KEBESARAN NABI MUHAMMAD SAW
Saudaraku, Islam sampai kepada kita saat ini tidak lain berkat jasa Baginda Rasulullah Muhammad SAW sebagai peribadi penyampai risalah Allah SWT yang benar dan di redhai. Dan bila di padang mahsyar setiap umat Islam pasti akan meminta syafaat dari Baginda SAW dan menginginkan berada di barisan Baginda SAW. Namun, pengakuan tidaklah cukup sekadar pengakuan. Pasti yang mengaku umat Baginda SAW akan berusaha mengikuti jejak Baginda dengan cara mengikuti sunnah-sunnah Baginda dan sentiasa membasahi bibir ini dengan mendoakan Baginda dengan cara memperbanyak Selawat kepada Baginda SAW.
Sejarah tidak akan mampu mengingkari betapa indahnya akhlak dan budi pekerti Rasulullah tercinta, Sayyidina Muhammad S.A.W hingga salah seorang isteri Baginda, Sayyidatina Aisyah Radhiyallahuanha mengatakan bahawa akhlak Rasulullah saw adalah “Al-Qur’an”. Tidak satu perkataan Rasulullah saw merupakan implementasi dari hawa nafsu beliau, melainkan adalah berasal dari wahyu Ilahi. Begitu halus dan lembutnya perilaku harian beliau. Rasulullah SAW adalah peribadi dengan sifat tawadhuk yang tiada tandingnya.
Baginda pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak tanpa menyuruh isterinya. Dalam berkeluarga, Baginda adalah peribadi yang ringan tangan dan tidak segan-segan untuk membantu pekerjaan isterinya di dapur. Selain itu dikisahkan bahawa Baginda tiada merasa janggal makan disamping seorang tua yang penuh berkudis, kotor lagi miskin. Beliau adalah peribadi yang paling sabar di mana ketika itu pernah kain Baginda ditarik oleh seorang badwi hingga memberi bekas merah di lehernya, namun Baginda hanya diam dan tidak marah.
Dalam satu riwayat dikisahkan bahawa ketika Baginda mengimami solat berjamaah, para sahabat mendapati seolah-olah setiap kali Baginda berpindah rukun terasa susah sekali dan terdengar bunyi yang aneh. Setelah selesai solat, salah seorang sahabat, Sayyidina Umar bin Khatthab bertanya, “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah Engkau menanggung penderitaan yang amat berat. Apakah Engkau Sakit ya Rasulullah? “Tidak ya Umar. Alhamdulillah aku sihat dan segar.” Jawab Rasulullah. “Ya Rasulullah, mengapa setiap kali Baginda menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi-sendi tubuh Baginda saling bergesekkan? Kami yakin Baginda sedang sakit”. Desak Sayyidina Umar penuh cemas.
Akhirnya, Rasulullahpun mengangkat jubahnya. Para sahabatpun terkejut ketika mendapati perut Rasulullah SAW yang kempis tengah dililit oleh sehelai kain yang berisi batu kerikil sebagai penahan rasa lapar. Ternyata, batu-batu kerikil itulah yang menimbulkan bunyi aneh setiap kali tubuh Rasulullah SAW bergerak. Para sahabatpun berkata, “Ya Rasulullah, adakah bila Baginda menyatakan lapar dan tidak mempunyai makanan, kami tidak akan mendapatkannya untuk tuan?”. Baginda Rasulullah saw menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apapun akan kamu semua korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apa jawabanku nanti di hadapan Allah swt, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban bagi umatnya? Biarlah rasa lapar ini sebagai hadiah dari Allah swt buatku, agar kelak umatku tak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih di akhirat nanti.
Teramat agung peribadi Rasulullah SAW sehingga para sahabat yang ditanya oleh seorang badwi tentang akhlak beliau SAW hanya mampu menangis kerana tak sanggup untuk menggambarkan betapa mulia akhlak beliau SAW. Baginda diutuskan tidak lain melainkan untuk menyempurnakan akhlak manusia dan sebagai tauladan yang baik sepanjang zaman.
Saudaraku, sungguh kehadiran Rasulullah SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia lewat segala hal yang beliau contohkan kepada umat manusia. Baginda tidak pernah pandang bulu dalam hal menghargai manusia, penuh kasih sayang, tidak pernah mendendami, malahan Baginda pernah menangis ketika mengetahui bahawa balasan kekafiran adalah neraka yang menyala-nyala hingga menginginkan umat manusia untuk meng-esakan Allah SWT.
Cukup kiranya Baginda yang jadi tauladan kita, umat Islam khususnya yang hari ini sebahagian sudah sangat jauh dari akhlak Rasulullah saw, baik dalam tindakan mahupun perkataan yang menyejukkan. apa yang dikatakan oleh seorang sastrawan Pakistan, Muhammad Iqbal dalam salah satu karyanya dapat kita jadikan renungan bersama di mana beliau berkata: “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti beliau (Nabi Muhammad)”.
Dalam salah satu hadits dikatakan bahawa “Belum beriman seseorang sehingga aku (Rasulullah Muhammad SAW) lebih dicintainya daripada ayahnya, anak-anaknya dan seluruh manusia”(HR. Bukhari). Kita tidak tahu apakah nanti akan diakui Rasulullah sebagai umatnya atau tidak kelak di hari kiamat. Namun satu yang pasti bahawa semua ingin berada di barisan Baginda. maka, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengikuti akhlak Baginda SAW semampu diri kita, sebagai tauladan kita yang utama, memperbanyak ucapan selawat untuknya, membela sunnahnya, bukan membelakanginya (mari berlindung dari hal demikian), sebagai bahagian dari rasa cinta kita terhadapnya.
Saudaraku, mari kita sampaikan salam dan selawat kepada Baginda SAW, yang dengannya kita akan beroleh cinta dan Syafaatnya kelak di hari mahsyar. insya Allah…Aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan