Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidak pernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda.
Malah sahabat-sahabat sendiri pada
zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan
itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.
Asal Usul Sambutan
Maulidur Rasul
Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka
menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka.
Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana
setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu.
Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah,
sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka.
Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam
sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Mekah dan Madinah. Tidak dinafikan,
sebahagian mereka lupa untuk mengamalkan Islam lantaran semakin jauh daripada roh ajaran dan perjuangan Rasulullah.
Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif
untuk membimbing orang ramai ke jalan benar.
Di celah-celah itu lahirlah sebuah
karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di
dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran
sehingga wafatnya.
Kemudian kisah itu dibacakan kepada
orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan
rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.
Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah
yang lebih ramai maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran Rasulullah SAW.
Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam sejarah Islam.
Hari itu dipilih bukan semata-mata
untuk sambutan hari lahir tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi
memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh
kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu.
Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan
Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata
untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan tetapi
lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan
perjuangannya.
Oleh sebab itu, acara yang boleh
dihidangkan pada hari itu boleh dipelbagaikan asalkan menjurus ke arah
menyedarkan umat Islam ke arah mengingati Rasulullah dan perjuangannya. Kalau
dahulunya dibacakan barzanji tentu tidak salah pada hari ini disampaikan
ceramah di samping pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca
al Quran dan banyak lagi.
Yang penting semua itu boleh
menyedarkan umat Islam kepada mengingati perjuangan Rasulullah. Dengan acara
tersebut tidak timbul isu bidaah seperti yang selalu kita dengar dakwaannya pada hari ini kerana
semua aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak
pula melarangnya.
Pada hari ini kita tambahkan lagi
aktiviti dengan perarakan sepanduk sambil berselawat dan niatnya juga untuk
membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Amalan berarak ini pernah
dilakukan para sahabat ketika menyambut ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dari
Mekah. Ternyata perbuatan sahabat itu tidak dilarang oleh Baginda.
Sempena sambutan itu juga, ditambahkan
acara memberi anugerah dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga
dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi
Rasulullah.
Sambutan ini perlu dibezakan dengan
sambutan Barat terhadap sambutan hari lahir diri sendiri, sambutan acara potong
kek, menyanyi dan menari dan sebagainya dan juga tidak sama dengan sambutan
hari lahir bagi orang yang hidup dengan mati.
Sambutan hari lahir orang yang masih
hidup sepatutnya untuk mahabbah diri, amalan yang telah dilakukan dan
menginsafi diri beberapa hari lagi yang berbaki untuk hidup.
Manakala sambutan hari kelahiran untuk
orang yang sudah meninggal dunia adalah untuk mengambil iktibar dan teladan
yang baik sebagai motivasi hidup.
Jadi, amalan kita pada hari ini
menyambut Maulidur Rasul diharap diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah.
InsyaAllah. – Ustaz Hj Ahmad Baei Jaafar.
Rujukan
: Harian Islam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan