Antara Persoalan Yang Akan
Dijawab Dalam Irsyad al-Hadith Pada Kali ini adalah:
·
Mengapakah tidak disebut lafaz Dajjal di dalam al Quran?
·
Di manakah Dajjal akan keluar?
·
Bilakah muncul atau keluarnya Dajjal?
·
Apakah terdapat golongan yang mengingkari akan kewujudan Dajjal ini?
·
Siapakah Ibn Shayyad (ابن صياد) itu Dajjal?
·
Apakah kesudahan daripada fitnah Dajjal ini?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji
bagi ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA, selawat dan salam kepada junjungan besar NABI MUHAMMAD SHALLALLAAHU
‘ALAIHI WA SALLAM, ahli keluarga NABI MUHAMMAD SHALLALLAAHU ‘ALAIHI WA SALLAM,
sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali
ini akan menerangkan secara ringkas berkaitan Dajjal menurut perspektif sebenar
mengikut al Quran dan al-Hadith. Sebagaimana yang kita ketahui, Dajjal
merupakan fitnah yang paling dahsyat dan ia akan berlaku di akhir zaman. Untuk
itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan
fitnah ini. Bagi menjawab persoalan di atas, sudi bagi kami untuk menyatakan
terlebih dahulu berkaitan definisi Dajjal.
Definisi Dajjal
Dajjal dari sudut bahasa
bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah
al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan
sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat
tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang
bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu
“فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.
Manakala dari sudut istilah
pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh NABI MUHAMMAD
SHALLALLAAHU ‘ALAIHI WA SALLAM melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
·
Seorang manusia.
·
Rambutnya kerinting dan kusut masai.
·
Sebelah daripada matanya buta.
·
Tertulis antara dua matanya كفر (kufur).
Persoalan-Persoalan
Berkaitan Dajjal
Antara persoalan-persoalan
berkaitan Dajjal adalah:
Soalan:
Mengapakah tidak disebut lafaz Dajjal di dalam al Quran?
Jawapan: Bagi
menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang
membincang berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan
ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:
Pertama: Dajjal
disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al Quran. Contohnya:
Firman ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA:
يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ
آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ
أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا
“Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi
tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda
Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak
beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai
imannya.”
(al-An’am:158)
Di dalam ayat ini, tidak
disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di
dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabah
(الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.
Selain itu di dalam riwayat
Muslim terdapat sebuah hadith yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan
ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al Quran dengn
hadith NABI MUHAMMAD SHALLALLAAHU ‘ALAIHI WA SALLAM. Hadith tersebut adalah:
Daripada Abu Hurairah RA,
bahawa NABI MUHAMMAD SHALLALLAAHU ‘ALAIHI WA SALLAM bersabda:
ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا
يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي
إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ،
وَدَابَّةُ الْأَرْضِ
“Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi
manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau
sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga
perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan
juga al-Dabah yang melata di bumi.”
[Riwayat Muslim (158)]
Kedua: Al Quran
telah menyebut Nabi Isa AS dan Nabi Isa AS yang akan membunuh Dajjal. Maka
dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa AS yang membawa kepada hidayah
daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat
(kebiasaan) orang Arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada
perkara yang berlawanan.
Ketiga: Al Quran
tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal
apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan
(rububiyyah) sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA tidak menyebut namanya di dalam al Quran bagi menghina dan
memperlekehkannya. Persoalan yang timbul, mengapa al Quran menyebut Firaun
sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana
Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita
mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal
kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.
Setelah melihat beberapa
pendapat di atas, pendapat yang pertama adalah lebih tepat dan betul berbanding
pendapat-pendapat yang lain. Walaupun lafaz Dajjal tidak disebut secara jelas
di dalam al Quran tetapi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah
mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menjelaskan berkaitan hal tersebut.
Soalan:
Dimanakah Dajjal akan keluar?
Jawapan: Dajjal
akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan (Khurasan adalah satu tempat
yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa
daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan
tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali
Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana
terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn
Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. [Lihat:
Fath al-Bari] Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa
buah hadith yang sahih, antaranya:
Daripada Abu Bakar RA,
bahawa NABI MUHAMMAD SHALLALLAAHU ‘ALAIHI WA SALLAM bersabda:
الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ
أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ
“Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur,
dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan.”
[Riwayat al-Tirmizi (2237)][Imam al-Tirmizi menilai
hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith
ini adalah sahih]
Soalan: Bilakah
muncul atau keluarnya Dajjal?
Jawapan: Muncul
atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali
mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini
tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda
besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang
tidak diketahui melainkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan
firmanNya:
Firman ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ
السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا
يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat:
"Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan
mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat
menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT).”
[al-A’raf: 186]
Soalan: Apakah
terdapat golongan yang mengingkari akan kewujudan Dajjal ini?
Jawapan:
Terdapat sebahagian individu mendakwa bahawa Dajjal ini hanyalah simbol
kejahatan sahaja dan ia akan hilang dengan terdiri syariat di atas muka bumi
ini. Dalam masa yang sama, mereka ini menafikan bahawa Dajjal adalah seorang
manusia sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Antara dalil yang
menguatkan hujah mereka adalah, hadith-hadith berkaitan Dajjal diriwayatkan
dengan berbeza-beza seperti tempat keluarnya Dajjal, peribadi Dajjal itu
sendiri dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa Dajjal adalah simbol kepada
kejahatan semata-mata dan dia bukanlah seorang manusia seperti yang kita
fahami.
Bagi menjawab persoalan
ini, hakikatnya tidak ada pertentangan dalam riwayat-riwayat berkaitan Dajjal
ini dan ia telah dijelaskan oleh ulama’ sebelum ini apabila mereka cuba
menghimpunkan riwayat-riwayat ini dan menjelaskan setiap riwayat tersebut.
Hakikatnya, Dajjal adalah seorang manusia dan dia bukanlah simbol sebagai yang
didakwa oleh golongan tersebut. Selain itu juga, kita dapat mengetahui akan
sifat-sifat Dajjal sebagaimana yang diceritakan di dalam hadith-hadith yang
sahih.
Soalan:
Siapakah Ibn Shayyad (ابن صياد) itu Dajjal?
Jawapan: Dalam
masalah ini, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan samada Ibn
Shayyad itu Dajjal ataupun tidak. Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan
bahawa dia adalah Dajjal. Namun begitu, terdapat juga hadith lain yang
menunjukkan sebaliknya. Berikut adalah beberapa pendapat dalam masalah ini:
Pertama: Imam al-Qurthubi berkata: “Pendapat yang sahih bahawa Ibn Shayyad
adalah Dajjal, berdasarkan dalil-dalil yang telah lalu (yang ada) dan tidak
mustahil bahawa dia telah ada di pulau tersebut pada waktu itu dan dia juga
berada di hadapan para Sahabat pada waktu yang lain.”
Kedua: Imam al-Nawawi pula berkata: “Para ulama telah berkata bahawa Kisahnya
sukar difahami dan perkaranya juga tidak jelas. Apakah dia adalah al-Masih
al-Dajjal yang dikenali atau selain daripadanya? Akan tetapi tidak diragukan
bahawa dia juga adalah Dajjal di antara para Dajjal.”
Kami berpendapat bahawa Ibn
Shayyad bukanlah Dajjal yang dimaksudkan iaitu yang akan keluar di akhir zaman.
Selain itu juga, Ibn Shayyad hanyalah seorang Dajjal daripada para Dajjal iaitu
dengan memiliki sifat-sifat seorang Dajjal tetapi dia bukanlah Dajjal yang akan
keluar di akhir zaman nanti.
Pendapat kami ini adalah
selaras dengan hadith Tamim al-Dari atau dikenali dengan hadith al-Jassasah
(الجساسة) yang diriwayatkan oleh Fatimah bin Qais. Ini juga merupakan pendapat
Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila beliau cuba untuk menggabungkan antara dua
riwayat yang zahirnya dilihat bercanggah. Beliau berkata:
وَأَقْرَبُ مَا يُجْمَعُ
بِهِ بَيْنَ مَا تَضَمَنَّهُ حَدِيثُ تَمِيم وَكَون بن صَيَّادٍ هُوَ الدَّجَّالُ
أَنَّ الدَّجَّالَ بِعَيْنِهِ هُوَ الَّذِي شَاهده تَمِيم موثقًا وَأَن بن
صَيَّادٍ شَيْطَانٌ تَبَدَّى فِي صُورَةِ الدَّجَّالِ فِي تِلْكَ الْمُدَّةِ إِلَى
أَنْ تَوَجَّهَ إِلَى أَصْبَهَانَ فَاسْتَتَرَ مَعَ قَرِينِهِ إِلَى أَنْ تَجِيءَ
الْمُدَّةُ الَّتِي قَدَّرَ اللَّهُ تَعَالَى خُرُوجَهُ فِيهَا وَلِشِدَّةِ
الْتِبَاسِ الْأَمْرِ فِي ذَلِكَ سَلَكَ الْبُخَارِيُّ مَسْلَكَ التَّرْجِيحِ
فَاقْتَصَرَ عَلَى حَدِيثِ جَابِرٍ عَنْ عُمَرَ فِي بن صَيَّادٍ وَلَمْ يُخْرِجْ
حَدِيثِ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ فِي قِصَّةِ تَمِيمٍ وَقَدْ تَوَهَّمَ بَعْضُهُمْ
أَنَّهُ غَرِيبٌ فَرُدَّ وَلَيْسَ كَذَلِكَ فَقَدْ رَوَاهُ مَعَ فَاطِمَةَ بِنْتِ
قَيْسٍ أَبُو هُرَيْرَةَ وَعَائِشَةُ وَجَابِرٌ
“Cara yang paling dekat adalah dengan menggabungkan makna yang
terkandung di dalam hadith Tamim dan keberadaan Ibn Shayyad sebagai Dajjal.
Sesungguhnya Dajjal yang sebenarnya adalah yang disaksikan oleh Tamim dalam
keadaan terikat. Sedangkan Ibn Shayyad adalah syaitan yang menampakkan dirinya
dalam bentuk Dajjal pada ketika itu, sehingga dia pergi ke Ashbahan, lalu
bersembunyi bersama qarinnya (temannya) sehingga sampai masa yang ditakdirkan
oleh Allah SWT untuk keluar padanya. Disebabkan kesamaran dalam masalah ini,
maka Imam al-Bukhari memilih jalan tarjih (iaitu menentukan riwayat yang paling
kuat di antara dua riwayat), maka beliau hanya memilih hadith Jabir daripada
Umar berkaitan Ibn Shayyad dan beliau tidak meriwayatkan hadith daripada
Fatimah binti Qais berkenaan kisah Tamim. Selain itu juga, sebahagian orang
menyangka bahawa hadith tersebut adalah gharib (ganjil) maka sangkaan mereka
ini ditolak dan ia bukanlah seperti yang disangka itu. Telah meriwayatkan
hadith ini bersama Fatimah binti Qais RA adalah Abu Hurairah RA, Aisyah RA dan
Jabir RA.”
[Lihat: Fath al-Bari, 328/13]
Soalan: Apakah
kesudahan daripada fitnah Dajjal ini?
Jawapan: Setelah
Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan
menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga,
ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu
mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula,
tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu
itulah, ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa
AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian,
mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa
AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil
berkata:
إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً،
لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
“Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan
ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku.”
[Riwayat Ibn Majah (4077)][Syeikh al-Arnaouth
mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif]
Dengan kematian Dajjal itu,
berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman
daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh
Nabi Isa AS.
Petunjuk Nabi SAW dalam
menghadapi fitnah Dajjal
Di dalam sebuah hadith yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa NABI MUHAMMAD SHALLALLAAHU
‘ALAIHI WA SALLAM bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ
مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah
al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.”
[Riwayat Muslim, kitab solat bagi orang musafir dan
mengqasarkannya, bab kelebihan surah al-Kahfi dan ayat al-Kursi, no. Hadith
1342]
Ini kerana, Imam al-Suyuthi
mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan
tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya)
tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah
al-Kahfi).
[Lihat: Al-Dibaj ala Muslim, 2:403]
Cara Menghadapi Fitnah
Dajjal
Antara cara lain untuk
berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:
·
Berpegang dengan petunjuk daripada al Quran dan al-Hadith.
·
Memperbanyakkan berdoa kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA agar
diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh.
·
Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang
berlaku.
·
Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu
itu.
·
Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA.
·
Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.
·
Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA) dan sentiasa ingat kepadaNya berdasarkan hadith di atas.
Penutup
Kesimpulannya, kita telah
berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al Quran
dan al Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa
mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh
meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah
doa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ
بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ
الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Yaa Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu
daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan
dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.”
[Riwayat Muslim (588)]
Doa ini disunatkan kepada
kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada
salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah
terutamanya fitnah Dajjal. Amin.
Wallahua’lam
Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin
Ahmad Ayoup @ Ayub
Diterbitkan: 23 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan