tasbih-dan-tahmidnya/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan