BERDASARKAN jumlah tangkapan pemberi
rasuah melibatkan pekerja sektor awam mahupun swasta yang semakin meningkat,
golongan pekerja diseru membuat pertimbangan seribu kali sebelum melakukan jenayah
keji itu. Ini kerana menurut perangkaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), sebanyak 524 tangkapan kerana kesalahan rasuah telah dilakukan antara
tahun 2005 hingga 2009. Manakala untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja,
sebanyak 142 tangkapan telah dilakukan dan sebanyak 51 pertuduhan telah
dikemukakan ke muka pengadilan.
Bagi mengelak trend peningkatan
jenayah rasuah yang merugikan bangsa dan negara daripada berterusan, golongan
pekerja disaran mengaplikasikan konsep bekerja sebagai ibadah ketika
menjalankan tugasan harian mereka. Ini boleh dilakukan dengan membetulkan niat
dan matlamat bekerja.
Dalam Islam, setiap amalan dinilai
berdasarkan niat, jika ia benar semata-mata mencari reda Allah SWT, nescaya ia
dianggap ibadah dan berupaya untuk mengelak seseorang daripada melakukan
perbuatan hina seperti menerima dan memberi rasuah. Begitu juga niat yang betul
akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal dan diberkati.
Selain itu, pekerjaan yang dilakukan
mestilah yang dibenarkan oleh syariat. Tidak kira sama ada bergaji tinggi
ataupun rendah, yang penting pekerjaan yang halal lebih mulia daripada
perbuatan meminta-minta. Kenyataan ini pernah disebut oleh Nabi Muhammad SAW
dalam sabdanya yang bermaksud “Perbuatan seseorang pergi ke hutan menebang
kayu, mengikat dan memikul di bahu kemudian dibawa ke pasar untuk dijual adalah
lebih baik daripada meminta-minta kerana belum tentu kita diberi ataupun
tidak.” Justeru itu, tiada guna berpendapatan tinggi dan hidup mewah jika apa
yang dilakukan boleh merosakkan agama dan keharmonian negara.
Begitu pula pekerjaan yang diharamkan
agama seperti bekerja di rumah urut sambil melacurkan diri, bekerja di kelab
malam yang dikelilingi maksiat dan arak juga pusat-pusat perjudian seperti
kedai menjual nombor ekor dan lain-lain wajib dijauhi. Ini kerana perbuatan
tersebut menyumbang masalah sosial dalam masyarakat, selain dilaknat oleh Allah
SWT. Bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah sedangkan Allah SWT hanya
menerima yang baik sahaja. Malah penglibatan orang Islam dalam jual beli riba
dan apa sahaja bidang perniagaan yang memudaratkan seperti pengedaran dadah dan
pil-pil khayal turut diharamkan.
Perlu juga diingat dalam melaksanakan apa
jua pekerjaan, kewajipan melaksanakan ibadah adalah asas yang sama sekali tidak
boleh diabaikan. Sibuk manapun kita menguruskan perniagaan mahupun kerja-kerja
di pejabat, solat tidak patut ditinggalkan. Ia merupakan kewajipan utama yang pertama kali akan
dipersoalkan di hari kemudian. Akibat diabaikan kerja-kerja yang lain
kemungkinan akan terbengkalai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Amalan
bermesyuarat sehingga mengorbankan sembahyang fardu sebagai contohnya patut
dihindari sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh
setiap bulan.
Dalam kesibukan bekerja juga,
seseorang tidak patut mengabaikan
tanggungjawab terhadap keluarga dan rumahtangga. Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk
makan bersama seisi keluarga dan bercuti bersama anak-anak. Pasangan suami
isteri yang bekerja juga perlu memperuntukkan masa bersama sambil berbincang
untuk menyelesaikan masalah anak-anak dan rumah tangga. Jika tidak, anak-anak
terutamanya akan merasa bosan dan tidak seronok berada di rumah lalu keluar
bergaul dengan rakan-rakan yang kemungkinan menyumbang perlakuan tidak bermoral
dan terlibat dengan aktiviti jenayah.
Isteri yang keluar bekerja pula perlu
mendapat restu daripada suami. Di samping itu, pekerjaan yang dilakukan
hendaklah yang dibenarkan oleh syariat dan jangan sampai mengganggu tugas
hakiki seperti mengurus rumahtangga dan mendidik anak-anak. Elakkan daripada
menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada pembantu rumah, kerana dikhuatiri akan
menjejaskan kerukunan rumahtangga. Isteri yang keluar bekerja juga perlu
mengelak fitnah dengan tidak melampau-lampau dalam berhias dan berpakaian. Ini
bagi mengelak hubungan terlarang di pejabat yang banyak terjadi akhir-akhir
ini.
Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan
juga semestinya dilakukan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Untuk
itu perbuatan curi tulang dan makan gaji buta hendaklah dijauhi. Nabi Muhammad SAW bersabda dengan
maksudnya
“Sesungguhnya Allah suka jika
seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun.”
(Riwayat al-Baihaqi).
Sebagai pekerja dalam perkhidmatan
awam pula, nilai-nilai murni dalam Tonggak 12 yang diperkenalkan oleh kerajaan
cukup lengkap untuk menjadi panduan dan pedoman ke arah menjadi pekerja yang
berintegriti. Nilai-nilai yang baik seperti menghargai masa, ketekunan membawa
kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan, kesederhanaan, ketinggian peribadi,
kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas,
kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat serta nikmat
mencipta hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari.
Ingatlah kerja ikhlas yang dilakukan
semata-mata untuk mencari rezeki halal menjadi penyebab kepada keberkatan
hidup. Mungkin gaji yang diperoleh sedikit tetapi jika diberkati, pasti akan
mencukupi. Sedarlah juga setiap wang ringgit yang diperoleh akan dipersoalkan
sumber dan cara bagaimana ia dibelanjakan. Di samping itu, perbuatan memburuk-burukkan rakan
sepejabat dan saling dengki mendengki satu sama lain untuk tujuan kenaikan
pangkat misalnya tidak bertepatan dengan konsep bekerja sebagai ibadah. Ini
kerana selain bekerja untuk menyara kehidupan di dunia, sebagai orang Islam
kita juga bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT di hari akhirat.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan
Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan