Luqman Al-Hakim mengajar anaknya ilmu yang datang daripada sisi Allah
Yang Maha Mengetahui. Beliau pernah berpesan dan menasihati anaknya:
1. “Wahai anak kesayanganku! Allah SWT memerhatikan dirimu dalam
kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau tidur lena di belakang tabir di
dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau berasa ragu untuk meninggalkan
perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan dan kekejian.”
2. “Wahai anakku! Selalulah berharap kepada Allah SWT tentang sesuatu
yang menyebabkan untuk tidak mendurhakai Allah SWT. Takutlah kepada Allah SWT
dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat
berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3. “Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT (dengan
sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman
yang besar.”
4. “Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana kurniaanNya. Orang
yang mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali orang yang kufur.”
5. “Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu
mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah seperti
orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya,
padahal ia masih mahu menambahkannya.”
6. “Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan
yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat,
agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama TAKWA,
isinya ialah IMAN dan Layarnya adalah TAWAKKAL kepada Allah SWT.”
7. “Wahai anakku! Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk
menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah SWT.
Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan
sentiasa menerima kemuliaan daripada Allah SWT juga.”
8. “Wahai anakku! Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai
orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain
kerana itu adalah sifat riak yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
9. “Wahai anakku! Jangan engkau berjalan sombong serta takbur, Allah SWT
tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”
10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu
serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya
seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
11. “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka
ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana
dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau
mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
12. “Wahai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya
sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia
yang mengharapkan sesuatu darimu.”
13. “Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang tentu akan disayangi,
sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun dan
sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan
menyesal.”
14. “Wahai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu.
Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara
kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
15. “Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana
sesuatu yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang
pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, dan
janganlah mensia-siakan hartamu.”
16. “Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya
kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di rumah orang lain,
jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu berada di kalangan manusia, jagalah
lidahmu.”
17. “Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan
kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat
bila berdiam diri. Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu mendatangkan
manfaat bagi orang lain.”
18. “Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak)
sedangkan amat sedikit orang yang melakukannya.”
19. “Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang yang tidak
cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya
dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
20. “Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang
bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
21. “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka bukan seorang
yang jujur di sisi Allah SWT.”
22. “Wahai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab berbohong itu mudah
dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu
telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air mukanya dan
sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa dirimu kerana
yang demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam setiap kejadian dan
urusan.”
25. “Wahai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan di antara
takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi
orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan
menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan
duniawi sahaja.”
26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yang
berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih
baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
27. “Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya
barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana
manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan
kesengsaraan.”
28. “Wahai anakku! Aku pernah makan makanan yang baik dan memeluk yang
terbaik tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih lazat daripada
kesihatan.”
29. “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal
fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadat.”
30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan, maka
akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh
anggota tubuhmu daripada beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan
hati (jiwa) dan kehalusan pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat
diperoleh lazatnya munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”
31. “Wahai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang
yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulama dengan cara
meminta nasihat dari mereka.”
32. “Wahai anakku! Jangan engkau berlaku derhaka terhadap ibu dan ayahmu
dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka menyuruhmu derhaka kepada
Yang Maha Berkuasa.”
33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat baiklah dengan ibu
dan ayahmu. Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan perkataan mahupun
perbuatan dibenci.”
34. “Wahai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan
yang kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi
tanam-tanaman.”
35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam
beribadat dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk kepada Allah SWT, dia
akan lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha menghindarkan maksiat
kepada Allah SWT.”
36. “Wahai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana
tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa
banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.”
37. “Wahai anakku! Andainya ada sebutir biji sawi terpendam di dalam
batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha Melihat, Allah Amat Mengetahui
segala sesuatu, zahir mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan di dalam
dadamu.”
38. “Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya
semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu
mengerti.”
39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat
batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu
adalah bilamana engkau mempunyai jiran yang jahat.”
40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi,
tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada hutang.”
41. “Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya
berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu
malam.”
42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang Allah
bentangkan bagimu apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada kebaikan yang
amat banyak?”
43. “Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati di kehidupan ini lantaran
kurniaanNya yang penuh keamanan, keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di
taman dunia yang subur mekar dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang
berseri-seri.”
44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”
45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan
hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA bukanlah untuk dunia
sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang
terpedaya dengan dunianya.”
46. “Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah kerana
nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya
janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya
yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”
47. “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk mempelajari apa yang
belum kamu tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa yang kamu tahu.”
48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dan mati, lupakan dua
perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu dan kebaikanmu terhadap orang
lain.”
49. “Wahai anakku! Kehinaan dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA lebih mendekatkan diri daripada mulia dengan
maksiat (perkara menyebabkan dosa) kepadaNya. Janganlah anakku undurkan
melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut
tidak memberitahukannya terlebih dulu.”
50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama bersendirian itu dapat memahami
untuk berfikir dan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan