Oleh Mohd Zawawi Yusoh
PADA pertemuan yang lalu kita membincangkan mengenai khusyuk dalam solat yang merupakan tujuan utama dalam ibadat solat.
Saya hidangkan beberapa tip yang diperturunkan ulama yang menikmati keindahan dan kenikmatan khusyuk. Hari ini kita sambung lagi dengan beberapa tip semoga dapat membantu untuk kita juga sama-sama menikmatinya.
Cerita kenikmatan khusyuk ini pernah seorang teman mengadu kepada saya satu petang sejurus selesai sahaja solat sambil menangis bertanya mengenai apa yang dia rasa dalam solat Asar.
Katanya, “Saya tak pernah rasa apa yang saya rasa petang ini tenang sangat hening dan syahdu.”
Dalam linangan air mata beliau bertanya adakah ini khusyuk? Saya terpaku dan rasa malu kerana dia bertanya dalam keadaan menikmati sedangkan saya hanya ada teori?
Selepas beberapa hari beliau bertanya lagi, kenapakah perasaan yang dinikmatinya tak jumpa ‘line’. Adakah dia banyak dosa? Atau susah sangat nak jumpa ‘line’.
Selepas saya beritahu beberapa tip, katanya barulah dia jawab tak lama selepas perasaan yang dia rasa dulu kerana ‘terjumpa’ dan bila sudah jumpa kaedahnya barulah dia banyak kali merasainya.
Antara tip-tip untuk khusyuk lagi ialah :
- Ketika solat kita mesti beritahu hati betapa bahayanya sekiranya kita tidak khusyuk. Kerana kalau tidak khusyuk nanti solat tidak punya upaya mengubah perangai dan akhlak buruk yang kita lakukan.
Dalam al Quran ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya solat itu boleh mencegah fahsya’ dan mungkar.”
Kalau masih berterusan berdosa kita dalam keadaan bahaya. Dosa ke neraka. Solat tapi tak berubah adalah bahaya.
- Kita mesti hadirkan tiga rasa iaitu al-tolab (dalam solat kita hendak minta-minta dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA) Sebab itulah bacaan dalam solat semuanya ada unsur meminta dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, seterusnya kena ada rasa al-khudhu iaitu rasa hina diri, apabila rukuk rasa hinanya diri lebih-lebih lagi ketika sujud, kemudian kena ada rasa al-takzim (betapa agungnya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA).
- Kena ada rasa bertemu dengan al-Rasul terutama ketika membaca tasyahud. Ayat yang kita baca assalaamualaika… seolah kita berada di hadapan nabi.
- Bacaan tasyahud juga perlu digambarkan seolah kita sedang menghadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Bacaan inilah yang dibaca oleh al-Rasul ketika menghadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ketika peristiwa Israk dan Mikraj.
- Dalam sebuah hadis, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sangat berbangga apabila mendapati solat hamba-Nya yang khusyuk. Jadi beritahu hati kita betapa kecewanya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kalau kita main-main dalam solat.
Antara tip khusyuk solat selepas selesai solat ialah :
- Kita hendaklah banyak membaca istighfar selepas selesai solat. Minta ampun kepada-Nya segala kelalaian ingatan dan perbuatan.
- Jangan lupa berdoa lagi supaya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA beri kekuatan untuk bersolat lebih berkualiti pada solat yang akan datang.
- Kita juga jangan lupa perkataan salam yang kita baca sebagai penutup solat adalah janji kita mahu jadi orang yang akan menunaikan segala ikrar yang kita ucapkan ketika solat. Salam juga maknanya kita hendak menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan.
Cakap kita tidak mengganggu orang, perbuatan kita tidak menyusahkan orang, dengan kita keluarga selamat, syarikat selamat, negara selamat dan selamat dunia akhirat.
- Barang diingat tanda utama solat yang khusyuk ialah akhlak yang baik. Jika solat banyak tetapi akhlak tidak berubah itu indikator solat tak betul. Semoga kita khusyuk dalam solat.
Petua Khusyuk Dalam Sembahyang
Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti
Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
(Surah Al-Mukminun : ayat 1-2)
FirmanNya lagi
Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk ALLAH (melalui solatmu) dengan khusyuk."
[Surah Al-Baqarah : ayat 238]
dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.
Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA lagi yang bermaksud :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya."
[Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."
Nabi saw bersabda lagi yang bermaksud :
"Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat."
Hadis lain dari Rasulullah saw.
"Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang." serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan."
Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:
1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.
2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.
3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu upaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memperhatikan sembahyang itu.
6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
7. Berharap serta yakin (Optimis) ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menerima solat dan amal kita.
8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
9. Membesarkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam solat, merasakan kehebatan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam solat.
10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.
11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.
12. Mengambil wuduk dengan sempurna.
13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.
Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud:
"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya"
[Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
Abu Zar r.a meriwayatkan bahwa ada sekali Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya. Pada masa itu ialah musim daun-daun gugur. Baginda ambil ranting sebatang pohon yang daun-daunnya mulai gugur dengan lebatnya, seraya Baginda s.a.w bersabda,
"Ya Abu Zar! Apabila seorang Islam menunaikan solatnya kerana ALLAH, dosanya gugur seperti daun-daun ini gugur dari pohon ini".
Biasanya di musim daun-daun gugur, lebatlah daun-daun gugur dari pohonnya sehingga pada setengah-setengah pohon tak ada sehelai daun pun yang tinggal. Begitulah kesannya solat yang dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Segala dosa yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat adalah dihapuskan.
Bagaimanapun hendaklah diingat menurut ahlul kalam hanya dosa-dosa kecil saja yang terampun dengan solat. Dosa-dosa besar tidaklah terampun tanpa bertaubat.
Oleh itu, patutlah kita, disamping bersolat, jangan lupa beristighfar dan bertaubat. Semoga ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan limpah rahmatNya, mengampun juga dosa-dosa besar yang terlaku oleh seseorang berkat solatnya kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan