Kamu patut tahu bahawa manusia akan termasuk
kepada salah satu daripada dua golongan :
Golongan pertama ialah yang berada dalam kedamaian, keimanan,
bahagia dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT sementara,
Golongan kedua berada dalam keadaan tidak selamat,
keraguan dan kerisauan dalam keingkaran terhadap peraturan Tuhan.
Kedua-dua nilai, ketaatan dan
keingkaran, ada di dalam diri seseorang. Jika kesucian, kebaikan dan keikhlasan
lebih menguasai, sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi suasana
kerohanian dan bahagian diri yang ingkar akan dikalahkan oleh bahagian diri
yang baik. Sebaliknya jika seseorang mengikuti hawa nafsu yang rendah dan
kesenangan ego dirinya, sifat-sifat ingkar akan menguasai bahagian diri yang
satu lagi untuk menjadikannya ingkar dan jahat. Jika kedua-dua sifat yang
berlawanan itu sama-sama kuat diharapkan yang baik itu boleh menang,
sebagaimana yang dijanjikan:
“Barangsiapa kerjakan kebaikan maka
baginya (ganjaran) sepuluh kali ganda, dan barangsiapa kerjakan kejahatan maka
Tidaklah dibalas dia melainkan sebanyak (kejahatannya) itu, dan mereka tidak
akan diinyanya.
(Surah An’aam, ayat
160).
Dan jika Allah kehendaki ditambah-Nya
lagi ganjaran atas kebaikan. Namun orang yang kebajikan dan kejahatannya sama
banyak mesti lulus perbicaraan pada hari pembalasan. Orang yang berjaya
mengubah sifat mementingkan diri kepada tidak mementingkan diri, hawa nafsu
yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya tiada hisab, tiada catatan
akan diberikan kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru hara hari
kiamat.
“Oleh sebab itu barangsiapa berat (timbangan) kebaikannya maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa”.
(Surah Qari’ah, ayat 6
& 7).
Orang yang kejahatannya lebih berat
daripada kebaikannya akan dihukum menurut kadar kejahatannya. Kemudian dia
dikeluarkan daripada neraka, jika dia beriman, dan akan masuk syurga.
Taat dan ingkar bermakna baik dan jahat.
Kedua-dua ini ada dalam diri seseorang manusia. Yang baik boleh berubah menjadi
jahat dan yang jahat boleh berubah menjadi baik.
Nabi s.a.w bersabda,
“Orang yang kebaikan menguasainya
menemui keselamatan, keimanan dan kegembiraan dan menjadi baik. Orang yang
kejahatan lebih menguasai kebaikan, dia menjadi ingkar dan jahat. Orang yang
menyedari kesalahannya dan bertaubat dan mengubah haluannya akan mendapati
suasana ingkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat”.
Telah menjadi ketentuan bahawa baik dan
jahat, kehidupan yang diberkati bagi orang yang taat dan kesengsaraan bagi yang
ingkar, adalah keadaan yang setiap orang dilahirkan dengannya. Kedua-duanya
tersembunyi di dalam bakat atau keupayaan seseorang. Nabi s.a.w bersabda,
“Orang yang bertuah menjadi baik adalah
baik ketika di dalam kandungan ibunya, dan orang berdosa yang jahat adalah
pendosa di dalam kandungan ibunya”.
Begitulah keadaannya dan tiada siapa
yang berhak berbincang mengenainya. Urusan takdir bukan untuk dibincangkan.
Jika dibiarkan perbincangan demikian ia akan membawa kepada bidaah dan
kekufuran.
Lagipun tiada siapa boleh menjadikan
takdir sebagai alasan untuk membuang segala ikhtiar, semua perbuatan baik.
Seseorang itu tidak boleh mengatakan, ‘Jika aku ditakdirkan menjadi baik maka
aku bersusah payah membuat kebaikan sedangkan aku sudahpun diberkati’. Atau
berkata, ‘Jika aku sudah ditakdirkan menjadi jahat apa gunanya aku berbuat
kebaikan’. Jelas sekali pendirian demikian tidak benar. Tidak wajar mengatakan,
‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa untung atau rugi yang aku
harapkan dengan usahaku sekarang’. Contoh yang baik diberikan kepada kita
adalah perbandingan di antara Adam a.s dengan iblis yang dilaknat. Iblis meletakkan
kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia menjadi derhaka, maka dia menjadi
kafir dan dibuang jauh daripada keampunan dan kehampiran Tuhan. Adam a.s
mengakui kesilapannya dan memohon keampunan, menerima keampunan dari Allah swt
dan diselamatkan.
Menjadi kewajipan bagi orang Islam yang
beriman untuk tidak cuba memahami sebab-sebab yang tersimpan di dalam takdir.
Orang cuba berbuat demikian akan menjadi keliru dan tidak mendapat apa-apa
melainkan keraguan. Bahkan dia mungkin kehilangan keyakinan. Orang yang beriman
mestilah mempercayai kepada kebijaksanaan Allah swt yang mutlak. Segala yang
manusia lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini mesti ada alasan tetapi
alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia kerana ia berdasarkan
kebijaksanaan Tuhan. Di dalam kehidupan ini bila kamu temui pencacian terhadap
Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan lain-lain yang jahat, jangan
biarkan perkara-perkara tersebut menggoncangkan iman kamu.
Ketahuilah Allah Yang Maha Tinggi dengan
kebijaksanaan mutlak bertanggungjawab kepada semua perkara dan Dia lakukan apa
yang kelihatan sebagai tidak baik sebagai menyatakan kekuasaan-Nya yang mutlak.
Penzahiran kekuasaan yang demikian mungkin menyebabkan ada orang yang tidak
tertahan dan menganggapnya sebagai tidak baik tetapi ada rahsia besar di
sebaliknya yang tiada makhluk yang tahu melainkan Rasulullah s.a.w.
Ada kisah orang arif berdoa kepada
Tuhannya, “Wahai Yang Maha Suci, semua telah diatur oleh Engkau. Takdirku
adalah kepunyaan-Mu. Ilmu yang Engkau letakkan padaku adalah milik-Mu”. Ketika
itu dia mendengar jawapan tanpa suara tanpa sepatah perkataan, keluar dari
dalam dirinya mengatakan, “Wahai hamba-Ku. Segala yang engkau katakan adalah
kepunyaan Yang Maha Esa dan dalam keesaan. Ia bukan milik hamba-hamba”. Hamba
yang beriman itu berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, aku
bersalah, aku berdosa”. Selepas pengakuan itu sekali lagi dia mendengar dari
dalam dirinya, “Dan Aku mempunyai keampunan terhadap dirimu. Aku telah hapuskan
kesalahan-kesalahan kamu, Aku telah ampun kamu”.
Biar mereka yang beriman tahu dan
bersyukur yang segala kebaikan yang mereka lakukan bukanlah dari mereka tetapi
melalui mereka, kejayaan datangnya dari Pencipta. Bila mereka bersalah biar
mereka tahu bahawa kesalahan mereka datangnya dari diri mereka sendiri,
kepunyaan mereka dan mereka boleh bertaubat. Kesalahan datangnya dari keegoan
mereka yang batil. Jika kamu memahami ini dan mengingatinya kamu termasuk ke
dalam golongan yang disebut Allah swt:
“Dan yang apabila telah berbuat kejelikan atau menganiayai diri-diri mereka maka mereka ingat kepada Allah dan mereka minta diampunkan dosa-dosa mereka – bukankah tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak berkekalan di atas dosa yang mereka kerjakan, dan mereka tahu. Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, syurga-syurga yang mengalir padanya sungai-sungai, mereka akan kekal padanya, dan alangkah baiknya balasan bagi orang-orang yang beramal”.
(Surah Imraan, ayat
135 & 136).
Adalah baik bagi orang yang beriman
mengakui yang dirinya sendirilah punca semua kesalahan dan dosanya. Itulah yang
akan menyelamatkannya. Itu lebih baik dan lebih benar daripada meletakkan
kesalahan dirinya kepada Yang Maha Perkasa, Maha Kuasa, Pencipta semua perkara.
Bila Nabi s.a.w bersabda, “Telah diketahui bila seseorang itu
berada di dalam kandungan ibunya samada dia akan menjadi baik atau pendosa” baginda
maksudkan ‘dalam kandungan ibu’ itu adalah empat anasir yang melahirkan semua
kekuatan atau tenaga dan kebolehan lahiriah. Dua daripada anasir tersebut
adalah tanah dan air yang bertanggungjawab kepada pertumbuhan keyakinan dan
pengetahuan, melahirkan kehidupan dan lahir dalam hati sebagai tawaduk
(kerendahan diri). Dua anasir lain ialah api dan angin yang bertentangan dengan
tanah dan air – membakar, membinasa, membunuh. Kudrat Tuhan yang menyatukan anasir-anasir
yang berlawanan dan berbeza menjadi satu. Bagaimana air dan api boleh wujud
bersama? Bagaimana cahaya dan kegelapan boleh terkandung di dalam awan?
“Dia yang mengunjukkan kepada kamu kilat
untuk menakutkankan dan kerana harapan, dan Dia jadikan mega yang berat. Dan
petir itu beribadat dengan memuji Tuhannya, dan malaikat juga, lantaran takut
kepada-Nya, dan Dia kirim halilintar dan Dia kenakannya kepada sesiapa yang Dia
kehendaki…”.
(Surah ar-Ra’d, ayat
12 & 13).
Satu hari wali Allah Yahya bin Mua’adh ar-Razi ditanya, “Bagaimana mengenali Allah?’ Dia menjawab, “Melalui gabungan yang bertentangan”.
Pertentangan termasuk pada, dan
sebenarnya keperluan bagi, memahami sifat-sifat Allah swt. Dengan menghadapkan
diri kepada hakikat Ilahi seseorang menjadi cermin yang membalikkan kebenaran
itu, juga sifat Yang Maha Perkasa dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung
seluruh alam maya. Sebab itu dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah swt
menciptakan manusia dengan dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan
keperkasaan-Nya, keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang
menunjukkan kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.
Semua nama-nama Ilahi menyata pada
manusia. Semua makhluk yang lain hanya sebelah sahaja. Allah swt menciptakan
iblis dan keturunannya dengan sifat kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan
sifat kemurahan-Nya. Nilai-nilai kesucian dan kebaktian yang berterusan
terkandung dalam kejadian malaikat, sementara iblis dan keturunannya yang
diciptakan dengan sifat kekerasan-Nya, mempunyai nilai kejahatan, kerana itu
iblis menjadi takabur, dan bila Allah swt perintahkan sujud kepada Adam dia
ingkar.
Oleh kerana manusia mempunyai kedua-dua
ciri alam tinggi dan rendah, dan Allah swt telah memilih utusan-utusan dan
wali-wali-Nya dari kalangan manusia, mereka tidak bebas daripada kesilapan.
Nabi-nabi dipelihara dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil harus berlaku
pada mereka. Wali-wali pula tidak terjamin dipelihara daripada dosa tetapi
adalah dikatakan wali-wali itu hampir dengan Tuhan, mencapai makam
kesempurnaan, mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan daripada dosa-dosa besar.
Syaqiq al-Baqi berkata, “Terdapat lima tanda kebenaran:
perangai yang lemah lembut dan lembut hati, menangis kerana menyesal,
mengasingkan diri dan tidak peduli tentang dunia, tidak bercita-cita tinggi,
dan memiliki rasa hati (gerak hati atau intuisi). Tanda-tanda pendosa juga lima;
keras hati, mempunyai mata yang tidak pernah menangis, mencintai dunia dan
kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu dan tidak ada rasa atau gerak
hati”.
Nabi s.a.w meletakkan empat nilai pada
orang yang baik-baik, “Boleh
dipercayai dan menjaga apa yang diamanahkan kepadanya dan mengembalikannya.
Menepati janji. Bercakap benar, tidak berbohong. Tidak kasar dalam perbincangan
dan tidak menyakitkan hati orang lain”.
Baginda s.a.w juga memberitahu empat
tanda pendosa,
“Tidak boleh dipercayai dan merosakkan
amanah yang diberikan kepadanya, mungkir janji, menipu, suka bertengkar, memaki
apabila berbincang dan menyakitkan hati orang lain”.
Seterusnya pendosa tidak dapat memaafkan
kawan-kawannya. Ini tanda tiada iman kerana kemaafan menjadi tanda utama orang
beriman. Allah swt memerintahkan rasul-Nya:
“Berilah maaf, dan suruhlah mereka (manusia) berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”.
(Surah A’raaf, ayat
199).
Perintah ‘maafkanlah’ bukan hanya
tertuju kepada Rasulullah s.a.w seorang sahaja. Ia mengenai semua orang dan
tentu sahaja termasuk mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan ‘maafkanlah’ bermakna
jadikan tabiat memaafkan, jadikan sifat atau peribadi. Sesiapa yang ada sifat
pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah – ar-Rauf – Yang Memaafkan.
“Barangsiapa memaafkan dan membereskan
maka ganjarannya (adalah) atas (tanggungan) Allah”.
(Surah Syura, ayat 40).
Ketahuilah ketaatan kepada Allah swt
bertukar menjadi ingkar, kejahatan dan dosa menjadi kebaikan, tidak berlaku
dengan sendiri, tetapi dengan rangsangan, pengaruh, tindakan serta usaha diri
sendiri.
Nabi s.a.w bersabda,
“Semua anak dilahirkan muslim. Ibu
bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
Setiap orang ada bakat untuk menjadi
baik atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik dan buruk dalam masa yang
sama. Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau sesuatu sebagai sepenuhnya
baik atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan seseorang itu lebih banyak
kebaikannya daripada kejahatannya ataupun sebaliknya.
Ini bukan bermakna manusia masuk syurga
tanpa amalan baik, juga bukan dia dihantar ke neraka tanpa amalan buruk.
Berfikir cara demikian bertentangan dengan prinsip Islam. Allah swt menjanjikan syurga kepada
hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh dan diancam-Nya orang-orang yang
berdosa dengan azab neraka.
“Barangsiapa berbuat baik maka (adalah) untuk kebaikan dirinya dan barangsiapa berbuat jahat maka untuk dirinya. Kemudian kepada Tuhan kamulah kamu akan dikembalikan”.
(Surah Jaasiaah, ayat
15).
“Di hari ini dibalas setiap jiwa dengan
apa yang dia telah usahakan. Tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya
Allah cepat menghitung”.
(Surah Mukmin, ayat
17).
“Kerana apa juga amal yang baik yang
kamu sediakan untuk diri kamu nanti kamu dapati (ganjaran)nya di sisi Allah”.
(Surah Baqarah, ayat
110).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan