Hukum Kencing Sambil Berdiri | Hari ni saya ingin
mengetengahkan persoalan yang sering saya fikirkan dan mungkin juga sudah lama
menjadi tanda tanya kepada pembaca yang lain. Beberapa artikel yang saya baca
menunjukkan jawapan yang lebih kurang sama untuk persoalan di atas. Berikut adalah
ulasan untuk menjawap kemusykilan di atas.
Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana
ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri
daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan
dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan
baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :
“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu
tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau
membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh,
tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya
hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk
dan menyapu kedua-dua khufnya.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Petikan hadis di atas ini adalah untuk
menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri.
Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW
kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.
Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam
keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya
pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga
tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa
hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut
mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda,
kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat
itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit
tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit
belakang, mereka akan kencing berdiri.
Di kalangan para sahabat sendiri
terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa
Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah
kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu
Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.
Rumusan dari perbahasan kencing berdiri
di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran
untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan
kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan
musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh
Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai.
Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.
Sumber: ustaznoramin.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan