Hakikat kehidupan ini adalah ujian dari
Allah swt. Kesenangan dan kesusahan yang dialami oleh seseorang bukanlah pada
hakikat yang sebenarnya.
Firman Allah swt;
الم
* أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا
يُفْتَنُونَ * وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللهُ
الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya; Alif laam miim. Apakah manusia itu
mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang
mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang
sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan
Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Al-Ankabut:1-3.
Nabi Sulaiman tatkala diberikan berbagai
kelebihan, berkata;
قَالَ
هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ
فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ
Maksudnya; “Ini
termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba Aku apakah Aku bersyukur atau mengingkari
(akan nikmat-Nya). dan barangsiapa yang bersyukur Maka Sesungguhnya dia
bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, Maka
Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.
Menjadi kewajipan kepada setiap manusia
untuk bersyukur atas nikmat yang Allah swt berikan kepada kepada mereka.
Manusia akan merasa gembira apabila menerima nikmat daripada Allah swt dan
merasakan mereka disayangi dan dimuliakan oleh Allah swt.
Firman Allah swt;
فَأَمَّا
الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ
رَبِّي أَكْرَمَنِ
Maksudnya; Adapun manusia apabila Tuhannya
mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan
berkata: “Tuhanku Telah memuliakanku”.
Al-Fajr:15
Namun umat Islam yang beriman harus
berhati-hati dan waspada, perlu menyedari dan merasakan bahawa nikmat
kesenangan di dunia ini bukan nikmat yang sebenarnya tetapi ia merupakan satu
ujian dari berbagai ujian yang Allah swt berikan kepada manusia sama ada mereka
ingat kepada Allah swt lalu bersyukur dengan nikmat tersebut dan Allah swt akan
tambahkan lagi nikmatnya, atau sebaliknya mereka lupa lalu menjadi manusia yang
sombong dan kufur kepada Allah swt dan mereka akan diberikan azab yang sangat
berat.
Firman Allah swt;
فَإِذَا
مَسَّ الْإِنسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِّنَّا
قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ
أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya; Maka
apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru kami, Kemudian apabila kami berikan
kepadanya nikmat dari kami ia berkata: “Sesungguhnya Aku diberi nikmat itu
hanyalah Kerana kepintaranku”. Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakkan
mereka itu tidak Mengetahui.
Al-Zumar:49.
Manusia biasanya apabila diuji dengan
kepayahan dan kesusahan, mereka akan mudah ingat kepada Allah swt, lalu mereka
bersabar, kembali kepadaNya dan meminta pertolongan kepadaNya. Sebaliknya
apabila diuji dengan kesenangan dan kenikmatan, mereka mudah lupakan Allah swt.
Firman Allah swt;
وَلَئِنْ
أَذَقْنَا الْأِنْسَانَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ
لَيَؤُوسٌ كَفُورٌوَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ
لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ
Maksudnya; Dan jika kami rasakan kepada manusia
suatu rahmat (nikmat) dari kami, Kemudian rahmat itu kami cabut daripadanya,
Pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. Dan jika kami
rasakan kepadanya kebahagiaan sesudah bencana yang menimpanya, nescaya dia akan
berkata: “Telah hilang bencana-bencana itu daripadaku”; Sesungguhnya dia sangat
gembira lagi bangga,
Hud:9-11
Firman Allah swt;
وَإِذَا
أَنْعَمْنَا عَلَى الْأِنْسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَى بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ
الشَّرُّ فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ
Maksudnya; Dan apabila kami memberikan nikmat
kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa
malapetaka, Maka ia banyak berdoa.
Fussilat:51.
Orang yang diuji dengan diberikan
kenikmatan, sekiranya mereka bersyukur, mereka akan mendapat kedudukan yang
tinggi disisi Allah swt. Tetapi sebaliknya sekiranya merek kufur terhadap
nikmat Allah swt mereka akan disiksa oleh Allah swt dengan azab yang sangat
berat. Oleh itu janganlah kita
terlalu seronok atau terlalu gembira apabila dianugerahkan nikmat kerana
sebenarnya ia merupakan ujian dari Allah swt, janganlah sombong, janganlah lupa
diri, janganlah menjadi seperti kacang lupakan kulit, sebaliknya sentiasalah
bermuhasabah dan ingatlah Alllah swt supaya kita berjaya dengan ujian nikmat
yang diberikan dan menjadi hamba yang bersyukur.
Ibnu Qayyim al-Juzi berkata; sesiapa
yang bersabar dalam keadaan senang dan mewah dari melakukan maksiat,
sesungguhnya ia telah selamat dari fitnah harta, sedangkan ia boleh melakukan
maksiat dengan kesenangan yang dimiliki, maka ia mendapat pahala yang besar
atas kesabaran tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan