Dari manakah anda mengambil dan
mengamalkan agama Islam? Satu pertanyaan penting. Perhatikan kenyataan di dalam
masyarakat kita! Ada sebahagian dari kita yang hanya mematuhi hal-hal yang
ringan dan yang mudah sahaja, mereka menyenangi
fatwa-fatwa yang sesuai dengan seleranya. Malah, sebahagian mereka jika mendengar fatwa
yang sesuai dengan hawa nafsunya akan
bergembira dan terus memuji Mufti yang mengeluarkan fatwa tersebut setinggi
langit, Syeikh ini benar-benar alim, ia penawar bagi kaum muslimin dan sebagainya.
Dia mengatakan demikian meskipun isi
fatwanya bertentangan dengan Kitabullah dan Sunnah, atau merupakan penipuan
terhadap umat, yang meremehkan nash-nash syari’at, atau tipudaya untuk memilih
pendapat yang senang dan lemah belaka. Yang penting pada mereka, itu adalah
fatwa… ya… fatwa!
Padahal Allah s.w.t pada hari Kiamat
nanti akan bertanya: ,
"Dan (ingatlah) hari (di waktu)
Allah menyeru mereka, seraya berkata, Apakah jawapanmu kepada para rasul?"
(QS. Al-Qashas: 65)
Allah tidak bertanya tentang Syeikh
Fulan dan Fulan tetapi tentang ittiba’ terhadap Kitab dan Sunnah.
Maka sekali lagi perlu diajukan
pertanyaan, Apa yang menjadi
sumber kita dalam beragama? Apakah
setiap orang yang mengenakan jubah dan serban dan muncul di kaca televisyen,
memulakan bicara dengan alhamdulillah dan menutup pembicaraannya dengan wallahu
a’lam maka bererti dia seorang mufti?
Apakah semua orang dapat kita jadikan
sebagai sumber agama? Sesungguhnya
ukuran yang seharusnya digunakan untuk menilai sebuah fatwa adalah
kesesuaiannya dengan Kitabullah dan Sunnah. Allah
s.w.t berfirman, ertinya,
"Maka berilah keputusan (perkara)
di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana
ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah."
(QS. Shaad: 26)
Seorang Syeikh berkata, “Aku pernah
menyampaikan ceramah di sebuah masjid, lalu salah seorang hadirin mendatangiku
dan berkata, “Wahai Syeikh mengapa anda bersikap ketat dalam hal ikhtilath,
sedangkan Syeikh Doktor Fulan di dalam siaran televisyen mengatakan bahawa
ikhtilath (campur baur) antara lelaki dan wanita itu diharuskan, sama ada dalam
majlis kenduri kahwin atau majlis-majlis lain jika dengan niat yang baik dan
tidak melihat dengan syahwat.
Manakala di tempat lain sewaktu aku menyampaikan
kuliah, salah seorang dari hadirin bertanya, Apa hukumnya riba? Maka aku
menjawab, Haram dengan keseluruhan corak dan bentuknya. Maka dia lalu berkata, Sesungguhya Syeikh Fulan di televisyen
mengatakan bahawa riba merupakan salah satu di antara hal yang darurat di masa
kini, sehingga ia dibolehkan.
Janganlah anda menjadikan agama ini
sebagai permainan bagi orang yang ingin merendahkan atau merosakkannya, kerana
anda nanti akan dihisab dan ditanya secara individu, dan berhati-hatilah,
jangan sampai anda menjadi salah seorang pengikut pemimpin yang menyesatkan.
Bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda,
"Sesungguhnya aku mengkhuatirkan
atas umatku pemimpin-pemimpin yang menyesatkan (al-aimmah al-mudhillin)."
(HR. At-Tirmidzi dan Ad-Darimi)
Intipatinya adalah bahawa: Kata-kata
para pemberi fatwa yang memudah-mudahkan agama (bukan pada tempatnya) tidak
akan laku kecuali kepada orang-orang yang bodoh. Adapun orang yang berakal
tentu tidak akan mengikut pendapat semua orang, tanpa menilainya terlebih
dahulu.
Ada baiknya mari kita sama-sama melihat
dua contoh berikut ini:
Pertama; Ada seorang yang bernama
Ghayats bin Ibrahim, dia dikenal sebagai pendusta dan suka mereka hadis, tetapi
penampilannya lagak seperti ahli ilmu. Dia disangka sebagai seorang yang banyak
menghafal dan meriwayatkan hadis. Dia seorang yang segak dan pandai berpidato,
sehingga orang ramai datang kepadanya dan berkumpul di sekelilingnya untuk
mendengar ucapannya yang sungguh mengagumkan, dan mereka mempercayai apa sahaja
yang dia ucapkan.
Pada suatu hari ada seorang lelaki
melihatnya melakukan perbuatan yang tidak sesuai dengan kedudukannya, maka
orang tersebut menegurnya, Apakah engkau tidak malu kepada mereka? Maka Ghayats
menjawab, Siapakah yang engkau maksudkan? Lalu dia jawab, Orang-orang yang
berkumpul untuk mendengar ceramahmu. Ghayats lalu menjawab, Oh mereka itu yang
kamu maksudkan, mereka itu sebenarnya bukanlah manusia tetapi lembu. Jika kamu
mahu buktinya, mari ikut aku!
Kemudian kedua-duanya pergi dan duduk
dalam satu majlis. Ghayat bercakap tentang syurga kepada orang-orang yang
hadir, dengan segala sifat dan kelazatannya sehingga semua hadirin diam dan
mendengar dengan khusyuk. Tatkala melihat sikap mereka, terlintaslah di dalam
hatinya untuk mengarang sebuah hadis, lalu dia pun berkata, Rasulullah s.a.w.
telah bersabda, Barangsiapa di
antara kamu yang mampu untuk menjilat hujung hidungnya dengan lidahnya maka dia
akan masuk syurga.
Mendengar perkataan Ghayats tersebut,
maka secara spontan orang-orang yang hadir menjelirkan lidahnya dan berusaha
untuk menyentuhkannya ke hujung hidung masing-masing. Maka Ghayats menoleh
kepada lelaki yang menemaninya tersebut seraya berbisik, Bukankah aku telah
mengatakan kepadamu bahawa mereka semua adalah lembu?
Manakala cerita yang kedua adalah
sebagaimana berikut:
Ada seorang lelaki yang dikenali sebagai
orang yang berpengetahuan tinggi dan memiliki ilmu yang sangat banyak. Dia
terkenal dengan kemampuannya menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya
dan dia tidak pernah mengatakan Aku tidak tahu. Dia sentiasa dapat memberi
jawapan dan mengemukakan dalil ke atas jawapannya apabila ditanya .
Suatu ketika beberapa orang cerdik
pandai berkumpul dan mereka berkata, Orang ini sekiranya dia bukan seorang yang
paling pandai di dunia ini maka dia hanyalah seorang yang mengekploitasi
orang-orang yang bodoh di antara kita. Mereka akhirnya bersepakat untuk menguji
orang tersebut dengan sebuah pertanyaan. Caranya ialah dengan menyusun sebuah
kata yang terdiri dari enam huruf secara acak (yakni khanfasyar), lalu mereka
datang kepada orang tersebut seraya mencium kepalanya dan memberi penghormatan
kepadanya. Mereka berkata, Wahai Syeikh, kami ingin bertanya, kami ada masalah
dan ingin jawapan yang jelas dari anda.
Maka Syeikh itu menjawab, Kamu semua
datang kepada orang yang tepat dan ahlinya, apa masalahnya? Kamu semua saling
bercakaran sedangkan aku masih hidup?
Mereka berkata, Apakah yang dimaksudkan
dengan khanfasyar itu? Maka Syeikh menjawab, Khanfasyar iaitu sejenis tanaman
yang tumbuh di bahagian selatan Yaman, rasanya pahit, dan jika dia dimakan oleh
unta maka susunya menjadi tertahan di bahagian teteknya. Tanaman tersebut
sering digunakan oleh para pedagang unta untuk mengelabui orang, tujuannya agar
para pembeli menyangka bahawa unta tersebut menghasilkan susu yang melimpah,
padahal tidaklah sedemikian.
Lalu Syeikh itu duduk sambil bersandar,
kemudian meneruskan pembicaraannya, Khanfasyar masyhur di kalangan orang Arab,
mereka menyebutkannya di dalam syair-syair mereka, dan Nabi s.a.w pun telah
menjelaskan di dalam sunnahnya. Seorang penyair telah berkata, bergurau dengan
kekasihnya,
Rasa cintaku kepadamu telah menawan
hatiku.
Sebagaimana khanfasyar telah menahan air
susu.
Lalu Syeikh ini berdehem dan melanjutkan
pembicaraannya, Adapun dalil dari sunnah maka Rasulullah s.a.w telah bersabda…….
Belum sempat Syeikh itu melanjutkan
kata-katanya mereka segera mengherdiknya dengan nada tinggi seraya berkata,
Cukup, cukup! Bertakwalah engkau kepada Allah hai pendusta! Engkau telah berdusta
dengan bahasa Arab, engkau telah berdusta dengan syair dan engkau cuba berdusta
dengan Rasulullah s.a.w. Maka orang tersebut akhirnya diusir dari kampung
mereka.
Oleh kerana itu janganlah kita
menjadikan agama ini sebagai bahan permainan, yang boleh dilakukan sesuka hati.
Seorang mufti harus memenuhi dua syarat, iatu berilmu dan warak. Berilmu
maksudnya faham dan mampu mengambil dalil secara benar dari nash-nash al-Quran
dan Sunnah sedangkan warak iaitu takut kepada Allah s.w.t. di dalam berfatwa,
dan tidak tertipu oleh godaan harta atau kehormatan, tetapi berkata yang haq
dan tidak takut dicela oleh orang yang mencela. Demikianlah ciri-ciri ulama
rabbaniyyin yang bilangan mereka kini sudah semakin kurang (Kholif Muttaqin).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan