Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 28 Disember 2018

T 43 : TELINGA

Telinga merupakan salah-satu nikmat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang terbesar. Telinga merupakan antara anggota yang boleh membawa  kepada kebaikan dan boleh membawa kita kepada keburukan.  Telinga dalam Bahasa Arab dipanggil Uzunun, manakala mata ialah ainun.  Ia bukan maksud daun telinga atau cuping telinga. Yang dimaksud di sini ialah sifat pendengar yang ada pada telinga tersebut.

Yang bakal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tanyakan atau pertanggungjawabkan kepada kita ialah sifat mendengar yang ada pada telinga itu. Kata ustaz, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tak tanya tentang cantikkah telinga kamu dulu atau kamu pakai anting-antingkah di telinga dulu dan sebagainya.   Bukan begitu, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tak tanya yang itu.

Kata ustaz, yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan tanya ialah, kamu guna telinga kamu itu kepada perkara yang baik atau perkara yang tak baik?

Telinga yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jadikan buat kita ini ada beberapa faedah, sepertimana yang disebutkan dalam kitab yang dibacakan oleh ustaz iaitu.. "Ketahui olehmu bahawasanya telinga itu menjadikan dia oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA bagi engkau kerana beberapa faedah yang bangsa dunia dan beberapa faedah yang bangsa akhirat."  Faedah yang disebut ialah samada yang berbentuk duniawi atau ukhrowi. Boleh jadi juga faedah telinga duniawi yang kita guna akan bertukar menjadi faedah akhirat. 

Faedah duniawi ialah bersedap-sedap dengan apa yang didengar.  Boleh sampai pada peringkat asyik, itu yang ada sampai pakai earfon masa berjalan. Sebab apa? Sebab bersedap-sedap telinga mendengar. Kalau yang sedap kita dengar itu, ia boleh juga ditukar kepada faedah akhirat contoh: bila kita mendengar bacaan al Quran. Kalau kita pakai ear-fon, bawak walk-man merata-rata, nampak pada zahirnya duniawi tapi kalau yang kita dengar itu orang mengaji quran, itu dah jadi ukhrowi.

Yang berbentuk duniawi, kita boleh bersedap-sedap mendengar, kita boleh tahu bila kita dengar kita akan kata.." Oh orang ini suara sedap.." sebab ada sifat pendengar pada telinga kita. Faedah diperolehi bila dengar, dapat memahamkan apa yang didengar.  Kita bukan faham suara, tapi dengar makna dari suara yang didengar. Sebab ada juga orang yang mendengar tapi tak dapat faedah contoh: Bila dengar orang duk mengajar dalam bahasa Arab, boleh jadi kita tak faham sebab ramai antara kita yang tak tahu bahasa Arab.

Faedah yang bangsa akhirat itu termasuklah bila mendengar ia akan al-Quran. Kita guna telinga ini untuk kita dengar ayat-ayat
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.  Bila kita mendengar suara saja pun orang mengaji, dah beroleh pahala. Mendengar walaupun tak ada qari yang membaca depan kita, alhamdulillah dah beroleh pahalanya In shaa Allah. Mendengar orang membaca al-Quran antara sunnah Nabi SAW. Nabi SAW bukan sekadar baca sendiri tetapi juga suka mendengar bacaan-bacaan al-Quran oleh para sahabat ra.


Telinga juga akan beroleh faedah akhirat jika kita mendengar hadis Nabi SAW. Makanya kena hadir kalau ada majlis-majlis yang membacakan hadis Nabi SAW. Dengan sebab dengar al-Quran dah Hadis Nabi SAW, menangis-nangis sahabat ra sebab mereka faham isi kandungannya.

Juga kena dengar ilmu-ilmu yang memberi manafaat. Maka ilmu yang kita belajar kena tengok ilmu itu ada manafaat atau tidak untuk kita.  Menggunakan sifat pendengar untuk mendengar ilmu yang bermanafaat ini adalah memberi pahala untuk diri kita.  

Bagaimana kita nak mensyukuri sifat pendengar yang Allah kurniakan pada kita ini? Caranya hendaklah kita memelihara diri atau elak dari:

a. Mendengar perkara/suara yang dilarang seperti mengumpat.  Kena elak dengar umpatan-umpatan, jangan kita pergi tadah telinga.  Orang yang mendengar perkataan yang sia-sia dan keji itu bersekutu/bersekongkol dengan orang yang bercakap, walaupun tidak menyampuk.  Topik-topik yang dibicarakan jika semuanya mengumpat maka kalau orang yang berkata tu contoh dapat 100 dosa kita yang mendengar pun ikut dapat 100 juga. Akan sama saja.

b. Dengar perkara yang mengadu-domba atau melaga-lagakan orang, mengata-nista orang, caci-mencaci dan segala bicara yang kotor-kotor. 
Benda susah semua ni... tuan-tuan, kata ustaz. Bukan senang untuk nak elak lebih-lebih lagi kita sekarang duduk di zaman ini, zaman mutaakhir. Bila berkumpul ramai-ramai( tak kira secara berdepan atau online), makin seronoklah. Mesti adanya mengumpat bila duduk lama-lama. Orang ini tambah asam, orang itu tambah garam, tambah perencah-perencah lain maka jadi makin lazat kita mendengar. Namun, eloklah untuk kita tinggalkan perkara ini. Kata ulama, ini jalan untuk kita sampai pada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Maka tinggalkan lah ia. Kalau tak tinggal, hati kita akan lara, akan ada titik hitam dalam hati kita.  Kalau begitu, jangan elakkan diri dari meninggalkannya.  Ulama kata, jangan kita rasa pelik jika kita berseorangan, tiada kawan-kawan malah duduk sorang-sorang.  Hakikatnya itu lebih baik kerana boleh jadi kita benar. Yang jadi dapat 'masuk kawan' tu sebab satu kepala, sebab itu lah boleh berkawan. Bila ada orang ajak mengumpat, kita tak menolak untuk ikut sama. Kalau kita pergi kata.."Eh jangan lah mengumpat, atau kita beristighfar astaghfirullah hal azim, maka dah tentu tak adalah orang yang nak berkawan dengan kita. Sebab tak geng, tak satu kepala.

c. Elak dari dengar perkataan yang tak baik termasuklah perkara bidaah.

Kata ustaz, jangan menjamu telinga kita dengan perkara maksiat. Elak dengar orang yang mengajar perkara yang bukan disepakati oleh ahli sunnah wal jamaah.  Siapa ahli sunnah wal jamaah?
Hadis Nabi SAW ada menyebut. Diriwayatkan oleh Imam Thabrani, 
Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad ditanganNya, akan berpecah umatku sebanyak 73 firqah, yang satu masuk Syurga dan yang lain masuk Neraka.” Bertanya para Sahabat: “Siapakah (yang tidak masuk Neraka) itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ahlussunnah wal Jamaah.”

“Bahawasanya Bani Israel telah berfirqah sebanyak 72 firqah dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya akan masuk Neraka kecuali satu.” Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya: “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab, “Yang satu itu ialah orang yang berpegang sebagai peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku.” 
(HR Imam Tirmizi)

Kata ustaz, yang kita perlu ikut ialah ulama-ulama terdahulu yang tidak mengadakan bidaah-bidaah. Ulama-ulama yang banyak mengadakan bidaah dikatakan ulama yang tak berpegang dengan ahli sunnah wal jamaah. Mereka ini  boleh mengelirukan orang awam dan ini merupakan jenayah yang besar, kata ustaz. Jangan kiranya kita mempergunakan pendengaran kita kepada perkara-perkara bidaah atau ajaran-ajaran yang menyimpang.  Jadi seboleh mungkin, kena elak. Itu tanda kita bersyukur dengan nikmat sifat pendengar... tiada mendengar akan telinga kita kepada perkara-perkara yang tidak baik.

Jika menggunakan telinga itu untuk mendengar apa-apa yang diharamkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka kita sebenarnya telah mengkufuri nikmat pemberian telinga itu dan tidak mensyukuri ALLAH SUBHANAHU WA TAALA atas kurnia yang besar itu, kerana telah menggunakan telinga itu pada tempat yang salah.

Perkataan yang didengar itu ibarat seperti makanan, setengahnya memberi manfaat dan setengahnya memberi mudarat dan setengahnya penawar dan setengahnya racun. Adapun perkataan yang jatuh ke dalam hati, terkadang berkekalan ia di dalam hati seumur hidup. Maka jika ia perkataan yang jahat maka sentiasa ia memfitnahkan dan mendatangkan was-was bahkan terkadang menyebabkan ia akan kebinasaan yang besar.  Maka hendaklah bersungguh-sungguh orang yang berakal itu memelihara sifat pendengarnya dan segala anggotanya sebelum ianya ditanya  pada hari kiamat.

Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam surah al-Isra' ayat 36, yang bermaksud:

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan