Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 20 Julai 2012

B 104 CARA MANDI HADAS YANG SEMPURNA DAN MUDAH



Soalan; macam mana mandi hadas besar dgn betul, mudah dan mengikut sunnah nabi. Blhkah kita menyentuh kemaluan ketika mandi atau itu boleh membatalkan mandi kita tadi? Saya was-was dal hal ini.

Jawapan;
Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi Nabi s.a.w., antaranya yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya” (HR Imam Muslim).
Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;
1.            Setelah membaca Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang lain, ada dinyatakan baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali.
2.    Kemudian basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.
3.    Setelah itu ambil wudhuk sebagaimana yang biasa dilakukan.
4.    Kemudian mulakan mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh kepala termasuk di celah-celah rambut.
5.    Selesai bahagian kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah. Sunat menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah kiri.
6.    Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.
7.    Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya.
8.    Ketika mandi itu, jangan lupa berniat di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari badan.
Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan mandi. Ia hanya akan membatalkan wudhuk. Semasa mandi, jika menyentuh kemaluan itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian kemaluan, tidaklah perlu mengulangi wudhuk kembali selepas mandi kerana sentuhan itu terpaksa dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun jika sentuhan itu berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air (semasa mandi itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib mengambil wudhuk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas semata-mata dengan menyentuh kemaluan.
Walahu a’lam.

Rujukan
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan