Rasulullah dalam hadis itu mengingatkan umat Islam bahawa, di hadapan mahkamah pengadilan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, setiap daripada kita akan ditanya empat perkara, iaitu umur, ilmu, harta dan tubuh badannya. Dan kita tidak akan dapat berganjak, selagi tidak menjelaskan setiap persoalan itu.
Pertama, mengenai umur. Nikmat umur yang
dikurniakan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA selama
puluhan tahun, di manakah kita menghabiskannya? Katakan umur ketika hidup di
dunia 70 tahun, berapa tahunkah yang diperuntukkan untuk melaksanakan amal
soleh bagi mengaut ganjaran pahala? Bagaimanakah, nasib kita sekiranya umur itu
lebih banyak dibazirkan untuk berbuat maksiat dan dosa, sedangkan umur
yang digunakan untuk beramal ibadat hanya sekitar 10 tahun? Itupun selepas
berada pada penghujung usia yang senja.
Ke manakah perginya baki 60 tahun umur kita itu?
Adakah kita yakin akan dapat mengecapi nikmat syurga dengan nilai pahala selama
10 tahun, sedangkan longgokan dosa yang kita kumpul selama 60 tahun pula begitu
tinggi?
Kedua, mengenai ilmu. Bagaimana jawapan kita jika
ditanya mengenai ilmu? Apakah tanggungjawab terhadap ilmu yang kita miliki
sudah kita tunaikan? Banyak ilmu yang kita tahu, tetapi adakah ia diamalkan?
Kita tahu membezakan perbuatan baik dan buruk,
tetapi mengapa kita masih berminat dengan sifat mazmumah (keji)? Kita ada ilmu
tetapi mengapa tidak mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain
apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan
kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui?
Ketiga, kita juga akan disoal mengenai harta benda
yang kita miliki. Dari sumber manakah kita peroleh harta itu? Adakah daripada
punca yang halal atau haram? Ke jalan manakah pula kita belanjakan harta itu?
Ke jalan kebajikan atau kemungkaran?
Rasulullah bersabda, maksudnya:
“Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram,
maka api neraka yang lebih layak baginya.”
Akhirnya, kita akan ditanya mengenai jasad atau
tubuh badan kita. Apakah yang kita lakukan dengan tubuh yang sihat dan kuat
ini? Adakah kita mensyukuri mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan anggota
badan yang lain dan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah? Atau kita
ingkar nikmat pancaindera itu dan reda dimurkaiNya?
Itulah empat soalan yang bakal dihadapkan kepada
kita untuk dijawab, berdasarkan amalan kita. Semoga kita berjaya menjawabnya
dengan bantuan amal soleh, keikhlasan ibadat, dan sedekah jariah di dunia.
Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri supaya
kita tergolong ke dalam kumpulan yang berjaya melalui ujian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan