Segala puji bagi Allah swt serta selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah saw. Di atas jasanya, kita mendapat
nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Salah satu
bukti cinta kita terhadapnya ialah dengan mencontohi
sunnahnya dalam kehidupan kita seharian.
Pada kali ini saya ingin menghuraikan
sebuah tajuk yang agak penting bagi kita selaku mukmin yang cinta terhadap sunnah nabinya saw. Tajuknya ialah apakah yang Baginda
saw lakukan selepas bangun dari tidur, pada hemat saya, ia adalah tajuk yang
mudah dan penting untuk kita amalkan bersama dengan izin Allah swt.
Tidur merupakan fitrah manusia, jika manusia tidak tidur, sudah tentu manusia akan
mati. Tidur juga adalah satu ibadah jika
bersesuaian dengan caranya, maka ia akan mendapat ganjaran yang besar daripada
Allah swt, hanya dengan tidur manusia mendapat ganjaran daripada Allah swt,
maha suci bagi Allah, itulah maha penyayangnya Allah swt terhadap kita semua.
Jadi bagaimana Rasulullah saw bangun
daripada tidur dan apa yang baginda lakukan, ini adalah huraian perbuatan
Rasulullah saw ketika bangun dari tidur :
Apakah
Yang Rasulullah S.A.W Lakukan Selepas Bangun Dari Tidur
· Selepas sahaja bangun dari tidur,
baginda saw akan menyapu mukanya dengan tangan.
· Kemudian baginda akan membaca 10 ayat
yang terakhir daripada surah Ali-imran.
Seperti apa yang disebut di dalam hadis
yang bermaksud : Setelah Rasulullah saw bangun dari tidur, maka baginda duduk
dan menyapu wajahnya dengan tangan, kemudian baginda saw membaca 10 ayat yang
terakhir daripada surah Ali Imran. (Muttafaqun alaih)
· Baginda saw berdoa :
Yang bermaksud : Segala puji bagi Allah
menghidupkan setelah mematikan kami dan kepadanya akan dikembalikan.
(Muttafaqun Alaih)
· Baginda saw terus bersiwak (Berus
gigi) dengan sempurna.
Dalam hadis yang bermaksud : Apabila
Rasulullah saw bangun dari tidur, baginda akan membersihkan mulutnya dengan
siwak. (Muttafaqun Alaih)
· Baginda saw akan membasuh tangannya
sebanyak 3 kali.
Rasulullah saw telah berkata : Apabila
salah seorang daripada kamu bangun daripada tidur, maka basuhlah tangan kamu
terlebih dahulu 3 kali sebelum memasukkan kedua-dua tangan di dalam bekas,
kerana kamu tidak tahu di mana tangan kamu berada ketika sedang tidur.
(Muttafaqun Alaih)
Kesimpulannya:
Apabila Rasulullah saw bangun sahaja
daripada tidur, maka baginda terus membaca ayat suci al Quran serta memuji
kebesaran Allah swt. Ini adalah satu contoh ikutan terbaik untuk kita amalkan
pada setiap pagi. Kehidupan Rasulullah saw telah membuktikan bahawa setiap
amalan kita selama sehari semalam adalah ibadah, seperti firman Allah swt yang
bermaksud :
“Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan
jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku.”
Adz-Dzariat ayat 56.
Semoga kita beroleh kekuatan untuk
mengamalkannya.
Nota : Dipetik daripada buku (1000
sunnah dan sunnah pada waktu siang dan malam) oleh Majdi Fathi Al-kahil
terbitan maktabah As-shofa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan