Susunan Zuarida Mohyin
LELAKI bernama Abdul
Sabur Wijnands, 61, ini dilahirkan di Belanda dan ibu bapanya adalah beragama
Katolik. Pada masa dahulu orang Belanda Katolik adalah kumpulan yang paling
berpengaruh di seluruh dunia apatah lagi jika mereka adalah paderi besar (pope)
dan biskop yang mesti dihormati dan dipatuhi.
Lantaran hidup dalam
lingkungan yang digelar RIE atau Roman In Everything, Abdul Sabur menerima
pendidikan awal di sekolah Katolik. Beliau membesar dan memperoleh perlindungan
daripada tiga penjuru iaitu gereja, keluarga dan sekolah dengan agama menjadi
keutamaan di dalam kehidupan.
Di Gred 4, ketika
usianya 10 tahun, dalam kelas sejarah, Abdul Sabur mula dikenalkan dengan
kewujudan khalayak yang bergelar Muslim menerusi kisah Perang Sabil. Sejak itu,
dia selalu tertanya-tanya siapa mereka itu?
Sebagai informasi
latar belakang, gurunya memberitahu bahawa Muslim sama seperti orang Kristian.
Mereka percaya kepada Tuhan Yang Satu yang dipanggil Allah, manakala Nabi
Muhammad itu adalah pesuruh-Nya.
Pun begitu, orang
Islam turut mempercayai tentang Nabi Isa, cuma mereka tidak mengakui bahawa
Nabi Isa itu adalah anak tuhan tetapi antara nabi yang penting.
Keterangan gurunya itu
hakikatnya lebih menimbulkan keraguan dan syak wasangka kepada Abdul Sabur.
Antaranya, mengapa perlunya bala tentera dari Eropah Barat untuk menentang
orang Islam, waima diketahui bahawa agama itupun datangnya daripada Pencipta
yang sama.
Mesej
Malah masing-masing
juga saling percaya kepada mesej yang dibawa oleh malaikat Jibrail iaitu
tentang Maryam yang menjadi ibu kepada Nabi Isa. Alasan ini bagi Abdul Sabur
memang tidak masuk akal.
Abdul Sabur
benar-benar keliru dan tidak faham dengan kenyataan bahawa orang Islam itu
sendiri menghormati Nabi Isa sebagai salah seorang nabi.
Dia hanya mampu
tergelak sendirian dan pada usia semuda itu, Abdul Sabur sudah mula membayangkan
kebimbangan jika cerita sebegini tidak dibendung kerana ia boleh membawa kepada
kecelaruan di kalangan si cilik Kristian.
Suasana pengamalan
agama Kristian berjalan seperti biasa sehinggalah pada 1962 sehingga 1965 di
mana persidangan majlis Vatican kali kedua bersidang yang dihadiri ahli
berpengaruh gereja dari seluruh dunia.
Lantas bagi memastikan
kelancaran perkhidmatannya, penggunaan budaya Latin telah dimansuhkan dan ia
disampaikan mengikut budaya negara masing-masing.
Di sebahagian negara
kebiasaan seperti melutut sudah tidak diamalkan lagi. Lama-kelamaan ia sudah
tidak dipraktiskan lagi. Hal ini menyebabkan, kehadiran penganut ke gereja
semakin terjejas dan natijahnya, gereja-gereja kian sepi.
Tambah memburukkan
situasi apabila dilanda ‘revolusi 60-an’ di mana orang sudah mula tidak ada
kepercayaan, termasuklah Abdul Sabur. Beliau melihat agama sebagai satu yang
ketinggalan zaman. Hal itu berlanjutan selama kira-kira 30 tahun.
“Apabila terserempak
dengan program televisyen mengenai agama, dengan pantas saya akan mengubah ke
siaran lain. Namun, sebaik melihat suasana umat Islam menunaikan haji di Kota
Mekah, saya dapati ia sangat cantik. Diserikan lagi dengan percikan lampu yang
sungguh menakjubkan.
Kiblat Umat Islam
“Hati saya semakin terharu
bila melihat ribuan umat Islam yang rukuk dan sujud pada masa yang sama, ke
arah yang sama iaitu kiblat umat Islam, Kaabah. Gambaran itu, benar-benar
menyentuh dan mengetuk hati nurani saya ini. Bagaimana mungkin?,” perkataan
itulah yang secara tiba-tiba terpacul daripada mulut Abdul Sabur.
Sewaktu berjalan-jalan
di Kalverstraat di Amsterdam, dia melepasi sebuah gereja Katolik yang diberi
nama The Papagaai (‘The Parrot’). Di pintu utamanya terpampang perkataan
tertulis, ’15 minit untuk Tuhan’ manakala di barisan keduanya tertulis, ‘untuk
tujuan itu, gereja ini dibuka setiap hari.’
Perkataan ini menambat
saya kembali semula kepada penghayatan hidup beragama atau mempunyai semula
kepercayaan. Setelah sekian lama, Abdul Sabur mula mengunjungi gereja, apatah
lagi setelah menemui gereja yang dikelola secara tradisi zaman kanak-kanaknya
itu. Suasana ini mengembalikan semula memori dahulu.
Pada masa sama,
kehadiran pendatang dari Maghribi dan Turki telah membawa sekali agama Islam ke
Belanda. Bermulalah episod baru kerana telah ada wanita bertudung, pembinaan
masjid malah ada juga wanita Belanda yang memeluk agama Islam. Menurut mereka,
Islam bukanlah agama yang menindas wanita tetapi sebenarnya ia memberi wanita
rasa kebebasan dan Abdul Sabur mempercayainya.
Pada awal tahun 2004,
ketika dia mengembara ke Amsterdam menaiki kereta api dan di dalam gerabak yang
sama terdapat beberapa kumpulan gadis sekolah menengah sedang rancak berbual.
Tiba-tiba salah
seorang daripada mereka keluar dan dia terkejut rupa-rupanya salah seorang
gadis itu adalah orang Maghribi yang memakai tudung. Begitu juga dengan
teman-temannya yang lain.
Abdul Sabur mula
tersedar bahawa kini orang Maghribi telah beberapa generasi berada di Belanda,
berkongsi idea, cita-cita dan membina masa depan seiring dengan gadis-gadis
Belanda yang mewarisinya daripada nenek moyang mereka.
“Mulai saat itu, Islam
semakin menarik perhatian saya. Malah insiden 11 September menjadi titik
perubahan kerana apa yang dilaporkan oleh pihak media seperti berat sebelah dan
terlalu memburukkan serta sesuka meletakkan imej negatif terhadap agama Islam.
“Oleh kerana sudah
tidak tahan dengan cara persembahan berita yang berat sebelah itu maka saya
cuba mencari sumber maklumat lain. Saya cuba layari Internet dan laman web
pertama yang ditemui iaitu ‘moslima’ (Wanita Muslim).
Memeluk Islam
Dari situ, katanya,
barulah dia mengetahui mengapa wanita Islam memakai tudung, sebab apa mereka
memilih agama Islam dan kemudian memeluk Islam, bagaimana mereka melaksanakan
amalan agama Islam.
“Semakin saya
mengikuti cerita dan bahan-bahan dari laman tersebut, hati saya semakin
mengagumi dan menghormati Islam,” kata Abdul Sabur yang mula menjadi teman
setia laman web tersebut.
Beliau juga pernah
menghantar respons kepada kenalan di laman itu dan apabila mereka membahasakan
dirinya seorang bukan Islam (non Muslim), Abdul Sabur menjadi keliru.
Pada masa sama, dia
masih berkunjung ke gereja tapi rutin kedatangannya kali ini agak terganggu
dengan lagu-lagu yang didendangkan kerana ada seperti yang tidak kena. Berbeza
dengan surah Nisaa’ ayat 171 mengenai pandangan al-Quran tentang Nabi Isa. Ia
begitu jelas dan tiada niat berselindung.
Tidak semena-mena,
seperti ada ketenangan menyusup dalam dirinya. Kata-kata seorang wanita yang
dikenali menerusi laman sembang di Internet kembali menerjah di mana katanya,
Allah akan memilih sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
“Barulah saya tahu
Islam itu adalah satu cara hidup dan saya benar-benar berhasrat menjadikan ia
sebagai cara hidup saya. Perkara pertama yang saya lakukan ialah berhenti
mengambil minuman beralkohol.
“Bermula dengan
mengurangkan jumlah pengambilan. Diikuti pula dengan tidak lagi menyentuh
daging babi. Untuk serta merta berhenti, adalah amat sukar kerana saya memang
meminatinya.
“Pun begitu sebuah
hadis yang berbunyi, “Apabila ada berniat melakukan kejahatan tetapi anda
memilih untuk menolaknya hanya kerana Allah. Ini bermakna anda telah melakukan
kebaikan”, telah menyelamatkan saya sehingga ke hari ini. Perlahan-lahan saya
mula mengubah kepada hanya mengambil makanan yang halal sahaja.
“Langkah seterusnya
ialah belajar mendirikan solat. Dengan menggunakan kemajuan teknologi, akhirnya
saya dapat memenuhi sama ada pergerakan, kefasihan membaca surah dan bacaan
dalam solat,” akui Abdul Sabur.
Tidak lama selepas
itu, Abdul Sabur turut berhadapan dengan beberapa masalah di tempat kerja dan
juga kehidupan peribadinya. Masalah demi masalah ini, akui Abdul Sabur sedikit
sebanyak telah menjejaskan keimanannya.
Dia mula mempersoalkan
keyakinan diri kepada agama Islam. Tambah buruk apabila berlaku insiden
berdarah yang dilakukan oleh mereka yang mengakui Islam dan semua itu demi
Islam. Sedangkan, Islam menentang berbunuh- bunuhan, balas dendam dan banyak
lagi.
Rupa-rupanya, semua
itu berpunca kerana sikapnya yang terlalu terburu-buru bergelar dan
mempraktikkan cara hidup Muslim.
Masakan dalam tempoh
tidak sampai tiga bulan, dia boleh dengan sekelip mata bertukar dari Kristian
kepada Muslim. Yang mampu mendirikan solat lima kali sehari, berpuasa dan
banyak lagi.
Seharusnya semua itu
perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Akhirnya, sebaik selesai
mendirikan solat Maghrib, Abdul Sabur melafazkan syahadah dengan Allah SWT
sebagai saksinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan