Ajaibnya perihal seorang mukmin itu.
Sesungguhnya semua urusannya baik-baik
belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada
seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia
bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji
dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik
baginya.
[Riwayat Muslim]
Islam itu
agama fitrah. Setiap sisi agama pasti akan meraikan fitrah manusia itu sendiri. Tidak ada satupun pensyariatan
dalam agama ini yang bertentangan dan berlawan dengan fitrah penganutnya, jika
benar-benar difahami dan dipraktiskan. Saya akan membawakan satu aspek yang
cukup mudah tetapi besar peranannya pada artikel kali ini.
Sebagaimana hukum hudud
itu menjaga, meraikan serta memelihara fitrah
manusia, sebegitu juga bagaimana iman itu berperanan dalam menyempurnakan
psikologi orang islam. Tidak ramai yang sedar bahawa seorang mukmin itu
seharusnya mempunyai psikologi dan mental yang sangat teguh dan kukuh. Lihat
sahaja bagaimana mereka berhadapan dengan keadaan yang sulit. Respon mereka
sungguh mengagumkan jika kita nilai dan
perhatikan.
Rasulullah pernah bersabda:
“Ajaibnya perihal seorang mukmin itu.
Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang
seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji
dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik
baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar
itu adalah yang terbaik baginya.”
[Rw Muslim]
Kita telah dididik dengan iman agar
sentiasa positif dan optimis dalam apa jua keadaan. Apabila kita ditimpa
kesusahan maka kita akan bersabar dan terus optimis dengan masa hadapan yang
lebih cerah. Apabila kita diberikan dengan kesenangan maka kita akan bersyukur
lantas menyalurkan pada jalan-jalan yang positif.
Berapa ramai manusia yang masih mampu
tersenyum dan mengucapkan syukur di atas ujian yang diberikan kepadanya? Reaksi
pelik ini hanya ada pada mereka yang beriman sahaja kerana mereka telah menerima
surat-surat cinta dari pencipta mereka. Mereka telah dipujuk dan
dibelai dengan kasih dan sayang Allah s.w.t.
Lihat sahaja berapa banyak ayat-ayat motivasi dari kekasih kita :
Sesungguhnya orang-orang yang
bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
– al-Zumar (39) : 10
Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:
“Apabila saya menguji seorang hambaKu
dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya
dengan Syurga.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no:
5653)
“Sesungguhnya ALLAH menyertai(membantu) orang-orang yang sabar.”
– al-Baqarah (2) : 153
Tidak ada satu kaum di atas muka bumi setenang dan se’cool’ kita yang memiliki iman ini. Inilah sepatutnya nilai yang berada didalam diri kita. Psikologi yang sempurna dan pegangan yang kukuh.
Kita sering diingatkan bahawa ujian itu
bukan dalam bentuk kesusahan sahaja bahkan kesenangan itu juga merupakan suatu
ujian dari Allah s.w.t. Bagi mereka yang tidak atau lemah imannya maka
amat mudah untuk hanyut dalam kesenangan. Namun Sang pencipta yang memahami
fitrah manusia yang lalai itu telah mengingatkan kita dengan nada sayang namun
tegas.
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu
daripada mengingati ALLAH (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah),
sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
– al-Munaafiquun (63) : 11
Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a
katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya setiap umat itu ada
ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan.“
(Hadith riwayat Imam Tirmizi)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a
katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Orang mukmin sama ada lelaki ataupun
perempuan akan sentiasa diuji oleh ALLAH SWT, sama ada dirinya, anaknya ataupun
hartanya sehinggalah dia menghadap ALLAH SWT tanpa dia membawa dosa
sedikitpun.”
(Hadith riwayat Imam Tirmizi)
Terlalu banyak ayat-ayat sebegini jika ingin disenaraikan semuanya di sini. Cukup sahaja beberapa contoh ayat saya kemukakan pada artikel ini. Cukup sahaja ayat-ayat ini membuktikan bahawa peranan iman itu cukup besar dalam penyempurnaan psikologi seorang mukmin yang beriman. Datangkan sahaja ribut badai ataupun pelangi, segalanya baik buatnya. Ajaib bukan orang yang beriman itu?
Saya telah kehilangan ibu tercinta. Saya
kira ianya sangat berat bagi seorang seperti saya untuk menanggung kehilang
sebesar ini pada usia sebegini. Namun Allah telah memujuk dan meyakinkan saya
dengan firmanNya yang berbunyi :
“Allah tidak membebani seseorang
melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
(Surah AlBaqarah (2) : 286)
Lantas saya bangun dan berkata dengan penuh semangat, “Saya kuat! Saya Ironman!”
Artikel asal dari blog Mindafahmi.com
Rujukan : Harian Islam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan