Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 17 Julai 2012

B 69 DETIK TERAKHIR RASULULLAH



Diriwayatkan bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan selepas waktu asar iaitu pada hari Jumaat di padang Arafah pada musim haji Wida’. Pada masa itu Rasulullah s.a.w. berada di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah s.a.w. tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersandar pada unta beliau dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan demikian juga apa yang terlarang oleh-Nya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.” 
Setelah malaikat Jibril pergi maka Rasulullah s.a.w. pun berangkat ke Madinah. Rasulullah s.a.w. lalu mengumpulkan para sahabat baginda dan menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril. Apabila para sahabat  r.a. mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata: “Agama kita telah sempurna. Agama kila telah sempurna.”

Apabila Abu Bakar r.a. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya.  Abu Bakar r.a. pulang ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar r.a. menangis dari pagi hingga ke malam. Kisah tentang Abu Bakar r.a. menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain. Maka berkumpullah para sahabat r.a. di depan rumah Abu Bakar r.a. dan bertanya: “Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah sempurna.”

Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat r.a. maka Abu Bakar r.a. pun berkata, “Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah s.a.w. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri Rasulullah menjadi janda.” Setelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a. maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar r.a., lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus memberitahu Rasulullah s.a.w. tentang kejadian yang mereka saksikan itu.

Berkata salah seorang dari para sahabat r.a., “Ya Rasulullah, kami baru kembali dari rumah Abu Bakar dan kami dapati ramai orang menangis dengan suara yang kuat di depan rumah beliau.” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah s.a.w. dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Abu Bakar r.a.

Sebaik Rasulullah s.a.w. sampai di rumah Abu Bakar r.a., Rasulullah s.a.w. melihat kesemua mereka menangis dan bertanya, “Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?.” Kemudian Ali r.a. berkata, “Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahwa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?.”

Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: “Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan sesungguhnya waktu untuk aku meninggalkan kamu semua telah dekat”.
Sebaik sahaja Abu Bakar r.a. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali r.a. pula mengeletar seluruh tubuhnya, para sahabat yang lain pula menangis sekuat yang mereka mampu. Sehinggakan gunung-ganang, semua malaikat yang ada di langit, cacing-cacing, semua binatang baik yang ada di darat maupun yang ada di laut semua menangis. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersalam dengan para sahabat r.a. satu demi satu dan berwasiat pada mereka.

Pada satu hari, baginda s.a.w. menyuruh Bilal r.a. azan untuk mengerjakan solat. Para Muhajirin dan Ansar pun berkumpullah di masjid Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w. menunaikan solah dua rakaat bersama semua yang hadir. Setelah selesai solat, baginda s.a.w. bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata: “Alhamdulillah, wahai para muslimin. Sesungguhnya aku adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak orang ke jalan Allah dengan izin-Nya. Dan aku ini adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu, kalau ada sesiapa ada hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun dan membalasi aku sebelum aku dituntut di hari Qiamat.”

Rasulullah s.a.w. berkata sebanyak tiga kali, lalu bangunlah seorang lelaki bernama ‘Ukasyah bin Muhshan dan berkata: “Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah, kalau kamu tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu aku tidak mahu mengemukakan ini.”

Lalu ‘Ukasyah r.a. berkata lagi: “Sesungguhnya dalam perang Badar aku bersamamu ya Rasulullah. Pada masa itu aku mengikuti unta kamu dari belakang. Setelah dekat, akupun turun menghampiri kamu dengan tujuan supaya aku dapat mencium paha kamu, tetapi kamu telah mengambil tongkat dan memukul unta kamu untuk berjalan cepat, yang mana pada masa itu akupun kamu pukul pada tulang rusukku. Aku hendak tanya sama ada kamu sengaja memukul aku atau hendak memukul unta tersebut.”

Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai ‘Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal r.a., “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.” Bilal r.a. keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah r.a. sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata, “Rasulullah s.a.w. telah menyediakan dirinya untuk dibalas [di qishash].”

Setelah Bilal r.a. sampai di rumah Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a. menyahut dengan berkata: “Siapakah di pintu?.” Bilal r.a. menjawab: “Aku Bilal, aku telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk mengambil tongkat baginda. “Kemudian Fatimah r.a. berkata: “Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya.” Berkata Bilal r.a.: “Wahai Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqishash.” Bertanya Fatimah r.a. lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah?” Bilal r.a. tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a. Setelah Fatimah r.a. memberikan tongkat tersebut, maka Bilal r.a. pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah s.a.w. Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat tersebut dari Bilal r.a. maka beliau pun menyerahkan kepada ‘Ukasyah r.a.

Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. tampil ke depan sambil berkata: “Wahai ‘Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah tetapi kamu qishashlah kami berdua.” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kata-kata Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. maka dengan segera beliau berkata: “Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua.” Kemudian Ali r.a. bangun, lalu berkata, “Wahai ‘Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqishash Rasulullah”. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.” Setelah itu Hasan r.a. dan Husin r.a. bangun dengan berkata: “Wahai ‘Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah, kamu qishashlah kami sama jika kamu ingin menqishash Rasulullah” Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah s.a.w. pun berkata, “Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua.” Berkata Rasulullah s.a.w. “Wahai ‘Ukasyah pukullah aku kalau kamu hendak memukul.”

Kemudian ‘Ukasyah r.a. berkata: “Ya Rasulullah, anda telah memukul aku sewaktu aku tidak memakai baju.” Maka Rasulullah s.a.w. pun membuka baju. Setelah Rasulullah s.a.w. membuka baju maka menangislah semua yang hadir. Setelah ‘Ukasyah r.a. melihat tubuh Rasulullah s.a.w. maka ia pun mencium beliau dan berkata, “Aku tebus kamu dengan jiwa ku ya Rasulullah, siapakah yang sanggup memukul kamu. Aku melakukan begini adalah sebab aku ingin menyentuh badan kamu yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. dengan badan ku. Dan Allah S.W.T. menjaga aku dari neraka dengan kehormatanmu” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.” Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, “Wahai ‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah di dalam syurga.”

Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Ketika ajal Rasulullah s.a.w. sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah r.a. Kemudian baginda s.a.w. memandang kami sambil berlinangan air mata dan bersabda: “Marhaban bikum, semoga Allah S.W.T. memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah S.W.T. menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah S.W.T.”

Allah S.W.T. berfirman: “Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.”

Kemudian kami bertanya: “Bilakah ajal kamu ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah S.W.T., ke Sidratul Muntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arasy.”

Kami bertanya lagi: “Siapakah yang akan memandikan kamu ya Rasulullah? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kamu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain Yaman yang putih.”
Kami bertanya: “Siapakah yang akan mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah s.a.w. pun turut menangis. Kemudian baginda s.a.w. bersabda: “Tenanglah, semoga Allah S.W.T. mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar meninggalkan aku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Izrail berserta bala tenteranya. Kemudian masuklah kamu dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.”

Setelah itu para sahabat r.a. menangis dengan nada yang keras dan berkata, “Ya Rasulullah kamu adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila kamu sudah tiada nanti kepada siapakah akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pelajaran dari mati.”

Setelah Rasulullah s.a.w. berkata demikian, maka sakit Rasulullah s.a.w. pun bermula. Dalam bulan Safar Rasulullah s.a.w. sakit selama 18 hari dan sering diziarahi oleh para sahabat r.a. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w. diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit Rasulullah s.a.w. bertambah berat, setelah Bilal r.a. menyelesaikan azan subuh, maka Bilal r.a. pun pergi ke rumah Rasulullah s.a.w. kemudian memberi salam: “Assalamualaikum ya Rasulullah?” Kemudian ia berkata lagi “Assolah yarhamukallah.” Lalu dijawab oleh Fatimah r.a., “Rasulullah masih sibuk dengan urusan beliau.” Setelah Bilal r.a. mendengar penjelasan dari Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a. itu. Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal r.a. pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah s.a.w. dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini salam Bilal r.a. telah di dengar oleh Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. berkata, “Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku ini semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat subuh berjemaah dengan mereka yang hadir.”

Setelah mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. maka Bilal r.a. pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di atas kepala dengan berkata: “Aduh musibah. Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?”

Setelah Bilal r.a. sampai di masjid maka Bilal r.a. pun memberitahu Abu Bakar r.a. tentang apa yang telah Rasulullah s.a.w. pesankan kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah s.a.w. yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya ia pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah tangisan sahabat r.a. dalam masjid, sehingga Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Fatimah r.a.; “Wahai Fatimah apakah yang telah berlaku?.” Siti Fatimah r.a. menjawab: “Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah tidak ada bersama mereka.” Kemudian Rasulullah s.a.w. memanggil Ali r.a. dan Fadhl bin Abas r.a., lalu Rasulullah s.a.w. bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah s.a.w. sampai di masjid maka Rasulullah s.a.w. pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah s.a.w. melihat kepada orang ramai dan berkhutbah: “Wahai kaum muslimin, kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah S.W.T., oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan mengerjakan segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia.” Dengan suara terbatas Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.” Pesanan ringkas itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah s.a.w. yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar r.a. menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar r.a. dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman r.a. menghela nafas panjang dan Ali r.a. menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah s.a.w. akan meninggalkan kita semua.” Keluh hati semua sahabat r.a. kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat. Tatkala Ali r.a. dan Fadhal r.a. dengan cergas menangkap Rasulullah s.a.w. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar, kalau mampu, seluruh sahabat r.a. yang hadir pasti akan menahan detik-detik dari terus berlalu.
Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun pulang ke rumah baginda. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah s.a.w. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah s.a.w. sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Kemudian Allah S.W.T. mewahyukan kepada malaikat lzrail, “Wahai lzrail, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut ruhnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masuklah kamu ke rumahnya dan kalau ia tidak mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali padaKu.”

Setelah malaikat lzrail mendapat perintah dari Allah S.W.T. maka malaikal lzrail pun turun dengan menyerupai seorang Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di depan rumah Rasulullah s.a.w. maka ia pun memberi salam, “Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah r.a. tidak mengizinkannya masuk, “Wahai Abdullah (Hamba Allah), maaflah, ayahku sedang sakit,” kata Fatimah r.a. yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian Fatimah r.a. kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata. Kemudian malaikat lzrail berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali ini seruan malaikat itu telah didengari oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. bertanya pada Fatimah r.a., “Siapakah itu wahai anakku?”

Fatimah r.a. menjawab: “Seorang lelaki memanggil ayahanda, saya katakan kepadanya yang ayahanda dalam keadaan sakit. Ia memanggil dengan suara yang menggetarkan sukma.” Rasulullah s.a.w. lantas berkata; “Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?.” Jawab Fatimah r.a., “Tidak ayahanda.”
“Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat, yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan kubur.” Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi. Setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan bermula, dia menangis sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar tangisan Fatimah r.a. maka Baginda SAWpun berkata: “Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan daku.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengizinkan malaikat lzrail masuk. Maka malaikat lzrail pun masuk dengan mengucap, “Assalamuaalaikum ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Wa alaikas saalamu, wahai lzrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut ruhku?” Maka berkata malaikat lzrail: “Kedatangan aku adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut ruhmu, itupun kalau dikau izinkan, kalau dikau tidak izinkan maka aku akan kembali.” Rasulullah s.a.w. bertanya: “Wahai Malaikulmaut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril? “Aku tinggalkan ia di langit dunia?” Jawab malaikat Izrail. Baru sahaja malaikat Izrail selesai bicara, tiba-tiba malaikat Jibril datang dan duduk di samping Rasulullah s.a.w. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w.: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?” Jibril menjawab: “Ya, wahai kekasih Allah.”
Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku di sisi Allah S.W.T.” Berkata malaikat Jibril, “Sesungguhnya semua pintu langit telah di buka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu di langit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu.” Berkata Rasulullah s.a.w.: “Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti.”

Berkata Jibril: “Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya Aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum dikau masuk terlebih dahulu, dan Aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga.” Berkata Rasulullah s.a.w.: “Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai lzrail, mendekatlah kamu kepadaku.” Setelah itu malaikat lzrail pun memulai tugasnya. Perlahan ruh Rasulullah s.a.w. ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah s.a.w. bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. Apabila ruh baginda s.a.w. sampai ke pusat, dengan perlahan Rasulullah s.a.w. mengaduh “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Fatimah r.a. terpejam, Ali r.a. yang di sampingnya menunduk semakin mendalam dan Jibril mengalihkan pandangannya dari Rasulullah s.a.w. Melihatkan telatah Jibril itu maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Wahai Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?” Jibril berkata: “Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?”

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah s.a.w. merintih kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah s.a.w. mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali r.a. segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah sholat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat r.a. saling berpelukan. Fatimah r.a. menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali r.a. kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah s.a.w. yang mulai kebiruan. Ali r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua kali, dan aku meletakkan telinga, aku dengan Rasulullah berkata: “Umatku, umatku.” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. wafat pada hari Isnin 13 Rabiul Awal.

Berkata Anas r.a.: “Ketika aku lalu di depan pintu Aishah, ku dengar dia sedang menangis sambil mengatakan: “Wahai orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang yang keluar dari dunia dari perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa’iir”


Telah bersabda Rasulullah s.a.w. bahawa: “Malaikat Jibril telah berkata kepadaku; “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menciptakan sebuah laut di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari laut tersebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut akan menjadi batu.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan