Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 14 Ogos 2012

G 74 : UMAT YANG TERPILIH KERANA BERAMAL DENGAN AJARAN ISLAM

“KAMU adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah s.w.t. (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani ) itu beriman (sebagaimana yang semestinya) tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.”
(Surah Ali Imran:  ayat 110)

Huraian

Umat Islam merupakan sebaik-baik umat yang dijadikan oleh Allah s.w.t.. Mereka diberikan kemuliaan dan keistimewaan selagi mereka tetap taat menjalankan tiga dasar yang utama iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan serta beriman kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar iman.

Adalah menjadi tanggungjawab bagi orang Islam untuk menyuruh orang lain khususnya yang berada di bawah tanggungannya untuk berbuat kebaikan dan menjauhi larangan Allah s.w.t.. Tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t. di akhirat. Dengan itu umat Islam akan sentiasa berada di bawah kemuliaan dan kebaikan selagi mereka beriman kepada Allah s.w.t. dengan keimanan yang sempurna.

Adapun umat dan bangsa yang lain mereka telah terpesong daripada kebenaran iman. Mereka telah dipengaruhi oleh kejahatan dan kerosakan. Mereka tidak beriman dengan sebenar-benar iman kerana mereka beriman dengan sebahagian kitab tetapi kufur dengan sebahagian yang lain. Mereka beriman dengan sebahagian rasul seperti Musa dan Isa tetapi kufur kepada Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan mereka mengetahui kebenarannya.

Mereka tidak juga menyuruh berbuat kebaikan atau melarang berbuat kejahatan kerana mereka sudah tenggelam di dalamnya. Sebenarnya kalau mereka beriman dengan sepenuh keimanan, mereka akan beroleh ganjaran yang banyak di dunia dan akhirat, berbanding apa yang mereka peroleh sekarang hanya keseronokan dunia semata-mata.

Mereka hanya mahukan kemewahan dan kesenangan dunia dengan melakukan pelbagai kerosakan. Maka mereka itu sebenarnya golongan yang rugi dan akan dibalas dengan seksaan neraka di akhirat.

Kesimpulan

Umat Islam akan kekal sebagai umat yang paling mulia dan istimewa selagi mereka beriman dengan sebenar-benarnya iman dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan dan menunaikan tanggungjawab amar maaruf dan nahi mungkar dalam kehidupan mereka.
- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan