TENANGKAN HATIMU DARI URUSAN TADBIR KERANA APA YANG DIATUR OLEH SELAIN-MU TENTANG URUSAN DIRIMU, TIDAK PERLU ENGKAU CAMPUR TANGAN.
Kita bertauhid melalui
dua cara:
pertama bertauhid
dengan akal dan
keduanya bertauhid
dengan hati.
Bidang akal ialah ilmu
dan liputan ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada dahan-dahan dan
seterusnya kepada ranting-ranting. Setiap ranting ada hujungnya, iaitu penyelesaiannya.
Ilmu bersepakat pada perkara pokok, bertolak ansur pada cabangnya dan
berselisih pada rantingnya atau penyelesaiannya. Jawapan kepada sesuatu masalah
selalunya berubah-ubah menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap
benar pada mulanya dipersalahkan pada akhirnya.
Oleh sebab sifat ilmu
yang demikian orang awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh
mengalami kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang mudah
mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika persoalan ini
diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang akan menemui kebuntuan
kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang konkrit. Qadak dan Qadar
diimani dengan hati. Tugas ilmu ialah membuktikan kebenaran apa yang diimani.
Jika ilmu bertindak menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus disekat dan hati
dibawa kepada tunduk dengan iman. Kalam Hikmat keempat di atas membimbing ke
arah itu agar iman tidak dicampur dengan keraguan.
Selama nafsu dan akal
menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri secara
menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam perkara ghaib.
Perkara ghaib
disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata hati tidak dapat memandang jika
hati dibungkus oleh hijab nafsu. Nafsu adalah kegelapan, bukan kegelapan yang
zahir tetapi kegelapan dalam keghaiban.
Kegelapan nafsu itu
menghijab sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk melihat perkara
ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah cahaya roh kerana roh
adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya bersinar apabila sesuatu itu
ada perkaitan dengan Allah s.w.t.
Allah adalah cahaya bagi semua langit dan
bumi.
( Ayat 35 : Surah an-Nur
)
Dialah Yang Maha Tinggi darjat kebesaran-Nya,
yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia
memberikan wahyu darihal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di
antara hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia
memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan.
( Ayat 15 : Surah
al-Mu’min )
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai
Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami;
engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu); apakah Kitab
(Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami
jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa
yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, –
Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai yang ada di langit dan yang ada
di bumi. Kepada Allah jualah kembali segala urusan.
( Ayat 52 & 53 :
Surah asy-Syura )
Apabila cahaya roh
berjaya menghalau kegelapan nafsu, mata hati akan menyaksikan yang ghaib.
Penyaksian mata hati membawa hati beriman kepada perkara ghaib dengan
sebenar-benarnya.
Allah s.w.t telah
menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia
berfirman:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu
agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam
itu menjadi agama untuk kamu.
( Ayat 3 : Surah
al-Maa’idah )
Umat Islam adalah umat
yang paling bertuah kerana Allah s.w.t telah menyempurnakan nikmat-Nya ke atas
mereka dengan mengurniakan Islam. Allah s.w.t menjamin juga bahawa Dia
reda menerima Islam sebagai agama mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup
bagi mereka yang menuntut keredaan Allah s.w.t untuk tidak menoleh ke kiri atau
ke kanan, sebaliknya terus berjalan mengikut landasan yang telah dibina oleh
Islam.
Islam adalah
perlembagaan yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir
mahupun yang batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang
mesti tidak dibuat, bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana
jika tidak mahu melakukan apa-apa. Segala peraturan dan kod etika sudah
dijelaskan dari perkara yang paling kecil hingga kepada yang paling besar. Sudah
dijelaskan cara beribadat, cara berhubungan sesama manusia, cara membahagikan
harta pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta, cara makan, cara minum,
cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban, cara hukum qisas cara
melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan mayat dan semua aspek kehidupan
diterangkan dengan jelas.
Umat Islam tidak perlu
bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala penyelesaian
telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu sendiri nescaya
segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang dikurniakan
kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai nikmat yang
dikurniakan itu. Kewajipan kita ialah melakukan apa yang telah Allah
s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir adalah hak Allah s.w.t yang
mutlak. Jika terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak dipersetujui oleh nafsu
kita, jangan pula melentur peraturan tersebut atau membuat peraturan baharu,
sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah s.w.t.
Jika pendapat akal
sesuai dengan Islam maka yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut dan jika
penemuan akal bercanggah dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap
di dalam perkiraannya. Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa
yang akan berubah pada masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang
Tuhan kata yang kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila.
Orang yang mengamalkan
tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qadak dan Qadar, jiwanya
akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak membolak-balikkan
hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut apa yang mesti
berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin oleh Allah s.w.t.
Hatinya tunduk kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir sementara
sekalian hamba berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur dalam
urusan-Nya.
Mungkin timbul
pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, tidak boleh
mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki kehidupannya? Apakah
orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa tadbir?
Allah s.w.t
menceritakan tentang tadbir orang yang beriman:
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa
tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya
(Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan
barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk
(menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya
menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu
pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki; dan
tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.
(Ayat 76 : Surah Yusuf )
Dan kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal
yang berlayar di lautan laksana gunung-ganang.
(Ayat 24 : Surah
ar-Rahmaan )
Nabi Yusuf a.s, dengan
kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa saudaranya, Bunyamin, tinggal
dengannya. Kepandaian dan muslihat yang pada zahirnya diatur oleh Nabi Yusuf
a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan Dia yang mengatur muslihat
tersebut dengan kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Kapal yang pada zahirnya dibina
oleh manusia tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan kapal itu adalah
kepunyaan-Nya. Ayat-ayat di atas memberi pengajaran mengenai tadbir yang
dilakukan oleh manusia.
Rasulullah s.a.w
sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan
mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak
memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan
penyerahan kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah
seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak
itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang
diperolehi oleh otak itu jika tidak dari Tuhan? Allah s.w.t yang membuat
otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah fikiran kepada otak
itu. Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai
dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk
mengasingkan pendapat dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam
menegaskan bahawa sekiranya tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti
tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh sesiapapun.
Oleh yang demikian
seseorang mestilah menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t
kepadanya menurut keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak
sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur.
Apabila apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa
kejayaan itu adalah kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t.
Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib
tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam
tadbir Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t
Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam
urusan-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan