Soalan Pertama: Mohon pencerahan berkenaan dengan isu ungkit-mengungkit.
Apakah salah apabila kita terpaksa mengingatkan semula hal-hal lama terutama
segala pertolongan yang pernah kita berikan dengan tujuan menyedarkannya kerana
hamba Allah itu sering menyakitkan hati dan seperti sengaja melupakan semuanya.
Jawapan:
Salah satu perbuatan yang
sangat dibenci oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA adalah
mengungkit-ungkitkan pemberian yang kita telah berikan. Mengungkit-ungkit akan
menghapuskan pahala di atas amal soleh yang kita berikan. Rasulullah SAW
bersabda maksudnya, “Tidak akan masuk syurga orang yang memperdaya, orang yang
kikir, dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadis di atas
terdapat tiga golongan tidak akan masuk syurga iaitu :
Golongan Pertama : Suka
memperdaya orang lain (menipu)
Golongan Kedua : Orang yang
kikir (bakhil)
Golongan Ketiga : Orang
yang suka mengungkit-ungkit pemberian.
Suka mengungkit-ungkit
(pemberiannya)
Firman ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud,
"Hai orang yang
beriman, jangan kamu batalkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan
mengungkit-ungkit (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan
bertanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman dengan Allah dan hari
akhirat."
(Surah al-Baqarah ayat
264).
Mengungkit pemberian
terhadap seseorang pasti akan menyinggung perasaan orang yang menerimanya.
Perbuatan itu mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri dan orang yang
diungkitnya.
Dalam sebuah hadis
disebutkan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Tiga
golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat kelak, serta
tidak akan dipandangNya, dan tidak pula disucikanNya, iaitu orang yang
mengulurkan kainnya, orang yang suka mengungkit-ungkit kebaikannya dan orang
yang menjual dagangannya dengan sumpah palsu.”
(Hadis Riwayat Muslim, Abu
Daud, Tirmidzi, dan Nasai dari Abu Dzar al- Ghifari)
Mengungkit pemberian bukan
sekadar menghapus pahala sedekah tetapi berdosa kerana menyakiti hati orang
lain. Sesungguhnya, ia bercanggah dengan seruan persaudaraan yang diwajibkan
menjaga hati dan perasaan saudaranya. Lebih besar dosanya apabila seorang anak
mengungkit-ungkit pemberiananya kepada kedua ibubapanya. Anak tersebut menjadi
anak derhaka selagi dia tidak bertaubat kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dan meminta ampun kepada kedua ibubapanya.
Jika seseorang menyakiti
hati kita sekali pun janganlah kita bertindak menyakiti hati orang tersebut di
atas amal atau bantuan yg pernah kita berikan. Bantuan yang pernah kita berikan
itu sebenarnya adalah hak ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan
rezeki orang tersebut melalui tangan kita. Jika kita ungkit mengungkit secara automatik
menghapuskan pahala tersebut dan mendapat dosa kerana menyakiti hati orang yang
pernah menerima bantuan kita.
Soalan Kedua : Apakah hukumnya jika seseorang suka mengumpat, memfitnah,
dedahkan aib orang lain dan suka mengadu domba. Apakah balasannya di dunia dan
akhirat akan diterima jika mereka mati dalam keadaan tidak bertaubat dan
meminta maaf kepada orang yang difitnahkannya.
Jawapan:
Mereka yang suka mengumpat,
memfitnah, mengaibkan orang lain dan mengadu domba adalah berdosa besar dah haram
hukumnya. Mereka yang suka melakukan 4 sifat mazmumah di atas (mengumpat,
memfitnah, mengaibkan orang lain dan mengadu domba) adalah golongan fasik yang
akan mendapat balasan di dunia lagi (akan dihinakan oleh ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dan akan dibenci oleh manusia) di akhirat nanti akan menjadi muflis dan
akan dihumbankan ke dalam neraka Jahanam jika tidak bertaubat kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dan memohon maaf kepada mereka yang dianiaya dan dizalimi.
Apakah perubahan sikap dan
akhlak umat Islam sekarang ini sudah berubah? Daripada sikap berlemah lembut
dan adab sopan, kasih mengasihi sesama saudara muslim sudah bertukar menjadi
ganas, penuh dendam kesumat, hasad dengki dan kebencian yang memuncak? Di mana
letak iman mereka sebenarnya? Nabi SAW ada menjelaskan bahawa tidak ada iman
bagi mereka yang tidak mengasihi saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri
mereka sendiri.
Nabi SAW bersabda
maksudnya:
“Yang paling
dikasihi oleh ALLAH di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang
merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang.
Manakala yang dimurkai oleh ALLAH adalah : mereka yang pergi membawa fitnah,
yang mencerai-beraikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah
akan kesalahannya.”
(Hadis riwayat At-Tabharani
dan Abu Hurairah ra.)
Apakah umat Islam yang
terlibat itu sudah tidak takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, tidak
takut kepada kematian dan seksaan di alam barzakh dan hari akhirat? Dan tidak
takut kepada seksaan api neraka yang disediakan oleh ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA kepada mereka yang melakukan fitnah, maki hamun, mengadu domba dan
hasad dengki?
Adakah mereka menganggap
dengan mengeluarkan perkataan maki hamun, sumpah seranah, menyuburkan fitnah,
menjadi penyokong fanatik kepada parti dan pemimpin mereka, mereka akan
dikasihi oelh ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dan akan di masukkan ke dalam syurga? Nauzubillahiminzalik,
Hakikat sebenarnya mereka
sudah tertipu dengan kerja-kerja iblis laknatullah, mereka sudah dikuasai oleh
nafsu amarah sehinggakan tidak ada pertimbangan yang waras dan soal dosa pahala
di tolak tepi, yang penting bagi mereka rasa puas apabila kutukan dan sumpah
seranah dapat dilepaskan kepada musuh mereka. Soal hendak menjadi muflis atau
tidak di hari akhirat itu soal lain yang penting apa yang nafsu mereka hajatkan
dapat dipenuhi.
Hidup masa kini sebenarnya
untuk beristiqamah dengan kebaikan dan bersifat tawaduk amat sukar sekali, kita
sering diajak untuk bersama-sama menyuburkan fitnah dan menjadi pemegang saham dosa
besar yang sama bagi mereka-mereka yang menyuburkan fitnah dan dosa-dosa besar.
Jika kita share sahaja dalam wall gambar-gambar berupa fitnah atau
berita-berita palsu hakikat sebenarnya dosa besar yang orang lain buat sama
saja kita akan dapat dan tidak dikurangkan walaupun sedikit. Jika kita komen
tanda sokong atau 'like' dalam ruang komen yang berunsur fitnah dan megaibkan
orang lain maka kita bersubahat dan bertali arus dosa-dosa besar masuk dalam
buku catatan kita. Jika ceramah-ceramah mengaibkan orang lain kita sokong dan
bersorak dan tepuk tanggan kita juga dapat saham yang sama seperti penceramah
tersebut perolehi.
Firman ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA maksudnya:
“Hai orang-orang yang
beriman! Kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan
saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui,
kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu.”
(Surah Al-Hujurat ayat 6)
Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Tidak akan
masuk syurga pembawa fitnah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Kita perlulah berhati-hati,
jangan mudah percaya dan terpedaya dengan berita fitnah, berita palsu, berita
mengaibkan orang lain (jika tidak disertai dengan bukti) dan berita-berita
tuduhan zina atau liwat yang tidak membawa 4 orang saksi yang adil samaada
terdapat dalam akhbar arus perdana, blog, multi media, radio, television,
facebook, E-Mail, SMS, MMS, video, VCD, risalah-risalah dan ceramah-ceramah
umum. Kesemua medium penyampai maklumat itu jika kita mudah terpengaruh dan
mempercayainya akan memudahkan kita menghimpun dosa-dosa besar yang banyak dan
tidak mampu kita tanggung di akhirat nanti kerana amal soleh dan amal ibadah
kita terlalu sedikit dan tidak mencukupi untuk bayar balik dosa-dosa fitnah
kepada orang yang kena fitnah.
Abu Zhar Al-Ghiffari
berkata, Rasullullah SAW. bersabda maksudnya:
“Barangsiapa
menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak
sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh ALLAH dalam neraka pada hari
kiamat.”
(Hadis Riwayat Ibnu Abid
Dunya)
Bagaimana sikap kita supaya
kita terselamat daripada menjadi muflis atau menanggong dosa besar orang lain?
Sebagai seorang mukmin kita diminta menjauhkan diri daripada segala bentuk
mengumpat, fitnah dan perkara negatif yang cuba dibawa atau ditonjolkan oleh
orang lain. Lebih baik dan selamat kita bersangkabaik dengan saudara seagama
daripada kita mengiyakan berita negatif tersebut dan kita banyakkan bersahabat
dengan orang soleh yang mukmin dan banyakkan masa untuk menuntut ilmu dan sebarkan
ilmu yang bermenfaat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang
muflis di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat nanti datang
membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa
mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar,
menumpahkan darah, dan memukul orang lain.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Bahaya lidah adalah kerana
tersebarnya kebatilan agama yang diakibakan oleh lidah mengucapkan kata-kata
yang batil ataupun banyak bicara pada hal-hal yang tidak bermanfaat.
Kedua-duanya merosakkan masyarakat dan hubungan baik dengan orang lain.
Kita perlu bermuhasabah
diri kita sendiri dan mengawal lidah, tangan, telinga dan mata kita supaya
semuanya kita gunakan untuk membawa kebaikan dan rahmat kepada sekelian alam.
Jika kita menulis, share, sokong atau komen pastikan semuanya membawa manfaat
dan dijauhi daripada dosa fitnah, mengumpat atau mengaibkan orang lain. Inilah
yang dikatakan amal soleh yang berterusan, bukan sahaja amal soleh itu berbentuk
ibadah tetapi kita bermuamalat dengan saudara seagama dengan cara makruf juga
amal soleh maka ganjaran besar menanti kita in shaa Allah.
Soalan Ketiga: Ustaz, mohon penjelasan, saya ingin bertanya , Bagaimana
cara untuk kita mengantikan puasa yang kita tinggal 5 tahun lepas sebanyak 30
hari (Ketika itu saya dalam keadaan pantang bersalin)?
Jawapan:
Puasa yg ditinggalkan wajib
qada jumlah yang ditinggalkan. Di samping puasa qada saudari juga dikenakan
fidyah 1 cupak makanan asasi setiap hari yang ditinggalkan kerana saudari tidak
qada' puasa sehingga melepasi setahun. Mengikut mazhab Syafie fidyah digandakan
setiap tahun yang ditinggalkan tetapi mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak
payah digandakan hanya bayar sekali sahaja.
Jawatankuasa Fatwa telah
dikemukakan dengan persoalan tentang hukum gandaan fidyah dan kifarah. Pihak
Jawatankuasa diminta untuk memberi pendapat dan keputusan tentang perkara
tersebut.
Keputusan:
1. Mesyuarat Jawatankuasa
Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari
2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa pembayaran-pembayaran fidyah
dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus). Ini menurut
sebahagian pandangan mazhab Syafie.
2. Walaubagaimanapun,
sekiranya pihak pembayar ingin membuat pembayaran fidyah dan kifarah secara
berganda maka ianya boleh diterima.
3. Oleh itu, pembayaran
fidyah dan kifarah ini diberi dua pilihan:
a. Digandakan pembayaran
fidyah dan kifarah mengikut tahun yang ditinggalkan.
b. Tidak digandakan pembayaran.
4. Pandangan ini diambil
kira ia berbetulan dengan ajaran Islam yang tidak sama sekali menyusahkan
manusia yang menganut ajarannya.
Keterangan/Hujah:
Latar Belakang
1. Fidyah ialah satu
istilah yang terdapat di dalam fiqh al-Islami. Ia lebih difahami sebagai
"satu cara untuk menggantikan puasa Ramadan yang tertinggal disebabkan
keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak."
2. Jumlah fidyah yang
dibayar adalah berdasarkan kepada bilangan puasa yang ditinggalkan. Sekiranya
bilangan puasa yang ditinggalkan itu banyak, maka banyaklah fidyah yang perlu
dibayar. Begitu juga sebaliknya.
3. Sekiranya jumlah yang
perlu dibayar adalah sedikit, ia tidak menjadi masalah. Tetapi sekiranya jumlah
tersebut terlalu tinggi, masalah akan timbul apabila berlaku penggandaan dalam
pengiraan fidyah apabila pembayaran ditangguhkan untuk beberapa Ramadan.
Pendapat Ulama"
1. Terdapat dua pandangan
terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh:
1) Tidak digandakan: ia
adalah pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Pandangan ini dikukuhkan
dengan hujah bahawa penagguhan terhadap sesuatu ibadah tidak akan menambahkan
bilangan ibadah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada ibadah haji yang
tertangguh.
2) Digandakan: Pandangan
ini dikukuhkan dengan hujah bahawa setiap penangguhan tersebut membentuk fidyah
yang lain. Fidyah yang bertambah tersebut tidak boleh disatukan menjadi satu.
Jika saudari telah
meninggalkan puasa 5 tahun lepas maka saudari wajib mengqada' 30 hari puasa
Ramadan yang ditinggalkan dan membayar fidyah sebanyak 30 hari x 0.675 kg beras
iaitu 20.25 kg beras disedekahkan kepada fakir miskin.(kiraan fidyah ini tidak
di gandakan).
Soalan Keempat: Saya hendak bertanya adakah jika seorang lelaki
menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita
itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum
tahu atau tidak kenal pihak lelaki?
Jawapan:
Apabila seorang lelaki
menyatakan hasrat hatinya kepada seorang wanita dan dia bersetuju itu belum
bertunang lagi. Itu baru muqadimah perkenalan saja. Kerana sebagai seorang
mukmin yang ada adab sopan dan budi pekerti yang tinggi perlulah mendapat
persetujuan walinya dahulu, dan berbincang dengan cara yang makruf dan bukannya
dibuat di tepi jalan atau melalui telefon saja. Sekiranya anda ingin bertunang,
anda perlulah memenuhi syarat-syaratnya yang termaktub di dalam perundangan
Islam.
Antara syarat-syarat
tersebut adalah :
1. Berjumpa dengan wali /
mahram wanita.
Wali wanita adalah yang
terdiri di kalangan mahramnya terutama ayah, abang, bapa saudara sebelah
ayahnya atau ibunya dan siapa sahaja mahramnya yang berkaitan dengan wanita
tersebut. Anda dilarang bertunang tanpa pengetahuan wali wanita tersebut.
2. Pertunangan perlu
dirahsiakan.
Islam melarang terhadap
tindakan menghebahkan pertunangan. Yang perlu tahu adalah keluarga terdekat
sahaja. Tidak dibenarkan sama sekali membuat hebahan berkenaan pertunangan
seperti majlis perkahwinan. Kebaikannya jika andai tidak jadi berkahwin dan
pertunangan dihebahkan besar-besaran kedua-dua pihak akan menanggung malu dan
ini mengakibatkan maruah tercemar terutama maruah wanita. Islam itu agama yang
membela wanita dan maruah.
3. Bertunang dengan wanita
yang dibenarkan syara'.
Antara wanita yang tidak
boleh dipinang mengikut syarak ialah wanita yang talak satu dan dua serta ada
kemungkinan rujuk, wanita yang kematian suami dan masih tidak habis i'ddah
iaitu selama 4 bulan 10 hari, wanita yang diceraikan dengan talak tiga dan
masih tidak habis i'ddah tidak boleh di pinang..
4. Tidak meminang tunangan
lelaki lain.
Islam tidak membenarkan
mana-mana lelaki meminang tunangan saudara seIslamnya. Sabda Rasulullah SAW,
maksudnya :
"Mukmin itu
bersaudara, tidak halal baginya membeli di atas barangan belian saudaranya, dan
jangan meminang di atas pinangan saudaranya sehinggalah diputuskan ( saudaranya
memutuskan pertunangan)."
Empat syarat tersebut
perlulah dipatuhi oleh setiap umat Islam yang berhajat mengadakan majlis
pertunangan.
Menyatakan hasrat hati
adalah muqadimah untuk bertunang. Wanita tak perlu terus kata setuju perlu
solat istikharah dahulu. Setelah bersetuju barulah proses untuk bertunang.
Bertunang adalah disyariatkan oleh Allah SWT ianya adalah muqaddimah kepada
perkahwinan iaitu dengan melamar wanita untuk dijadikan bakal isteri atau
meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki.
Bertunang juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak / kemahuan
seseorang lelaki untuk berkahwin dengan seseorang wanita.
Bertunang itu telah
disyariatkan di dalam Islam sebagaimana firman ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA, maksudnya:
"Dan tidak ada
salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk
meminang perempuan (yang kematian suami dan masih Dalam idah), atau tentang
kamu menyimpan Dalam hati (keinginan berkahwin Dengan mereka). Allah mengetahui
bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu
tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di
dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.
dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad
nikah sebelum habis idah Yang ditetapkan itu. dan ketahuilah Sesungguhnya Allah
mengetahui apa Yang ada Dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan
kemurkaanNya, dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Penyabar."
( Surah al-Baqarah (2) ayat
235 )
Soalan Kelima: Bolehkan ustaz menjelaskan apakah ciri-ciri untuk
membentuk akhlak seorang mukmin itu hinggakan dirinya menjadikan seorang yang
berakhlak Islam?
Jawapan:
Pembentukan akhlak Islam
mestilah ditegak di atas empat asas utama, iaitu:
Pertama: Iman.
Kedua: Islam.
Ketiga: Takwa.
Keempat: Ihsan.
Huraiannya:
Pertama: Iman.
Iman tidak ubah seperti
acuan atau benih. Bagaimana acuan maka begitulah hasilnya dan bagaimana benih
maka begitulah pokoknya. Oleh itu adalah sia-sia sebarang usaha pembentukan
akhlak Islam, jika tidak dimulakan dengan menegakkan asas keimanan terlebih
dahulu.
Iman yang dikehendaki di sini
ialah iman yang menjadi asas atau tunjang kehidupan umat Islam dalam semua
aspek. Seorang muslim perlulah beriman sepenuhnya kepada prinsip-prinsip
keimanan yang enam, iaitu beriman kepada Allah, RasulNya, KitabNya,
MalaikatNya, Hari Akhirat dan beriman kepada Qada dan Qadar.
Iman ini hendaklah hidup
subur di jiwa serta menghasilkan amalan dan usaha yang sesuai dengan kehendak
Islam dan diredai ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kuat atau lemah, pasang
atau surut iman seseorang akan memberi kesan kepada setiap pekerjaan atau
perbuatannya. Jika kuat iman itu maka baiklah perbuatannya. Sebaliknya jika
lemah iman itu maka buruklah perbuatannya.
Kedua: Islam.
Asas kedua dalam
pembentukan akhlak Islam ialah Islam itu sendiri .Islam bermakna ikutan atau
perlaksanaan segala titah perintah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan
patuh kepadaNya semata-mata. Islam merupakan tatacara hidup yang serba lengkap
seperti yang ditegaskan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam
firmanNya yang bermaksud:
“Pada hari ini telahKu
sempurnakan untuk kamu deenmu, dan telahKu cukupkan kepadamu nikmatKu, dan
telah redai Islam itu menjadi agama bagimu.”
(Surah Al-Maidah ayat 3)
Islam sahaja merupakan cara
hidup yang ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA redai. Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang
bermaksud:
“Barangsiapa mencari deen
selain deen Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadaNya, dan dia
di akhirat termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.”
(Surah Ali-Imran ayat 85)
Ketiga: Takwa.
Seorang muslim dianggap
bertakwa apabila hatinya benar-benar takutkan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA serta memperhambakan diri sepenuhnya kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA. Dia juga menyedari bahawa dia akan berhadapan dengan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA di hari kiamat kelak. Hidup di dunia ini dianggapnya sebagai ujian daripada
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Justeru itu dia perlu sentiasa berhati-hati dan mengawasi dirinya agar
tidak terjerumus ke dalam perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Takwa ini mestilah dibina di atas iman yang sejati. Firman ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang
beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa
yang telah dibuatnya untuk hari esok (Akhirat), dan bertakwalah, kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Hasyr ayat 18)
Keempat : Ihsan.
Manakala ihsan pula lahir
dari hati yang cintakan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Cinta
yang mendorong seseorang itu bersungguh-sungguh dan penuh minat melaksanakan
ajaran Islam demi mengejar keredaanNya. Seorang yang bersifat ihsan akan
mengutamakan orang lain daripada dirinya. Sifat ini melambangkan ketinggian
akhlak seseorang muslim. Dalam menjelaskan ihsan, ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA berfirman yang bermaksud:
"...(iaitu)
orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik di waktu lapang atau sempit, dan
orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah
menyukai orang-orang yang mohsin (bersifat ihsan)."
(Surah Ali-Imran ayat 134)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan