Ibadat puasa
adalah ibadah dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu
sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari
(masuk waktu Maghrib). Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah menginsafkan
diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa
menghampirkan diri dan beribadat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA serta mengharapkan limpah kurniaNya.
Firmah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa
atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu,
semoga kamu bertakwa."
(Surah 2 AL BAQARAH :183)
Dengan puasa juga, kita akan
memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM
yang bermaksud:
"Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat."
Sabda Baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM lagi:
"Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak
makan itu punca segala penyakit."
Selain daripada itu, puasa juga
mempunyai hikmah dan faedah seperti:
· Tanda bersyukur kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA atas limpah kurnia nikmatNya yang
tidak terhingga.
· Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada
keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram,
bersedia menjunjung titah perintah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
· Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap
orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
· Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad
dengki dan lain-lain lagi
· Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan
pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
· Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu
riwayat maksudnya:
"Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya
dan teranglah hatinya."
Oleh kerana sangat besar faedah
dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka selain puasa yang wajib pada
bulan Ramadan, ada lagi
puasa-puasa sunat yang elok dilakukan sepanjang tahun iaitu seperti yang akan
disebutkan nanti.
FADHILAT PUASA RAMADHAN
Puasa pada bulan Ramadhan difardhukan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah 'aqil baligh dan ketiadaan uzur syar'i. Uzur puasa seperti
sakit dan dalam perjalanan (musafir) sejauh 91km. atau lebih. Orang yang
uzur boleh meninggalkan puasanya, tetapi wajib mengqadhanya pada hari
dan bulan yang lain.
Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu rukun Islam
yang kelima. Pahala melakukannya tersangat besar, sebagaimana sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM
yang bermaksud:
"Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan
beriman dan kerana menuntutkan keredhaan ALLAH,
nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."
(Rujuk: Al-Targhib II:206)
Sabda Baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.:
"Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan
satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda.”
Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA (maksudnya) :
"Kecuali puasa yang dikerjakan untukKu, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan
syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku."
Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka
(atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau
mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi."
(Riwayat Muslim dari Abu
Hurairah)
FADHILAT PUASA-PUASA SUNNAT
SEPANJANG TAHUN
1. Puasa enam hari dalam bulan
Syawal
Fadhilat atau keutamaannya
sangat besar sebagaimana sabda RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud:
"Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan
puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama
setahun."
(Riwayat Muslim)
Cara melakukannya yang terbaik
(afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal,
tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua
hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal.
Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal
diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.
2. Puasa
hari 'Arafah (9 Zulhijjah)
Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat
besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya
bermaksud:
"Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan
tahun-tahun kemudiannya."
(Riwayatkan oleh Muslim dan
al-Turmuzi)
Menerusi hadith daripada Abi
Qatadah r.a. juga bahawa RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud:
"Puasa pada hari 'Arafah
itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag."
(Diriwayat oleh Muslim)
3. Puasa
pada bulan Muharram
Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang maksudnya:
"Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada
bulan ALLAH iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu
ialah solat malam."
(Riwayat Muslim)
Daripada Ibu 'Abbas r.a.
katanya, telah bersabda RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM maksudnya:
"Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan
sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari
(mendapat pahala) 30 hari."
(Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
4. Puasa
pada hari 'Asyura (10 Muharram)
Daripada Abi Qatadah r.a.
bahawasanya RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM telah ditanya mengenai puasa
hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka
sabda Baginda yang bermaksud:
"Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu."
(Riwayat Muslim)
5. Puasa
hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)
Ia disunatkan, namun RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku
akan berpuasa pada 9 Muharra."
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
PERINGATAN
Puasa sunnat pada hari ke-10
Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau
dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga
hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram
sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.
Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud:
"Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan
jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum
dan sehari sesudahnya."
(Riwayat Imam Ahmad)
6. Puasa
bulan Sya'aban
Daripada Usamah bin Zaid r.a.
katanya, aku berkata: "Wahai RASULLULLAH, tidak saya lihat tuan
hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan)
seperti tuan berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM: "Bulan ini (yakni
bulan Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan
Ramadhan, pada hal ia (yakni bulan Sya'aban) adalah bulan diangkat amalan
kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku
berpuasa."
(Riwayat al-Nasai)
Ummu Salamah r.a. pula berkata:
"Tidak pernah aku lihat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM berpuasa dua bulan
berturut-turut melainkan pada bulan Sya'aban dan Ramadhan."
(Riwayat al-Termizi)
7. Puasa
pada hari Isnin dan Khamis
Daripada Abi Hurairah r.a.
daripada RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM sabdanya: "Diperlihatkan
(kehadrat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika
diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa."
(Riwayat al-Termizi)
Menurut riwayat Muslim
diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda
menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah
hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menjadi Rasul dan
padanya Al-Quran diturunkan kepadaku."
(Subul al-Salam)
8. Puasa
hari Rabu, Khamis dan Jumaat
Daripada 'Ubaid bin Muslim
al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM
mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud:
“Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya
untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan
dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu
dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan
anda juga telah berbuka."
(Riwayat Abu Daud, al-Nasai dan
al-Termizi)
Daripada Anas bin Malik r.a.
bahawa beliau telah mendengar RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM bersabda bermaksud:
“Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan
zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka."
(Riwayat al-Tabrani)
Menerusi riwayat daripada Ibnu
Umar r.a., RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat,
kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan
semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya,
bersih daripada segala dosa."
(Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
9. Puasa
pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)
Diriwayatkan daripada Jarir
r.a. daripada RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud:
"Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa
sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14 dan 15
(bulan Qamariyah)."
(Riwayat al-Nasai dengan sanad
yang sohih)
10. Puasa tiga
hari pada setiap bulan
Diriwayatkan oleh Muslim
daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda
RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda maksudnya:
"Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadhan ke
Ramadhan itulah puasa sepanjang masa."
Mengenai berpuasa tiga hari
pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa tiga
hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan Ulama,
antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Ahmad dan
Ishaq.
Sementara al-Nakha'i
berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.
11. Puasa
selang-seli (sehari puasa sehari tidak)
Hadith daripada Abdullah bin
'Amru ibnu al-'As r.a. bahawasanya RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud: "Telah sampai berita kepadaku
bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah) waktu
malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk
matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan
berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda
mendapat pahala sepanjang tahun." Aku
berkata: " Wahai RASULLULLAH, aku mempunyai kekuatan
(keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. "Maka berpuasalah
puasa Nabi Daud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka sehari."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abdullah bin 'Amru
ibnu al'As katanya, telah bersabda RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM bermaksud:
"Puasa yang paling disukai oleh ALLAH ialah puasa Nabi Daud dan solat
yang paling disukai ALLAH ialah
solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga
malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka
sehari."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
PERINGATAN
1. Dalam
mencari pahala puasa sunnat, jangan tersalah hari-hari yang diharamkan berpuasa
iaitu:
§ Tanggal 1 syawal (hari raya aidil fitri)
§ 10 zulhijjah (hari raya aidil adha)hari-hari
tasyriq: 11, 12 dan 13 zulhijjah
§ hari syak mungkin hari mula berpuasa (30
sya'aban)
§ selepas 15 sya'aban jika bukan puasa qadha
atau nazar atau tiada hubungan dengan puasa pada hari sebelumnya, atau bukan
hari yang biasa berpuasa
§ puasa sunnat bagi wanita tanpa izin suami
(jika suami bermukim yakni tak musafir atau berpergian jauh)
2. Jangan
pula berpuasa pada hari-hari yang dimakruhkan:
§ puasa orang yang sakit bersangatan
§ puasa orang yang sangat tua
§ puasa wanita yang hamil
§ puasa orang yang musafir
§ puasa pada hari 'arafah bagi orang yang
mengerjakan haji
§ puasa pada hari sabtu sahaja (ditunggalkan)
§ puasa pada hari jumaat sahaja (ditunggalkan)
§ puasa asalnya sunnat dikerjakan oleh orang
yang menanggung puasa qadha
§ puasa sepanjang tahun (sepanjang masa)
3. Orang yang
mengerjakan puasa wajib dikehendaki berniat puasa pada waktu malam. Adapun
puasa sunnat boleh berniat pada pagi hari sebelum tergelincir matahari (belum
masuk waktu zuhur) dengan syarat belum melakukan perkara-perkara yang
membatalkan puasa
4. Niat puasa
tidak semestinya dengan melafazkan dalam bahasa arab, memadai melintaskan
di dalam hati dengan apa-apa juga bahasa yang kita fahami, iaitu bahawa
kita hendak melakukan puasa (sebut jenis puasanya) pada hari esok (jika niat
pada waktu malam) atau pada hari ini (jika berniat pada waktu dinihari atau
waktu sahur atau pada sebelah pagi selepas subuh jika puasa sunat)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan