Islam bukan agama ikutan dengan serba
kejahilan tetapi Islam adalah ad-Din kefahaman dan penghayatan. Kefahaman dan
penghayatan adalah satu-satu cara untuk mempertahan dan memperkukuhkan umat. Dukacita
apabila orang Islam sendiri tidak berusaha memahami Islam apatah lagi untuk benar-benar
menghayati dan menyampaikannya.
Dalam konteks dakwah, betapa kita umat
Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan Islam yang sebenar kepada mereka yang
bukan muslim. Malangnya kebanyakan umat Islam bahkan hampir keseluruhannya
begitu gagal melaksanakan tugasan ini. Setiap hari kita berurusan dengan mereka
yang non-muslim atau bukan muslim tetapi sepatahpun dari dakwah Islam tidak
kita sampaikan kepada mereka sehingga mereka terus terbabas tanpa dihulurkan
sebab-sebab untuk sampai kepada hidayah. Lebih malang dari itu, kita
kadang-kala memberikan gambaran yang buruk tentang Islam terhadap mereka. Apakah kita tidak
merasai betapa kita akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak di
atas kecuaian ini.
Saya begitu tertarik dengan apa yang
diceritakan oleh as-Syeikh `Ali at-Tontawi dalam bukunya Ta’rif al-`Am bi Din
al-Islam, katanya: “Pernah aku bertanya kepada para pelajarku, “Sekiranya
datang kepada kamu seorang lelaki asing dan berkata kepada kamu bahawa dia
hanya ada waktu sebanyak sejam sahaja dan ingin memahami apakah Islam dalam
tempoh tersebut? Bagaimanakah kamu boleh memahamkan Islam kepadanya dalam
tempoh sejam?
Mereka menjawab: “Ini mustahil, dia
mesti mempelajari tauhid, tajuwid, tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, melibatkan
diri dalam perbahasan masalah-masalah agama, dan dia tidak akan tamat melainkan
setelah lima tahun.”
Akupun berkata: “Subhana Allah! Adapun
seorang `Arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. dan tinggal bersama
baginda selama sehari atau setengah hari lalu mengetahui Islam lantas
membawanya kepada kaumnya. Selepas itu, dia menjadi pembimbing dan guru,
menjadi pendakwah dan mubaligh untuk Islam. Lebih dari itu, Rasulullah pernah
mensyarahkan ad-Din keseluruhannya (dalam hadith Jibril) dalam tiga ayat
sahaja. Baginda berbicara dalamnya mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Kenapa tidak
kita hari ini mensyarahkan Islam dalam tempoh satu jam?” [m.s. 27, Dar al-Wafa, Mesir]
Demikian menariknya tokoh pendakwah
Islam yang terkenal ini mengemukakan contoh kesilapan dalam menguruskan dakwah.
Ya! Kebanyakan kita apabila diminta memulakan dakwah terutama kepada bukan
muslim dia akan bertanya “Apakah perkara pertama yang hendak diterangkan?”.
Inilah persoalan yang bermain di kepala kebanyakan muslim ketika di minta
berdakwah. Lebih malang lagi ada yang penerangannya bermula dengan masalah berkhatan…
Ada pula yang apabila menemui
seseorang yang baru menganut Islam atau ingin memahami Islam maka dia
mengatakan “Engkau wajib menghafal sifat
dua puluh dengan perbahasan falsafahnya jika tidak iman engkau tidak dikira sah
dan solat kau juga tidak bermakna.”
Ini semua adalah contoh golongan yang
menyusahkan manusia mendekati dan memahami Islam dengan cara yang jelas dan
diterima.
Manusia Dan Agama
Sesiapa sahaja yang memiliki akal yang
waras pasti akan mencari hakikat di sebalik kehidupan yang dirasai dan
disaksikannya. Jiwa insan yang sempurna tidak akan
terhenti bertanya tentang rahsia kehidupan ini. Allah telah menfitrahkan insan
iaitu memberikan sifat di dalamnya jiwanya perasaan ingin mengetahui. Apatah
lagi jika sesuatu itu berkait langsung dengan diri insan itu sendiri.
Berbagai perkara sering kita lihat
dalam kehidupan ini, sebahagian daripadanya kita gagal memberikan jawapan yang
tepat mengenainya jika tidak dibimbing oleh cahaya petunjuk yang sebenar.
Sebab itu jika diandaikan ada seorang
bayi yang dihanyutkan air sehingga ke sebuah pulau yang tiada penghuni dari
keturunan manusia. Sekiranya dia ditakdirkan hidup sehingga dewasa dan akalnya
tidak cacat pasti dia sering bertanya dalam dirinya bagaimana dia boleh wujud
di alam ini atau hadir ke pulau tersebut. Sekalipun tanpa bimbingan agama dia
tetap akan bertanya siapakah yang menjadikan dirinya dan alam yang dia lihat.
Mengapa mesti dia hidup. Perasaan dan jiwanya akan memberontak bertanya tentang
hakikat diri. Sehingga akhirnya, jika jiwanya tidak dibimbing dengan hidayah
tentu dia akan mengagak objek-objek tertentu yang dikagumi atau digeruninya
sebagai punca pergantungan harapan atau dalam kata lain sebagai tuhan dalam
kehidupannya. Begitu bermulanya agama yang tidak dibimbing oleh wahyu sebenar.
Sebabnya ini adalah sifat yang sudah
wujud dalam jiwa insan iaitu keinginan mengetahui rahsia alam
sekaligus desakan jiwa untuk mencari tuhan.
Allah swt menggambarkan hal ini di
dalam al Quran melalui watak yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s, firman
Allah swt dalam menceritakan kisah ini, maksudnya:
“Dan demikian itu kami perlihatkan
kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan kami yang terdapat di langit dan di bumi
agar dia termasuk di dalam orang-orang yang yakin. Ketika malam telah menjadi
gelap dia (Ibrahim) melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Ini adalah
tuhanku.” Tetapi apabila bintang itu hilang dia berkata aku tidak suka kepada
yang lenyap.” Kemudian apabila dia melihat bulan terbit dia berkata “Ini adalah
tuhanku.” Namun apabila bulan itu hilang dia berkata: “Sesungguhnya jika
tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku tentu aku termasuk dalam golongan yang
sesat.” Kemudian apabila dia melihat matahari terbit dia berkata, “Inilah
tuhanku, ini lebih besar.” Namun apabila matahari itu hilang, dia berkata
“Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu semua
sekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada tuhan yang mencipta langit
dan bumi dalam keadaan cenderung kepada agama yang benar dan aku bukan termasuk
dalam golongan yang mempersekutukan Tuhan.”
[Surah al-An`am : ayat 75-79]
Demikian al Quran menggambarkan
peribadi insan yang waras dan sempurnaan nilai keinsanannya iaitu sentiasa
mencari tuhan yang sebenar. Jika insan tidak dibimbing oleh petunjuk dari tuhan
yang sebenar maka pasti dia akan tersesat.
Manusia Dan Persoalan
Insan yang waras sentiasa
menimbulkan tanda tanya tentang tuhan atau dalam kata lain bertanya “Siapakah
yang telah menjadikan dirinya dan alam di sekelilingnya?” Akal yang waras meyakini bahawa
dirinya tidak muncul dengan kehendaknya tetapi tentulah adanya kuasa yang maha
agung yang menciptakannya. Tidak terhenti untuk itu sahaja, dia tentu juga
merasai keperluan diri bergantung kepada zat yang agung itu kerana dalam hidup
dia pasti menghadapi peristiwa-peristiwa yang terjadi tanpa pilihan atau
kemampuannya. Perasaan mencari tempat pergantungan akan terus timbul dan
keperluan kepada pertolongan tuhan akan benar-benar dirasai oleh setiap insan.
Seterusnya, apabila insan memerlukan tuhan tentu insan ingin mengetahui
kehendak atau tuntutan tuhan terhadap dirinya. Ini bagi memboleh insan merasai
tuhan bersamanya dan merestuinya.
Insan melihat berbagai kejadian dan
peristiwa di alam ini, ada golongan yang baik dan ada pula yang jahat. Ada
golongan yang zalim dan ada pula yang dizalimi. Ini sekali lagi
mendesaknya bertanya “Apakah kesemua ini akan berlaku begitu sahaja. Apakah
yang zalim tidak ada sebarang tindakan tuhan terhadapnya sedangkan dia telah
menzalimi hamba tuhan yang lain. Apakah selepas adanya penindasan dan
penginayaan maka hidup pun hilang begitu sahaja. Apakah
sama antara hamba yang ingin mentaati tuhan dengan yang memusuhi tuhan?
Demikianlah berbagai persoalan timbul
yang mendesak jiwa insan sekaligus membawa sekali lagi insan bertanya ke
manakah perginya manusia selepas berakhirnya kehidupan di dunia ini.
Perumpamaan Yang Menarik
Dr. Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti
telah memberikan perumpamaan yang menarik dalam bukunya Madkhal ila Fahm
al-Juzur katanya: “Apa pendapat kamu mengenai seorang insan yang membuka kedua
matanya selepas tidur yang panjang, dia yang sebelum ini berada di atas katil
di dalam bilik tidurnya, tiba-tiba dia dapati diri berada di dalam salah satu
gerabak keretapi. Dia dibawa oleh suatu perjalanan ke arah yang dia sendiri
tidak tahu. Merentangi bukit-bukau dan lurah yang dia tidak pernah dia lihat
dan tahu mengenainya.
Siapakah yang membawa dan meletakkan
dia di dalam keretapi tersebut? Bilakah perkara ini bermula? Siapakah yang
sedang memandunya? Siapakah pula yang menyusun dan mengatur perjalanannya?
Apakah yang orang tersebut mahu daripadanya secara peribadi selepas ini?
Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu semua ini.
Apakah anda berpendapat insan
berkenaan boleh menutup fikiran dari segala persoalan tersebut? Bolehkah dia
merehat urat sarafnya dari terus mendesak dan mencari jawapan mengenai apa yang
dia tidak tahu itu? Bolehkah kemudiannya dia terus asyik berseronok suka dengan
melihat jalanan yang cantik dan pandangan yang asing?
Sama ada gerabak tersebut dipenuhi
dengan peralatan mewah dan terhias dengan segala perkara yang melalaikan, atau
ianya dipenuhi dengan perkara yang menduka dan menyusahkan, namun apakah
mungkin untuk dia menjadikan semua itu melupakan dia dari apa yang didesak
kepadanya oleh tekanan fikiran dan akalnya? Juga dari kerisauan dan kekeliruan
disebabkan keadaan yang tanpa pilihannya, dia dalam lautan kejahilan.
Sekalipun demikian, namun masalah
tersebut adalah masih kecil lagi terhad, bilamana keluasan keretapi tersebut
adalah terhad dan dalam lingkungan alam yang diketahui tanda-tanda dan
kebiasaanya. Ini kerana, bagaimana sekalipun ia bergerak ke timur atau ke barat
ia sama sekali tidak akan keluar dari ruang lingkupnya dan tidak akan melepasi
melainkan dalam lingkungan bumi.
Namun masalah tersebut bertukar
menjadi besar dan begitu besar bilamana keretapi tersebut adalah alam ini
keseluruhannya. Bilamana pergerakannya itu adalah merupakan keadaan rangkaian
kehidupan insan. [m.s.
6-7, Cetakan Dar al-Fikr al-Mu`asir, Lubnan]
Demikian Muhammad Sa`id Ramadhan
al-Buti cuba membayangkan keadaan insan yang sejak kecil membuka matanya dan
melihat alam serta pergerakan di sekelilingnya. Juga yang lebih penting melihat
dirinya sendiri serta rangkaian perjalanan hidupnya. Apakah tidak terdesak
jiwanya untuk bertanya tentang hakikat diri, apakah keadaan yang sedang
dihadapinya dan apakah kesudahannya nanti? Mungkinkah pengaruh suasana
sekelilingnya boleh atau mampu melupakan dia untuk mencari jawapan bagi erti
kehidupannya? Kalaulah ada insan yang demikian tentulah dia sejahil-jahil
manusia secara mutlak kerana dia telah lalai memikirkan perkara yang menjadi
dasar insan berakal.
Perlunya Hidayah Islam
Persoalan-persoalan ini walaupun
muncul dari fitrah manusia dan ianya sesuatu yang sangat baik untuk membolehkan
insan mencari kebenaran namun jika insan tanpa bimbingan hidayah atau petunjuk
dari Allah, persoalan-persoalan tersebut juga boleh menjadi punca insan sesat
dengan sesesatnya. Jika insan tidak dibimbang dengan petunjuk daripada Allah swt
maka persoalan-persoalan tadi terus mencari berlegar dalam fikiran insan dan
akhirnya mereka mencipta jawapan yang salah lagi sesat dalam kehidupan. Jika
petunjuk sebenar tidak sampai kepada insan maka tuhan-tuhan palsu pasti akan
muncul, kehendak-kehendak
tuhan secara palsu juga akan diandaikan dan alam selepas kematian akan
dibayangkan mengikut kehendak fikiran dan kepentingan tertentu. Akan ada yang
mengambil kesempatan dari kehendak atau tuntutan fitrah tersebut dengan mencari
kepentingan dunia lalu mencipta ajaran agama untuk kepentingan diri dan harta.
Maka lahirlah agama-agama palsu di atas muka bumi.
Allah Tuhan Yang Sebenar tidak akan
membiarkan insan tenggelam dalam kesesatan tanpa bimbingan hidayah yang asli
dariNya sendiri yang menciptakan alam keseluruhannya serta Maha Berkuasa dengan
penuh keagungan. Untuk itu, setiap umat diutuskan Rasul yang membawa ajaran
Islam bagi memberikan jawapan sebenar terhadap persoalan insan dalam hidup.
Para Rasul bukan mencipta ajaran mengikut akal mereka tetapi mereka
menyampaikan ajaran daripada Allah Yang menurunkannya kepada mereka menerusi
proses yang dinamakan wahyu. Tiada siapa yang berhak berbicara mengenai Allah swt
melainkan Allah swt sendiri dan perbicaraan Allah swt itu telah disampaikan
kepada sekelian insan menerusi para Rasul. Para rasul bukan sekadar memberitahu
tetapi membimbing dan mendidik. Rasul yang terakhir ialah Muhammad bin `Abdillah
yang membawa ajaran Islam dari Allah swt.
Firman Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya ad-Din (agama) di sisi
Allah ialah Islam.”
[Surah Ali
`Imran ayat 19]
Firmannya lagi, maksudnya:
“Sesiapa yang mencari selain dari
Islam sebagai agama maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di
akhirat kelak termasuk dari kalangan mereka yang rugi.
[Surah Ali
`Imran ayat 85]
Maka kedatangan Islam daripada Allah swt
yang mencipta alam dan segala isinya telah memberikan jawapan yang sebenar
kepada semua persoalan tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. adalah kesinambungan
dalam menyampaikan risalah dari Allah swt dan memberikan jawapan kepada
persoalan insan.
Justeru itu wajib kepada semua insan –
tanpa kecuali – yang hidup selepas kedatangan Nabi s.a.w meyakini, menerima dan
menghayati ajaran Islam yang bawa oleh Muhammad bin Abdullah, utusan Allah swt
yang akhir itu demi keselamatan kehidupan mereka yang hakiki.
Setiap insan tahu bahawa dia tidak
datang ke dunia ini dengan kebijaksanaannya. Tidak juga kerana kebijaksaan
kedua ibubapanya.
Kalaulah insan wujud di dunia dengan
pilihan dan kebijaksanaannya tentulah semua insan dapat menentukan rupa paras
yang cantik lagi menawan bagi diri dan keluarganya. Tentu kesemuanya memilih
untuk lahir di tengah banglo atau istana mewah dan keluarga yang kaya-raya.
Namun keadaannya tidak begitu. Hinggakan pasangan suami isteri pun sama sekali
tidak boleh memilih paras rupa anak yang bakal lahir. Kalau hal ini boleh
ditentukan sudah pasti setiap insan lahir dalam keadaan paling sempurna. Namun
ternyata ianya di luar kawalan insani.
Ini semua menyedarkan insan bahawa
adanya suatu kuasa yang Maha Agung yang mewujudkan manusia dengan kehendakNya.
Dia adalah Allah. Dia tidak akan mempersoalkan insan tentang keputusan yang
dipaksa ke atas mereka seperti hitam atau putihnya warna kulit seseorang, siapa
ibu atau bapanya, di mana negeri kelahirannya, mengapa dia tidak pintar atau
cerdas, sempurna atau cacat dan seumpamanya. Dia hanya akan menyoal apakah mereka
telah menunaikan tanggungjawab yang Dia wajibkan ke atas mereka. Adapun segala kejadian tanpa pilihan
insan itu adalah bagi mewujudkan sistem hidup di alam ini dan menyedarkan insan
betapa mereka semua bergantung kepada Tuhan, Allah Yang Maha Esa.
Firman Allah di dalam al Quran,
maksudnya:
“Dan Allah telah mengeluarkan kamu
dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun. Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, mudah-mudahan kamu
bersyukur.”
[Surah
an-Nahl ayat 78]
Firman Allah dalam al Quran lagi, maksudnya:
“Dia (Allah) membuat setiap yang Dia
cipta sebaik-baiknya (yang paling sesuai) dan Dia telah memulai penciptaan
manusia dari tanah. Kemudian Dia telah menciptakan keturunannya dari saripati
air yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan dan meniup ke dalam tubuhnya ruh dan
Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi sedikit
sekali yang bersyukur.”
[Surah
as Sajdah ayat 7-9]
Berbagai-bagai lagi sifat dan ciri
insan yang Allah swt bentangkan di dalam al Quran bagi menggambarkan betapa
setiap insan faqir kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Apabila menyedari diri sebagai makhluk
(yang diciptakan) dan Allah swt sebagai Khaliq (Pencipta) dengan segala rahsia
ciptaan dan kehebatannya maka timbulnya perasaan kehambaan dan mengharapkan
Allah swt dalam segala hal. Timbulnya perasaan bergantung serta bertawakal
kepada Allah swt.
Bahkan Allah swt juga telah
membekalkan ke dalam jiwa manusia secara fitrah atau sejak kelahirannya
beberapa sifat dan perasaan secara tersedih dari sisi Allah swt. Dibekalkan
kepada insan sifat kasih-sayang, perasaan marah, perasaan sedia, perasaan ingin
dihargai, ingin dikasihi, perasaan cinta antara lelaki dan perempuan dan
berbagai lagi. Antara yang paling nyata dibekalkan tuhan dalam jiwa insan
adalah sifat atau perasaan merasai kewujudan Tuhannya. Sebab itu kita dapat
saksikan walau di mana pun manusia berada mereka tetap mempercayai Tuhan. Sekalipun
ajaran agama tidak sampai kepada seseorang namun hati nuraninya tetap bertanya
tentang Tuhan.
Golongan yang mengaku diri mereka
komunis pun pada hakikatnya tetap merasai kewujudan Tuhan. Sifat ego sahaja
yang menjadikan lidah mereka menafikannya.
Adapun golongan mereka yang mendakwa
free-thinker atau bebas dari segala ikatan kepercayaan atau agama meraka
sebenarnya bukan tidak percaya tentang adanya Tuhan tetapi mereka terkeliru
dalam menentukan “siapakah Tuhan yang sebenar, sifatNya, juga apakah ajaran
yang sebenar dariNya?” Mereka terkeliru dengan agama-agama palsu yang mereka
lihat. Atau nafsu mereka ingin bebas dan bermaharaja agar mereka boleh
melakukan apa sahaja tanpa ikatan agama. Sebab itu kita lihat apabila Islam
yang sebenar diterangkan kepada mereka dengan jelas kita mendapati kebanyakan
daripada mereka bersegera menyahut panggilan hidayah Islam dengan rela dan
gembira.
Di atas ciri ini, maka Allah swt yang
menciptakan manusia, menyebut di dalam al Quran tentang golongan kafir yang
menentang Nabi s.a.w, maksudnya :
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan
kepada mereka (golongan kafir); “Siapakah yang menjadikan yang menjadikan
langit dan bumi dan menundukkan (mentadbir) matahari dan bulan?” Tentu mereka
akan menjawab “Allah,” maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan
yang benar).
[Surah al 'Ankabut ayat 61]
[Surah al 'Ankabut ayat 61]
Menentukan Tuhan Yang Sebenar
Kesimpulannya, manusia semuanya
percaya wujudnya Tuhan tetapi mereka gagal menentukan bagaimanakah Tuhan yang
sebenar. Bagaimanakah sifatNya dan jalan menghampiri diri kepadaNya. Lalu
mereka meramalkan Tuhan mengikut fikiran dan suasana masing-masing. Ada yang
meramalkan Tuhan itu seperti manusia atau seperti binatang yang besar atau
beranak-pinak atau apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Pengikut ajaran
hindu umpamanya, mereka membayangkan Tuhan itu seperti orang-orang India.
Mereka mengukir bentuk Tuhan dengan rupa paras orang-orang India. Mata, warna
kulit, bentuk badan dan segala-gala seperti rupa bangsa mereka. Seakan-akan
Tuhan hanyalah untuk manusia di negeri India sahaja. Begitulah juga agama-agama
lain yang menyesatkan. Mereka mengukir atau melukis dengan tangan mereka lalu
mereka menyembahnya.
Ada juga manusia yang memilih Tuhan
berdasarkan apa yang dia takuti. Bilamana dia kagum atau gerun dengan pokok
yang besar atau sungai atau laut lalu mereka merasai di situ bertahtanya tuhan
lalu mereka menyembahnya, ini seperti kebanyakan suku kaum yang hidup di hutan.
Demikian gambaran kekeliruan manusia
dalam mencari Tuhan yang sebenar.
Keterbatasan `Akal
Insan pasti akur bahawa segala
kemampuannya sekali pun hebat ada had atau batasan yang dia tidak dapat
lakukan. Mata yang dimilikinya ada batasan
jarak, bentuk, warna yang tidak mampu dilihatnya. Telinga yang dimiliki ada
batasan gelombang yang tidak mampu di dengar.
Bahkan kalau insan menulis angka dari
satu hingga sepuluh di dalam sepuluh keping kertas yang kecil lalu dimasuk
kesemuanya – secara bercampur – ke dalam sakunya dan diminta supaya dia
mengeluarnya semula menurut susunan satu hingga sepuluh tanpa melihat kepada
kertas-kertas tersebut, sudah pasti dia tidak mampu mengeluarkan secara tertib
dan teratur kerana matanya tidak dapat mengesan, sekali kertas-kertas itu
berada dalam sakunya sendiri.
Demikianlah keterbatasan jangkauan
insan. Maka akal insan juga amat terbatas. Bukan semua perkara boleh dirumuskan
oleh akal. Kalau hanya sepuluh keping kertas insan tidak dapat mengagaknya
dengan tepat bagaimana insan ingin memikirkan tentang diri Tuhan yang sebenar,
sifat Tuhan yang sebenar, kehendak atau tuntutan Tuhan kepada insan dan apa
yang bakal Tuhan lakukan kepada insan. Ini semua gagal dicapai oleh insan tanpa
bimbingan dari Tuhan sendiri melalui pengutusan para Rasul.
Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan